Tugas sebagai suri rumah memang tidak pernah habis. Mengurus makan pakai anak-anak dan suami, membasuh, memasak, menyapu, mop sana…mop sini, jadi sekali-skala turun memancing dapatlah release tension kata orang.
Bila pelampung bergedik-gedik, tenggelam timbul, tenggelam timbul dan tenggelam terus maka tunggu apa lagi, teruslah sentap. Nak kau…bapak puyu menggelupur di hujung kail.
Bila ia mengembangkan sirip dan insangnya yang tajam, tak kuasa nak memegangnya. Tak fasal-fasal luka pula kang. Suami yang jadi mangsa. Dialah yang melepaskan mata kial dan memasukkan ikan ke dalam karung.
Ads
Seekor lagi cengkerik dicangkuk pada mata kail. Yang ini hitam pekat warnanya. Bila umpan sudah tenggelam, mata tertumpu ke arah pelampung selipar jepun yang dipotong dadu.
Tiba-tiba pelampung hilang daripada pandangan. Tali tangsi tegang habis. Terus joran teleskopik 8 kaki dirembat ke atas. Melengkung habis kali ni. Mama keli pula yang mengambil giliran untuk berhimpit dengan beberapa ekor puyu di dalam karung plastik beras.
Ads
Umpan dah habis. Tang tinggal Cuma seekor sahaja. Itu pun cengkerik yang sudah penyek.
“Boleh… boleh guna lagi tu,” kata suami. Beberapa saat sahaja cengkerik itu berada di dalam air, seekor ikan selat atau potok (kaum kerabat belida agaknya) berjaya didaratkan dan menggelepar di atas tanah.
Ads
Memancing memang seronok. Boleh jadi ketagih dibuatnya. Sebab itu, ada suami yang ‘tak makan dek saman’. Hujan ke, panas ke, ribut pasir mereka semua tak peduli. Janji dapat tengok air paya, kolam, sungai pun sudah memadai.
“Dapat ikan ke tidak, itu nombor dua,” kata suami saya.
Bila terjebak di dalam dunia memancing ini, rupa-rupanya betullah. Bila ikan dah di hujung jari, terlupa dapur sekejap. Tarik jangan tak tarik!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Berau merupakan salah satu daripada kabupaten (daerah) di provinsi Kalimantan Timur, Indonesia.
Dengan keluasan 34,127 kilometer persegi , ia hampir menyamai keluasan negeri Pahang (35,960 kilometer persegi).
Untuk menjejakkan ke Berau dari Malaysia haruslah menaiki dua penerbangan (sekarang ini 3 penerbangan).
Dari KLIA ke Sultan Aji Muhamad Sulaiman International Airport (Sepinggan Airport, Balik Papan, Kalimantan Timur) dan seterusnya ke Kalimarau Hero Domestic Airport, Berau yang memakan masa 50 minit perjalanan.
Jika melalui jalan darat dengan jarak 580 kilometer, ia akan menelan masa sekurang-kurangnya 13 jam.
Dari Tanjung Redeb (ibu kota Berau) ke Kecamatan Kelay pula haruslah meredah jalan darat pergunungan sejauh 100km dengan tempoh perjalanan sekitar 3 jam.
Buka Jalan
Melalui Azuan Man @ Pak One yang sering ke Berau atas urusan kerja, satu trip dibuka dalam grup Whatsapp Alucast.
Tidak sampai setengah jam kuota 7 orang pemancing segera terisi. Saya agak bernasib baik apabila 2 orang pemancing terpaksa menarik diri dan tempat tersebut segera ditempah sebelum impian yang sekian lama terpendam terus berendam lagi.
Setelah melalui jalan udara, jalan tar, jalan tanah merah dan melelapkan mata buat seketika, keesokan paginya kami berlapan (Pak One, Haji Salleh, Haji Din, Nik, Bujeng,
Anhar dan Blue) barulah memulakan perjalanan sebenar menerusi jalan air ke rangkaian sungai di pergunungan Berau.
Hari pertama
Empat buah bot pancung enjin ekor biawak digunakan dalam ekspedisi rangkaian sungai pergunungan Berau ini.
3 buah digunakan untuk membawa pemancing dan sebuah lagi berperanan sebagai kargo. Perjalanan mudik ke hulu sungai merentas jeram-jeram kecil berbatu yang cetek airnya ke tapak perkhemahan yang memakan masa hampir 2 jam pula.
Tiba di tapak perkhemahan di tebing sungai yang landai dan berbatu, waktu sudah menjelang tengah hari.
Setelah berehat seketika mengisi perut dengan ala kadar barulah sesi yang teramat sangat dinantikan menjelma.
Dua buah sampan menongkah ke hulu dan sebuah lagi menghilir dengan kaedah casting sambil berhanyut.
Destinasi mudik ke hulu adalah lubuk berjeram yang merupakan spot kegemaran Pak One.
(Video : Jeram yang banyak dihuni sebarau saiz badong)
Sejurus tiba, masing-masing tidak menunggu lama untuk melepaskan keterujaan yang sekian lama terpendam.
Sebarau Berau ternyata bukan gurau apabila salah seorang boatman menjadi individu pertama berjaya mendaratkan dan memperkenalkan sebarau Berau dengan skala saiz 4 kilogram.
Sememangnya saiz sebarau Berau bukan gurau. Setelah hampir 20 tahun saya melibatkan diri dalam dunia hanyir, inilah buat pertama kali saya melihat dengan mata kepala sendiri sebarau yang selayaknya digelar badong!
Sebarau yang dilepaskan kembali ke lubuknya itu menjadi inspirasi kepada kami untuk memburu lesen sebarau Berau.
Setelah agak lama tanpa lesen, kami tongkah ke hulu lagi sehingga ke penghujung jeram cetek yang gagal diharungi sampan dan berhanyut turun sambil casting.
Sebelum lewat petang dan menamatkan sesi memancing hari pertama, saya berjaya juga memperolehi lesen sebarau Berau anggaran 3 kilogram.
Sekitar 4 jam sesi memancing pada sesi hari pertama, hampir 50 peratus ahli gagal untuk memperoleh lesen sebarau Berau.
Namun ia bolehlah dianggap sebagai sesi pemanas badan kerana masih ada 3 hari lagi untuk casting sampai lebam.
Sementara itu Pak One awal-awal lagi sudah memperbaharui lesen tersendiri. Bukan lesen sebarau sebaliknya lesen sapan! Sapan adalah nama tempatan bagi kelah merah.
(Video : Aksi Pak One di jeram kegemarannya)
Hari Kedua
Hujan di bahagian hulu menyebabkan paras air sungai sedikit meningkat dan keruh. Berbekalkan makan tengah hari kami terus ke lubuk jeram.
Dua buah sampan berhenti di lubuk jeram dan sebuah lagi terus menongkah ke hulu.
Memadai hanya setengah hari, bukan saja kesemua ahli berjaya memperoleh lesen sebarau Berau malah lesen sapan juga.
Hanya di satu lubuk sahaja, berbelas ekor sebarau berjaya didaratkan dan saiz-saiznya seperti sukar untuk dipercayai. Semuanya purata saiz 3 hingga 5 kilogram.
Jumlah tangkapan sebarau dan sapan terus meningkat apabila sesi memancing dengan sampan diteruskan sehingga lewat petang.
Sekali gus menjadi hari terbaik kepada semua ahli trip.
Hari Ketiga
Hari ketiga kami mengambil keputusan menghilir keluar sambil memancing untuk ke sungai utama dalam rangkaian sungai pergunungan berau.
Sungai yang lebih luas dan panjang. Meskipun banyak masa dihabiskan dalam perjalanan dan sempat memancing beberapa jam sahaja.
Dari segi kuantiti tangkapan agak merosot sedikit, namun rekod tangkapan sebarau dan sapan terbesar dengan skala saiz melebihi 6kg berjaya didaratkan.
Hari Terakhir
Sementara pada hari keempat yang merupakan hari terakhir, sesi pancingan agak santai sambil berhanyut keluar dan kembali ke pangkalan di perkampungan para boatman.
Sejurus tiba di pangkalan pada lewat senja, kami segera bergerak pulang ke hotel penginapan di Tanjung Redeb melalui jalan bukit pergunungan yang sempit dan mendebarkan.
Berehat dan bermalam seketika sebelum bangkit di awal pagi agar tidak terlepas penerbangan ke Balik Papan dan seterusnya terbang ke tanah air.
4 hari memancing terasakan begitu pantas berlalu.
Tiada kenangan pahit yang dibawa pulang melainkan manis-manis belaka. Semanis isi sapan yang menjadi santapan kami sepanjang bergurau di Berau, sebarau Berau bukan gurau!
Apa kata pemancing:
Azuan Man aka Pak One
“Setelah beberapa kali melakukan trip survey dan terbukti sebarau berau bukan gurau adalah realiti, saya rasakan umpama satu dosa yang tidak terampun sekiranya saya sendiri saja yang menikmatinya tanpa membuka peluang kepada rakan-rakan pemancing lain.”
Nik Mahalil
“Trip freshwater terbaik setakat ini yang pernah saya sertai. Alhamdulillah… Merasalah jugak casting kelah menggunakan gewang.”
Shuk Rahim
“Kerjasama serta ukwah di antara para peserta menjadikan trip ini bukan setakat berjaya malah menjadi satu pengalaman dan kenangan manis yang tak dilupakan. Guide tempatan juga wajar dipuji dengan servis yang diberikan.”
Haji Salleh
“Trip yang sangat tidak mendukacitakan. Memang cukup teruja dan puas hati dengan tarikan ikan yang mega-mega. Sebarau 4.5 kg… Kelah 5.5 kg. Memang pengalaman yang tidak dapat dilupakan.”
Bujeng
“Pada setiap lontaran terasa macam ada bapak-bapak ikan yang akan membaham! Memang tak jumpa yang saiz S seolah-olah ikan-ikan di sini beranak… Bukannya bertelur!”
Anhar
“Satu pengalaman yang terlalu abstrak untuk diceritakan. Bagaimana mahu diungkapkan apabila anda menikmati realiti dalam fantasi anda.”
Persiapan Dalam tempoh 24 jam juga beliau maklumkan hasil pencariannya itu dan tanpa berlengah saya menempah tiket penerbangan ke Kota Kinabalu.
Dengan berbaki masa kurang dari 15 hari sebelum tarikh penerbangan itu, saya maksimumkan masa yang dengan mengumpul maklumat pancingan black bass atau tembaring serta kelengkapan yang sesuai.
Untuk maklumat tentang pancingan BB ini, saya tak perlu khidmat Mr. Google. Sebaliknya cuma perlu ke Fisher Tackles yang berdekatan dengan pejabat, port kaki-kaki pancing berkumpul.
Pasti ada caster yang pernah atau baru pulang dari trip kanai di Sabah. Dalam masa yang sama dapat juga saya meminjam atau membeli barangan memancing dengan diskaun harga istimewa.
Dan memandangkan saya bergerak secara solo dan akan menimbulkan masalah logistik, saya bercadang untuk menggunakan travel rods saja.
Nasib saya agak baik apabila diberi peluang oleh Sea Tackle untuk menguji pakai prototype Kewl Pesca Grande traveling rod yang dikemas kini. Saya turut dibekalkan dengan gewang berstatus `tahyul’ Ofmer X-Deep yang menjadi fenomena di Sabah.
Disamping itu turut mencuba gewang Classic Lure yang bakal meletop serta So’do Tokwan. Perjalanan Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, saya dijemput oleh Shahrul (rakan pemancing yang dimaksudkan) yang sudah hampir setahun bertugas di sini. Setelah mengambil Arie dan Adie, rakan pemancing tempatan, maka bermulalah perjalanan darat yang panjang.
Jarak antara Kota Kinabalu ke Sri Ganda yang terletak dalam kawasan Kota Kinabatangan hanya sekitar 450 kilometer sahaja. Lebih kurang Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu sahaja.
Namun disebabkan faktor geografi khususnya di Kundasang dan Ranau yang bergunung-ganang, dan jalan lading sawit sejauh 70 kilometer, ia memakan masa sekurang-kurangnya 7 jam untuk sampai ke Sri Ganda, destinasi memancing yang bakal menjadi fenomena.
Untuk tempoh sekurang-kurangnya 7 jam inilah saya sempat menimba sedikit ilmu memancing dari Arie dan Adie sebelum mereka ketiduran. Ilmu pancingan tembaring atau kanai dan siakap merah (mangrove Jack @ MJ) atau dalam dialek Bajau disebut pengeket.
Salah satu teknik yang saya pelajari adalah teknik mencangkul BB atau MJ keluar dari persembunyian.
Iaitu dengan cara merejam atau melontar gewang secara keras ke permukaan air di kawasan bangkar (reba) atau ruang di celah perdu nipah dan rimbunan akar bakau.
Tujuannya bukan untuk menakutkan ikan Sebaliknya mengejutkannya agar menyedari kemunculan gewang tersebut dan membahamnya.
Hampir jam 6.30 pagi kami tiba di Homestay Sri Ganda yang terletak berdekatan jeti. Kami disambut dengan ramah oleh pemilik homestay, Micheal Iting atau nama muslimnya, Muhammad. Sambil bersarapan kami diberi taklimat ringkas berkaitan keselamatan ketika memancing oleh beliau dan ketua kampung merangkap boatman kami.
Tepat jam 7.15 pagi, dengan 2 buah sampan kayu berenjin 30 kuasa kuda, kami menyusur Sungai Sri Ganda dan delta Sungai Kinabatangan. Shahrul berpasangan dengan Adie bertekongkan ketua kampung manakala saya dan Arie menggunakan khidmat Amran – tekong merangkap handline caster!
Pencarian lesen dan rekod
Tidak sampai setengah jam sesi bermula, dalam pada casting sambil memberi tunjuk ajar spot dan angle yang harus dicangkul, Arie membuktikan kejaguhannya dengan mendaratkan seekor spesies target.
Ikan pertama dah pun kanai. Sedikit sebanyak meredakan tekanan saya untuk mencari lesen berikutan tarikh yang dipilih kurang bagus kerana disebabkan oleh faktor pasang surut yang tinggi.
Dua jam berlalu tanpa sebarang hasil, akhirnya gewang yang saya gunakan disambar pemangsa dengan agak kasar. Namun yang berjaya didaratkan adalah pengeket saiz hidangan. Hanya selepas 3 jam kemudian barulah saya dapat lesen.
tu pun bukan lesen B Full… Sebaliknya BBB (baby black bass). Dari segi kuantiti, sempat jugalah saya mendahului Arie buat seketika, selepas itu hampir semua spesies ikan yang beliau naikkan termasuklah spesies BB juga… balukang basar (belukang besar).
Jam 6.30 pagi pada hari kedua, kedua-dua tekong berkomitmen tinggi sudah menanti kami di jeti. Bunyi awal sangat tapi 6.30 pagi di Sri Ganda dah terang benderang.
Pada hari kedua ini bertekad dan akur untuk menggunakan gewang tahyul saja. Sudah dapat lesen B penuh barulah boleh nak menguji gewang-gewang lain pula.
Namun sekali lagi faktor pasang surut air memainkan peranan utama. Arus semakin laju dan ia sangat mempengaruhi hasil tangkapan. Hampir jam 3 petang, saya hanya mampu mendaratkan seekor belukang manakala kuantiti pengeket yang Arie perolehi juga sangat berkurang.
Ketika mencuba nasib di satu kuala terusan yang agak cetek, saya dan Arie beberapa kali rabut dan tak lekat. Apabila memasuki terusan tersebut, Arie berjaya menjinakkan seekor MJ yang agak kasar. Saya mencuba nasib di spot yang Arie memperolehi dan terus menerima sambaran yang agak ganas. Drag mula bekerja mengawal larian ikan.
Jantung saja juga bekerja lebih deras berikutan set yang saya gunakan ketika adalah set untuk melayan bulan-bulan (tarpon). Tali sulam yang digunakan Cuma 6lb dan leader 10lb. Adrenalin kian meningkat apabila mangsa memperlihatkan kelibatnya. Mungkin disebabkan kawasan itu bebas bangkar, nasib berpihak kepada saya. Akhirnya berjaya juga saya memperolehi lesen B penuh.
Petang itu saya kembali ke jeti dengan senyum lebar. Walau gagal menandingi gabungan Shahrul dan Adie yang memperoleh BB yang lebih besar, yang pastinya Sri Ganda membekalkan saya kenangan manis untuk dibawa pulang ke Semenanjung. Semanis pengeket masak 3 rasa yang dicangkul dari bangkar.
Setelah sekian lama spesies ikan patin atau patin Chao Phraya mendominasi podium kejuaraan dalam pertandingan memancing atau cabaran memancing bulanan yang dianjurkan oleh Kolam Seri Bayu Tekala, akhirnya ikan pacu (yang merupakan spesies sasaran suatu ketika dahulu) kembali merampas takhta dan berada di puncak podium.
Dalam pertandingan memancing, Cabaran Bulan Kemerdekaan (Ogos), anjuran kolam Seri Bayu Tekala yang dilangsungkan Ahad lalu menyaksikan ikan pacu yang didaratkan oleh peserta dari Labu, Negeri Sembilan yang mendaftarkan nama sebagai LBJ 21 seberat 14.460 kg, pada jam 11.12 pagi (kolam 5) muncul sebagai juara. Dengan kemenangan tersebut, LBJ 21 membawa pulang wang tunai sebanyak RM55,000.
Begitu juga dengan pemenang di tangga kedua. Seekor ikan pacu dengan berat 14.315 kg (hanya dibezakan 0.145 kg atau 145 gm) yang didaratkan di kolam 2 pada jam 11.44 pagi (berselang 32 minit) oleh peserta yang mendaftar nama sebagai DAUD ZARAH, terpaksa berpuas hati di podium kedua dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM12,000 ke Tanjung Malim.
Manakala di podium terakhir atau tangga ketiga dimenangi oleh peserta yang mendaftarkan nama sebagai POK CIK dari Petaling Jaya. POK CIK berjaya mendaratkan seekor ikan patin seberat 12.930 kg (kolam 2) sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM 5,000.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...