Cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun iaitu monsun barat daya dari akhir bulan Mei ke September, dan monsun timur laut dari bulan November ke Mac.

Monsun timur laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak, manakala monsun barat daya secara relatifnya adalah lebih kering.

Tempoh peralihan antara dua monsun ini dikenali sebagai musim perantaraan monsun.

 

Apakah Monsun?

 

Perkataan monsun berasal daripada perkataan Arab muasim yang bermaksud musim. Para pedagang zaman lalu yang berulang alik melalui Lautan India dan Laut Arab menggunakan

perkataan ini bagi menjelaskan sistem angin yang silih berganti yang bertiup mantap dari arah timur laut semasa musim sejuk di hemisfera utara dan dari arah berlawanan iaitu angin barat daya semasa musim panas di hemisfera utara.

 

Apakah yang Menyebabkan Monsun?

 

 

Monsun berlaku disebabkan oleh perbezaan suhu di antara daratan dan lautan hasil daripada pemanasan sinaran matahari.

Semasa musim sejuk, kawasan daratan benua menyejuk dengan lebih cepat dan menyebabkan suhu yang amat rendah di Asia Tengah.

 

Keadaan ini menyebabkan tekanan atmosfera meningkat dan membentuk sistem tekanan tinggi (antisiklon) yang sangat kuat di Siberia.

Akibatnya, udara sejuk bergerak keluar dari Siberia sebagai angin barat-laut dan seterusnya bertukar menjadi angin timur laut apabila tiba di perairan pantai China sebelum menuju Asia Tenggara.

 

Dari masa ke masa, ledakan keluar udara sejuk yang kuat (luruan monsun) ini saling bertindak dengan sistem tekanan rendah atau siklon yang terbentuk berhampiran

Khatulistiwa, menghasilkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan serta hujan lebat di pantai timur Semenanjung Malaysia dan juga di pantai barat Sarawak.

 

Pada musim panas, pemanasan suria yang kuat meningkatkan suhu di kawasan daratan Asia.

Semasa udara panas mengembang naik, kawasan tekanan rendah separa tetap terbentuk. Angin lengas tenggara yang berasal dari selatan Lautan Hindi dan rantau Indonesia-Australia bertukar menjadi angin barat daya apabila melepasi Khatulistiwa.

Angin ini seterusnya bergerak merentasi Asia Tenggara sebelum menumpu ke arah Indochina, China dan barat-laut Pasifik.

 

Ciri-ciri Monsun

 

 

Musim Monsun Timur Laut merupakan musim hujan utama negara kita. Sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama dengan luruan udara sejuk dari Siberia menghasilkan

hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar di sepanjang pantai timur iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, serta negeri Sarawak.

 

Monsun Barat Daya secara relatifnya adalah lebih kering bagi seluruh negara kecuali di Sabah.

Pada musim ini, kebanyakan negeri mengalami hujan bulanan minimum, biasanya diantara 100 – 150mm.

 

Keadaan ini melambangkan atmosfera yang stabil di kawasan khatulistiwa. Keadaan kering di Semenanjung Malaysia terutamanya disebabkan oleh kesan lindung hujan oleh banjaran gunung di Sumatra.

Sabah secara relatifnya lebih lembab (melebihi 200mm) akibat daripada kesan ekor dari taufan yang kerap melintasi Filipina dalam perjalanannya merentasi Laut China Selatan dan sekitarnya.

 

Semasa musim perantaraan monsun, angin adalah sepoi-sepoi. Di waktu pagi, langit biasanya cerah dan ini membantu pembentukan ribut petir di sebelah petang.

Di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, ribut petir menyumbangkan jumlah hujan bulanan yang tinggi pada kedua-dua musim perantaraan monsun.

 

Nasihat dan Amaran Cuaca

 

Perkhidmatan Kajicuaca Malaysia memonitor dengan rapinya situasi perubahan cuaca dan mengeluarkan kenyataan, nasihat dan amaran cuaca bila keadaan memerlukan.

Kategori-kategori bagi nasihat dan amaran monsun adalah seperti berikut :

 

Nasihat Hujan Lebat :

Dikeluarkan apabila ada kemungkinan hujan lebat akan berlaku dalam masa 24 hingga 48 jam.

Amaran Hujan Lebat :

Dikeluarkan apabila maklumat terkini menunjukkan ketentuan hujan lebat akan berlaku.

Nasihat Angin Kencang dan Laut Bergelora :

Dikeluarkan apabila ada kemungkinan angin kencang dan laut bergelora di perairan Malaysia akan berlaku dalam masa 24 hingga 48 jam.

Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora :

Dikeluarkan apabila maklumat terkini menunjukkan ketentuan angin kencang dan laut bergelora akan berlaku.

 

 

Persediaan untuk menghadapi monsun lembap

 

Sebelum Musim Monsun

  • Sentiasa mendengar siaran radio, televisyen atau media sosial untuk amaran angin kencang dan laut bergelora.
  • Pastikan bekalan air dan makanan yang tidak mudah rosak disimpan secukupnya.
  • Bersihkan longkang, parit dan talang hujan daripada tersumbat.

 

 

Semasa Musim Monsun

  • Tinggal di tanah kukuh. Jauhi dari longkang beraliran laju, sungai dan kawasan banjir.
  • Jangan memandu ke kawasan banjir. Elakkan daripada melalui jambatan yang tidak kukuh dan jalan yang selalu dinaiki air.
  • Ikut arahan pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan.
  • Bersedia untuk berpindah jika diarahkan terutamanya bagi yang tinggal di kawasan pantai, berhampiran sungai atau kawasan rendah.
  • Pastikan kenderaan anda diletakkan di tempat tinggi dan segala harta benda yang lain terjamin daripada kerugian dan kemusnahan akibat daripada banjir.
  • Elakkan daripada pergi ke laut dengan menggunakan kapal atau bot kecil.

 

Tinggalkan Komen