Berbekalkan roti kosong di cicah bersama sardin yang dibekalkan oleh ibu Afiq tadi, kami bersama menikmatinya sambil berborak kosong. Lebih kurang 15 minit menunggu, joran Mirza disambar. Naik seekor toman lebih kurang 3 kg beratnya.

 

Hari semakin beransur gelap. Ala-ala remang senja. Mirza dan Iddin sibuk memasang unggun api. Nak bagi kawasan terang dan juga menghalau agas kata mereka. Aku pula duduk berborak dengan Afiq dan Haziq. Sedang asyik berborak tiba-tiba aku terdengar bunyi sesuatu yang mencurigakan. Uuuiiii….uuiiii..uiiii. Afiq dan Haziq mungkin tidak terdengar bunyi itu kerana asyik membebel sahaja pasal ikan yang tak makan umpan.

 

Aku cuba mengamati bunyi tu betul-betul. Aku cuba mencari dari manakah arah bunyi tersebut. Hati aku sudah mula rasa tidak sedap. Tetapi untuk tidak melayan perasaan takut itu aku buat tak tahu sahaja. Akan tetapi bunyi itu semakin berlanjutan. Aku tak pandang joran ketika itu. Dalam keadaan bunyi yang mencurigakan tiba-tiba ada tambahan bunyi pula, aku terdengar bunyi budak menangis.

 

“Aduh anak siapa pula itu,” kata hatiku. Bulu romaku semakin meremang. Setahu aku hanya kami berlima sahaja di sini. Tiada pemancing lain. “Aduh ini sudah lebih,” dengusku seorang. Dalam hatiku sudah mula membaca ayat suci Al-Quran terutama ayat kursi.

 

Namun bunyi itu semakin berlarutan. Tiba-tiba datang Mirza. Mukanya agak pucat. Dia duduk sebelah aku. Ada benda yang ingin disampaikannya. Tetapi agar sukar untuk Mirza berkata-kata. Kawan-kawanku yang lain juga perasan akan perubahan Mirza dan segera datang ke arah aku dan Mirza. “Kau kenapa ni Mir,”? soal Haziq cemas. “Ceritalah,” sambung Afiq.

 

Mirza menarik nafas. “Aku perasan ada orang memancing tadi di sebelah sana, aku pun tergur dia, tapi tak sampai 5 saat orang itu hilang betul-betul depan mata aku,” cerita Mirza dalam nada ketakutan. Ketika Mirza menceritakan kejadian itu, kedengaran uuuuuiiii…uuuuiii….uiii bunyi tangisan budak itu berselang-seli dan semakin kuat. Kini bukan sahaja aku seorang yang dengar malah yang lain juga turut terdengar bunyi yang sama.

 

Tanpa berlengah masa, aku terus mengajak kawan-kawanku pulang. Tetapi Afiq dan Iddin enggan pulang. Katanya baru sampai takkan mahu pulang. Akhirnya mereka semua akur dengan keputusan aku yang mahu pulang. Kami semua berkemas dan berjalan keluar dari kawasan itu.

 

Bila sudah hampir dengan tempat meletak motosikal kami, baru aku sedar bunyi itu datang pokok yang paling hampir dengan tempat aku meletak motosikal. Hendak tak hendak aku harus melalui pokok itu untuk mengambil motor. Tapi apa nak buat mesti lalu pokok itu dulu takkan nak terus berdiri di situ. Bertemankan cahaya lampu suluh kami melalui pokok itu. Itu pun lampu suluh meragam. Kejap menyala, kejap tidak. Masa lalu pokok tu hanya Allah yang tahu.

 

Bulu romaku meremang sakan. Masa nak sampai ke motosikal, kami terdengar orang ketawa mengilai panjang. Apa lagi kami semua hidupkan enjin tekan gear dan jalan. Mujurlah enjin senang dihidupkan ketika itu. Aku menjadi orang yang paling belakang. Tak tengok belakang aku terus menunggang dengan tenang. Ingatkan gangguan itu sudah habis, tapi masa turun puncak bukit itu ada berlaku kejadian aneh. Ketika turun dari bukit itu keadaannya memang gelap.

 

Tiba-tiba ada sebuah motosikal yang datang dari arah belakang memotong aku dan rakan-rakan. Lagi pelik motosikal itu tidak berlampu dan dinaiki seorang pakcik tua. Sedangkan kawasan itu gelap. Jika tiada lampu mustahil akan nampak dengan keadaan jalan yang berbukit pula, lagi bahaya.

 

Aku lihat kawan-kawanku juga tidak peduli dengan keadaan itu. Kami terus memandu dengan berhati-hati. Bukit di situ agak curam. Jadi aku menggunakan gear 1 sahaja. Dalam keadaan gelap begitu, kami diuji lagi. Ada sebuah kereta berwarna merah bertembung dengan kami. Kereta itu menuju ke puncak bukit.

 

Masa berselisih dengan kereta itu, aku menjeling untuk melihat apa yang ada dalam kereta itu. Alangkah terkejutnya aku kereta itu tiada pemandu dan di belakangnya ada seorang penumpang yang berambut panjang dengan paras rupa yang menyeramkan. Aku cuba kawal perasaan aku ketika itu. Mulutku tidak berhenti membaca ayat kursi dan 3 qul. Bulu romaku semakin menegak.

 

Kelihatan kawa-kawanku memecut motor laju masing-masing. Aku cuba fokus untuk menunggang dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tanpa melihat kiri dan kanan aku terus memecut laju. Oleh kerana sudah jalan landai, agar lancar perjalanan. Fikiranku hanya mahu sampai ke rumah dengan segera tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

 

Dalam hatiku masih lagi tertanya-tanya siapakah penunggang motosikal tadi? Dan tujuan apakah perempuan itu menuju ke bukit. Mujurlah hanya aku sahaja yang menjeling wanita itu, namun wanita itu tidak menjeling aku kalau tidak, mahu 120km/j aku turun dari cerun bukit itu.

 

Setelah memakan masa hampir 45 minit untuk keluar daripada kawasan itu, akhirnya kami semua sampai di jalan besar. Kami terus mengambil keputusan untuk singgah ke rumah nenek Iddin yang terletak tidak jauh dari situ. Oleh kerana hari sudah larut malam, kami bersetuju untuk tumpang di situ sementara menunggu hari siang.

 

Kebetulan pula,rumah nenek Iddin bersebelahan dengan jirannya berbangsa Cina. Rumah jirannya itu ada anjing. Semasa kami semua mahu masuk ke rumah nenek Iddin itu, anjing tidak duduk diam dan menyalak dengan kuat sambil memandang ke arah kami semua. Mungkin anjing itu tahu akan kehadiran entiti asing di situ.

 

Semenjak kejadian itu, kami berlima tidak lagi memancing di lokasi itu. Kami lebih selesa memilih pot yang ada orang ramai dan mudah meminta bantuan andainya berlaku kejadian yang tidak diingini. Kejadian yang berlaku itu kini menjadi satu memori misteri yang hingga kini sukar untuk dirungkaikan!

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI