Geng Hiking Berkomplot Di Tasik Kenyir

Share

 

Perjumpaan semua geng lama diadakan di Tasik Kenyir sambil santai memancing untuk aktiviti selingan. Perjumpaan selepas hampir berbelas tahun berpisah membawa haluan masing-masing adalah terdiri daripada kalangan ahli gunung yang beralih minat seperti mana saya iaitu memancing.

 

Mengimbau kembali 20 tahun lampau ketika kami bertandang ke Tasik Kenyir bukan kerana tarikan ikan tetapi kerana tarikan Kenyir Ecofest Gagau Challenge.

 

Mengimbau kenangan lama, perlumbaan mendaki Gunung Gagau dan aktiviti mendaki gunung adalah riadah utama bagi kami semua. Malah sepanjang trip di Kenyir ini banyak menceritakan suka-duka perlumbaan tersebut. Menjadi pasukan terakhir berlepas seawal pagi tidak merisaukan pasukan kami.

 

 

Setiap pasukan dianggotai 3 orang lelaki dan seorang wanita sudah berlepas ketika kami masih leka memamah sarapan nasi goreng berlaukkan baung yang dipancing pada malam hari. Selesai sarapan kami masih bersandar di batang pokok sambil menghembus asap rokok di tengah kawasan yang nyaman.

 

“Kau orang bila nak bergerak dah lewat lewat sangat ini,” ujar pengurus pasukan dan tukang membuat nasi goreng.

 

Diringkaskan coretan dari kedudukan tercorot kami mengejar satu persatu pasukan di hadapan dan tiba di garisan penamat pada jam 4.00 petang di tangga kelima dari hampir 30 pasukan. Macam tak percaya pulak. Masa itu tenaga kuat dan kami jenis manusia ‘trekking’ macam orang gila, tak reti nak berhenti.

 

 

Di tapak khemah bersebelahan dengan sungai menyaksikan beberapa ekor kelah mega dinaikkan boatman sebagai hidangan peserta pada malam berikutnya. Dari situ ramai di kalangan kami berkata pasti suatu hari nak bertandang untuk memancing pula.

 

Berubah Fizikal

 

Melihat paras rupa geng yang dah masuk pencen ini menampakkan perubahan ketara di kalangan kami. Perut lebih menonjol tapi masih mampu mendaki gunung tanpa bantuan. Gelak ketawa separuh perjalanan sebelum sepi melelapkan mata di separuh lagi perjalanan bot menuju ke kawasan kuala Sungai Cacing.

 

 

Kuala sungai sudah dipenuhi bot yang tiba lebih awal dari kami. Terpaksalah berlabuh agak jauh sedikit di muka dua kuala Sungai Cacing dan Sungai Terenggan.

 

Ada yang mula menyiapkan peralatan pancing manakala selebihnya lebih teruja melihat panorama sekeliling. Nasib baik ada juga di kalangan kami yang minat gewang. Setidak-tidaknya ada ‘partner’ memancing sepanjang 3 hari berikutnya.

 

Kami merancang untuk cuba sungai dahulu dan selepasnya meninjau suak-suak yang begitu lama tidak bertandang. Ketika ramai masih bersantai atas boathouse, saya bersama Husin masuk ke sungai hingga hujung kawasan larangan taman. Air semakin mengeruh teruk bila tiba di cabang sungai cetek dan aktiviti mengilat kurang sesuai.

 

 

Begitu pun gewang tetap dilontar di kawasan sekeliling setelah menyedari riak-riak sebarau menghambur di permukaan di kawasan air keruh. Dari hulu hingga menghala ke muara sungai kami pulang di boathouse dengan berpeluh kosong. Kosong dengan hasil dan berpeluh untuk hidupkan enjin yang semput.

 

Memandangkan ramai geng kami adalah jenis santai memancing, janji joran di air tanpa mempedulikan sangat bab joran. Suasana boathouse lebih menyerlah berbanding siang. Tidak kira kekerapan getuan ikan pada paras sederhana atau tiada langsung mereka ini tidak kisah.

 

 

Kopi ‘O’ cicah dengan biskut kering sambil berborak pasal kisah silam mendaki gunung sambil sesekali terhenti apabila baung dan lampam mengena mata pancing. Juadah yang sama juga ketika berkhemah di tepi sungai, lereng gunung mahupun puncak gunung, minuman panas dengan biskut untuk tenaga meneruskan perjalanan keesokan hari.

 

Kerana tiada kuasa persaingan untuk keluar memancing, awal pagi menjadi tidak begitu awal bagi kami yang lebih tertumpu pada mengilat. Bahagian yang paling malas ialah menghidupkan enjin sangkut yang uzur dimamah jam perjalanan sebelumnya. Seumpama senaman otot lengan pagi hari untuk hidupkan enjin yang semput.

 

 

Dari berdua kini bertiga bergerak mencari suak-suak yang berpotensi untuk mengilat. Memang sukar mengesan sebarau di kala air menyusut lebih dari 30 kaki. Sebarau lebih banyak merayau di kawasan terbuka berbanding suak bila musim hujan yang lewat tiba.

 

Begitu pun tak salah mencuba dan mencuba di serata spot hingga persimpangan ke Gua Bewah. Sambil bergurau kata nak beriadah dan lepak di Kenyir jadi ikan soal kedua.

 

Kalau dapat melihat aksi lenturan joran sekadar hiburan buat penggemar mengilat. Pening juga memilih jenis dan aksi gewang sesuai di kala ikan tidak begitu galak.

 

 

Ketika ini gewang yang pernah menerima sambaran dipilih kerana dirasakan peluang lebih tinggi. Dari puluhan gewang dilontar, tiga mendapat sambaran dan dua berjaya lolos dari mata gewang.

 

Ketika beberapa sambaran mengena saya sebenarnya sudah perasan kesan tapak kaki baru berdekatan gigi air. Saiz tapak gadang dan saiz kecil menunjukkan kawanan gajah bersama anak baru melepasi suak tersebut. Cuma diamkan diri sambil mengawal sampan ketika dua orang rakan saya melontar gewang.

 

 

Namun mata tetap memerhati sekeliling kawasan. Sekian lama berlalu barulah mereka berdua perasan mengenai kewujudan tapak kaki berkenaan. Apabila disergah oleh mereka jangan cari pasal barulah tangan mencapai ‘starter’ enjin sangkut. Mana tidak kalau ia menerpa enjin pulak tak mau hidup tidak ke menjadi kes naya!

 

Balik berehat dan bersantai di boathouse lebih elok pada tengah matahari memacak di kepala. Petang pula kami meneruskan saki baki waktu terluang dengan memancing bersama geng-geng yang sedang bersantai di atas boathouse.

IKLAN