Memancing di atas bot atau boating mempunyai kelebihannya yang tersendiri kepada kaki pancing terutama jika mahu meneroka lubuk yang lebih berpotensi tidak kiralah ditengah laut, tasik mahupun sungai.
Tetapi harus diingat, biarpun ada kelebihan memancing di atas bot, namun risiko terdedah kepada bahaya juga amat tinggi. Berikut merupakan beberapa langkah keselamatan yang boleh diambil kira ketika memancing di atas bot:
Sentiasa memakai jaket keselamatan yang diikat kemas pada badan (jangan hanya menyarung pada badan tanpa mengikatnya). Memakai jaket keselamatan memang agak kurang selesa tetapi ia adalah langkah keselamatan yang tidak boleh diambil mudah.
Pastikan bot memancing mempunyai tali dan pelampung keselamatan. Ramai yang meremehkan perkara ini malah tidak ambil peduli langsung.
Pastikan bot dan enjin berada dalam keadaan baik sebelum keluar memancing. Juga pastikan kelengkapan peralatan membaiki dan minyak tambahan mencukupi. Ini amat penting sekiranya keluar secara bersendirian.
Jaga adab dan tutur kata ketika memancing di tengah laut mahupun kawasan terpencil. Yang penting, mulut jangan CABUL!!!
Waspada terhadap ancaman ribut. Jika boleh, tamatkan trip atau cari kawasan berlindung dengan segera sebelum ribut melanda.
Bawa lampu suluh jika merasakan pulang hingga lewat petang. Kalau boleh bawa je bukan berat pun sebutir lampu suluh ni.
Sentiasa waspada terhadap tunggul kayu atau kayu balak hanyut. Waktu lewat petang apabila tunggul balak dilindungi bayang adalah waktu yang paling berbahaya.
Untuk casting di dalam bot, adalah lebih baik jika pemancing bertolak ansur untuk cast dan harus sentiasa memastikan jarak yang selamat sebelum melontar gewang.
Elakkan memegang joran ketika hujan lebat atau ribut petir untuk elakkan risiko daripada terkena renjatan.
Bawa peti keselamatan yang lengkap dengan ubat-ubatan dan sewaktu dengannya. Ia merupakan gajet yang paling penting tetapi sering diabaikan.
Tidak ada pemancing yang bersusah payah keluar belanja bayar sewa dan beli umpan untu pergi memancing ke kelong, sangkar ikan atau rumah rakit inginkan kumpau. Walaupun tak dapat spesies sasaran sekali pun tetap mahu hasil jugak.
Buat Kajian Mengenai Kelong
Buat sedikit research mengenai kelong yang anda ingin pergi. Sekurang-kurangnya anda akan tahu struktur, kedalaman dan pelbagai perkara penting tentang kelong tersebut. Selain itu, kaji juga spesies ikan yang ada di kelong berkenaan. Dari sini anda boleh dapatkan petua dan info umpan yang sesuai untuk memancing ikan yang ada di kelong tersebut.
Dapatkan Ilmu Dari Pemilik Kelong Atau Mereka Yang Berpengalaman
Tidak cukup dengan hanya membuat research tentang kelong itu sahaja. Kadang-kadang adalah perlu juga untuk anda mendapatkan khidmat nasihat dari mereka yang arif tentang kawasan kelong yang hendak anda pergi. Cungkil seberapa banyak rahsia dan petua untuk memancing di kawasan kelong berkenaan bagi mengelakkan kes-kes membangau ini.
Pilih Waktu Yang Sesuai
Kebiasaannya keadaan air bani adalah masa yang paling sesuai untuk memancing di kelong. Ini kerana pada waktu berkenaan arus kurang laju dan banyak ikan akan bermain di sekitar kelong untuk mencari makanan. Namun begitu, ini semua tertakluk kepada kelong yang ingin anda pergi. Lain kelong, lain kesesuaiannya.
Menyediakan Peralatan Memancing Yang Secukupnya
Pastikan peralatan dan tiada yang tertinggal. Ada juga mendengar kes pemancing yang sudah membawa joran, tetapi terlupa membawa kekili dan pelbagai peralatan yang lain. Bila sudah jadi begini, jawabnya terpaksalah memancing hulur je.
Selain itu, penting juga bagi anda membawa joran spare. Iyalah, ada masanya kejadian tak diingini boleh berlaku dengan mudah. Sekurang-kurangnya, jika kejadian seperti joran patah, joran jatuh laut dan lain-lain berlaku anda sudah ada back-up plan. Jangan lupa bawa apolo! Dan jangan sesekali lupa untuk membawa tong ikan berserta ais.
Jangan Terhad Kepada Satu Teknik Sahaja, Cuba Pelbagai
Jangan hanya fokus kepada pancingan bottom sahaja, sekali sekala cuba juga teknik yang berbeza seperti drifting, casting, jigging dan sebagainya (bergantung kepada jenis dan kedalaman kelong).
Sediakan Umpan Secukupnya
Jangan lupa juga untuk membawa pelbagai jenis umpan yang berkemungkinan berkesan untuk memancing. Jangan bergantung harap kepada umpan hasil pancingan apollo sahaja yang belum tentu setiap masa ada.
Utamakan Keselamatan
Paling penting walaupun kumpau, utamakan keselamatan diri anda. Pastikan anda kenal pasti barang di sekeliling anda yang boleh membantu jika musibah berlaku. Mana tidaknya musibah seperti ribut, hujan lebat dan sebagainya berlaku tanpa kita duga. Pastikan diri dan harta benda anda selamat dari sebarang kecelakaan yang tidak diingini.
Surfcasting atau pancingan pantai merupakan salah satu teknik memancing yang menyeronokkan. Dengan menggunakan joran panjang, batu ladung dan mata kail alatan utama, ia juga merupakan sukan memancing yang berisiko tinggi ditimpa kemalangan jika cuai atau kurang waspada.
Terutamanya jika memancing secara beramai-ramai di kawasan yang sempit, khususnya di dalam pertandingan.
Pastikan juga kawasan pemburuan tersebut tidak terlalu terpencil dan cuba elakkan dari memancing seorang diri. Sekarang ini semakin banyak kes penjenayah mensasarkan pemancing sebagai mangsa samun dan sebagainya.
Kaedah Balingan
Sentiasa pastikan di mana kedudukan batu ladung dan mata kail sebelum membuat balingan. Elakkan dari melakukan balingan sekiranya ada sesiapa yang bergerak di belakang anda.
Cuba elak daripada mengamalkan teknik balingan secara putaran untuk mendapatkan momentum balingan kecuali tiada sesiapa di kiri dan kanan anda.
Pastikan tiada halangan atau sesuatu yang terbelit sebelum melakukan lontaran. Dengan momentum balingan yang kuat, tali pancing atau hujung joran boleh patah sekiranya terdapat halangan.
Jika anda bukan seorang perenang yang baik, sebaiknya jangan lakukan balingan di dalam air melebihi paras pinggang, apatah lagi ketika permukaan laut agak berombak. Risiko ditarik ombak ke tengah laut kemungkinan besar akan berlaku.
Pastikan drag kekili diketatkan sebelum melakukan balingan. Sebaiknya juga alas jari anda dengan plaster atau memakai sarung tangan. Seretan tali sulam dengan mudah menghiris jari umpama mata pisau.
Selepas melakukan balingan, longgarkan drag kekili dan sebaiknya jangan pancangkan jorak melebihi sudut 90 darjah. Sentapan ikan bersaiz monster boleh menyebabkan hujung joran patah.
Sekiranya ingin melakukan lontaran dari dalam air, pastikan kawasan tersebut bebas dari kewujudan ulat bulu laut. Atau sebaiknya jangan berkaki ayam ketika meredah masuk ke dalam air.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...