Ikan Candiru juga dikenali sebagai toothpick fish, atau vampire fish, adalah spesies catfish air tawar parasit dalam famili Trichomycteridae yang berasal dari Lembangan Amazon di mana ia terdapat di negara-negara Bolivia, Brazil, Colombia, Ecuador dan Peru.
Definisi candiru berbeza antara penulis agung perikanan. Perkataan ini digunakan untuk merujuk kepada hanya Vandellia cirrhosa, seluruh genus Vandellia, subfamili Vandelliinae, atau bahkan dua subfamili Vandelliinae dan Stegophilinae.
Walaupun sesetengah spesies candiru telah diketahui tumbuh dengan panjang 40 centimeter (16 inci), yang lain lebih kecil. Spesies kecil ini diketahui dengan kecenderungan untuk menyerang dan parasitise uretra manusia.
Ads
Walau bagaimanapun, walaupun laporan etnologi bermula pada abad ke-19, kes pertama yang didokumenkan untuk mengeluarkan candiru dari uretra manusia tidak berlaku sehingga tahun 1997, dan bahkan kejadian itu masih menjadi masalah kontroversi
Untuk lebih mudah faham, ikan ini berasal dari Sungai Amazon di Amerika Selatan, Candiru hidup di kawasan air tawar. Ikan kecil ini hanya sepanjang 2.5 cm dan selebar 3.5 mm.
Ads
Candiru merupakan genus daripada famili Trichomycteridae dan terdiri daripada 3 spesies iaitu V. cirrhosa, V. beccarii dan V. sanguinea.
Tidak bersisik dan lut cahaya, membuatkan ikan parasit atau lebih dikenali sebagai candiru sukar dilihat di dalam air. Insang candiru ditutupi oleh duri-duri pendek yang tajam.
Biasanya menjadi parasit terhadap ikan lain, Ia akan mengesan persekitaran air dan kemudian akan mengikuti mana-mana aliran yang mempunyai sisa nitrogen hasil perkumuhan dari insang ikan yang lain.
Ads
Apabila mengenal pasti mangsa, candiru akan berenang ke atas dan memasuki ke dalam insang mangsa dan mengembangkan durinya untuk mencangkuk dan kekal di situ sebelum mula menghisap darah mangsa dengan menggigit saluran darah mangsa yang kebiasaannya membuatkan mangsa mati.
Candiru amat ditakuti oleh penduduk peribumi kerana ia tertarik dengan darah dan hasil urin atau kencing. Jika mandi tanpa pakaian, candiru mampu berenang ke dalam uretra kemudian mencangkukkan durinya dan mula menghisap darah dan memakan tisu-tisu!
Candiru hampir mustahil dikeluarkan apabila tercangkuk durinya kecuali dengan pembedahan dan biasanya memerlukan pemotongan tempat yang dimasukinya! Oleh itu, jika anda mengunjungi Sungai Amazon, jangan sesekali berani kencing di dalam air, dikhuatiri ikan ini akan memasuki saluran kencing anda.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Aku lihat Mamat dan Zarin memegang erat pada bahagian tepi bot. Naza pula berlagak selamba. Rizam dan aku asyik memandang suasana sekeliling. Angin laut bertiup agak kencang namun begitu nyaman.
Selepas mendapatkan spot yang sesuai, Pak Teh memberhentikan bot berhampiran dengan tempat yang dipanggil Boya 28. Masing-masing melabuhkan umpan di situ. Umpannya isi ikan kembung dan selar yang dibawa oleh Rizam. Petang itu rezeki kami agak murah. Gelama, siakap merah, daun baru dan ikan tanda menjadi habuan kami.
Asyik benar kami hingga tak sedar suasana sudah diserkup kegelapan malam. Angin yang tadinya bertiup nyaman sudah bertukar kencang. Bot kecil yang kami naiki terumbang-ambing dipukul alun yang membuai kasa. Lantas, Rizam memerintahkan Pak Teh menghidupkan enjin yang ketika itu turut sama memerhatikan sekeliling.
Tapi entah mengapa enjin tak dapat dihidupkan. Puas Pak Teh mencuba tetapi tetap gagal. Di dada langit, kelihatan burung berterbangan pulang. Aku memerhatikan kumpulan burung itu. Bergetar hatiku tatkala melihat di tengah-tengah kumpulan burung itu, terbang satu objek menyerupai manusia. Bezanya, keadaannya serba putih seolah-olah mayat berkafan!!!
Aku cuba memberitahu Rizam dengan kerlingan mata.
“Jangan tegur apa-apa yang kau semua nampak aneh di kawasan muara yang agak keras. Lagipun dah masuk waktu Maghrib ni”. Hanya itu pesan Rizam. Agak keras dan sinikal. Zarin dan Mamat pula aku lihat sudah pucat. Naza pula mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat Qursi.
“Cuba kau azan”, kata Rizam apabila melihat Pak Teh seperti sudah putus asa untuk menghidupkan enjin.
Aku melaungkan azan dengan suara perlahan dan serak-serak basah. Tiga kali melaungkan azan barulah Pak Teh berjaya menghidupkan enjin bot. Kami semua menarik nafas lega. Ketika bot meluncur laju ke jeti, aku sempat mengerling jam tangan. Sudah pukul 7.30 malam. Sudah masuk waktu maghrib.
Sewaktu bot mahu memasuki anak sungai menuju ke jeti, perhatian kami tertumpu pada tebing sungai. Kelihatan rumah-rumah kampung beratap rumbia. Di setiap rumah terpacak jamung. Suasana di kawasan kampung itu meriah seolah-olah ada pesta yang berlangsung.
Peliknya, getus hati saya bila memikirkan keadaan yang seolah-olah kami memasuki pada zaman silam, walhal semasa pergi petang tadi kawasan berkenaan di kelilingi hutan bakau.
“Kenduri apa pulak ni,” tegur Zarin sebelum sempat aku memberi isyarat supaya jangan menegur apa-apa. Ketika itulah, penghuni kawasan kampung itu seolah-olah serentak memandang ke arah kami.
Mahu menjerit dibuatnya apabila melihat makhluk itu badan seperti manusia tetapi mempunyai tanduk di antara dua biji mata. Mata mereka bersinar seperti mentol lampu yang terang. Zarin menjerit seperti histeria hingga bot yang kami naiki bergoyang ke kiri dan kanan.
Nasib baiklah Pak Teh berjaya mengemudinya dengan baik. Sebaik sahaja sampai di jeti, kami memapah Zarin ke dalam chalet Rizam. Di sini Zarin diubati seorang ustaz yang dibawa oleh suami Rizam yang sudah dimaklumkan melalui telefon.
Jelas ustaz berkenaan, kawasan tersebut memang didiami makhluk halus dan kebetulan waktu berkenaan adalah waktu puncak mereka bertebaran.
Syukurlah tiada apa kejadian buruk yang menimpa kami. Peristiwa ini sudah dua tahun berlalu. Zarin hingga ke hari ini tidak berani lagi turun ke laut. Hanya aku dan Naza yang rajin mengikut Rizam turun memancing. Mamat pula sejak berkahwin sudah melupakan terus hobi memancing ini.
Aku sendiri hanya keluar memancing pada waktu siang sahaja. Kejadian ini benar-benar menginsafkan aku bahawa selain manusia, ada makhluk lain yang mendiami dunia Allah SWT ini. Wallahualam..
Begitulah Whatsapp teks daripada si Nam tatkala saya sedang asyik casting siakap di Sungai Tengulian.
“Dilayan bah kalau kau,” jawab saya membalas.
Lantas keesokan harinya saya terus berkunjung ke sebuah kedai pancing yang ada di Beaufort, Sabah ini untuk membeli senjata untuk dibawa berperang di pelantar minyak memandangkan inilah kali pertama saya turun ke pelantar minyak.
Sebelum ni pengalaman saya cuma memancing sekitar Pulau Tiga, Bagang dan muara sahaja.
Seawal jam 5.30 pagi saya sudah pun siap berkemas dan menunggu si Nam untuk menjemput di rumah memandangkan kami bercadang menggunakan sebuah kereta. Jimat minyak lagi pun rumah kami berdekatan saja.
Sampai di Pekan Membakut, Si Nam menyatakan seorang lagi kawannya nak ikut, Cikgu Ali yang last-minute berubah fikiran dan membatalkan percutiannya bersama keluarga untuk ke Sandakan semata-mata trip pelantar minyak ni.
Jadi kami bertiga pun bertolak dari Membakut ke Pekan Weston yang jaraknya dalam 40km.
Setiba di Pekan Weston, kami terus menuju ke jeti Weston Wetland Park. Di sini sudah terpacak dua orang yang memang aku kenali, Aim dan Cikgu Alai.
Rupa-rupanya trip ni adalah trip cikgu-cikgu sekolah, memandangkan Si Nam pun seorang cikgu. Cuma saya seorang saja yang bukan cikgu.
Sementara menunggu bot sampai, kami sempat juga bersarapan kebetulan ada gerai jual nasi lemak di tepi jalan menuju masuk ke Jeti Weston Wetland Park.
Sambil menikmati sarapan tadi, kami sempat juga berborak-borak tentang cara pancingan, jenis-jenis ikan yang ada di pelantar minyak ni.
Mendengarkan pengalaman dan cerita dari Cikgu Alai, saya jadi begitu excited untuk menewaskan ikan pelantar minyak kerana inilah kali pertama saya dengar ikan ceramin-ceramin atau ebek kapak boleh mencecah berat 10kg!
Lebih kurang jam 8.30 pagi, kelihatan kelibat tekong Riki dengan bot bersaiz 30 x 8 kaki dengan enjin 60 kuasa kuda menjemput kami. Besar dan selesa bot ni. Kami pun mengangkat dan memunggah peralatan kami ke dalam bot.
Kami kemudiannya menuju ke muara Sungai Weston. Tujuannya mencari nelayan yang memukat udang untuk dibeli sebagai bekalan umpan pancingan dasar nanti.
Setelah umpan dirasakan cukup, tekong pun terus memecut menuju ke pelantar minyak yang jauh perjalanan ke sana memakan masa 45 minit.
Pelantar Minyak Haji Richard.
Lebih kurang jam 10.30 pagi, kami tiba di pelantar minyak tersebut. Riki mengarahkan supaya mengikat tali bot pada kabel besi yang menghala ke timur dan besarnya seperti batang kelapa.
“Kalau kamu mau tau, pelantar minyak ini namanya Pelantar Minyak Haji Richard,” ujar Riki kepada kami. Saya terus ketawa sebab nama tu lucu. Bukan apa, Richard tu kan nama orang putih, kenapa ada Haji pula?
Apa pun sebabnya, ternyata Pelantar Minyak Haji Richard memang lubuk terbaik. Belum pun sempat saya memasang joran, Si Nam orang pertama yang menurunkan jig Storm 80g warna hijau, sudah dibaham rakus oleh sang ikan.
Melentur joran miliknya mencecah laut diasak ikan. Namun, ikan berjaya melepaskan diri. Seolah-olah ini petanda adanya ikan monster!
Saya pun cepat-cepat mengenakan jig Bakau 40g warna pink dan hanya beberapa henjutan saja, ikan telah mengena! Melentur joran Dam Hypron saya dibuatnya.
Hanya dengan beberapa pam saja, tali sulam Kirin berkekuatan 20lb mengendur, ikan terlepas! Lemah saya dibuatnya. Selang beberapa saat saja, giliran cikgu Ali pula strike. Tetapi ikan begitu ganas sehingga Storm light jig 20g putus dari perambut.
Terpinga-pinga kami memikirkan ikan di sini yang pandai meloloskan diri. Lalu saya segera menukar set dari yang ringan kepada yang berat.
“Kali ni kalahlah kau ikan” saya berkata dalam hati kerana geram ikan terlepas tadi.
Dalam pada saya sibuk mencari alatan dalam kotak pancing saya, berdesing kekili Banax Cikgu Alai dipecut oleh sang ikan. Dengan pantas Cikgu Alai melayan tarikan ikan tersebut.
Beberapa minit kemudian, ceramin-ceramin bersaiz 1.5kg pertama trip Pelantar Minyak Haji Richard dinaikkan.
Belum pun sempat saya mengambil gambar Cikgu Alai dengan ikannya, giliran Riki yang berada pula di belakang terkial-kial bertarung dengan tarikan ikan yang agak kasar. Dengan tenang dia melayan sang ikan tersebut.
Kali ini, ceramin-ceramin bersaiz 2.8 kg berjaya dinaikkan, lantas membuat saya terbakar untuk menaikkan ikan yang lebih besar. Tanpa membuang masa saya pun jigging dengan bersungguh-sungguh kerana tidak mahu kalah dengan Cikgu Alai dan Riki.
Tidak lama selepas itu, Si Nam pula kelihatan sedang melayan tarikan ikan yang terpedaya dengan jig Storm 80g.
Rupa-rupanya anak tenggiri dalam 1 kg lebih dan merupakan tenggiri tunggal dalam trip ini. Bikin panas hati saya, makin laju henjutan jig dengan harapan ikan besar sudi membaham jig Opass 60g warna pink!
Kali ini joran Cikgu Aim pula tunduk hormat didera oleh sang ikan. Melihatkan gaya larian ikan tersebut, saya sudah dapat meneka ikan apa yang membaham, ceramin-ceramin tetapi kali ni saiznya tentu gadang!
Lebih kurang 7 minit bertarung, akhirnya Cikgu Aim berjaya juga menaikkan ceramin-ceramin dengan saiz 5.8 kg berumpankan udang hidup. Saya makin tertekan kerana belum lagi berjaya mendaratkan ikan buruan begitu juga dengan Cikgu Ali.
Di dalam industri memancing amnya dan kolam pancing komersial khususnya, sumber kewangan atau dana besar sahaja tidak menjamin keupayaan sesebuah kolam pancing komersial untuk kekal beroperasi.
Begitulah yang dibuktikan oleh seorang pemancing dan pengurus kolam memancing, Kolam Memancing Bezz Aquaculture, yang terletak di Guar Jentik, Perlis. Berbekalkan sedikit ilmu akuakultur sepanjang bekerja dengan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian atau MARDI dan menjadi seorang pemancing kolam selama beberapa tahun Rohairy Rohim, 32 berupaya ‘menghidupkan’ kembali kolam pancing air tawar komersial yang pernah ditinggalkan oleh beberapa orang pengusaha sebelumnya.
“Saya masih seorang pemancing kolam, jadi saya tahu apa yang diinginkan oleh pemancing kolam kerana pemancing kolam ini ada pelbagai ragam dan kemahuan,” ujar Rohairy yang turut dikenali sebagai Bezz semenjak dari zaman persekolahan.
Berikutan daripada itulah Rohairy bukan sekadar menghidupkan kembali kolam pancing tersebut sebaliknya berjaya memeriahkannya berbanding pengurusan-pengurusan terdahulu.
Semenjak mengambil alih pengurusan kolam pada Mac 2015 yang lalu, Kolam Memancing Bezz Aquaculture kini menempatkan lebih 18 tan ikan pelbagai spesies dan didominasi oleh spesies tempatan. Selain dihuni oleh spesies patin tempatan paling berat sehingga 17 kilogram, ia turut dikongsi oleh spesies patin Mekong melebihi berat 20 kg sebanyak 13 ekor.
Spesies lain seperti tongsan, pacu dan khusus peminat pancingan rohu turut tidak diketepikan. Kolam pancing berkeluasan sekitar 100 meter x 40 meter ini di dalam kawasan kebun getah ini memiliki kedalaman tidak sekata antara 6 hingga 10 kaki.
Konsep pancingan di Kolam Memancing Bezz Aquaculture amat ringkas dan mesra pemancing. Dengan yuran bayaran memancing RM 25 untuk tempoh 3 jam pertama dan RM 7 untuk tambahan setiap jam berikutnya.
Para boleh pemancing boleh berkunjung ke sini setiap hari bermula jam 9 pagi hingga kecuali pada hari Jumaat, kolam mula beroperasi pada jam 3 petang hingga 3 pagi. Selain menyediakan ranking ikan terberat dua minggu sekali, pihak kolam turut menyediakan hadiah khas bagi spesies tertentu yang berjaya didaratkan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...