Harga ikan kembung di negeri Kedah khususnya sekitar Alor Setar melonjak naik sehingga mencecah RM20 sekilogram sejak sebulan lalu dipercayai disebabkan kekurangan hasil tangkapan ekoran cuaca tidak menentu.
Tinjauan yang dilakukan juga mendapati, peniaga ikan di pelantar Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, di sini, terpaksa menjual hasil tangkapan dalam kuantiti yang sangat sedikit.
Seorang peniaga, Khatijah Md Shah, 43, berkata, harga ikan kembung bergantung pada saiz dan ada yang dijual pada harga RM15 atau RM16 sekilogram, bergantung pada keadaan cuaca dan hasil tangkapan yang diperoleh.
Ads
Katanya, harga jualan ikan di pelantar itu sering berubah setiap hari dan jika tangkapan terlalu sikit, ia dijual dengan harga mahal untuk menampung kos nelayan.
“Sebelum ini, harga ikan kembung hanya RM5 hingga RM6 sekilogram sebelum ia naik mendadak sehingga mencecah RM16 sekilogram.
Ads
“Selain ikan kembung, harga ikan dan hasil tangkapan lain juga meningkat,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff, berkata harga pasaran ikan dan sayuran yang tinggi itu dijangka berteruusan hingga Tahun Baharu Cina akan datang.
Ads
“Kita percaya kenaikan harga ini juga adalah disebabkan permintaan bekalan itu yang meningkat, selain musim angin timur yang dijangka berlarutan hingga bulan depan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Tidak kira apa saja cabang ilmu jika belajar tanpa tunjuk ajar seorang guru, tidak akan sempurna ilmu yang dipelajari. Begitu jugalah dengan memancing. Jika belajar agama tanpa guru boleh mengakibatkan sesat, maka jika belajar memancing tanpa tunjuk ajar guru boleh mengakibatkan kegagalan teruk atau lebih popular di kalangan pemancing sebagai kumpau!
Setelah sekian lama memancing haruan dengan kepelbagaian teknik dan lokasi, belum pernah sekali pun saya berpeluang memancing dengan kaedah yang betul. Atau dalam erti kata lain memancing sambil dipantau atau di bawah bimbingan seseorang yang layak bergelar guru.
Justeru untuk mempelajari selok-belok memancing haruan menggunakan umpan katak hidup, bermula daripada mengenal pasti lubuk berpotensi sehinggalah cara-cara yang betul menanggalkan mata kail dari mulut haruan, saya mengikut satu grup pemburu haruan ke sebuah ladang kelapa sawit di Pekan, Pahang.
Setelah memperkenalkan habitat yang bagaimana digemari haruan, cara-cara mengesan kewujudan anak-anak haruan termasuklah anak haruan yang masih berbentuk lava (masih berwarna hitam sebelum berubah ke warna merah), akhirnya saya berpeluang juga mempamerkan bakat memujuk pasangan haruan yang masih lagi melindungi anak setelah pasangannya (betina) berjaya didaratkan oleh rakan saya yang juga di bawah bimbingan Abang Kamal si guru haruan.
Abang Kamal cukup yakin anak-anak haruan tersebut masih dilindungi sekurang-kurangnya seekor haruan. Menurut Abang Kamal tidak semestinya anak-anak haruan dilindungi oleh induknya sahaja, kadangkala aku haruan dewasa lain yang bertanggungjawab sebagai pengasuh.
Kenyataan Abang Kamal terbukti benar setelah umpan katak yang saya lontarkan ke arah kawanan anak haruan tersebut menerima respons dari penjagaannya. Permukaan air seperti berombak menandakan ada pergerakkan ikan yang bukan kecil saiznya itu cukup mendebarkan jantung.
Walaupun penjaga anak-anak haruan tersebut bertindak seperti cuba menghalau umpan katak tersebut dan bukan membahamnya, Abang Kamal tetap yakin memberi semangat kepada saya agar terus mengganggu anak-anak haruan tersebut. Abang Kamal cukup yakin haruan dewasa tersebut akan membuka mulut juga dan membaham umpan katak yang saya gunakan.
Hampir setengah juga saya dihidangkan dengan aksi haruan dewasa tersebut seperti menyergah umpan katak yang saya lontarkan namun tidak juga membahamnya. Ketika saya hampir berputus asa akhirnya haruan dewasa tersebut membuka mulut juga. Hasil sambaran yang mencetuskan gelembung udara ke permukaan parit yang dipenuhi samai itu segera saya balas dengan sentapan joran.
Haruan jantan (dipercayai pasangan kepada haruan betina yang didaratkan sebelumnya) dalam anggaran satu kilogram lebih berjaya saya daratkan setelah mendesaknya keluar dari rintangan samai di permukaan parit. Ia cukup menggembirakan saya kerana lulus sebagai murid namun keseronokan itu umpama candu yang pasti akan menyebabkan saya akan ketagihan memancing haruan lagi.
Pancingan ikan siakap merah (mangrove jack atau digelar MJ), bukanlah aktiviti pancingan biasa dan sama dengan pancingan ikan-ikan lain.
Ia membabitkan sebuah kredibiliti tinggi seorang yang digelar pemancing tegar untuk mendaratkannya.
Ini kerana, spot siakap merah liar terutama di kawasan muara dan kuala sungai adalah kubu terbaik untuk ikan ini meloloskan diri.
Bagi kami sendiri, siakap merah yang kami gelarkan si ‘penyamun merah’ ini, bukanlah spesies yang mudah untuk ditewaskan.
Kehebatannya persis seorang atlet pecut 100 meter berlari yakni sifat semula jadinya yang licik dan pantas.
Malah, bagaimana cara pemangsa licik muara ini menarik mahupun mencuri gewang semasa casting di celahan reba juga dikagumi oleh kami.
Ia bersembunyi di celahan reba sambil mengintai dan menunggu mangsa yang lalu berhampiran tempat persembunyian.
Sebab itulah juga, bila sahaja strike dan kaki pancing terlewat beberapa saat menahan asakannya, pasti akan berputih mata. Sama ada mata gewang tersangkutdi celahan reba ataupun mata kail terkangkang.
Bagi kaki casting, mengaplikasikan tali dan mata kail yang bersesuaian perlulah diambil kira dalam usaha mencari ikan ini.
Jika tidak, siakap merah ini mudah melepaskan diri daripada kawalan pemancing dan kemudiannya memboloskan dirinya begitu sahaja setelah bersusah payah mencuba mengaraunya naik ke permukaan.
Lubuk Rahsia
Menyedari masih ramai lagi pemancing yang tidak mengamalkan pancingan tangkap dan lepas, kami bersepakat merahsiakan lubuk yang kami lawati kali ini.
Memadailah sekiranya berkongsi gambar bersama pembaca melihat ‘kepuasan’ yang kami sama-sama rasai.
Umpan Hidup atau Gewang Tiruan?
Siakap merah sebenarnya jika diperincikan merupakan spesies ikan yang melahap apa sahaja sasarannya bila waktu mencari makan.
Namun begitu, bergantung juga pada pemerhatian anda pada sesuatu lubuk dikunjungi tersebut.
Ini kerana ada kalanya, spesies ini juga berasa was-was dengan jenis gewang tiruan yang dihulurkan.
Pilihlah gewang jenis minnow yang berbadan sedikit slim. Namun, jika mengaplikasikan umpan hidup, udang merupakan umpan yang lazim dijadikan bagi spesies ini.
Di sesetengah tempat, seperti di Kuala Trong, Perak contohnya, ikan jenjulong adalah umpan hidup terbaik untuk menjerat ikan ini.
Pilihan set pancing Memandangkan ikan sasaran kami adalah siakap merah, kami memilih gewang tiruan untuk diaplikasikan.
Memancing menggunakan bot adalah cara terbaik untuk menjejaki spot terbaik ikan berada.
Pemilihan saiz gewang yang memiliki saiz yang ideal iaitu tidak terlalu besar adalah penting.
Gewang-gewang bersaiz ini sungguh efektif dipraktikkan pada lubuk berpotensi tinggi didiami siakap merah.
Selain itu, penggunaan gewang tiruan separa selaman dalam contohnya seperti Strike Pro Slingshot Minnow bersaiz 12 cm iaitu struktur bentuk panjang dan tiris juga terbaik kerana ia berupaya lakukan renangan yang laju.
Tentang joran, anda bebas memilih sama ada set baitcasting atau spinning bila berada di atas bot, joran panjang adalah ideal dan ia bergantung pada pemancing.
Manakala kekili adalah dari kategori ringan dan sederhana berat bersaiz 2000-3000 adalah memadai.
Tentang tali, ia bergantung pada kawasan pancingan. Saiz 15-30lb adalah yang sesuai dan jangan lupa gunakan tali perambut yang bersesuaian, 30lb ke atas bagi mengekang asakan ikan ini seandainya ia memasuki reba.
Kebiasaannya, kaki pancing perlu bersedia semasa karauan dibuat. Ini kerana, bila-bila masa sahaja di saat ini, strike akan berjaya diperolehi.
Apabila terkena sahaja, siakap merah akan menekan dan akan mencari reba berhampirannya untuk menyelinap masuk.
Ketika ini, pemancing perlu menahan dan melakukan karauan sepantas mungkin agar ikan ini, tidak sesekali berjaya membawa ke reba.
Sudah Rezeki Kami
Dalam usaha mencari spesies ini, kami turut memperoleh strike dari ikan lain seperti bulan atau tarpon dan juga alu-alau.
Elvi Ching sempat melayan alu-alu ini yang turut meronda di kawasan pencarian kami mendapatkan siakap merah.
Berderau juga Elvi Ching apabila lontaran gewang yang disangka siakap merah, direntap rakus oleh alu-alu yang turut mendiami di kawasan spot ini.
Walaupun akhirnya agak mudah untuk mengekangnya daripada melepaskan diri, tapi semangatnya untuk mencuba melepaskan diri menambah keseronokan bertarung dengan spesies gigi tajam ini.
Pada masa yang sama, kami turut melayan ikan bulan yang kebetulan boiling di permukaan air.
Lompatan demi lompatan bulan yang cuba melepaskan diri apabila mula menghampiri bot kami amat mengasyikkan.
Jangkaan kami pertembungan dengannya agak mudah, ternyata meleset kerana banyak ekor juga yang `miss`, apabila lompatan akrobatiknya berjaya melepaskan mulutnya dari mata gewang.
Suasana di atas bot menjadi riuh rendah seketika apabila berlaku strike serentak. Detik Menarik!
Kami kemudiannya meneruskan pemburuan siakap merah dan apabila bot memasuki satu anak sungai, Elvi Ching melontarkan gewangnya di satu spot tidak jauh dari tebing.
Tiba-tiba sahaja satu sergapan kuat diterima oleh Elvi dan sepantas kilat, dia melakukan hook-up dan strike!
Elvi terus sahaja menahan asakan sambil menahan asakan dan akhirnya selepas beberapa minit kemudian, si ‘penyamun merah’ ini akhirnya berjaya didaratkan.
Tuah buat Elvi yang berjayamemperoleh siakap merah bersaiz dewasa dan matang. Sudah tentulah, saat ketika strike, ia momen yang amat didambakan oleh kaki-kaki casting.
Sergahan rakus ia menyambar gewang dan terus melarikan gewang merupakan suatu detik yang tidak akan dilupakan oleh mana sahaja kaki casting tegar.
Lewat petang, beberapa lagi strike diterima sebelum kami menamatkan pencarian spesies tersebut.
2 ekor yang diperolehi Lim Kim Peng adalah bersaiz kecil dari tapak tangan dan kami telah lepaskan semula.
Walaupun secara keseluruhannya tidak lumayan hasilnya, kami pasti tidak akan serik untuk bertandang ke sini lagi.
Jadi, kepada pemancing di luar sana yang belum ada lagi lesen ikan ini, silalah berbuat demikian, kerana si penyamun merah ada karannya yang tersendiri.
Apa bestnya jadi pemancing? Di sebalik keseronokan hobi memancing ni sebenarnya ia antara hobi yang berisiko dan boleh mendatangkan musibah sekiranya beberapa perkara di bawah ini dianggap tidak penting dan ambil mudah.
Binatang Buas / Berbisa
Dalam keseronokan memancing, pertembungan dengan binatang buas dan serangga berbisa perlu dielakkan.
Namun suka atau tidak ia merupakan kemungkinan yang tinggi berlaku. Perkara paling asas adalah sentiasa bawa pisau atau parang ketika berjalan di dalam hutan. Elakkan berkhemah atau berjalan di jalan dan lokasi yang berisiko.
Menabur belerang sekitar khemah, mampu menghindar dari kehadiran ular, kala jengking, lipan daripada memasuki khemah. Pasang unggun api sekiranya berkhemah dan bermalam di dalam hutan.
Disengat Ikan
Sesetengah ikan seperti sembilang, toman, keli, malong, tenggiri, duri, tuka, pari, alu-alu mampu mendatangkan kecederaan sekiranya tidak dikendalikan dengan baik sewaktu berjaya memperolehnya.
Sengat duri sembilang misalnya cukup berbisa jika terkena tangan dan perlu gunakan playar untuk memotong durinya. Gunakan juga gancu, sauk atau lip grip ketika mengendalikan ikan-ikan jenis berduri dan bersengat ini.
Walaupun nampak kejam, kepala tenggiri, alu-alu misalnya perlu diketuk untuk mematikannya sebelum mata gewang atau mata kail ditanggalkan. Giginya yang tajam dan rontaannya mampu mencederakan si pemancing dalam sekelip mata.
Terjatuh Atau Terseliuh
Sentiasa berhati-hati ketika memancing di kawasan yang licin dan berbatu-batu. Gunakan kasut yang sesuai yang tapak kasutnya mampu memijak dengan baik.
Sukar digambarkan sekiranya berlaku terseliuh atau lebih parah lagi patah ketika memancing di kawasan hutan pergunungan, tebing atau pinggir pantai berbatu.
Elakkan memancing atau pergi di kawasan yang berbahaya dan pastikan kasut dan pakaian yang sesuai untuk mengelak kecederaan.
Untuk kawasan memancing yang tiada liputan telefon, pemancing atau grup trip berkenaan perlu ada telefon satelit bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Mabuk Laut
Risiko yang kerap terjadi kepada kaki pancing yang tidak biasa atau tidak selalu turun memancing di laut. Kepada yang alah dan mabuk laut, tetapi mahu turun memancing di laut, persediaan perlulah dilakukan dengan baik.
Telan pil tahan mabuk setengah atau sejam sebelum menaiki bot. Selain itu elakkan makan makanan yang berminyak dan berlemak sebelum menaiki bot.
Rehat dan tidur yang cukup sebelum trip ke laut adalah tonik terbaik sebelum anda seronok memancing tanpa diganggu mabuk laut. Buat persiapan awal setup memancing.
(Esok pagi nak memancing di laut, malamnya jangan excited membayangkan anda sedang syok bergasak dengan ikan, kerana ia tidak memberi faedah langsung sekali gus menyebabkan anda langsung tidak boleh tidur.)
Kecurian / Kerosakan
Barang peribadi Telefon bimbit, kamera antara gajet yang majoritinya kaki pancing akan bawa setiap kali memancing. Kaki pancing perlu bersedia dengan beg kalis air untuk melindungi dua barangan ini dari terkena hujan atau jatuh ke dalam air.
Elakkan meninggalkan kereta di kawasan yang terpencil dan dalam tempoh yang lama tanpa sebarang pengawasan. Kes tayar kereta hilang dicuri, kereta di pecah masuk atau hilang antara kes-kes yang pernah berlaku. Jangan jadikan anda mangsa keadaan.
Kumpau
`Kumpau` atau `kumpau berdarah` adalah istilah terma yang masyhur dan sering diguna pakai dalam hobi ini bila tidak dapat ikan. Ia adalah risiko yang kaki pancing perlu sedar.
Ingat, hobi memancing bukanlah satu bentuk pekerjaan, sebaliknya ia lebih kepada satu hobi yang mampu memberi keasyikan dan ketenangan diri pada ketika bertarung menaikkan ikan buat insan-insan yang terpilih.
(Jadi janganlah tamak untuk mengaut segala hasil tanpa memikirkan generasi akan datang, amalkan tangkap & lepas ikan yang terancam bilangannya).
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...