Enam Spesies Baharu Ikan Disenaraikan Spesies Dilindungi!!

Share

 

Pada November 2019 lalu, Jabatan Perikanan Sabah telah menyenaraikan enam spesies ikan terancam terbaharu dalam Akta Perikanan 1985, bermula pada tahun lalu.

Penolong Pengarah Pengurusan Sumber Marin Jabatan Perikanan Sabah, Lawrence Kissol berkata, spesies ikan terancam terbaharu itu melibatkan empat spesies ikan yu dan dua spesies ikan pari.

 

Spesies itu adalah yu sirip putih besar atau nama saintifiknya, Carcharhinus longimanus; yu tukul (Sphyrna zygaena); yu tukul parang (Sphyrna mokarran); yu tukul palang (Eusphyra blochii) dan 2 spesies pari iaitu pari tanduk (Mobula birostris dan Mobula alfredi.

 

Ia menjadikan keseluruhannya ada 36 spesies hidupan marin terancam, dilindungi mengikut Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam) 1999 dan Akta Perikanan 1985 bertujuan mengelak kepupusan.

 

“Untuk itu, Jabatan Perikanan Sabah menjelajah ke 17 daerah di Sabah, khususnya daerah marin, bagi memberi pemahaman mengenai spesies marin yang tidak boleh ditangkap dan dijual,” katanya kepada pemberita selepas Program Sosialisasi Spesies Terancam di sini hari ini.

 

Kissol turut menasihati masyarakat maritim di seluruh negeri khususnya nelayan, supaya melepaskan spesies marin terancam kembali ke laut jika mendapati hidupan marin berkenaan tertangkap atau tersangkut pada pukat nelayan.

 

Beliau menghargai keprihatinan masyarakat keseluruhan, khususnya nelayan dan penjual ikan, agar disalurkan maklumat betul dan panduan bagi membolehkan mereka mematuhi undang-undang berkaitan perikanan dengan lebih baik.

 

Pada program itu, Kissol menggantungkan poster yang tertera gambar dan maklumat mengenai spesies marin terancam di Pasar Umum Sandakan.

(Sumber: Bernama)

IKLAN