Kesinambungan Battle of Jigger yang mengambil tempat di Pantai Pelindung diteruskan pula dengan edisi kedua. Pada edisi pertama yang digelar Pelindung Challenge sebagai acara pengenalan, edisi kedua Battle of Jigger pula memperlihatkan cabaran penggunaan tali berkekuatan 10lb lantas acara kali ini digelar Poundage Challenge.
Jika edisi pertama lebih kepada pengenalan kepada acara Battle of Jigger dan Pantai Pelindung, edisi kedua pula lebih fokus kepada keupayaan peserta secara teknikal apabila disyaratkan untuk menggunakan tali berkekuatan 10lbs. Juga bertempat di Pantai Pelindung, Kuantan, edisi kali ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan lebih ramai peserta bersaing sesama sendiri.
Dengan penyertaan seramai 44 orang peserta, acara kali ini bermula sekitar jam 7.30 pagi dan berakhir sekitar jam 4.30 petang.
Ads
Selain untuk bersaing secara teknikal, edisi ini juga dianjurkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama pemancing yang rata-rata datang dari sekitar Pahang dan Lembah Klang.
10 buah bot digunakan sepanjang pertandingan dan kesemua dibantu oleh tekong-tekong berpengalaman di Pantai Pelindung. Penganjur juga menyediakan hadiah yang lebih lumayan berbanding edisi lepas setelah mendapat tajaan daripada Pure Fishing Malaysia, Senses, Bossna, Buff dan Hong Lam Aquarium.
Ads
Tulang belakang disebalik kejayaan penganjuran kali ini ialah Shah Right, Kay Red dan Nazim dengan kerjasama erat daripada Angler Buff Malaysia. Edisi kali ini juga memperlihatkan peserta menaikkan hasil ikan yang lebih banyak berbanding edisi lepas walaupun cuaca agak mendung sewaktu acara pelepasan waktu pagi.
Mohd Shahidi B. Wahab berjaya memahatkan namanya selaku juara bagi kategori ikan terberat(main prize) edisi kali ini dengan hasil aruan tasik seberat 10.48 kg disusuli oleh Mohd Hafizuddin Talib dan Norsafwan Nordin masing-masing dengan hasil tangkapan gerong belang seberat 4.23kg dan 4.12kg.
Ads
Oleh kerana peserta hanya layak membawa pulang satu hadiah seorang, Mohd Hafizul Abd Rahman membawa pulang gelaran hadiah khas kategori ikan terberat dengan spesies aruan tasik seberat 8.2kg. Ikan terpanjang pula dimenangi oleh Aizuddin Shah Osman manakala Mohd Alfashat Md Rawi memenangi kategori ikan terbanyak atas 1kg. Pat Itam atau Mohd Yusof Abdullah pula memenangi hadiah khas kategori tekong terbaik.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Tanggal 1 hari bulan dipilih kerana dikatakan waktu air besar, iaitu masa terbaik memancing di Kelong Pozi. Tentu saja target spesies adalah jenahak atau jenak, yang sememangnya menjadi buruan utama setiap pemancing yang menyewa Kelong Pozi.
Tiba di kelong, air sudah pun bergerak pasang dan akan pasang penuh sekitar jam 8.00 malam. Jika menurut jadual penilaian pengalaman Cikgu Sabri, umpan hidup agak sukar diperoleh pada waktu petang dan ikan besar akan membedal umpan pada waktu air pasang penuh.
Terbukti aktiviti apollo mencari umpan tamban tidak banyak membuahkan hasil. Namun dalam proses mencari tamban dan selar ini, seekor sotong mengabang dan cumit menyerah diri. Tersangkut pada mata kail ketika cuba mencuri tamban.
Umpan bonus yang akan digunakan untuk memburu jenahak ketika air pasang penuh nanti. Sepanjang proses mencari umpan hidup hingga ke senja itu penulis masih ragu-ragu dengan cerita-cerita yang dicanang oleh Cikgu.
Ada ke jenahak atau ikan-ikan target di persekitaran kelong berair cetek. Malah henjut sikit saja pun dah kelihatan mata-mata apollo.
Cikgu mengambil inisiatif dengan menyediakan perambut bagi setiap joran yang ada dan melontar umpan ke spot-spot pilihannya. Ekoran semua joran digunakan untuk memburu ikan-ikan target menggunakan umpan hidup, timbul pulak rasa bosan duduk menunggu saja.
Nak layan ikan-ikan kecil seperti gelama atau gerut-gerut, menurut Cikgu gelama memang jarang sangat masuk ke kawasan kelong.
Akhirnya sekitar jam 8.00 lebih, secara diam-diam cikgu menaikkan seekor pari karang berskala lebih 1 kilogram. Sekaligus membuktikan teluk berair cetek dipenuhi karang itu masih didiami ikan-ikan karang yang perlu ke laut lepas jika untuk memburunya.
Sekitar jam 10.00 malam tatkala air pasang perlahan-lahan bergerak surut, joran sepanjang 17 kaki milik Cikgu yang terikat kemas pada pagar kelong, betul-betul di hadapan Faiz direntap kasar hingga terlambung dan menghentak lantai kelong.
Berumpankan seekor sotong mengabang hidup, memang tidak syak lagi target spesies sudah mengena!
Memang rezeki Faiz untuk merasa tarikan ganas sang jenahak. Dan sememangnya dapat merasakan tarikan sajalah kerana ia berakhir dengan rabut.
Arus yang sedikit laju pada awal pagi, penulis ambil kesempatan untuk mencuba drift selar hidup. Geram juga tengok alu-alu yang berlegar di keliling kelong. Sambil mengunjun apollo di bahagian belakang kelong, tiba-tiba alarm Penn 940 levelmatic yang dipacak di bahagian hadapan kelong menjerit panjang.
Hampir ¾ tali berjaya dibawa keluar oleh sang todak berskala lebih 2 kilogram yang pada awalnya penulis sangkakan alu-alu. Jenuh jugalah penulis mengarau multiplayer ratio rendah itu menarik sang todak hingga ke tangga kelong.
Pagi hari kedua ini juga Rahman dan 2 orang adiknya, yang merupakan regular anglers di Kelong Pozi dan gemar memancing todak, tiba untuk menyertai kami.
Tidak menunggu lama, Rahman memperbaharui lesen jenahaknya berumpankan tamban hidup. Sementara adik-adiknya pula mempamerkan skill dan teknik memancing ikan-ikan kecil seperti jenjulung, todak dan bebolos.
Menjelang tengah hari, ketika sedang asyik menghanyutkan tamban hidup melalui teknik drift, salah satu joran Faiz berumpankan selar hidup melendut dan tali ditarik keluar dengan laju. Pantas penulis sambar dan melayan hingga mangsa mendedahkan identitinya.
“Gubal!” Jerit Cikgu.
Namun dalam kekalutan mengheretnya ke dalam tangguk, senangin bersaiz besar itu berjaya meloloskan diri juga. Melihat senangin bersaiz besar atau gubal itu longkos hanya beberapa jengkal dari mulut tangguk, bukanlah satu insiden yang manis untuk dikenang.
Setelah sepi buat seketika dan air mula bergerak pasang, umpan udang hidup yang dihulurkan oleh Cikgu berhampiran tiang kelong, disambar sesuatu dan memecut laju menjauhi kelong.
Pengalaman Cikgu ditagih bagi mengendali larian ikan yang belum dikenal pasti jenisnya. Terutamanya apabila ikan itu cuba meloloskan diri dengan memasuki bahagian bawah kelong.
Apabila sang mangsa sekilas memperlihatkan belangnya di permukaan air, tekanan terus diberikan dari memasuki bawah kelong sehinggalah selamat masuk ke dalam tangguk. Gerong belang berskala 2.5 kilogram menjadi penyelamat trip ini.
Trip Repeat!
Kegagalan memperolehi lesen jenahak, mendesak penulis untuk buat come back. Hanya bertemankan rakan Fitri, dan Cikgu pula hanya dapat sertai pada lewat petang, trip kedua ini penulis sediakan sendiri segala kelengkapan termasuklah udang hidup dan sedikit cumit segar sebagai umpan tambahan.
Tepat jam 12.30 tengah hari penulis dan Fitri sudah terpacak di atas kelong yang kosong dan lapang. Mujur juga boatman, Jawe, yang sememangnya ringan tulang membantu itu dan ini.
Ternyata tamban sukar untuk diperoleh pada kali ini. Jenuh tangan menghenjut apollo namun seekor tamban pun tak lekat. Hanya selar kuning saja yang berjaya diperolehi. udahnya, semua pancing dilabuhkan menggunakan umpan udang hidup dan cumit segar ke spot yang berpotensi.
Tidak lama selepas itu, Fitri berjaya menaikkan seekor pari bintik berumpankan cumit segar berdekatan dengan tangga kelong. Kemudian seekor dengkis juga beliau berjaya naikkan berumpankan sotong hidup. Udang hidup dan selar kuning langsung tidak diusik.
Kehadiran Cikgu bersama 4 orang pemancing pada lewat senja, yang memperbanyakkan lagi umpan dihulurkan ke dalam air juga gagal mendaratkan ikan sasaran. Hanya ketika dinihari, menghampiri jam 2 pagi, tali pancing milik penulis kelihatan kendur dan hanyut menghampiri kelong.
Apabila digulung dan ditegangkan, jelas terasa ada sesuatu yang mengena dan memberikan tentangan kuat. Pecutannya ke arah kelong segera disekat dan akhirnya berjaya dinaikkan ke kelong. Lesen!
Akhirnya penulis berjaya juga memperolehi lesen jenahak di Kelong Pozi. Sebelum angin kencang dan hujan lebat turun, seekor jenahak berstatus ‘sunti’ di port yang sama berjaya penulis naikkan.
Siang hari pada hari kedua trip kedua, mungkin diperolehi ribut dan hujan lebat, suasana di kelong bertukar sepi ekoran tiada siapa yang berjaya menaikkan ikan.
Hanya menjelang tengah hari sebelum penulis mengambil keputusan untuk menamatkan trip, barulah ada yang berjaya menaikkan senangin dan baji. Yang pasti, Kelong Pozi telah didirikan untuk memperbaharui lesen jenahak yang lebih besar.
Selepas sekian lama merancang, satu trip trekking ke hulu Sungai Terenggan, Tasik Kenyir menjadi kenyataan. Tujuh orang telah terlibat dalam trip yang begitu mengerah kudrat; berjalan kaki sekitar 6-8 jam meredah hutan dan sungai.
Kami tiba di campsite kira-kira jam 4 petang, selepas 5 jam mengharungi perjalanan menaiki speedboat dari Jenagor sebelum berjalan kaki menghulu Sungai Terenggan. Disebabkan kami kesuntukan masa (agak lewat akibat beberapa perkara tidak dapat dielakkan), keputusan bersama telah diambil untuk berkhemah di sini dan esok perjalanan ke sebelah hulu akan disambung.
Selesai sarapan, kami bersiap untuk memulakan trekking ke bahagian hulu. Kami bercadang untuk pergi sejauh mungkin iaitu tiba di port Hulu Berdengung. Perjalanan naik ke hulu memang mencabar. Kami terpaksa meranduk air yang deras dan penuh dengan batu-batu licin. Jika meredah hutan pula, ada kalanya trek baru terpaksa dibuat, kerana trek lama langsung tidak kelihatan. Mujurlah, kami tidak membawa beban beg seperti hari semalam.
Sepanjang perjalanan, kami cuba casting di lubuk-lubuk yang berpotensi. Semasa melalui kawasan jeram yang berarus deras, Wan yang berada paling hadapan menerima sambaran. Lontaran sesudu Abu Island II, 12 gram, disergap rakus oleh makhluk yang berada di bawah sana. Sehingga terpaksa dia melompat ke batu dan meranduk air, lantaran larian pemangsa cukup laju.
Selepas 5 minit barulah nampak kelibatnya dan akhirnya muncul tengas dalam skala 1.2 kg. Walaupun ia hanyalah tengas, tetapi pada skala ini, ia sudah cukup memuaskan hati. Zul yang setia dengan sesudu Abu Island II, 7 gram, paling banyak menaikkan tengas dalam sekitar 700 gram. Saya tidak terkecuali dan skala ini semuanya kami lepaskan semula.
Penat berjalan, akhirnya kami tiba juga di lokasinya. `Hulu Berdengung` yang dimaksudkan ialah sebuah jeram panjang yang terdapat lubuk-lubuk dalam dan juga cetek airnya. Ketika kami tiba, airnya sedikit keruh. Batuan di dasarnya langsung tidak berapa kelihatan. Sekian lama cuba untuk casting, kelibat penghuninya, tidak kelihatan.
Sedikit perasaan kecewa membelenggu kami. Apa lagi yang mampu dilakukan, selain cuba juga untuk casting dan terus casting. Menurut Karim, berkemungkinan faktor hujan di kawasan hulu yang membuatkan air keruh dan sejuk, punca utama mengapa, penghuninya tidak aktif.
Walaupun sudah merancang sebaik mungkin, faktor ketentuan tiada siapa yang mampu menghalang. Bagi saya, inilah faktor alam yang semua kaki pancing tidak boleh jangkakan. Mungkin juga ikannya berhijrah semasa musim tengkujuh lalu atau dikaut banyak dengan cara tidak bertanggungjawab.
Jam 3.30 petang, kami mengambil keputusan untuk turun semula ke bahagian hilir, menuju ke khemah dalam keadaan hujan renyai-renyai selepas sasaran casting kelah di Hulu Berdengung tidak kesampaian. Kali ini kami mengurangkan memasuki semula trek jalan hutan, sebaliknya lebih banyak menyusuri sungai bagi membolehkan kami casting di lubuk-lubuk yang berpotensi yang tidak dilalui pagi tadi.
Di aliran jeram yang deras, giliran Zul mendapat tuah, apabila lontaran sesudunya disambut lagi. Karauan dilakukan, tetapi beberapa detik kemudian, lariannya beransur lemah. Rupa-rupanya sang sebarau yang menyapa. Tidak kurang juga, ada tengas mengejar sesudu sebaik karauan laju dibuat, tetapi akhirnya berpatah balik apabila ternampak kami.
Malam terakhir kami gunakan sebaik mungkin. Selesai menjamah hidangan makan malam, Mus, Karim dan anaknya mengambil keputusan memancing di bahagian hilir khemah. Selebihnya memancing di satu kawasan lata yang mengalir tenang di bahagian hulu.
Ragutan demi ragutan diterima oleh kami, tetapi kebanyakannya ikan tengas yang saiznya masih belum memuaskan hati. Banyak yang dilepaskan semula.
Lewat malam saya, saya dan Zul berpindah lokasi dan bergabung dengan Karim, Mustakim dan Wan. Hasil terbaik diperoleh di sini, apabila joran milik Wan yang diletakkan di pancang di depan matanya terbang ke dalam air. Mujur lampu pendaflour stick menjadi penanda bila joran sudah tenggelam dalam air.
Bergasak sekitar 4-5 minit, akhirnya tewas juga tengas saiz kasar hampir 2kg di tangan Wan. Umpan isi ikan nyata tidak mengecewakan, walaupun terpaksa menunggu lama. Bahkan dengan umpan inilah juga kami menaikkan banyak baung akar. Tidak perlu susah payah bawa umpan tapa.
Sekitar jam 12 malam, giliran joran Mus dan saya sekali telah dikejutkan dengan joran terbang masuk ke dalam air. Akhirnya tengas yang saiznya sekitar lengan dewasa masing-masing tetap berjaya dinaikkan.
Setelah berehat agak lama, Team Lan Lubuk (TLL)yang merupakan antara kelab pemancing yang popular dengan konsep pancingan kolam air tawar, kembali
melangsungkan aktiviti yang sememangnya senonim dengan kelab mereka, iaitu komplot memancing.
Bertempat di Kolam Gadong Jaya, sebuah kolam pancing air tawar yang terletak di Seremban, TLL dengan kerjasama jitu pengurusan kolam, satu aktiviti memancing atau komplot penutup tahun 2018 telah diadakan pada Ahad lalu.
Menurut boss TLL iaitu Lan Lubuk sendiri, program ini bertujuan bagi ketengahkan generasi muda atau pemancing baru menimba ilmu dari sahabat lama sambil bersilaturahim.
Program komplot ini bermula jam 10.00 pagi dengan bacaan doa. Seterusnya diikuti program membuat demontrasi bancuhan umpan, penyediaan perambut dan teknik
memancing terutamanya cara-cara pengendalian ikan untuk didaratkan. Program ini diketuai oleh Lan Lubuk selaku owner Kedai Umpan Pacak dengan bantuan dari admin kelab yang berpengalaman.
Jam 12.00 tengah hari barulah bermula acara memancing yang sangat dinantikan oleh semua ahli komplot.
Acara memancing yang lebih mirip mini pertandingan ini turut disediakan hadiah hamper,barangan pancing serta sedikit wang tunai bagi kategori ikan terberat.
(Sedutan video aksi komplot)
Acara memancing berehat seketika sejurus masuk waktu Zuhur dan memberi ruang kepada semua pemancing bersolat dan menikmati juadah kambing bakar yang ditaja oleh saudara Man Sate.
Pukul 2.00 petang kami meneruskan sambungan acara memancing. Suatu yang amat memeranjatkan, puluhan malah mungkin lebih dari seratus ekor berjaya didaratkan.
Rata-rata pemancing melahirkan rasa puas hati kerana hampir setiap masa strike. Jelas keriangan di wajah para ahli dalam suasana harmoni.
Kami menamatkan komplot pada jam 5.00 petang dengan tangkapan saudara Lebai Patin seberat 14.15 kg muncul selaku juara.
Seterusnya penyampaian hadiah di adakan sebelum kami berangkat pulang dengan kepuasan di hati.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...