Ikan kuku mempunyai diet pemakanan yang cukup unik. Dari krustasia kecil, moluska, anak ikan sehingga ketulan daging ayam, roti dan tepung yang diuli. Dari segi rangkaian makanan saya berpendapat ketam angin adalah kegemaran utama kuku diikuti anak udang ketak, udang pasir berkulit keras, anak ikan, perumpun dan sebagainya.
Pengunaan isi ayam goreng, capati atau roti canai separa masak, tepung yang diuli sebagai umpan kini menjadi kemestian memandangkan tidak banyak ikan-ikan muara lain mengemarinya. Atas dasar ini kadar sentapan ikan kuku lebih besar di sebabkan ikan-ikan lain jarang mengacau jenis umpan makanan darat ini.
Roti canai dan tepung saya pernah mencubanya tetapi isi ayam goreng belum lagi. Seeloknya umpan jenis digunakan semasa banyak ikan lain datang mengacau umpan.
Di Australia, pengunaan soft plastic begitu meluas untuk menjerat spesies ikan bream. Soft plastic berupa anak udang dan cacing laut menjadi pilihan kebanyakan pemancing di Australian ini. Ia jarang diamalkan di negara kita memadangkan sukar bagi pemancing mengesan spot utama kuku kerana kehadirannya berkait rapat dengan musim.
Ketam Kecil
Ketam batu, ketam angin atau ketam Rumput dikatakan paling mujarab malah mampu menarik perhatian siakap merah. Umpan ketam dicangkukkan dari bahagian bawah hingga menembusi kulit atas. Sebaiknya ketam hidup.
Roti sandwich
Umpan roti juga boleh digunakan. Biasanya menggunakan roti Gardenia yang dikepal kecil-kecil sebelum dicangkukkan. Roti Gardenia butterscotch dikatakan lebih berkesan kerana memiliki aroma mentega.
Udang hidup
Udang hidup agak jarang digunakan untuk memancing kuku namun tidak mustahil menaikkan kuku bersaiz besar. Gunakan udang bersaiz kecil anak jari.
Roti canai
Roti canai antara umpan kuku popular di Terengganu. Roti canai yang dimasak separuh dikatakan paling baik dibuat umpan.
Ayam goreng
Ayam goreng sama ada digoreng sendiri dengan minyak yang telah digunakan atau menggunakan ayam goreng KFC. Cangkukkan sahaja cebisan isi ayam goreng sebagai umpan.
Umpan tepung
Umpan campuran tepung biasanya digunakan oleh pemancing yang telah lama memancing kuku. Campuran tepung yang diuli dengan pelbagai resepi menjadi umpan rahsia untuk memancing kuku.
Sate ayam
Sate ayam merupakan satu lagi alternative pilihan kaki pancing untuk menjerat spesies ini. Ada sesetengah pemancing menggunakan sate tongkeng ayam kerana bahagian ini lebih berlemak dan mengeluarkan minyak untuk dikesan oleh kuku.
Teritip
Teritip merupakan makanan asasi bagi ikan kuku. Tengok sajalah bagaimana rupa gigi ikan kuku. Untuk menggunakan umpan ini sebaiknya dikupas kulit dan diambil isinya.
Udang ketak
Tentu saja ia merupakan umpan kegemaran ikan kuku tetapi untuk mencari anak udang ketak yang bersaiz sebesar ibu jari bukannya mudah.
Sekiranya anda mengikuti pakej melancong atau memancing ke Tasik Kenyir menggunakan perkhidmatan boathouse atau rumah bot, jangan lupa bawak apa-apa pelet makanan ikan untuk dijadikan umpan memancing.
Lazimnya, kebanyakan boathouse di Tasik Kenyir ada menyediakan buah sawit yang direndam di dalam sesuatu bekas atau tong. Sawit-sawit yang telah direndam sehingga lembut dan berbau ini sememangnya tidak menyenangkan pada hidung kita.
Tetapi ia cukup harum dan menyelerakan bagi ikan-ikan tasik seperti lampam, terbul, temperas serta baung. Malah, ketika suatu ketika dahulu tatkala populasi ikan kelah masih banyak, ia turut mengambil umpan sawit peram ini.
Air rendaman buah sawit yang berbau masam dan agak busuk ini tidak dijadikan umpan, sebaliknya dicurah di kawasan memancing bagi menarik perhatian ikan-ikan tasik.
Buah sawit yang lembut dan berminyak pula dibuang bijinya dan diramas bersama pelet makanan ikan yang turut direndam bagi melembutkannya.
Hasil ramasan sawit peram dan pelet ini akan dibentuk menjadi doh. Untuk mendapatkan doh yang sedikit liat (tidak mudah berderai), biasanya dicampurkan sedikit tepung gandum.
Kemudian doh adunan ini digentel kecil dan dilekatkan pada mata kail yang bersesuai dengan saiz mulut ikan yang banyak terdapat di dasar tasik.
Sesetengah tekong atau kru boathouse Tasik Kenyir menyediakan umpan pelet dan sawit rendam ini untuk kegunaan para pemancing yang menghabiskan masa di rumah bot.
Sekiranya umpan ini tidak disediakan, anda boleh membuatnya sendiri berpandukan perkongsian ini.
Sebagaimana buah kelapa sawit yang boleh digunakan untuk memancing ikan kelah, tengas dan sebagainya lagi, buah ara juga boleh digunakan untuk tujuan yang sama. Malah, kelebihan buah ara ia tidak perlu diperam sebagaimana buah sawit untuk diguna pakai. Ia boleh diguna secara asalkan buahnya sudah cukup masak.
Cara-cara Menggunakan Umpan Buah Ara
Jika tidak dapat mengambil buah ara yang masak (kebanyakan bewarna merah tua keungguan) pada dahan pokok, kutip saja buah-buah yang masih baru gugur. Buah yang baru gugur biasanya masih elok sifatnya berbanding buah yang sudah lama gugur dan buruk.
Potong buah ara dengan pisau yang tajam supaya elok belahan buahnya. Sebaiknya setiap biji buah itu dipotong empat.
Dengan menggunakan mata kail (tunggal) berperambut tali tangsi 20-30lb sepanjang 1-2 kaki, cucuk potongan buah ara pada mata kail satu persatu.
Potongan buah ara haruslah melepasi mata kail dan tersusun pada perambut. Sebaiknya potongan buah ara dicucuk kira-kira panjang sejengkal pada perambut sementara dua potongan buah dicucuk kemas pada mata kail.
Dengan menggunakan teknik pancingan dasar (saiz batu ladung hidup bergantung kepada kelajuan arus sungai), umpan ini sudah boleh dilontar ke lubuk untuk memikat kelah, tengas, jelawat ataupun patin liar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...