Tidak jauh dari Air Kuning, iaitu di Tronoh Mines terdapat sebuah lombong persendirian yang agak besar, di mana lombong yang berada di tanah miliknya dijadikan kolam ternak untuk rohu, jelawat, patin, tongsan, tilapia, lampam jawa dan sebagainya.
Di dalam lombong tersebut terdapat banyak PB dan ikan berkenaan bukanlah ikan dalam senarai ternaknya dan menariknya, ia meminta rakan saya, Zul untuk mengeluarkan ikan tersebut dari lombongnya.
Ini kerana, PB yang ada di dalam kolamnya telah mendatangkan ancaman kepada benih-benih ikan baru yang dilepaskan di dalamnya. Sebagai seorang yang meminati teknik casting, kebenaran tersebut diibaratkan Zul sebagai bulan jatuh ke riba.
Jadi beberapa trip telah dibuat olehnya dan hasilnya memang cukup menyeronokkan. Dalam satu trip sahaja tidak sampai sehari, tidak kurang dari 20 kg PB berjaya dikeluarkan. Hinggalah saya dan enam orang rakan yang lain turut serta dalam salah satu trip. Apa lagi bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal kerana dapat memancing dengan izin empunya tuan tanah.
Ads
Awal pagi sebaik sahaja tiba, sebaik sahaja gewang yang dilontarkan, pasti sahaja. Disebabkan lombong ini berkeluasan hampir menyamai keluasan tiga buah padang bola sepak, kami bebas memancing dan menyusuri sepanjang tebing lombong yang di kelilingnya ditanam dengan kelapa sawit.
Kesemua PB yang diperolehi kami berikan kepada Zul, kerana menurutnya PB tersebut dijadikan pekasam oleh keluarganya. Bagi saya, ikan PB yang banyak kami perolehi tidaklah dibuang begitu sahaja seperti yang diminta oleh tuan empunya lombong ini. Setidak-tidaknya dapatlah juga memberi pendapatan sampingan buat Zul dan keluarganya.
Cerita Zul lagi, disebabkan lombong ini besar, setiap kali untuk menuai hasil, tuan punya lombong akan menyewa pukat tunda untuk kerja-kerja menjaring. Jadi walaupun PB akan terperangkap sama, bukan semuanya akan dapat dikeluarkan dan PB pula adalah jenis ikan yang cepat membiak sekaligus memberi ancaman kepada anak-anak ikan yang baru dilepaskan pada pusingan berikutnya.
Ads
Tidak hairanlah, hampir kesemua PB yang kami perolehi itu rata-ratanya lebih kurang sama sahaja saiznya iaitu antara 35-40cm. PB yang terbesar diperolehi adalah 47cm.
Sebelum trip, rakan saya ini juga memberitahu, agar membawa set pancing yang light sahaja bagi menambah keseronokan memancing. Manakala untuk umpan, apa sahaja jenis umpan sama ada hardlure atau soft lure yang dihulurkan mudah sahaja mendapat strike.
Ads
Disebabkan lombong ini dipenuhi ikan lain, kami tidak terkecuali memperoleh tangkapan bukan ikan sasaran, antara jelawat, lampam jawa, talapia dan rohu. Malah ikan tongsan pun terkena gewang pada badan dan ekornya.
Jadi mana-mana geng yang berjaya mendapat ikan selain dari PB walaupun tidak ‘bol’ pada mulutnya memang kecoh dibuatnya. Maklumlah dapat lesen ‘rare’. Jadi semasa memancing, riuh rendah jadinya bila ada yang sedang strike ikan ini. Mana yang dapat bersaiz besar terutama rohu, letih jugalah melayannya.
Lewat petang, selepas menamatkan sesi pancingan tersebut dalam keadaan hujan renyai-renyai kami berjaya memperoleh kira-kira 40kg PB yang kesemuanya dikumpulkan oleh Zul untuk dijadikan pekasam. Siapa sangka, ikan PB yang dahulunya tidak dihiraukan, hanya diberi sebagai makan kucing dan dianggap mendatangkan ancaman kepada ikan tempatan, kini tetapi telah berubah gara-gara si ikan pekasam.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Setelah bersarapan di jeti, kami terpaksa menunggu salah seorang ahli trip yang agak kelewatan. Sementara menunggu boathouse bergerak, ada juga yang cuba-cuba menghulurkan pancing di tepi-tepi bot. Hasilnya, seekor haruan kecil yang menyambar umpan cengkerik berjaya didaratkan oleh salah seorang ahli trip. Kira-kira jam 10.30 pagi barulah boathouse dapat bergerak keluar dari jeti.
HARI PERTAMA
Keadaan air agak surut dalam kunjungan ini. Situasinya sama seperti trip yang saya sertai tahun lepas. Ini merisaukan saya kerana pada pengalaman lalu, memang sukar untuk mengilat sang sebarau di kala keadaan air begini. Toman juga acuh tidak acuh walaupun banyak timbul di permukaan.
Boathouse berhenti bergerak lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Sewaktu itu, makanan tengah hari sedang dihidangkan. Setelah boathouse ditambat, kami menjamu selera kemudian bersiap untuk turun casting. Kami berpecah menjadi tiga kumpulan dan menaiki bot masing-masing. Saya memilih menaiki bot di mana terdapat pasangan bapa dan anak. Melihat mereka berdua membuatkan pemancing lain termasuk saya teringat bapa masing-masing. Kesefahaman antara mereka sering mencuri perhatian kami.
Tekong membawa kami ke suak pertama berhampiran boathouse tetapi tiada sambutan. Di spot kedua tidak jauh dari suak pertama, saya mendapat satu sambaran apabila spoon yang dijatuhkan hingga ke dasar sebelum dikarau laju. Seekor sebarau remaja ditundukkan dengan mudah disebabkan set up yang agak kiasu iaitu rod berkekuatan 8-20 paun, tali 20 paun dan perambut 30 paun.
Port ketiga dan empat pula agak mengecewakan. Gewang yang dilontar beberapa kali ternyata hambar tidak bersahut. Kami pun beralih arah ke kawasan yang lain. Tiba di port kelima, terdapat akar pokok yang berselirat terendam di gigi air. Agak sukar untuk mengarau gewang yang dilontarkan di situ termasuk spoon walaupun telah ditukar ke single hook. Akim terus menukar spoon yang beliau pakai dengan jig berwarna biru.
Tidak sia-sia, seekor sebarau berjaya dipujuk keluar dari siratan akar tersebut walaupun saiznya tidak begitu memberangsangkan. Misi petang itu diteruskan hingga ke Kenarong. Airnya agak cetek dan berselut. Memang terdapat banyak boiling tetapi agak sukar untuk membuat telahan sama ada sebarau, toman mahupun haruan yang sedang bermain di situ. Top water lebih efektif di kawasan tersebut. Banyak sambaran dibuat apabila gewang jenis pensel dengan aksi walk the dog dan jump frog dibaling tetapi mata kail tidak tertancap kemas menyebabkan berlaku terlepas cangkuk.
Hanya seekor haruan kecil berjaya dinaikkan oleh Akim. Keadaan menjadi agak tertekan kerana masih terdapat ahli trip di dalam bot itu yang masih belum strike. Masa sudah agak lewat petang.
Apabila keluar dari Kenarong, kami terserempak dengan boiling sebarau di luar tanjung. Tekong terus memainkan peranan dengan mematikan enjin bot. Balingan pertama di spot berkenaan terus membuahkan hasil apabila Wan berjaya mendapat satu strike.
Hari beransur gelap. Keadaan boiling semakin rancak dari pintu tanjung sehinggalah ke perairan tasik yang lebih terbuka. Saya melihat Iman terlepas satu peluang apabila popper yang digayakan disambar tetapi tidak mengena. Apa lagi, kami pun masing-masing mengeluarkan popper. Seketika kemudian, gewang Iman sekali lagi disambar. Kali ini ikan tersangkut kemas tetapi beliau tetap melayan dengan penuh berhati-hati kerana dikhuatiri terlucut.
Dalam perjalanan pulang, kepala saya ligat memikirkan apalah cerita rakan dari rakan bot lain. Adakah hasil seperti kami atau lebih meriah. Tiba di boathouse, Apit menunjukkan gambar toman bujang dalam anggaran 3 kilogram hasil lontaran gewang Rapala Risto Rap dari Aiman.
Apit menaiki bot yang agak kecil, jadi beliau hanya bertiga termasuk Aiman dan tekong. Manakala Apit sendiri berjaya memperoleh seekor toman. Sedikit kecewa katanya kerana toman Royal Belum agak sombong walaupun pelbagai jenis gewang dilalukan di depannya. Langsung tidak mahu layan.
MISI DITERUSKAN
Hari kedua kebanyakan daripada kami bangun seawal jam 6 pagi untuk menunggu giliran mandi dan bersiap. Usai sarapan, kami berangkat menaiki bot mengikut kumpulan masing-masing pada pukul 7 pagi. Saya mengambil keputusan untuk bertukar tempat dengan rakan dari bot lain. Ini kerana saya ingin merasai pengalaman dengan tekong dan rakan yang lain.
Tekong membawa kumpulan kami menuju ke satu suak. Setiba kami di spot pertama, kami di arah membaling ke satu kawasan di mana ada sebatang balak yang tenggelam di dasarnya. Selain itu, balingan perlu berpandukan kepada buih yang timbul dari dasar air.
Jenuh juga membaling gewang tetapi tiada sambaran. Tekong berkeras untuk tidak menukar port kerana di situ terdapat sejarahnya tersendiri kerana pernah menaikkan sebarau seberat 2.9 kg dan ada pemancing yang patah joran. Saya masih tidak putus asa, apa yang dicadangkan tekong sebentar tadi terus diaplikasikan.
Sedang sesudu dikarau di pertengahan air, satu sentapan kuat berlaku sehingga saya tidak sempat untuk mengepam joran. Apabila keadaan kembali terkawal, spoon seakan tersangkut di dasar dan saya tidak dapat menggulung tali.
Tekong menyuruh saya bertahan dan jangan memaksa. Beliau menuju ke arah punca tali menggunakan thruster dan menarik-narik tali utama saya yang berkekuatan 14 paun. “Ada ni… ada… tunggu dia keluar,” kata tekong.
Tali dihenjut-henjut menggunakan tangan oleh tekong bot. Bila tali mula bergerak, satu perlawanan drastik berlaku. Dua tiga kali drag keluar dari Shimano Calcutta Conquest DC 51 yang saya gunakan. Sememangnya drag diketatkan dalam anggaran 80 peratus untuk mengelak mata kail rabut dari mulut ikan apabila ditarik. Tidak lama kemudian, seekor sebarau yang agak besar saiznya muncul di permukaan. Tekong terus mencapai tali perambut yang berkekuatan 20 lb dan menarik ikan ke atas bot. Bagi sesetengah kaki pancing, mungkin perlawanan sebegini hanyalah satu rutin memancing di air tawar tetapi bagi saya, ini pun sudah dikira satu kepuasan.
Apabila ditimbang, berat ikan ialah 1.3 kg. Walaupun bukan bersaiz badong tetapi menurut tekong, susah untuk mendapatkan saiz begini sekarang. Apabila berbual dengan tekong, beliau berulang kali mengatakan sekarang bukanlah musim terbaik casting sebarau kerana paras air tasik tidak naik sepenuhnya. Keadaan air tidak menentu kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun mengejut. Pada awalnya kami memang ingin datang pada penghujung tahun tetapi semua tarikh telah penuh ditempah pemancing lain. Terpaksalah datang lebih awal. Jika tidak, trip terpaksa dibatalkan berikutan tiada tarikh yang sesuai.
SESI PETANG HARI KEDUA
Sebelah petang, Zaini pula menunjukkan belangnya. Sebanyak tiga ekor sebarau kesemuanya dinaikkan oleh beliau. Lebih menarik lagi apabila bukan sesudu yang digunakan tetapi gewang Rapala Risto Rap saiz 8 berwarna parrot. Menjadi sungguh gewang beliau kali ini. Malah ada juga yang lucut dan meninggalkan sisik sahaja di mata kail. Dari segi saiz pula, ikan berskala antara 300 hingga ke 500 gram. Sementara itu, satu lagi kumpulan berjaya mendaratkan beberapa ekor sebarau dan seekor mama toman.
Sebelah malamnya pula, selesai makan malam, kebanyakan daripada kami semuanya tidur awal ekoran kepenatan casting, walaupun ada juga yang cuba-cuba untuk membottom baung. Pukul 3 pagi, kami tersedar apabila seorang staff boathouse datang ke bilik untuk memeriksa tingkap berikutan hujan lebat.
HARI TERAKHIR TRIP
Hari terakhir, kami keluar lebih awal berbanding semalam. Selesai sarapan tekong membawa kami ke satu tanjung di pintu masuk salah satu suak di situ. Dari jauh kami telah nampak boiling. Saya tidak pasti sama ada toman atau sebarau tetapi tekong meyakinkan kami bahawa itu ialah sebarau.
Zaini memperolehi strike pertama tetapi rabut. Hanya sisik sebarau yang agak besar terlekat pada gewang Rapala Risto Rap yang digunakan. Padahal beliau menggunakan mata tiga tetapi masih rabut. Ketika itu tekong bising dan menyatakan jika rabut, peluang untuk mendapat strike di tempat sama agak tipis.
Sekian kali mencuba, Zaini akhirnya berjaya juga menaikkan sebarau menggunakan Risto Rap bersaiz 8 tetapi warna neutral dan sekali lagi mendapat strike di kawasan yang sama tetapi kali ini agak kecil saiznya. Memang bertuah betul dia.
Hanya toman juvenil sahaja yang sudi menyambar spoon saya dan menjadi ikan penutup pada trip kali ini walaupun saya menjangkakan sebarau kerana lontaran spoon dan karauan laju dibuat. Aiman, pula tersenyum puas apabila berjaya menaikkan toman bersaiz mama.
Ketika mula menjinakkan kaki ke arena pancingan kelong belasan tahun lalu, penulis hanya mampu memasang impian untuk menjejakkan kaki ke Kelong Paradise. Atau kelong batu sebagaimana yang selesa disebut oleh rakan yang bertanggungjawab mengheret penulis memancing ke kelong-kelong.
Ada beberapa faktor yang membuatkan penulis hanya sekadar mampu memasang angan-angan untuk memancing di Kelong Paradise ketika itu. Pertama, kos pakej memancingnya yang mahal. Maklum sajalah kos memancing di kelong-kelong biasa cuma sekadar RM30-RM40 seorang, sedangkan kos pakej di Kelong Paradise mencecah dua ratus ringgit. Itu belum campur kos-kos lain lagi.
Gedebak-gedebuk mahu cecah RM300 seorang. Dengan kos perbelanjaan sebanyak itu sudah pasti lebih afdal ke kelong biasa saja berulang kali. Seperkara lainnya, penulis merasakan kelengkapan pancing yang ada ketika itu tidak menepati piawaian untuk memancing di Kelong Paradise yang terkenal dengan ikan-ikan berstatus monster.
Lebih kurang 10 tahun yang lalu, akhirnya penulis berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Kelong Paradise atas tiket media apabila ada sebuah universiti mengadakan program di kelong tersebut.
Tentu saja penulis tidak lepaskan peluang tersebut kerana tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dan sudah memiliki kelengkapan pancing yang sepadan untuk bertarung dengan monster di Kelong Paradise.
Tapi bila berbual bicara dan melihat peralatan pancing seorang regular customer di kelong tersebut, terasa balik diri sebenarnya masih belum bersedia untuk menduga Kelong Paradise.
2 hari 1 malam tanpa sebarang hasil (hanya seekor ketuka) membuatkan penulis seperti berpatah arang untuk kembali ke kelong bercat merah kuning ini.
Tapi untuk bersikap adil, penulis tidak boleh nak cop kelong ini sudah takde ikan atau takde ikan kerana sepanjang tempoh itu ada juga pemancing yang berjaya menaikkan kerapu dan senangin bersaiz kasar. Sembilang pun ada naik di tiang-tiang kelong tertentu. Cuma pari yang menjadi sasaran utama tidak muncul.
Beberapa tahun kemudian, apabila salah seorang rakan yang suatu ketika dulu cukup kerap memancing dalam masa yang sama mempromosi kelong tersebut tiba-tiba mengadakan komplot kecil-kecilan ke kelong itu, muncul balik keterujaan penulis yang hampir padam.
Berdasarkan pengalaman kali pertama dahulu penulis percaya trip kedua kali akan membuahkan hasil. Keyakinan rakan akan menaikkan pari gergasi sedikit sebanyak menyuntik semangat pada penulis.
Namun semangat yang meluap segera padam apabila bertemu dengan rakan tersebut di jeti sebelum menaiki bot ke kelong. Menyedari hari tersebut air pasang besar atau pasang ‘keling’, penulis bertanya sama ada ia sesuai atau tidak untuk memancing di kelong.
Jawapan rakan penulis cukup mudah, beliau tidak pernah ambil tahu pun pasal air pasang surut. Semuanya bergantung pada kelapangan masa. Nampaknya bayangan kumpau mula mengekori penulis ke Kelong Paradise.
Dengan arus yang laju sememangnya tidak sesuai untuk memancing di luar kawasan kelong. Dan walaupun tiada ikan luar yang masuk ke kawasan kelong, struktur konkrit kelong yang dibina sebenarnya menjadi tukun khusus untuk pembiakan senangin.
Tatkala sukar mendapatkan ikan lain, senangin masih boleh dipancing dengan teknik dan umpan yang betul. Ketika itu bilis yang banyak berteduh di kawasan kelong menjadi diet utama senangin. Malangnya tiada seorang daripada ahli komplot yang bawa apollo bersaiz kecil untuk memancing bilis.
Udang hidup yang beratus ekor dibawa bersama langsung tidak dilayan. Dengan situasi tersebut rasanya sesiapa saja boleh mengagak keputusan trip penulis kali kedua atau mungkin juga kali terakhir ini.
Kini Kelong Paradise telah diberi nafas baru oleh kerajaan Selangor. Kita tunggu sehingga pandemik Covid-19 ini untuk kembali terjah ke kelong legend ini.
Sebulan sebelum program, saya menerima panggilan daripada sahabat baik dan merupakan saudara jauh kepada suami iaitu Abang AS, beliau merupakan tekong bot yang famous di kawasan Klang.
Tujuan dan matlamat pertandingan diadakan ialah untuk mengeratkan silaturahim di antara pemancing yang selalu menggunakan khidmat Abang AS dan sebagai medium mempromosikan Produk Memancing Jenggo di Teluk Intan. Abang AS meyakinkan saya bahawa udang di sini bersaiz besar dan sedap isinya, agak ragu juga saya memandang saya belum pernah memancing udang sebelum ini.
Namun atas keyakinan yang diberikan oleh Abang AS dan atas dorongan encik suami saya beranikan diri menerima LAMARAN oleh Abang AS untuk bersama menyertai EVENT JENGGO ini.
Seminggu sebelum pertandingan, suami dah menyediakan kelengkapan yang sesuai untuk menangkap udang. Disamping itu saya dan suami survey lokasi penginapan di sekitar Kawasan pertandingan memandangkan kawasan rumah ahli keluarga di Sitiawan mencecah 45 minit perjalanan (berpandukan Waze dan Google Maps).
24/2/2018, Sabtu.
Perjalanan kami sekeluarga daripada Kuantan melalui Lebuhraya Pantai Timur sempat singgah di RnR Temerloh untuk menikmati hidangan Patin masak tempoyak kegemaran kami sekeluarga, seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Genting Sempah dan mendaki Genting sehingga sampai ke Batang Kali, di sini kami berehat sambil menyejukkan enjin kereta. Seterusnya kami menggunakan jalan lama sehingga sampai di Teluk Intan.
Sampai di penginapan (TnT Novelty House) sekali lagi saya terkagum dengan keindahan motel tersebut, rakan-rakan travelers mesti singgah di tempat ini. Tak terucap macamana cantiknya penginapan ini namun dengan Harga yang berpadanan memang patutlah kami jumpa Kaki Cycling dan budak2 sekolah (Game Badminton – MSSD) menjadikan ianya Penginapan Transit yang cukup menarik.
Program bermula seawal Pagi Ahad 25/2/2018
Jam 5.00am anak-anak dah bangun seronok nak ikut memancing, serba salah juga nak cerita kat si kecik ni yang rupanya mama dia jer yang memancingnya. Mungkin dia orang ingat bot nya bersaiz besar macam bot di KUALA ROMPIN, tak per pandailah papa dia bawak jalan memujuk nanti. Alhamdulillah di tepi jeti dalam lingkungan 500 meter ada kedai makan, sempat juga minum dan bersarapan sambil tapau bekalan untuk memancing nanti.
8:00am peserta dikumpulkan dan diberi taklimat oleh Abang AS. Taklimat merangkumi, peraturan pertandingan, lokasi dibenarkan memancing dan juga pembahagian ahli kumpulan. Alhamdulillah saya dapat local guide, NAZRI, rakan 1 bot dengan saya yang merupakan jurumudi ialah orang Lumut, Perak. Setidak-tidak nya dia mesti tau lokasi lubuk-lubuk disini kata hati saya.
Nazri telah siap-siap menyediakan bot dengan enjin dan extra minyak, untuk masuk ke belah dalam lagi katanya. Lokasi pertama kami di hulu sungai, dalam 15 minit perjalanan bot. Memang kawasan ini sunyi dari orang dan persekitaran yang cukup mendamaikan, di sini Nazri telah mengajar saya beberapa teknik mengudang yang berkesan dan umpan yang biasa digunakan.
Memang saya langsung tak bawa umpan memandangkan Abang AS dah maklum hanya umpan yang dibeli di sekitar Jeti pada pagi pertandingan sahaja dibenarkan (guna untuk pertandingan).
Strike… terasa henjutan pada Joran dan cepat-cepat saya karau, alah anak udang sahaja yang kena. NAZRI meminta saya menggunakan rod simpanannya, “rod Akak tuh besar sangat… Nak tangkap Ikan Layor ker kak?” perli dia lagi… tergelak kami berdua dengan keadaan tersebut.
Memang rod UL nie dah banyak kali menumpaskan Ikan Layaran, oleh kerana ianya berstatus UL saya menjangkakan sesuai untuk udang juga. Setelah menukar kepada rod yang sesuai kepunyaan Nazri barulah saya merasa nikmat layanan bermain dengan udang, rasa macamana udang menggigit, sampailah kepada menaikkan udang. Sensitiviti rod meningkat seiring dengan saiz rod yang halus.
10.30am, udang dan ikan dah banyak dalam bot nie, namun tiada seekor pun yang layak dipertandingkan memandangkan saiznya yang sederhana dan kecil. Kami beralih beberapa port lagi mencari UDANG JUARA untuk diri kami.
Pada waktu ini tangkapan saya sahaja dah lebih 10 ekor tapi yang saiz kecil saya lepaskan kembali, nak siang pun malas kalau kecik nie. Lagipun biarlah dia besar dulu kata hati saya, agaknya dah terbiasa dengan konsep CATCH & RELEASE di KUALA ROMPIN. Tergelak Nazri dengan saya.
Jam 11.00am saya berjaya mendapat udang yang agak besar, wah boleh dipertandingkan nie kata hati saya, Nazri pun menjerit, wooo kak besar tuh.. Tapi udang nie OKU lah, sepit dia sebelah jer, sebelah lagi dah takder.. kesian dia, kita lepaslah boleh? Tergelak si Nazri degan perangai saya, kak kalau macam tuh sampai bila kita nak menang kak, hmm okeylah.. tapi kalau dapat yang besar lagi kita lepaskan yang oku nie ek… Geleng kepala Nazri dengan perangai saya.
Rakan-rakan bot lain yang kami selisih cukup tertib dan senyap memancing, bot kami jer riuh rendah tergelak, ketawa bercerita hal memancing di mana-mana. Walaupun baru kenal, rasa dah macam member lama dah. Banyak juga bot selain daripada bot yang masuk game ni, sempat sembang dengan 1 bot dari kawasan jeti lain.
Dia dah 3 hari memancing di situ, pada hari sebelumnya dia mendapat hasil tangkapan mencecah 5 kilo katanya. WOW, saya mesti usaha lagi boleh belanja anak-anak makan udang yang mama dia tangkap nanti.
Menjelang tengahari kami berlindung di bawah jambatan terlindung dari sinaran matahari, rupanya kat sini saja berbelas ekor yang naik dan saiz yang kasar-kasar rupanya. Cis kat sini rupanya ko duduk, kalau tau dari pagi aku lepak sini kata Nazri. Abang AS yang ikut memancing sejak dari pagi stay di bawah jembatan menaikkan udang yang berskala besar dan banyak pula tuh.
Bermula dari tengahari sampai menjelang jam 6 petang kami tak berganjak dari spot bawah tiang jambatan tersebut, game tamat jam 7 malam memandangkan cuaca masih terang lagi tapi rata-rata pemancing dah landing pada jam 6 petang untuk berehat dan berkenal-kenalan anatara satu sama lain.
Dalam pada waktu ini juga, proses menimbang udang di jalankan oleh urusetia. Yang membanggakan saya ialah udang OKU yang saya tangkap pagi tadi berjaya saya lepaskan, supaya dia membesar dengan sihat.
Jam 6.45pm, acara penyampaian hadiah dilangsungkan. Acara sempoi sahaja di tepi Jeti Pak Musa meninggalkan kenangan yang cukup bermakna. Ada rakan pemancing yang dating dari Muar, ada yang dari Temerloh dan sebagainya. Tak lupa juga nak bagi tau korang semua, saya berjaya mendapat tempat ke-7, udang terberat dengan berat 160gram.
Okey what untuk beginner udang macam saya, lepas sembang-sembang dan bersiap untuk balik, suami pun sampai dengan anak-anak. Anak-anak cukup teruja tengok hasil tangkapan mama mereka dalam lingkungan 2 Kilo, rata-rata peserta hari tersebut mendapat hasil sekitar 2 kilo setiap orang.
Pertandingan ini mendidik saya untuk mencintai sungai kita kerana hasil yang dinaikkan amat menggalak kan, mungkin pihak berkuasa tempatan boleh menaikkan lagi status Pemancingan Udang Galah di Teluk Intan supaya boleh mencapai kepesatan pemancingan seperti di Kuala Rompin yang terkenal dengan Layaran dan Udang Galah. Rakan pemancing yang cukup sporting walaupun saya seorang bunga disitu, cukup professional dan membantu saya yang BUTA memancing udang ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...