Jenahak merupakan salah satu spesies ikan pancingan yang cukup dikenali di negara kita. Spesies ini merupakan antara spesies ikan yang menjadi idaman kepada mana-mana kaki pancing. Kehebatan tentangan di hujung kail spesies jenahak bukanlah merupakan sebab utama spesies air masin ini menjadi buruan, sebaliknya nilai komersial spesies Lutjanus johnii ini melonjak ialah dek kerana rasa isinya yang sedap.

 

Bagi pemancing yang mempunyai obsesi yang tinggi terhadap spesies ikan jenis snapper ini pastinya pernah mendengar gelaran seperti jenahak bantal atau bantal emas yang merupakan nama timangan khas ikan bersisik emas ini.

 

Biarpun tidak memiliki abiliti melawan yang luar biasa seperti spesies ikan sukan yang lain, mana-mana pemancing yang berjaya menaikkan si bantal emas ini pastinya merasakan kepuasan yang tersendiri. Ibarat sudah boleh tidur lena dengan ‘bantal emas’ tersebut.

 

Secara global, spesies jenahak dikenali dengan nama John’s snapper. Nama Golden snapper juga merujuk kepada spesies jenahak namun beberapa spesies snapper lain juga mendapat gelaran yang sama di sesetengah tempat.

 

Info Spesies – Info Lengkap Spesies Jenahak

 

Sesetengah kawasan seperti Australia menggelar spesies ini dengan nama Fingermark bream, merujuk kepada tanda tompokan hitam pada badannya. Selalunya, John’s snapper digunakan untuk merujuk spesies L. johnii yang besar atau dewasa sementara Fingermark bream merujuk kepada juvenil spesies ini.

 

Keadaan ini serupa dengan lapangan pancing kita dalam soal kekeliruan sama ada ikan jenahak dan ikan tetanda merupakan spesies yang sama atau berlainan. Jadi, dalam kekeliruan ini, dapat disimpulkan jenahak dan tetanda merupakan spesies ikan yang sama.

 

Info Spesies – Info Lengkap Spesies Jenahak
tetanda

 

TABURAN SPESIES

 

IKLAN

Pola taburan spesies jenahak boleh ditemui di kebanyakan kawasan perairan barat Indo-Pasifik. Golden snapper boleh ditemui bermula dari Afrika Timur hingga ke Fiji serta utara Pulau Ryukyu dan selatan Australia.

 

Di perairan Malaysia, spesies ini boleh ditemui di kebanyakan perairan dari kawasan muara hingga ke laut lepas. Bagi kaki pancing, spot memburu jenahak lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat terutama di sepanjang Selat Melaka.

 

Spot-spot berstruktur seperti kapal karam, kawah, lopak di laluan kapal Selat Melaka, batu karang antara spot pilihan kaki pancing mencari si bantal emas ini.

 

MORFOLOGI

 

Daripada segi morfologi luaran, spesies jenahak mempunyai warna badan yang agak memukau. Sisik ikan jenahak biasanya berwarna kuning perak hingga keemasan bergantung kepada persekitaran. Warna badannya akan bertukar kepada warna putih perak apabila dilihat pada bahagian bawah badan dan kepalanya.

 

Info Spesies – Info Lengkap Spesies Jenahak

IKLAN

 

Tompokan berwarna hitam pula dapat dilihat pada bahagian antara garisan lateral dan di anterior sirip dorsal lembutnya. Tompokan hitam ini biasanya bersaiz lebih besar daripada diameter matanya dan beransur pudar apabila dewasa. Bahagian dorsal kepalanya berbentuk sedikit curam hingga ke mulut. Duri pada sirip dorsalnya berjumlah 10 manakala jumlah pada dorsal lembut pula antara 13 hingga 14.

 

Spesies jenahak biasanya mampu membesar sehingga panjang 1 meter biarpun spesimen yang sering ditemui mempunyai panjang sekitar 50 cm. Beratnya pula mampu mencecah sehingga 10 kg dalam persekitaran yang ideal. Terdapat juga kekeliruan antara spesies L. johnii dan Lutjanus ehrenbergii namun pengelasan saintifik oleh Bock pada 1996 mengatakan keduanya merupakan spesies berbeza. L. ehrenbergii hampir menyerupai L. johnii, seperti ikan tetanda yang kita sering lihat. Namun garisan sisik dan warna spesies ini berbeza.

 

Info Spesies – Info Lengkap Spesies Jenahak
L. ehrenbergii

 

HABITAT DAN EKOLOGI

 

Habitat bagi spesies ikan tropika ini lebih tertumpu kepada kawasan berkarang dan juga kawasan perairan yang mempunyai struktur bagi jenahak dewasa. Bagi jenahak juvenil pula, lebih mudah ditemui di kawasan muara, paya bakau dan kadangkala boleh ditemui jauh hingga ke kawasan air tawar yang berarus. Jadi, spesies ini boleh dikategorikan kepada spesies ikan marin dan air payau (brackishwater) bergantung kepada tumbesarannya.

 

Spesies jenahak merupakan spesies ikan yang bersifat oceanodromous di mana spesies ikan begini merupakan ikan yang bermigrasi bergantung kepada kitaran hidupnya. Selalunya, migrasi jenahak berlaku ketika mengawan serta disebabkan kawasan pemakanannya. Oleh itu, terdapat pola taburan yang merata-rata spesies ini di kebanyakan perairan di seluruh dunia.

IKLAN

 

Dalam memburu mangsanya, spesies snapper ini akan memilih kawasan trofik berkarang lebih-lebih lagi kawasan perairan yang mempunyai turbiditi atau kekeruhan yang tinggi. Spesies ini juga boleh ditemui dalam kedalaman sehingga 80 meter.

 

Info Spesies – Info Lengkap Spesies Jenahak

 

Spesies ini yang menghuni ke dalam lebih 10 meter biasanya terdedah kepada kerosakan fizikal pada tisu badan iaitu Barotrauma yang menyebabkan pelampung (air bladder) dalam badannya terkeluar. Hal ini sering berlaku dan dapat dilihat terutama ketika aktiviti memancing.

 

DIET

 

Dalam rantaian makanan dalam persekitaran ideal, si bantal emas ini merupakan tertiary consumer, yang bermaksud pemangsa karnivor unggul yang menghuni carta teratas dalam piramid makanan. Ini bermaksud, jenahak dewasa merupakan ikan karnivor yang menjadikan karnivor lain atau pemangsa kedua sebagai mangsanya.

 

Diet utama bagi spesies ini tertumpu kepada ikan bertulang, ikan pelagik, udang dan ketam. Selain itu, organisma bentik atau zoobenthos seperti mysids dan cephalopod juga menjadi diet bagi spesies ini bergantung kepada kitaran hidupnya.

 

Info Spesies – Info Lengkap Spesies Jenahak

 

TAKSONOMI

  • Kingdom : Animalia
  • Phylum : Chordata
  • Class : Actinopterygii
  • Order : Perciformes
  • Family : Lutjanidae
  • Genus : Lutjanus
  • Species : Lutjanus johnii (Bloch, 1792)
  • Nama lain : Jenahak, Jenahak tanda, Jenak, Tetanda, John’s snapper, Golden snapper
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI