Pertandingan memancing Cabaran Memancing November 2017 Seri Bayu Tekala yang berlangsung di kolam memancing Seri Bayu Tekala, Semenyih yang berlangsung Ahad lalu sekali lagi menerima sambutan hangat dari para pemancing serata tempat.
Pertandingan yang bermula dalam cuaca mendung menyaksikan ikan-ikan yang mampu menduduki podium (spesimen berat 13 kg ke atas) agak perlahan `membuka mulut’ untuk memakan kepelbagaian umpan yang ditaburkan. Sehinggalah jam 9.15 pagi atau kira-kira 45 minit selepas pertandingan bermula barulah suasana bertukar hangat apabila pemancing dari Banting, Selangor yang mendaftarkan nama sebagai BTG 1 mendaratkan seekor ikan patin seberat 14.085 kg.
Untuk tempoh kurang dari satu jam peserta dari Banting ini menduduki puncak podium. Apabila matahari mula membahang dan suasana mula hangat, peserta dari Seremban yang mendaftarkan nama sebagai ALEX yang memancing di Kolam 4 muncul di kaunter urus setia bersama spesies patin yang agak lumayan saiznya. Spesimen seberat 16.665 kg tersebut secara automatik meletakkan ALEX di puncak podium mengatasi BTG 1 dengan tempoh pertandingan berbaki kira-kira tiga setengah jam.
Ads
Setengah jam kemudian carta tiga ranking teratas berubah lagi apabila pemancing yang mendaftarkan nama sebagai RAYDON dari Kolam 5 berjaya memintas kedudukan BTG 1 namun gagal memintas ALEX dengan tangkapan seekor patin seberat 14.805 kg.
Ads
Tamat pertandingan menyaksikan ALEX kekal di puncak podium dan membawa pulang ganjaran tunai RM52,000. Sementara RAYDON meraih RM12,000 dan BTG 1 berpuas hati di kedudukan ketiga dengan membawa pulang RM6,000.
Ads
Menurut Ariff Johari selaku pengurus bersama kolam memancing Seri Bayu Tekala selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang, pihak kolam akan menganjurkan pertandingan penutup tirai 2017 dengan menawarkan RM80,000 bagi pemenang utama dan bakal berlangsung pada 10 Disember nanti.
Carta Top 10
ALEX – Patin 16.665 kg (RM52,000)
RAYDON – Patin 14.805 kg (RM12,000)
BTG 1 – Patin 14.085 kg (RM6,000)
YC 4 – Patin 13.880 kg (RM1,000)
SERI AMIRA – Patin 12.890 kg (RM500)
GL – Patin 12.880 kg (RM500)
UNCLE – 12.840 kg (RM500)
KFFT 2 – Patin 12.630 – (RM400)
SAHIRA – Patin 12.550 kg (RM400)
BDK PULAU – Patin 12.475 kg (RM400)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Pulau Ketam yang terletak berhampiran Pelabuhan Klang merupakan satu lokasi yang bertunjangkan perikanan sebagai sektor industri utama. Selain itu, pulau yang mempunyai sejarah tersendiri ini menjadi salah satu spot yang mempunyai daya tarikan berteraskan ekopelancongan bagi negeri Selangor.
Lebih dikenali kerana industri perikanan komersial, Pulau Ketam turut menawarkan alternatif bagi kaki pancing sekitar Lembah Klang untuk datang ke sini. Dahulunya, sangkar ikan di sini mampu menarik minat pelancong untuk datang ke sini.
Hari ini, beberapa sangkar ikan di sini turut menawarkan pakej bagi kaki pancing untuk melepaskan gian merasa tarikan ikan di samping menjadi spot menarik untuk bercuti bersama keluarga.
Salah satu sangkar terapung di sini yang boleh dikunjungi oleh kaki pancing ialah Greenway Floating Fish Farm atau sering juga dikenali sebagai Kelong Greenway di kalangan kaki pancing. Kelong ini merupakan satu lokasi yang lengkap dengan fasiliti dan merupakan spot alternatif yang menarik bagi kaki pancing selain jaraknya yang mudah diakses.
Lokasi Greenway Fish Farm ini terletak berhampiran dengan perairan Pulau Ketam. Perjalanan menaiki bot mengambil masa kira-kira 20 minit dari Jeti Pelabuhan Klang yang memang menyediakan perkhidmatan untuk ke sini. Menurut Vincent, pemilik Greenway Fish Farm, chalet ini sememangnya terapung dan dipegang oleh sauh yang besar.
Pada awalnya, pembinaan sangkar ini untuk tujuan ladang ikan atau ternakan ikan secara komersial. Setelah beberapa tahun, Vincent mengatakan Greenway Fish Farm ini telah ditranformasi sepenuhnya untuk tujuan tarikan percutian keluarga terutamanya kaki pancing. Tambahnya lagi, ini bertujuan agar kaki pancing dapat memancing dengan lebih selesa di sini.
Di sini, anda dapat merasai kehidupan seharian di laut. Malah bagi kaki pancing, anda boleh memancing 24 jam jika berkunjung ke sini. Dengan kemudahan fasiliti yang lengkap, pasti memberikan keselesaan kepada keluarga dan anak-anak. Kedalaman air di sini agak dalam iaitu kira-kira 40 kaki di bawah sangkar atau chalet ini.
Chalet atau bilik yang disediakan di sini agak selesa bagi kunjungan keluarga. Terdapat 2 jenis bilik iaitu bilik tingkat atas dan tingkat bawah. Satu bilik tingkat bawah mampu memuatkan 4 orang dewasa dan bagi kaki pancing, bilik bawah lebih sesuai kerana lebih mudah akses untuk anda melakukan aktiviti memancing. Bilik di tingkat atas pula memuatkan 2 orang untuk satu bilik.
Sumber air tawar pula diambil dari tanah besar dan pihak Greenway sentiasa memastikan bekalan air tawar mencukupi. Keadaan bilik air pula sangat memuaskan dan bersih. Bagi sumber tenaga elektrik, pihak pengurusan menggunakan generator dan bekalan elektrik cuma beroperasi dari jam 6:30 petang hingga 7:00 pagi.
Selain itu, beberapa kemudahan lain juga turut tersedia. Antaranya ialah hammock yang sangat sesuai untuk berehat santai sambil menikmati tiupan angin laut. Terdapat juga tempat untuk melakukan barbeku jika anda mahu menikmatinya pada waktu malam bersama keluarga tau rakan-rakan. Bagi kaki pancing pula, banyak rod holder dipasang untuk memudahkan anda meletakkan rod semasa memancing.
Trip ini sebenarnya lebih kepada mengenal kawasan dan mengenal pasti lubuk-lubuk ikan bagi tujuan pemeliharaan terkawal pada masa-masa mendatang. Dengan bantuan dari tiga orang rakan Orang Asli atau `Star Geng’ bagi panggilan mereka di sekitar Semenyih kami memulakan perjalanan dengan menaiki motosikal.
Jalan yang dilalui cukup mencabar, melalui jalan belakang pinggir hutan, ladang kelapa sawit dan melalui bekas jalan pembalakan dan seterusnya sehingga lereng-lereng bukit hutan. Dianggarkan memakan masa sejam perjalanan sehingga sampai di satu tempat.
Seterusnya kami terpaksa trekking atau berjalan kaki kerana motosikal tidak boleh memasuki kawasan sungai dan bukit tinggi. Selama satu jam lebih lagi memakan masa dengan pendakian 3 buah bukit akhirnya kami sampai di destinasi hulu Jeram Berembun.
Kami tiba sudah lewat petang jadi kami segera mendirikan khemah, membuat unggun api dan lain-lain perkara sebelum malam menjelma yang menyukarkan untuk melakukan sebarang kerja.
Pada malam hari kami mula memancing. Target saya adalah untuk mencari ikan keli limbat batu. Memandangkan kami tidak membawa set pancing moden, maka kami hanya menggunakan joran bertam berumpan cacing tanah. Kami mula mencari lubuk atau celah-celah batu yang tiada arus untuk melabuhkan umpan.
Tidak perlu menunggu lama… kami sudah berjaya memperoleh hasil. Ikan sasaran iaitu keli limbat batu sudah mengena. Ada juga di antara kami yang menggunakan umpan biskut dan roti yang digaul hancur untuk mencari spesies ikan sisik seperti tengas dan spesies ikan batu yang lain.
Lewat malam barulah kami berehat untuk menghilangkan penat. Kami akan menyambung aktiviti memancing pada keesokan harinya.
Waktu subuh sehingga matahari mula menampakkan sinar adalah waktu paling sesuai untuk menjerat tengas. Dari hasil pancingan kami juga berjaya mendapatkan beberapa spesies tengas yang agak kasar. Ini menandakan bahawa kawasan sungai hutan pegunungan ini masih ada penghuninya yang boleh dibanggakan.
Kami juga sempat memasak sedikit hasil untuk merasa bagaimana nikmatnya hasil alam dengan keadaan cuaca yang sejuk, nyaman dan jauh dari kebisingan kotaraya. Selesai makan tengah hari kami mula mengemas barang untuk berangkat pulang.
Gabungan idea dan konsep melancong sambil memancing amat menarik minat kumpulan saya berdasarkan cerita-cerita daripada rakan pemancing yang sudah berpengalaman memancing di Pulau Aur. Lokasi memancing di sini yang terkenal dengan keindahan pantai dan taman laut menguatkan semangat kami untuk mengalami pengalaman memancing sedemikian.
Maka bot Tuna Biru menjadi pilihan kami untuk merealisasikan hajat kami ke sana. Selepas mendapatkan nombor yang perlu dihubungi, kami pun mengatur jadual dan membuat tempahan 3-4 bulan awal kerana terlalu banyak permintaan tempahan dengan jadual yang padat dari pemilik bot.
Kami seramai 8 orang dari KL tiba pada hari yang dijanjikan. Tanpa membuang masa, kami terus berjumpa dengan tekong Sham yang kelihatan masih muda tetapi kaya dengan pengalaman. Selepas memunggah barang ke dalam bot, kami terus menuju ke Pulau Aur yang mengambil masa kira-kira 5 jam perjalanan.
Sebelum kami mula memancing. Bot Tuna Biru singgah di unjam berhampiran untuk sesi apollo ikan umpan. Memang mudah untuk memancing appollo di sini. Apollo kami sering full house di unjam yang singgah.
Dengan pantas ia memenuhkan stok umpan hidup kami. Selepas kami tamat sesi apollo, kami mula melakukan teknik trolling. Dengan menggunakan gewang tundaan Rapala magnum red head, kami trolling berhampiran unjam. Diketahui di kawasan unjam memang menjadi tempat menghendap bagi ikan-ikan pelagik seperti ikan tenggiri dan alu-alu.
Selepas bot berpusing-pusing beberapa kali di kawasan unjam, kami menerima satu strike yang padu. Dengan penuh cermat kami melayan tarikan ikan, akhirnya seekor ikan tenggiri berjaya didaratkan. Kami menyambung lagi sesi trolling di kawasan tersebut dan hasilnya beberapa ekor ikan tenggiri lagi dan belitong berjaya didaratkan.
Selepas puas melayan tarikan ikan di unjam, kami berpindah berhampiran perairan Pulau Aur untuk memancing dasar. Tekong akan mensasarkan kawasan lubang dan karang yang kaya dengan ikan.
Selepas 45 minit perjalanan, bot berlabuh di kawasan karang. Maka bermulalah sesi memancing dasar pula. Memandangkan kedalaman air sedalam 60-70 meter, tekong mencadangkan kami menggunakan perambut dua mata berkekuatan 60 lb dan batu ladung bersaiz 14.
Dengan berumpankan isi sotong dan ikan kembung hasil apollo sebelum ini, dengan mudah kami berpesta ikan kerapu. Saiznya juga amat memuaskan sekitar 1kg-2.5kg. Sekali sekala ada juga rakan kami yang berjaya memperoleh kerapu seberat anggaran 4-5kg. Kami memancing sepuas hati pada hari pertama trip ini berlangsung dan apabila hampir pukul 5 petang kami bergerak menuju ke Pulau Aur.
Apa yang menarik tentang trip ini ialah, jumlah kos memancing yang telah dibayar oleh kumpulan kami merangkumi kos penginapan chalet dan makan minum. Setibanya di pulau ini, kami dibawa bersiar-siar terlebih dahulu menaiki speed boat di sekitar Pulau Aur.
Kemudian barulah kami berlabuh di Pulau Dayang yang terletak bertentangan dengan Pulau Aur. Chalet yang disediakan amat selesa dengan kemudahan yang sangat memuaskan.
Selepas kami check-in di chalet, kami menikmati keindahan pantai pulau tersebut. Ada juga beberapa orang rakan kami yang tidak menahan keinginan untuk bermandi manda serta bersnorkeling di tepi pantai. Memang mengujakan!.
Ada juga lebih bersantai-santai di pantai sambil merehatkan badan dan menikmati air kelapa muda di tempat rehat yang disediakan. Selepas kami membersihkan diri, kami dijemput oleh tekong dan awak-awak untuk menikmati makan malam bersama mereka.
Lubuk Merah dan Kerapu
Hari kedua, seawal 6.00 pagi kami terus keluar dan menuju ke lubuk yang berikutnya. Dengan teknik perambut 2 mata seperti semalam, kami mula menurunkan umpan secara perlahan-lahan.
Apabila umpan sampai ke dasar dengan pantas rod kami menunjukkan ada tanda getuan ikan memakan umpan yang diturunkan. Rakan-rakan yang lain juga mengalami situasi yang sama. Nampak gayanya ikan-ikan di sini amat pelahap.
Ikan merah, ibu kerisi dan ikan kerapu berjaya didaratkan di lubuk ini. Selepas puas melayan ikan di sini, kami bergerak ke lokasi yang lain. Pelbagai ikan yang menghuni karang berjaya kami naikkan tanpa perlu menunggu lama. Kami meneruskan rutin memancing sehingga petang dan pulang ke chalet seperti semalam. Tanpa disedari kami hampir memenuhkan tong-tong kami.
Hari ketiga kami menyambung rutin kami seperti hari-hari sebelum ini. Memandangkan ini hari terakhir kami memancing bersama Tuna Biru, kami akan memancing sambil menuju pulang ke jeti.
Pelbagai ikan lagi berjaya kami daratkan pada hari ke terakhir. Tepat pukul 3 petang kami tiba di jeti di Bandar Mersing. Ikan kami bahagikan sama rata kepada semua ahli trip dan sempat singgah membeli keropok lekor yang terkenal di Mersing. Selepas selesai urusan kami di sini, kami bergerak pulang menuju ke Kuala Lumpur.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...