Tugas sebagai suri rumah memang tidak pernah habis. Mengurus makan pakai anak-anak dan suami, membasuh, memasak, menyapu, mop sana…mop sini, jadi sekali-skala turun memancing dapatlah release tension kata orang.
Bila pelampung bergedik-gedik, tenggelam timbul, tenggelam timbul dan tenggelam terus maka tunggu apa lagi, teruslah sentap. Nak kau…bapak puyu menggelupur di hujung kail.
Bila ia mengembangkan sirip dan insangnya yang tajam, tak kuasa nak memegangnya. Tak fasal-fasal luka pula kang. Suami yang jadi mangsa. Dialah yang melepaskan mata kial dan memasukkan ikan ke dalam karung.
Ads
Seekor lagi cengkerik dicangkuk pada mata kail. Yang ini hitam pekat warnanya. Bila umpan sudah tenggelam, mata tertumpu ke arah pelampung selipar jepun yang dipotong dadu.
Tiba-tiba pelampung hilang daripada pandangan. Tali tangsi tegang habis. Terus joran teleskopik 8 kaki dirembat ke atas. Melengkung habis kali ni. Mama keli pula yang mengambil giliran untuk berhimpit dengan beberapa ekor puyu di dalam karung plastik beras.
Ads
Umpan dah habis. Tang tinggal Cuma seekor sahaja. Itu pun cengkerik yang sudah penyek.
“Boleh… boleh guna lagi tu,” kata suami. Beberapa saat sahaja cengkerik itu berada di dalam air, seekor ikan selat atau potok (kaum kerabat belida agaknya) berjaya didaratkan dan menggelepar di atas tanah.
Ads
Memancing memang seronok. Boleh jadi ketagih dibuatnya. Sebab itu, ada suami yang ‘tak makan dek saman’. Hujan ke, panas ke, ribut pasir mereka semua tak peduli. Janji dapat tengok air paya, kolam, sungai pun sudah memadai.
“Dapat ikan ke tidak, itu nombor dua,” kata suami saya.
Bila terjebak di dalam dunia memancing ini, rupa-rupanya betullah. Bila ikan dah di hujung jari, terlupa dapur sekejap. Tarik jangan tak tarik!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kebiasaan orang mencari sotong menggunakan kaedah mencandat di laut dan menunggu bulan yang sesuai untuk memburunya.
Berbeza pula bagi yang ingin mencari sotong mengabang (big fin reef squid). Sotong mengabang boleh didapati sepanjang masa, hanya berpandukan kawasan habitatnya dan pasang surut air laut.
Bagi seorang pengilat gewang, sotong mengabang adalah satu lagi cabang yang sangat menguja untuk dicuba.
Teknik mengilat juga seakan-akan sama dengan mengilat ikan sebarau atau ikan raja (peacock bass).
Gewangnya pula kini sangat berevolusi dari dahulu mahu juga peralatan untuk mengilat.
Dengan teknologi moden gewang yang raut dari kayu beralih menggunakan plastik yang lebih tahan kekuatannya.
Gewang untuk mengilat lebih dikenali sebagai squid jig. Dari pelbagai saiz seperti 1.8, 2.0, 2.5, 3.0, 3.5 dan 4.0 . Berat squid jig bergantung pada saiznya.
Semakin besar saiznya semakin berat gewang squid jig. Begitu juga dengan warna gewang squid jig yang sangat menarik dan banyak pilihan.
Penggunaan joran yang panjang adalah satu kelebihan. Ini kerana pengilat dapat melontar gewang squid jig lebih jauh dan menguasai lebih kawasan untuk dicuba.
Bagi mesin pancing bersiri 2000 atau 3000 sudah memadai dan dimuatkan dengan tali utama berkekuatan 10lbs.
Namun hujung tali utama mesti disambung dengan tali perambut sepanjang dua kaki yang berkekuatan 12lbs atau 15lbs untuk mengelakkan geseran pada batu.
Sotong Mengabang boleh didapati di kawasan berbatu, dasar laut berumpai dan benteng pemecah ombak yang menjadi kawasan habitatnya.
Kajian yang dijalankan di luar negara sotong Mengabang jangka hayatnya sekitar 315 hari dan mempunyai tumbesaran yang sangat singkat.
Mampu mencapai 600g dalam tempoh 120 hari dan berat yang pernah dicatatkan 3.4 kg seekor (315 hari ).
Negeri Terengganu, Kelantan dan Johor mempunyai potensi besar untuk mengilat sotong mengabang di negara kita kerana memiliki pantai berbatu, benteng pemecah ombak dan air laut yang jernih.
Pengeluar-pengeluar gewang tersohor dunia seperti Duel, Shimano, Yamashita, Megabass sentiasa berusaha mengeluarkan squid jig yang paling efektif untuk digunakan pengilat dengan konsep-konsep mereka.
Mengilat sotong mengabang memang sangat popular di negara Jepun yang dikenali sebagai eging.
Sehubungan dengan itu, Rasengan Limited berusaha memperkenalkan satu lagi cabang baru dalam arena mengilat di negara kita selain sebarau, ikan Raja, ikan bulan dan toman.
Mereka yang selalu mengilat sotong mengabang boleh berkongsi gambar dengan hasilnya di halaman Facebook page atas nama ‘BigFin Channel’ yang ditubuhkan oleh Rasengan Limited, Jt Anglers dan Juara Tackle.
Bagi yang belum mengilat sotong mengabang pastikan anda mencubanya, ia mengujakan dan sedap dimakan.
Perjalanan kira-kira 80km melalui jalan balak bukanlah menjadi masalah kepada sembilan jentera ‘kereta perang’ grup Memerang Tracker, cuma cuaca hujan renyai berterusan
membuatkan jalan menjadi becak dan beberapa kali juga pacuan empat roda tumpas di lereng bukit.
Setelah seharian meredah hutan dan sungai, akhirnya kumpulan kami tiba di pertembungan sungai di Sangka 3, itu pun hari sudah mendekati senja dengan renyai hujan masih tidak jemu mencurah hutan Jerantut.
Setelah mendirikan kem utama dan mengisi perut lebih kurang, kami memilih untuk berehat dahulu memandangkan kesemua penat bermain kereta sepanjang hari.
Lagi pun trip empat hari, tiga hari lagi sebelum keluar dari hutan.
Esoknya seawal tujuh pagi, masih dalam renyai hujan, kami berpecah kepada beberapa kumpulan dan penulis memilih untuk meranduk ke hulu berbekalkan beberapa keping sesudu untuk mengilat.
Setelah hampir dua jam mengilat, masih belum ada yang sudi menyambar.
Lebih membimbangkan, tidak ada kelibat ikan mahu pun anak-anak ikan melintas berkejar-kejaran.
Ini sesuatu yang pelik memandangkan kawasan seperti ini pasti ada anak-anak ikan melintas.
Entah ada pihak bermain tuba atau tidak, kami memilih untuk berkemas dan bertukar lubuk bagi mengelak pulang dengan gelaran kumpau.
Kami terpaksa korbankan hari kedua untuk turun sedikit ke bawah dan tiba di Lubuk Sg Pertam ketika matahari hampir terbenam.
Pagi hari ketiga, penulis cuba mengilat, namun tidak lama memandangkan hujan berterusan menyebabkan air semakin keruh dan paras air semakin tinggi.
Gagal cubaan teknik mengilat tidak harus dikenang, cubalah teknik bottom asalkan tak kumpau.
Teknik bottom berumpankan cengkerik dan sawit nampaknya tidaklah begitu memberikan hasil lumayan.
Dalam keadaan renyai hujan, hanya baung bersaiz kecil hingga sederhana yang menjamah umpan, yang gadang nampaknya tak berselera.
Pada malam akhir, penulis bersama Mizun dan Wan sekali lagi, kali ini dengan sedikit umpan cacing yang dikorek di kawasan lubuk.
Selepas beberapa ekor baung dan dua ekor keli tumpas, joran Wan ditarik kasar.
Entah spesies apa yang menarik kerana tali dibawa ke reba sebelum terlucut.
Kemudian, joran Mizun yang melentur laju sempat disambar dan karauan laju dibuat.
Setelah beberapa ketika, dalam kepekatan malam dan renyai hujan, seekor kelah merah hampir 1kg tewas di gigi air.
Nah, hanya berumpan cacing.
Dalam bergembira dengan kelah tersebut, sekali lagi rod Mizun ditarik sebelum seekor lagi kelah, kali saiz lebih kecil, berjaya didaratkan juga berumpankan cacing.
Betullah perkiraan kami sebelum itu, kalau mengilat tak dapat, main bottom pun jadilah.
Setidak-tidaknya, dua ekor kelah tersebut sedikit sebanyak menjadi pengubat dalam trip ini. Tidaklah kami berangkat pulang dengan membawa gelaran kumpau.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Persiapan untuk memancing 3 hari di perairan Pulau Tioman siap diatur untuk 3 orang kenalan lama dari luar negara.
Tempahan dan deposit bot memancing, hotel penginapan dan peralatan pancing lengkap untuk kegunaan 4 orang pemancing diuruskan seperti yang dikehendaki mereka.
“Kami datang dengan tangan kosong. Keperluan semua tolong uruskan,” itu pesanan ringkas yang diterima melalui e-mel.
Memandangkan banyak perkara dan keperluan perlu diuruskan, cara terbaik ialah sediakan senarai check list lengkap supaya tiada yang tercicir nanti.
Ini termasuk kepingan jig ringan yang diperuntukkan untuk kegunaan lima orang sepanjang trip. Kos peralatan pancing sudah mencecah ribuan ringgit.
Bagi mereka ini itu soal kecil sahaja kerana tujuan utama adalah memancing sambil melancong di Malaysia sekali sekala.
Setiap tahun mereka bertandang ke mari dan memilih untuk memancing ke destinasi berbeza. Hanya menanti masa yang dijanjikan.
Kali ini agak mencabar sedikit kerana trip ini berlangsung pada bulan Ramadan.
Lebih mencabar lagi ketika di laut hanya saya seorang sahaja yang berpuasa, banyak telan air liur tatkala melihat mereka teguk jus minuman dan buah-buahan di tengah kepanasan.
Hari Pertama
Malah hari pertama memancing angin selatan membuak lebih dari kebiasaan menurut kata tekong.
Ini terbukti kesukaran untuk mencari umpan setiap kali melewati kawasan unjam.
Percaturan awal ialah memancing layaran di hari pertama, kemudian bergerak ke Tioman untuk bermalam di sana.
Hari kedua kami merancang untuk berjigging di sekitar laut Tioman dan hari ketiga berdasarkan kepada keputusan dua hari pertama.
Bergerak dari Kuala Rompin menuju ke lokasi pada hari pertama sudah menampakkan kesukarannya.
Desiran angin dan percikan air sentiasa membasahi pemancing di dalam bot ketika dalam perjalanan.
Begitu pun, tiada tanda-tanda menampakkan kerisauan di kalangan mereka ini, maklumlah semangat dan penantian untuk memancing di laut selama ini baru sahaja bermula 30 minit yang lepas.
Masa sudah melepasi 2 jam pertama, semangat membara ketika tekong berusaha berpindah dari satu unjam ke satu unjam mencari kumpulan anak ikan.
Dua unjam pertama kami keletihan terpaksa melepaskan semula umpan hidup, mana tidak hanya ikan kunyit dan kerapu kecil menjamah apollo.
Unjam berikutnya terasa cerah sedikit harapan apabila dapat juga beberapa ekor selar dan tamban untuk mencari layaran.
Permukaan laut beralun di hembus angin dari arah selatan menyukarkan kami untuk mengesan ikan layaran. Tanpa kehadiran burung camar lebih merumitkan.
Minggu sudah layaran di kesan berada di sekitar laut Merchong. Lokasi kami pula di laut Tokong Burung.
Walaupun agak jauh dari lokasi layaran berada pada musim itu namun bot sebelah kami berjaya menerima sambaran layaran.
Dalam kekalutan, ikan berjaya meloloskan diri dan kami berharap yang lain sudi dengan umpan yang masih hanyut jauh di belakang bot.
Turut menerima kesan ialah aktiviti jigging kerana minat ikan terhadap umpan tiruan ini jatuh merudum. Tiada sambaran walaupun semua jenis dan warna jig dicuba.
Kena pula di bulan Ramadan, nak lebih-lebih bahang mentari terus menitikkan peluh.
Menyedari peluang mengintai layaran tipis, tekong menyarankan agar berpindah.
Satu persatu unjam kami singgah, jigging sambil melepaskan umpan hidup di belakang bot. Akhirnya sekor tamban yang baru dihulurkan terus sahaja menerima sambaran di pertengahan air.
Apabila melihat haruan tasik yang mengena, semua memandang sahaja sebelum menyarankan tekong lepaskan ia.
Selang pada itu sekor selar yang baru dipikat dengan apollo mengambil tempatnya pada mata kail yang kosong. Kini giliran selar pula berjaya memikat pemangsa.
Rakan saya, Antonio yang dari awal begitu sabar menanti sentapan ikan tanpa melengahkan masa menggenggam joran.
Baru nampak sedikit senyuman apabila sekor tenggiri pula mencuri tumpuan kami.
Usaha untuk mencari mangsa seterusnya berjaya tetapi berlainan spesies pula. Giliran todak pula bertali arus membedal umpan ikan hidup.
Umpan punyalah susah nak dapat, dapat umpan todak pula yang balun. Kami terpaksa beredar awal menuju ke arah Tioman memandangkan laut sedemikian memakan masa yang lama untuk sampai ke pulau.
Lebih merumitkan ialah kami sendiri tidak tahu di mana lokasi resort yang ditempah oleh geng pancing saya.
Akhirnya jumpa juga setelah terpaksa bertanyakan kepada penduduk pulau yang sedang memancing. Resort yang ditempah pun agak eksklusif juga dan jetinya betul-betul tepat dengan arah angin selatan yang melanda.
Sukar untuk merapatkan bot di tepi jeti bagi pemandu bot yang tiada pengalaman.
Setelah berjaya menurunkan kelima-lima geng saya di resort berkenaan, saya dan tekong kemudiannya sekali lagi meredah alun menuju ke marina di Kampung Tekek untuk berbuka puasa dan bermalam di sana.
Selesai hari pertama memancing dalam kesukaran sambil berharap hari berikutnya akan lebih bermakna.
Hari Kedua
Awal pagi kami berdua bergerak ke jeti Japamala Resort untuk mengambil geng pancing saya.
Kali ini tinggal 4 orang sahaja setelah wakil China tewas dengan alun semalam. Wakil Itali, Taiwan dan Indonesia masih bersemangat meneruskan cabaran di hari kedua.
Keadaan laut sepertimana semalam malah lebih power sedikit. Ikut hati nak je memancing di kawasan tepian pulau yang terlindung angin tetapi terpaksa jaga etika bila berkunjung di taman laut lebih-lebih lagi bila kita membawa bersama pelancong atau pemancing luar.
Nak tak nak redah juga laut beralun mencari spot memancing. Mimpi ngeri jadi kenyataan apabila hasil lebih teruk dari semalam.
Puas mencuba dengan segala teknik walaupun umpan hari kedua lebih mudah diperolehi. Macam-macam umpan ada, selar, tamban sisik, tamban bulat, kembung, sotong cumit, lolong dan ikan kerisi.
Semuanya sepi tanpa sambaran yang boleh hangatkan suasana. Terpancar sedikit kerisauan tekong melihat hasil sedemikian. Belum pernah terjadi.
Bagaimanapun ini tidak melemahkan semangat kaki pancing luar yang pertama kali bertandang di Tioman dan akur dengan faktor alam. Mungkin tidak kali ini, pasti akan ada hari mendatang ujar mereka lagi.
Sejuk hati melihat mereka redha dengan musibat hari itu dan akur dengan masalah deruan angin yang bertambah kencang menjelang tengah hari.
Sebulat suara bersetuju menamatkan sesi memancing hari kedua lebih awal dan membatalkan misi untuk hari ketiga berpandukan ramalan angin tidak mungkin berhenti dalam sehari dua.
Tiada siapa yang mereka salahkan dan mungkin kunjungan kali ini pada waktu yang kurang tepat.
Misi kami sebelum ini boleh dikatakan berjaya memperoleh ikan yang disasarkan. Mereka memilih untuk berehat di Tioman menghabiskan dua hari berikutnya.
Sempat juga geng ini mencari spot untuk memancing ikan air tawar pula selepas puasa nanti. Pastinya mereka akan berkunjung sekali lagi dalam waktu terdekat ini.
Kami kemudiannya sekali pagi terpaksa menempuh perjalanan sukar menuju ke Kuala Rompin. Inilah hakikat memancing kadang kala kita terasa kegagalan tetapi tidak bagi mereka yang memahami dan mendalami erti kata kumpau yang sebenarnya.
Kepuasan memancing bukan setakat ikat yang dipancing tetapi bila dapat naik bot, hulur pancing sambil bersembang seloka semasa menunggu sambaran sudah mampu mengukir senyuman buat pemancing sejati.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...