Saya sangat berharap agar admin dapat berikan tip bagaimana nak memancing ikan MJ (siakap merah) liar terutamanya di muara sungai?
JAWAPAN:
Lazimnya siakap merah atau mangrove jack (MJ) mendiami estuari sebelum bermigrasi ke laut lepas setelah mencapai usia matang. Namun peluang untuk memperoleh siakap merah dewasa juga ada apabila ia kembali ke muara untuk bertelur.
Walaupun juvenil, tentangan yang diberikan oleh siakap merah jauh lebih mendebarkan berbanding spesies penghuni muara lain. Justeru ia menjadi buruan utama di muara khususnya bagi penggemar teknik mengilat gewang atau lure casting.
Melalui kaedah pancingan dasar, siakap merah boleh dipancing dengan menggunakan umpan hidup ataupun mati. Umpan hidup yang paling sesuai adalah udang hidup atau ikan-ikan yang menjadi diet siakap merah di habitatnya.
Sementara umpan mati bolehlah juga menggunakan udang segar ataupun potongan ikan segar seperti belanak, tamban atau hirisan selayang. Teknik mengilat menggunakan gewang atau umpan tiruan (casting) merupakan kaedah pancingan paling popular dan digemari pemancing. Secara kasarnya kebanyakan gewang yang dipersembahkan kepada siakap merah dengan betul pasti akan dibahamnya.
Pilih gewang yang bersaiz lebih kecil daripada sasaran atau pun saiz diet ikan itu. Selain gewang, soft plastic boleh digunakan sebagai alternatif untuk gewang. Penggunaan umpan tiruan lebih berkesan jika dimainkan di kawasan berstruktur yang berpotensi.
Selain mengilat, gewang tiruan juga boleh digunakan menerusi teknik menunda atau trolling. Kaedah trolling dapat merentasi kawasan yang lebih luas berbanding mengilat dan gewang yang melalui betul-betul di atas struktur badan air ketika trolling paling berpotensi untuk menaikkan siakap merah.
Sementara teknik mengunjun jig atau jigging pula merupakan kaedah terbaharu dalam disiplin pancingan siakap merah. Teknik micro jigging (menggunakan jig mikro 5 gm hingga 20 gm) ini dikatakan paling berkesan untuk memperdaya siakap merah.
Berbanding teknik mengilat, gaya persembahannya sedikit berbeza begitu juga dengan spot untuk menggayakannya. Teknik micro jigging ini dilakukan secara unjunan menegak dan perlu dilakukan berhampiran spot berpotensi atau di alur aliran sungai.
Saya bercadang membeli sebuah bot untuk kegunaan sendiri. Saya juga bercadang untuk menggunakan kereta proton saga lama saya sebagai kenderaan mengangkut bot ini.
Apakah jenis bot terbaik (fiber @ aluminium) untuk pancingan tasik dan sungai?. Jika berada di jalan raya perlukah ada surat kebenaran JPJ.
JAWAPAN:
Kita tak perlu mendapat kebenaran JPJ sekiranya kita hendak membawa car topper di atas bumbung kereta kita selagi kita mematuhi syarat-syarat yang telah di tetapkan oleh JPJ seperti di bawah :
Seksyen (12) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah menetapkan keperluan undang-undang mengenai sebarang pengubahsuaian kepada kenderaan sebelum dan selepas pendaftarannya iaitu :
PENGUBAHSUAIAN KENDERAAN PERSENDIRIAN
Terdapat pengubahsuaian atau pemasangan aksesori yang boleh dilakukan tanpa mendapatkan kelulusan daripada JPJ. Namun begitu, pengubahsuaian atau pemasangan aksesori tersebut mestilah mengikut panduan yang telah ditetapkan. Senarai pengubahsuaian tersebut adalah seperti berikut:-
Pemasangan membawa tangga / bot / surf board
Paras bumbung hendaklah dipasang dengan kukuh pada kenderaan dan ukuran tingginya tidak boleh melebihi 230mm dari paras bumbung.
Lebar dan panjang para bumbung mestilah tidak melebihi luas bumbung.
Tangga / bot / surf board yang dibawa di atas para bumbung mestilah tidak melebihi bahagian hadapan dan belakang kenderaan.
Tangga/ bot / surf board yang dibawa mestilah diikat dengan kuat pada para bumbung, sekurang-kurangnya dua ikatan.
Roda hadapan kenderaan mestilah menanggung sekurang-sekurang 20% berat bot / surf board.
Penggunaan blade sebagai gewang alternatif semakin mendapat tempat di kalangan pemancing hari ini. Blade yang diperbuat daripada besi mempunyai aura tersendiri. Getaran yang dihasilkannya serta kestabilan renangan cukup untuk merangsang pelbagai spesies ikan. Jom lihat pilihan yang ada untuk senjata ampuh ini.
TOKWAN Blade merupakan gewang besi (sinking) yang menghasilkan getaran atau gelombang dan mempunyai dua atau tiga kedudukan lubang untuk mengawal pergerakan secara mendatar atau menegak.
Blade hasil kerja tangan Mohd Firus atau Tok Wan ini direka agar jatuhan di dalam air lebih cepat sampai ke dasar. Getarannya menghasilkan getaran yang unik bagi menarik perhatian ikan keluar dari tempat persembunyiannya. Blade ini digayakan dengan menegangkan tali utama dan lakukan henjutan kecil secara menegak dan biarkan blade ini turun ke dasar semula.
Lubang hadapan: Untuk karauan mendatar (sederhana/ laju) dan lontaran lebih jauh. Sesuai untuk digayakan hampir permukaan air atau pertengahan air.
Lubang belakang: Untuk karauan menegak (sederhana/perlahan) dan sesuai permainan dasar air.
SPESIFIKASI
Berat: 3.5g, 5g, 10g
Panjang: 3.5cm, 4cm, 5cm
Pilihan warna: Dual-tone (red/white, orange/white, brown/white, blue/white, green/white, green/yellow, red/yellow)
Ikan sasaran: Sebarau, haruan, bulan dan kebanyakan spesies air tawar
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...