
Sebagaimana buah kelapa sawit yang boleh digunakan untuk memancing ikan kelah, tengas dan sebagainya lagi, buah ara juga boleh digunakan untuk tujuan yang sama. Malah, kelebihan buah ara ia tidak perlu diperam sebagaimana buah sawit untuk diguna pakai. Ia boleh diguna secara asalkan buahnya sudah cukup masak.
Cara-cara Menggunakan Umpan Buah Ara
Jika tidak dapat mengambil buah ara yang masak (kebanyakan bewarna merah tua keungguan) pada dahan pokok, kutip saja buah-buah yang masih baru gugur. Buah yang baru gugur biasanya masih elok sifatnya berbanding buah yang sudah lama gugur dan buruk.
Potong buah ara dengan pisau yang tajam supaya elok belahan buahnya. Sebaiknya setiap biji buah itu dipotong empat.
Dengan menggunakan mata kail (tunggal) berperambut tali tangsi 20-30lb sepanjang 1-2 kaki, cucuk potongan buah ara pada mata kail satu persatu.
Potongan buah ara haruslah melepasi mata kail dan tersusun pada perambut. Sebaiknya potongan buah ara dicucuk kira-kira panjang sejengkal pada perambut sementara dua potongan buah dicucuk kemas pada mata kail.
Dengan menggunakan teknik pancingan dasar (saiz batu ladung hidup bergantung kepada kelajuan arus sungai), umpan ini sudah boleh dilontar ke lubuk untuk memikat kelah, tengas, jelawat ataupun patin liar.
Ketahui Cabaran Sebenar Mancing Kitang

Ramai tidak suka kitang apabila tersangkut pada jala kerana silap hari bulan tersusuk durinya, kacau seketika aktiviti menjala. Bisa. Itu anak kitang, manakala induk pula sebenarnya boleh dipancing jika tahu tekniknya.
Dahulu, ikan ini tiada harga sama sekali tapi kini semua sudah berubah. Kitang tidak lagi segan untuk berada di atas lantai simen pasar ikan. Ada peminat yang gemarkan ikan kitang dan tahu cara terbaik menikmatinya.
Pemancing pula perlu tahu cara terbaik menjinakkannya. Ikan ini juga dibela oleh segelintir penternak ikan sangkar sebagai pencuci jaring manakala ikan juvenil pula dijadikan ikan hiasan akuarium.
Dari sifat yang ditonjolkan di dalam akuarium, kita secara tidak langsung dapat menilai sifat semulajadi yang dimiliki kitang untuk memancingnya.
Secara amnya teknik memancing ikan kitang adalah lebih kurang sama seperti memancing ikan bermulut kecil yang lain. Paparan teknik adalah seperti mana yang telah diterangkan dalam teknik memancing ikan dengkis yang lalu.
Bagaimanapun kesukaran menjeratnya adalah merujuk kepada lokasi serta habitat utama. Cara terbaik, mudah dan dipratikkan dengan meluas ialah teknik pengumpan apollo. Di antara umpan yang biasa saya gunakan ketika memancing ialah perumpun atau ruat sarang, hirisan ikan seperti sotong pasar, kembung, selayang dan selar.
Udang mati dihiris kecil sesuai untuk mata kail halus. Jangan terlalu besar umpan sebab lihat saja mulutnya mana mampu makanan ditelan. Ia spesies ikan pengutis makanan. Jika air cetek umpan boleh dilabuh terus ke dasar dan kawasan air dalam boleh guna pelampung atau hanyutkan umpan di permukaan air.
Kitang seekor ikan bermulut kecil dan jenis suka mengutis umpan sudah tentu mata halus adalah lawannya. Cara terbaik adalah pengumpanan stail apollo yang memiliki perambut 10Ib ke atas dengan mata kail saiz 8.
Sebesar manakah umpan yang perlu dipersembahkan untuk meikat selera ikan kulit liat ini di bawah permukaan air? Persoalan ini haruslah diungkai dengan mudah dan jangan terlalu mengambil berat akan kegagalan keputusan akhir nanti.
Setengah pemancing menabur rasuah terlebih dahulu agar ia leka dan keluar dari kawasan persembunyiannya.
Rasuah umpan biasanya isi ikan yang dihancurkan dan paling mudah ialah mengunakan dedak. Dedak ditabuk agar ikan galak dan selang seketika umpan bermata kail kecil dihulur di kawasan yang dikerumuni ikan ini.
Ikan kitang seperti ikan muara bermulut bukanlah ikan idaman oleh hampir kesemua pemancing malah kehadirannya tidak diendahkan oleh kaki pancing. Jika berhajat mengunakan set apollo lebih bagus dan efektif hasilnya, terus ikat mata dengan perambut.
Setelah saiz mata dipilih, perambut 15lb boleh digunakan untuk mengikat mata kail kecil dengan mudah. Pastikan ikatan kemas dan jangan terlucut pula ia ketika dalam pertarungan.
Kalau nak lagi umppp… guna peralatan ultralight dengan kapasiti tangsi 6 paun. Baru syok layan kitang apabila ia rembat pancing kecil anda sampai nak rak. Jadikan hobi ini sesuatu yang menyeronokkan bukan penyiksaan.
Taktikal & Teknikal Pancingan Dasar Ikan Toman

Selain melalui teknik casting, toman juga boleh dipancing dengan teknik dasar. Suatu ketika dahulu teknik ini amat popular. Sekiranya anda berhasrat untuk memancing toman melalui teknik dasar, panduan pemilihan peralatan berikut perlu korang teliti.
Pemilihan joran
Joran berkekuatan sekurang-kurangnya 10-20lb dengan aksi sederhana berat (medium heavy) adalah disarankan. Namun joran berkuatan 15-30lb dengan aksi sederhana berat merupakan pilihan yang terbaik. Bukanlah bermakna joran di bawah 10-20lb tidak boleh digunakan. Nak guna joran 4-10lb pun boleh tetapi boleh ke joran tersebut beraksi sempurna jika strike toman melebihi 5 kilogram?
Peranan joran bukan sahaja untuk menarik atau mengepam ikan, sebaliknya juga untuk menyentap mata kail masuk ke rahang ikan toman yang keras. Saiz panjang joran yang ideal ialah 6-8 kaki. Joran melebihi 6 kaki lazimnya lebih efisien untuk membuat lontaran menggunakan umpan seperti ikan keli hidup ke spot yang lebih jauh, sekiranya memancing dari daratan. Jika menggunakan bot atau boating, joran berukuran 5-6 kaki lebih efisien.
Pemilihan kekili
Kekili saiz siri 3000 hingga 5000 paling sesuai digunakan. Tak kiralah kekili untuk kegunaan air tawar atau air masin semuanya boleh digunakan. Yang penting kekili tersebut memiliki longkang gelendung atau spool yang dalam bagi mengisi tali tangsi yang mencukupi.
Daya seretan kekili atau drag kekili juga tidak perlu sehingga belasan kilogram. Drag 4 kg pun sudah memadai kerana boleh menggunakan bantuan tangan terhadap spool bagi mengekang larian toman.
Tali pancing sesuai
Penggunaan tali tangsi atau mono adalah disarankan untuk memancing toman. Tali sulam juga boleh digunakan tetapi haruslah disambung dengan shockleader 2-3 meter. Ia bertujuan bagi mengurangkan risiko tali utama berbelit atau berpintal terutamanya jika menggunakan umpan hidup seperti ikan keli atau ikan lampam.
Tali tangsi yang tahan lasak dan geseran berkuatan 20-35lb adalah pilihan terbaik. Justeru itulah kekili saiz siri 3000 hingga 5000 adalah pilihan sesuai bagi memuatkan tali tangsi 20-35 lb ini.
Tali tangsi berwarna jernih atau kehijauan lebih sesuai digunakan atau tali yang sepadan dengan warna air lokasi pancingan toman tersebut.
Pemilihan mata kail
Boleh dikatakan banyak jenis mata kail seperti octopus hook, siwash hook atau circle hook boleh digunakan. Saiz mata kail sederhana sekitar 2/0-4/0 sesuai digunakan bergantung kepada saiz umpan yang digunakan.
Apa yang penting mata kail mestilah tajam dan kukuh untuk menembus mulut dan rahang ikan toman yang keras. Shank atau teras mata kail sebaiknya yang sederhana tetapi kuat. Teras yang halus bagus untuk strike tetapi dikhuatiri tidak mampu bertahan. Sementara teras yang tebal pula menyulitkan untuk hook up yang kemas.
Sebaiknya juga gunakan mata kail daripada material black nickel. Jumlah penggunaan mata kail pula bergantung kepada saiz umpan. Namun penggunaan 1 hingga 2 mata kail sahaja sudah memadai.
Perambut sesuai
Perambut mono filamen atau fluorocarbon 30-50lb sepanjang sekaki disambungkan dengan perambut dawai atau kabel 20-30lb kira-kira sejengkal.
Sebaiknya pilihlah dawai lembut yang disalut getah hitam. Yang penting perambut mata kail wajib menggunakan dawai atau kabel kerana toman bukan saja memiliki barisan gigi yang tajam bahkan rahang kuat yang mampu mematahkan mata kail.
Penggunaan perambut tanpa dawai pun boleh digunakan tetapi ia lebih bergantung kepada nasib. Kalau nasib baik, naiklah toman tapi kebanyakkannya jarang yang bernasib baik.
Umpan hidup
Apa sahaja benda berdaging boleh digunakan sebagai umpan toman. Namun umpan yang biasa digunakan adalah ikan hidup atau ikan mati.
Ikan keli, lampam dan puyu merupakan umpan hidup yang lazim digunakan dan berkesan. Untuk lebih berkesan, sebaiknya guna umpan yang boleh diperoleh di habitat yang sama dengan toman tersebut.
Sekiranya lubuk tersebut turut ada sebarau maka gunalah ikan sebarau sama ada hidup atau mati. Sudah sekian lama dikatakan toman dan sebarau saling bermusuhan.
Ikatan Kail Paling Sempurna!

Cara 1
Mula-mula lingkarkan tali utama kira-kira sejengkal.
Cara 2
Masukkan bahagian tali yang dilingkarkan ke dalam cincin swivel.
Cara 3
Tindan lingkaran tali yang dimasukkan melalui swivel ke atas tali utama.
Cara 4
Pegang dan naikkan dua tali yang berada di bawah lingkaran untuk memudahkan Cara berikutnya.
Cara 5
Ambil hujung tali dan masukkan melalui ruang yang di bawah dua tali yang dinaikkan itu.
Cara 6
Masukkan pula hujung tali ke dalam lingkaran baru yang terhasil tadi.
Cara 7
Masukkan pula hujung tali ke dalam lingkaran baru yang terhasil tadi.
Cara 8
Seterusnya tarik tali utama sehingga simpulan terikat kemas pada cincin swivel. Kemudian Potong hujung lebih tali dan ikatan telah berjaya dihasilkan.
Cara 9
Potong hujung lebih tali dan ikatan telah berjaya dihasilkan.