Nama penuh: Mohd Zaidi bin Muhammad

Nama FB: Zaidi Eadis

Usia:35 tahun

 

UMPAN: Ceritakan sejak bila anda mula memancing?

ZAIDI: Dengan berlatar belakangkan anak peneroka sawit dan getah, sumber ekonomi hanya mengharapkan dari hasil Felda membuatkan saya mula mengikut ayah dari kecil seusia 5 tahun ke sungai untuk memancing.

Hasil memancing dijadikan sebagai juadah harian bagi kami sekeluarga. Dari kecil diasuh dengan paksa untuk menemani ayah ke sungai hinggalah timbul minat yang mendalam terhadap hobi ini.

Kegilaan memuncak sehingga meningkat dewasa. Dari tali air, parit, sungai, lombong, apa jua tempat yang berair… pasti terasa minat untuk menduga penghuninya.

 

 

UMPAN: Sejak bila terlibat dengan memancing udang galah?

ZAIDI: Setiap tahun apabila tiba musim daun getah gugur… petanda tibanya musim udang galah. Dari kecil lagi dah disogokkan dengan pelbagai ilmu dari ayah. Aktiviti wajib beliau dari muda sehingga diturunkan pada anak-anak.

Rompin adalah sungai wajib dari kecil untuk dikunjungi. Agaknya dulu kemudahan tiada untuk menyebarkan maklumat lokasi udang tengah bergasak jadi lebih tertumpu di Rompin. Berbeza dengan sekarang… info lebih cepat dengan FB dan group Whatsapp.

 

 

UMPAN: Apa yang membuatkan anda seronok memancing udang berbanding ikan?

ZAIDI: Bukan saiz yang menjadikan hobi memancing udang galah sangat seronok untuk dilakukan berbanding memancing ikan tapi gaya lenturan rod yang halus membuatkan jiwa dan perasan debar memuncak bersama.

Ditambah dengan kemahiran mencari lubuk sesuatu tempat menjadikan memancing udang galah ni sangat menyeronokkan. Cara untuk mendaratkan udang bila terasa dah ditarik satu kenikmatan yang sukar untuk digambarkan.

Bagi saya macam terapi diri untuk lari dari segala masalah dunia bila melayan henjutan yang seakan degil untuk dinaikkan.

 

 

UMPAN: Apa rintangan yang perlu dihadapi & apa pula harapan anda dalam meneruskan hobi ini?

ZAIDI: Rintangan dalam hobi memancing udang biasanya faktor cuaca. Hujan yang berterusan menjadikan sungai keruh dan air bertukar sejuk. Ini menyukarkan untuk mencari lubuk udang.

Musim monsun hujung tahun dengan hujan hampir setiap hari membataskan untuk turun ke sungai atas faktor keselamatan.

 

Harapan saya agar pihak berwajib seperti PERIKANAN dapat mengharamkan aktiviti belat, ambai, rawai di kawasan yang berpotensi mempunyai udang galah yang banyak untuk menjaga habitat udang membiak tanpa gangguan.

Memantau sungai yang sering dilaporkan saban tahun dituba, racun dan perlepasan air sisa kilang sehingga menyebabkan kepupusan spesies udang galah serta mencemarkan kualiti air.

Mewujudkan lebih banyak kawasan jeti untuk orang awam memancing udang selain jeti persendirian yang berbayar.

Mohon juga pihak berwajib sentiasa menjalankan program perlepasan benih anak udang galah secara berterusan untuk memastikan udang galah tidak pupus di Malaysia.

 

 

UMPAN: Ceritakan pengalaman paling manis & paling pahit pernah dihadapi ketika memancing udang?

ZAIDI: Pengalaman paling manis sepanjang terjebak memancing udang pastinya berjaya mendaratkan si sepit biru bersaiz jenggo dengan banyak.

Pengalaman paling pahit pula… kalau sebut pasal udang, mesti terbayang rakan karib beliau iaitu buaya. Pengalaman pertama kali menduga Sungai Kempas, Linggi bertemu puluhan ekor buaya seakan berada di zoo. Mujurlah tiada perkara buruk berlaku.

Setiap lubuk pasti dengan mudah akan terserempak dengan sang bedal. Dikejutkan dengan sekawan ‘orang kuat’ aka gajah semasa naik tidur di hutan simpan Kedaik, Rompin.

Hanyut di sungai Merchong kerana enjin bot gagal dihidupkan menjadi salah satu pengalaman pahit yang tak dapat dilupakan.

 

 

UMPAN: Apa pencapaian tertinggi yang pernah anda peroleh dalam memancing udang?

ZAIDI: Memancing udang ni hanyalah sekadar suka-suka. Lebih banyak memancing berseorangan… tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan atau berkumpulan. Sekadar melepaskan rasa gian dan menikmati rasa lenturan rod berseorangan.

 

 

UMPAN: Nyatakan lokasi utama memancing udang galah, umpan dan setting peralatan yang anda biasa gunakan?

ZAIDI: Dari kecil, Rompin menjadi destinasi wajib untuk menduga si sepit biru. Tahun demi tahun. Bila banyak berkawan… diperkenalkan dengan lebih banyak lagi tempat yang menjadi habitat udang galah seperti Mercong, Temerloh, Sungai Pekan, Sungai Muar, Kuala lipis, Sungai Labis, Sungai Linggi dan sekitar sungai di Teluk Intan.

Sekarang ni banyak lebih tertumpu sungai di Teluk Intan. Kemudahan yang lengkap dari Cikgu Shahril memudahkan pemancing apabila berkunjung ke sana. Hampir setiap minggu akan ke sana berseorangan… ada kala ditemani isteri dan anak.

Lain sungai lain umpannya… saya lebih gemar menggunakan anak udang dan ruat. Rod teleskopik 7’ dipadankan dengan kekili bersaiz 1000 amat sesuai untuk memancing udang. Kebiasaannya menggunakan mata kail bersaiz 2-3 dengan saiz batu hidup 5-6.

 

 

Apa pendapat anda? Kalau tak best, beritahu kami… kalau best, tolonglah SHARE.

 

Lagi masta jenggo…

 

Masta Jenggo Nusantara