Scorpio torpedo yang juga dikenali sebagai hardtail scad, finny scad, finletted mackerel scad atau cordyla scad adalah spesies ikan laut yang diklasifikasikan dalam keluarga ikan jack and horse mackerel family, Carangidae.
Di Malaysia, ikan yang nama binomialnya Megalaspis cordyla ini dikenali dengan ikan cencaru. Di sesetengah tempat ia turut dipanggil sebagai ikan jaket dan ikan keras ekor.
Sementara cencaru bersaiz besar lazimnya melebihi berat 1 kg ia mendapat jolokan nama cencaru kuda. Cencaru kuda itu amat sinonim dengan klasifikasi keluarga ikan jack dan horse mackerel.
Taburan ikan cencaru agak meluas di seluruh rantau Indo-Pasifik tropika, dari Afrika Selatan di barat ke Tonga di timur, memanjang ke Jepun di utara dan Australia di selatan.
Ikan ini hidup antara 20 – 100 meter dalam di kawasan payau yang mempunyai terumbu. Maka tidak hairanlah ia terdapat dengan jumlah yang agak banyak di negara kita.
Ads
Ikan cencaru adalah ikan pelagik yang hidup dalam kumpulan besar. Lazimnya ia boleh ditemui di lapisan permukaan kedua lautan dan laut luar pantai.
Ia mudah dikenal pasti oleh kedua-dua badan berbentuk ‘torpedo’ dan satu siri sirip yang tersembunyi di bahagian belakang sirip dorsal dan dubur.
Spesies Megalaspis cordyla ini mampu membesar panjang sehingga 80 cm dan berat sehingga 4 kg.
Walau bagaimana pun spesimen yang biasa ditemui sekitar 40 cm sahaja. Ia adalah spesies pemangsa dengan menjadikan pelbagai ikan, cephalopods dan krustasea sebagai sumber makanannya.
Ads
Ikan cencaru berwarna kelabu kebiru-biruan hingga hijau pada bahagian dorsal, dan keperak-perakan pada bahagian bawah.
Operkulumnya mempunyai bintik hitam yang besar, dengan sirip yang berwarna gelap. Ikan ini mempunyai 7 – 9 sirip kecil yang berasingan pada bahagian belakang ridip dan sirip duburnya.
Ikan merah suman merupakan salah satu spesies dalam keluarga ikan merah. Ia merupakan spesies buruan ramai pemancing berikutan rasa dagingnya yang enak dan lebih lembut berbanding spesies merah lain.
Ikan merah suman yang dikenali dengan nama umum Japanese red sempena warna merah badannya (warna merah bendera Jepun?) merupakan ikan bergred tinggi yang tergolong dalam keluarga Lutjanidae (snapper) sama seperti ikan jenahak dan merah lainnya.
Nama saintifik bagi spesies idaman penggemar pancingan dasar laut dalam ini ialah Pinjalo pinjalo. Berbanding ikan merah lainnya, merah suman nyata sedikit berbeza dengan bentuk corak kepalanya yang lebih bulat. Namun Ikan ini tinggal di kawasan lubang dan struktur karang bersama dengan ikan merah. Dikatakan Ikan ini lebih sedap berbanding ikan merah.
Taburan spesies Pinjalo pinjalo ini meliputi Indo-Pasifik Barat, Teluk Parsi hingga ke Teluk Papua New Guinea, utara ke Taiwan dan di perairan tropika termasuklah negara kita.
Spesies merah suman dewasa mendiami terumbu dan bahagian bawah batu. Mereka ditemui di kedalaman beberapa meter di terumbu karang terbuka. Di kebanyakan kawasan, mereka ditemui di perairan yang dalam dan biasanya 15 meter sehingga kedalaman 100 meter. Mereka memakan haiwan invertebrata benthic dan planktonik, dan mungkin ikan kecil.
Merah suman mampu membesar panjang sehingga 80 cm panjang namun saiz biasa yang berjaya dipancing sekitar 30 cm sahaja.
Sebagaimana ikan ikan merah, umpan yang biasa digunakan adalah isi ikan, hirisan sotong, umpan hidup, dan udang mati boleh digunakan untuk menjerat spesies ini.
Dari aspek morfologi, gelama kuning (juga digelar gelama pisang) mudah dikenali walaupun terdapat sekurang-kurangnya 15 jenis gelama yang terdapat di perairan negara kita berpandukan kepada bentuk dan warna sisik yang halus terdapat pada badannya.
Saya kategorikan 2 dari 15 spesies gelama ialah gelama kuning berpandukan bentuk badan sama kecuali warna berlainan sedikit. Jenis yang dibezakan untuk spesies ini berpandukan kepada bentuk pada bahagian mulut, gigi serta saiz badan.
Orang barat memanggil spesies ini sebagai croaker kerana bunyi yang dikeluarkan seperti `krook’ berulang kali sebaik sahaja dinaikkan dari air. Tidak semua spesies gelama mengeluarkan bunyi yang kuat di dalam air. Bunyi ini bukan saja dapat didengar di luar malah di dalam air.
Bunyi inilah yang dikesan oleh juruselam atau nelayan berpengalaman bagi menjalankan aktiviti menjaring.
Tidak semua gelama mengeluarkan bunyi yang jelas di dalam air. Gelama Kuning adalah salah seekor gelama yang kuat bunyinya walapun bersaiz kecil. Paling kuat adalah ibu gelama yang boleh kita dengari walaupun berada di atas air sedalam 40 kaki. Bunyi juga boleh menentukan saiz, jenis dan besar kumpulan ikan ini dibawah air.
Ikan ini dikatakan adalah jenis hidupan marin (laut) tapi kebanyakan boleh ditemui di kawasan muara sungai. Hampir keseluruhan spesies gelama tertumpu kepada kawasan dasar berpasir, lumpur, berselut pada bahagian dasar untuk mencari makanan. Ia mudah diperolehi di kawasan muara dan jarang berada di kawasan batu karang.
Ia juga di dapati berkongsi laluan dan habitat bersama ikan tirusan (gelama besar), selampai (spesies gelama besar seperti tirusan tetapi lebih kurus memanjang), gelama papan, pari tanjung, tetuka, kurau dan duri malim. Ini berdasarkan andaian saya pada spesies yang turut sama di naikkan di lubuk yang sama ketika memburu gelama kuning.
Begitu pun kebanyakan pencarian saya untuk gelama kuning tertumpu kepada lubuk 40 kaki ke atas dan asas berpasir di Pelabuhan Kelang.
Warna sisik gelama kuning yang dipancing jelas menunjukkan ia sentiasa berada di lingkungan air jernih. Warnanya kekal kuning keemasan dan keperakan. Sisik gelama kuning sentiasa berkilau amat cantik di pandang. Saya jarang dapat gelama ini di kawasan cetek (lubuk yang boleh di pancing ketika air pasang sahaja).
Gelama kuning secara keseluruhan adalah spesies yang berkelompok dan bergerak secara berkumpulan sederhana. Ini berdasarkan pengamatan saya. Jarang sesekali ia menyerang umpan secara berterusan. Aktif ketika hujung surut sehingga pertengahan air pasang. Cara ia melawan pancing amat seronok dinikmati bersesuaian dengan kelas peralatan yang digunakan.
Gerepoh? Ikan apa tu? Gerepoh merupakan salah satu spesies ikan marin yang besar dan tergolong dalam famili ikan jack, Carangidae. Lebih popular dengan nama GT, iaitu singkatan bagi giant trevally.
Gerepoh merupakan spesies terbesar di kalangan ikan jack dan sering kali spesies ini menjadi raja sesebuah habitat atau kawasan terumbu karang. Dengan bentuk fizikal badan yang solid serta kekuatan ototnya, gerepoh menjadi musuh yang sukar, malah sangat sukar ditangani oleh pemancing walau dengan set heavy sekalipun.
Sesetengah pula cukup licik, apa lagi jika di kawasan karang. Ibarat serangan gerila, gerepoh akan bersembunyi di kawasan karang dan secara tiba-tiba akan melakukan serangan hendap terhadap gewang anda terutama popper dengan kuasa pecutannya ekornya dan kembali memecut ke karang sebelum memutuskan tali utama pada batu atau karang. Kuat dan licik, tidak hairan raja terumbu karang ini menjadi musuh yang didambakan kaki pancing.
Secara morfologi luaran ikan gerepoh, penampilan utama spesies ini dapat dikenal pasti melalui profil bentuk kepalanya yang besar dan curam selain fizikal badannya yang kelihatan solid dan tegap. Ikan ini juga mempunyai kuasa pecutan dan larian yang luar biasa kerana sirip pektoral yang besar di bahagian pertengahan serta sirip kaudal besar dan solid ibarat pendayung.
Warna badannya pula secara umumnya boleh dikelaskan dalam pola warna putih-perak hingga ke hitam. Sesetengah gerepoh juga mampu mempamerkan rona keemasan gelap pada badannya terutama pada bahagian sirip.
Selain warna umum pada badannya, tanda berpaten atau bercorak yang jelas boleh hadir terutama pada bahagian belakang badan. Ini sering terjadi jika ikan ini mempunyai warna belakang badan yang lebih gelap berbanding bahagian lain, kontra warna akan mewujudkan garisan perak cerah dan akan kelihatan corak bintik kehitaman pada badannya.
Selain itu, pada bahagian kaudal pedunkel, kehadiran scutes (plat kecil yang tajam) jelas kelihatan pada kedudukan selari dengan garisan lateral. Scutes ini mampu mengakibatkan kecederaan jika ikan gerepoh tidak ditangani dengan baik sewaktu pendaratan.
Taburan bagi spesies Caranx ignobilis ini meluas, hadir dalam kebanyakan perairan iklim tropika panas Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Kehadiran ikan ini dikenal pasti hingga ke selatan Australia, timur Kepulauan Hawaii,barat di pulau-pulau timur Afrika dan di utara Jepun.
Gerepoh juga mempunyai toleransi saliniti yang tinggi lantas membolehkannya memilih habitat antara kawasan muara sehingga ke jauh ke lautan di kawasan sistem berterumbu karang. Juvenil pula lebih cenderung untuk berada di kawasan muara, pulau berbatu atau sistem sungai.
Spesimen yang dewasa akan berpindah ke kawasan lebih dalam di lautan di mana terdapatnya struktur seperti terumbu karang atau tukun. Selalunya habitat berstruktur pilihannya ialah kawasan yang mempunyai arus.
Spesies dewasa juga sering berlegar di kawasan tanjung atau pesisir berair cetek ketika memburu makanannya. Kawasan cetek namun berarus di mana terdapat struktur karang atau batuan mewujudkan persekitaran makanan yang ideal bagi spesies ini.
Di Malaysia, gerepoh bersaiz besar boleh diperolehi di kawasan persekitaran pelantar minyak. Bagi kaki popping, waktu senja menjelang malam tatkala lampu pelantar minyak menyala, ia masa yang cukup mendebarkan melontarkan popper sehampir mungkin tiang pelantar dan bawah nyalaan lampu.
Gerepoh merupakan spesies yang mempunyai kadar pembesaran yang cepat. Pada ukuran kepanjangan badannya 60cm, gerepoh umumnya sudah mencapai peringkat matang dan tempoh masa yang diambil untuk mencapai peringkat ini adalah sekitar 3-4 tahun.
Apabila dewasa atau matang, gerepoh mampu mencapai berat 200 lb dengan panjang 1.7 meter dan pada peringkat ini selalunya spesimen akan bersendirian. Apabila dewasa, biasanya gerepoh akan mencari kawasan terumbu karang sebagai habitat dan menjadikan kawasan tersebut sebagai wilayah jajahannya.
Ketika memburu, gerepoh menggunakan abiliti renangan yang unggul dan kuasa hentamannya terhadap ikan buruannya. Selalunya mangsanya akan ditelan terus pada serangan pertamanya, jika terlepas sekalipun biasanya mangsa cedera atau mati akibat kuasa serangannya. Jika memburu berkumpulan, mangsa akan ditelan dengan cepat bagi mengelakkan persaingan yang lebih ganas.
Diet utama gerepoh ialah ikan kecil di sekitarnya. Namun jika terdesak, gerepoh mampu bertukar lebih bengis dan licik. Tuna, penyu dan ikan lumba-lumba antara mangsa yang pernah dilaporkan ada ditemui di dalam perut gerepoh.
Selain itu, kelicikan gerepoh juga terserlah apabila hadir di sebalik jerung karang yang besar dan menjadikan ikan jerung ini sebagai alat untuk serangan hendap mangsanya. Gerepoh bersaiz besar juga ada kalanya menjadikan juvenil sebagai makanannya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...