Jika dikaji, ikan berkelompok ini mendiami kawasan terbuka atau berstruktur sama ada kapal karam, unjam tengah laut, tiang mahupun kawasan yang dipenuhi anak ikan pelagik.
Sifatnya mendiami kawasan di bawah permukaan air hingga 300 kaki adalah sukar untuk ia menggunakan bantuan batu karang di dasar untuk memperdaya pemancing. Andainya jika laut terbuka maka lebih seronok bertarung dengannya menggunakan peralatan ringan.
Salah satu ciri utama yang perlu ada pada peralatan yang anda gunakan ialah kelancaran spool bagi membenarkan tali utama meluru keluar pada peringkat permulaan.
Ads
Ramai pemancing laut dalam tidak memperdulikan washer break pada spool menyebabkan setengahnya tidak beroperasi dengan lancar. Servis peralatan sebelum guna. Secara peribadi saya syor menggunakan kekili spinning kerana senang umpan dilontarkan ke sasaran.
Sebagai ikan pelagik, pepisang pasti memburu di permukaan dan pertengahan air. Cara terbaik ialah hanyutkan umpan tanpa pemberat atau dengan pemberat kecil sekadar menenggelamkan umpan di pertengahan air.
Disebabkan ia adalah spesies tidak bahaya atau bergigi tajam, usahlah gentar pakai tangsi mono sahaja sebagai perambut utama. Tali perambut tangsi biasa boleh digunakan dan disyorkan antara 40 lb-70lb. Tanpa perambut dawai kecuali alu-alu mahupun tenggiri turut sama berminat dengan lontaran umpan pemancing.
Ads
Mata kail perlu keras, kuat dan tajam untuk menusuk kukuh dalam mulutnya agar ia tidak terbuka apabila ikan ini meronta dengan kuat. Mata kail sesuai bersaiz 2/0 hingga 4/0, untuk memudahkan lebih sesuai guna ‘suiside hook’ kerana lekatan 95% berlaku pada bahagian bibir ikan sahaja. Jika hendak lepaskan kembali ia ke habitat asal kadar hidupnya lebih tinggi.
Pengamatan saya ikan pepisang bukanlah spesies culas dan bijak meninjau mangsa (cermat), ia bantai sahaja sama ada perambut tangsi atau dawai tanpa mengira jumlah mata kail yang terpacak pada umpan.
Ads
Umpan terbaik selain anak ikan hidup ialah sotong (hidup atau mati) dan ikan mati. Hirisan ikan kurang sesuai kerana ia gemar umpan seekor sesuai dengan teknik hanyut yang diamalkan.
Kini, teknik paling menyeronokkan melayan ikan ini adalah melalui teknik moden iaitu jigging. Dengan mengamalkan teknik jigging ringan (light jigging) anda akan memperoleh kepuasan yang sebenar.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Teknik jigging perlahan merupakan teknik khusus untuk menggantikan teknik pancingan dasar bagi memburu ikan-ikan bersisik yang bersifat demersal. Terdapat pelbagai spesies ikan demersal namun dalam sukan memancing jigging perlahan yang berkonsepkan pancingan ikan dasar, terdapat beberapa spesies yang menjadi sasaran utama.
Jenak / Jenahak
Dalam disiplin jigging perlahan, ia merupakan ‘ikan sisik’ yang berada di ranking paling atas dalam spesies buruan utama. Bahkan dalam sesuatu trip jigging perlahan, trip berkenaan boleh dianggap gagal atau kumpau jika gagal mendaratkan jenahak berikutan ia merupakan spesies utama sasaran dalam aktiviti ini.
Nama saintifik: Lutjanus Johnil
Nama Inggeris: Golden Snaper, John’s Snapper
Nama Tempatan: Jenahak, jenak, ungah
Ikan yang tergolong dalam keluarga Lutjanidae ini merupakan spesies yang paling popular dalam 60 genus lutjanus yang memakai nama jenahak. Ikan jenahak boleh hidup sihat dan berenang bebas di kawasan laut beriklim tropika dan sub-tropika. Ia mampu membesar sehingga satu meter panjang dan seberat 13 kilogram. Ia mudah dikenali dengan tompok hitam bulat di bahagian belakang badannya.
Boron / Tong gas
Boleh dikatakan, setiap pengamal slow jigging berhasrat untuk menundukkan kerapu boron atau tong gas ini. Walaupun daya juangnya cuma seketika namun aksinya selepas membaham jig itulah yang dirindukan. Pasti ramai pecinta jigging perlahan merindui aksi benamannya dalam usaha melarikan diri setelah tersangkut mata jig.
Nama saintifik: Epinephelus malabaricus
Nama Inggeris: Malabar Grouper
Nama tempatan: Kerapu, boron, tong gas
Kerapu mampu survival dalam pelbagai habitat. Ia mampu hidup di kawasan terumbu karang, terumbu berbatu, muara, kawasan paya bakau serta lautan hingga kedalaman 150 meter. Boron atau turut digelar ‘tong gas’ merupakan hidupan laut yang lasak. Dengan kepala coklat dan badan panjang.
Badannya dilitupi bintik hitam kecoklatan yang meningkat jumlahnya seiring usia. Ia mampu membesar sehingga 120 cm dan 150 kilogram berat.
Siakap Merah
Ia merupakan ikan sisik yang dianggap sebagai ikan trofi jika berjaya mendaratkannya. Dalam disiplin jigging perlahan, kakap merah dianggap rare species berikutan peluang untuk mendaratkannya amat tipis walaupun berpuluh kali trip memancing diadakan. Hingga dikatakan hanya jigger tahap masta saja yang bejaya mendaratkannya.
Nama saintifik: Lutjanus argentimaculatus
Nama Inggeris: Mangrove jack
Nama tempatan: Kakap merah, siakap merah, tambong
Ikan kakap merah atau lebih popular dengan panggilan MJ di kalangan pemancing lazimnya hidup di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan. Apabila matang ia akan berhijrah ke laut lepas. Justeru ia menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pemancing untuk membezakan kakap merah yang didapati di muara dengan kakap merah di laut dalam.
Kaci
Dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini hampir tidak tersenarai dalam buruan utama berikutan ia pernah dianggap tidak membaham jig kecuali jig yang ‘berumpan’. Namun tentangan yang diberikan kaci sehingga ke permukaan membuatkan ia kini menjadi spesies yang ingin diburu.
Nama saintifik: Diagramma pictum
Nama Inggeris: Grunts (sweetlips)
Nama tempatan: Kaci, mandi abu
Ciri-ciri untuk mengenali kaci atau mandi abu ini memiliki 9-10 duri pada sirip dorsal, 20-24 tompok sinar lembut. Kaci juvana atau sub dewasa memiliki tompok atau jalur. Ia mampu membesar sehingga 100 cm namun saiz biasa yang ditemui sekitar 45 cm.
Dalam dunia memancing khususnya pancingan kolam air masin, kaci ini lebih merujuk kepada panggilan kakap merah.
MERAH PUCAT
Ia merupakan spesies buruan utama dalam dunia pancingan dasar. Namun dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini masih menjadi satu persoalan yang tidak terjawab sama ada ia benar-benar membaham jig. Atau dalam erti kata lain, bukannya jig hybrid atau jig yang diletakkan umpan. Namun peluang untuk memperolehnya dengan menggunakan jig sahaja tetap ada terutamanya ketika ia kelaparan.
Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama Inggeris: Crimson Snapper
Nama tempatan: Merah, merah pucat
Spesies yang mudah dikenali berikutan keseluruhan badannya termasuklah sirip berwarna merah atau merah jambu. Profil dorsalnya berkepala curam dan bermulut kecil. Ia mampu membesar sehingga 60 cm namun pada kebiasaannya yang didaratkan dalam lingkungan saiz 45 sahaja.
Ibu Gelama
Dalam skop jigging perlahan masa kini, ibu gelama dianggap sebagai spesies buruan paling atas masa kini. Ia berikutan bukan sahaja kerana kesukaran untuk memperolehinya, bahkan disebabkan tahap kekuatan pertarungannya yang luar biasa berbanding spesies. Seperkara lain, ibu gelama yang lazimnya ditumpaskan melalui teknik slow jigging ini, saiznya besar-besar belaka.
Nama saintifik: Argyrosomus japonicus
Nama Inggeris: Mulloway, Jewfish, Kingfish
Nama Melayu: Ibu gelama
Argyrosomus japonicus adalah spesies ikan berwarna keperakan dan hijau gangsa yang tergolong dalam keluarga Sciaenidae. Di Australia ia dikenali sebagai mulloway atau jewfish dan kob dusky di Afrika Selatan. Ibu gelama ini mampu mencapai panjang kira-kira 180 cm (80 kg berat), walau bagaimana pun purata saiz yang biasanya ditangkap sekitar 3-15 kg.
Memancing boleh menjadi antara aktiviti sukan yang paling mengujakan, namun boleh juga menjadi aktiviti yang paling mengecewakan kalau tak dapat walau seekor anak labi-labi! Antara sebab tak dapat ikan adalah kerana kesilapan yang dilakukan sebelum atau semasa memancing.
Mari tengok kesilapan dan cuba elakkan dari melakukan kesilapan-kesilapan yang boleh dielak ketika anda menyertai trip pancing.
Tali Pancing Mereput
Ramai yang tidak mengambil serius keadaan tali utama. Tali yang telah lama kebanyakan akan luka atau berbulu. Mungkin keadaan tali tidak mempengaruhi peratus strike, namun menjadi faktor utama kegagalan anda untuk mendaratkan ikan terutama bersaiz besar.
Mata Kail Tak Sesuai
Mata kail tidak diciptakan untuk semua keadaan pancingan. Terdapat mata kail yang berbeza bentuk, mata tunggal atau mata tiga dan saiz. Pastikan anda tahu spesies target anda dan pilih mata kail yang bersesuaian.
Set Pancing Tak Sepadan
Seperti mata kail, penggunaan padanan rod dan kekili juga haruslah bersesuaian. Setiap spesies pasti mempunyai set yang sesuai untuk memancing. Anda tentu tidak menggunakan set bangla untuk memancing puyu bukan?
Kapasiti Tali Tak Cukup
Kuantiti tali utama perlulah bersesuaian dengan keadaan pancing dan juga kekili. Setiap kekili biasanya mempunyai anggaran kiraan kuantiti tali yang sesuai untuk dimasukkan ke dalamnya. Selain itu, tali utama yang pendek atau tidak mencukupi juga sering kali membuatkan anda menepuk dahi setelah ikan terlepas.
Tali Tak Seimbang Dalam Spool
Pastikan susunan tali di dalam spool tidak bersilang atau bertindih dalam aturan yang tidak betul. Keadaan ini sering kali membuatkan anda berputih mata. Jika anda merasakan ada yang tidak kena ketika balingan, periksa kembali tali utama anda terutama bagi kaki casting.
Tali Terbenam Dalam Spool
Ramai yang masih tak menyedari pentingnya memasukkan tali ke dalam spool dengan betul-betul kemas dan ketat. Terutamanya pada reel BC, tali yang tidak padat ini akan menyebabkan ia akan terbenam dan bersilang sekaligus tersangkut apabila menarik beban yang besar.
Cara Pengendalian Tangkapan
Ikan yang tewas selepas pertarungan mungkin kelihatan lemah, namun ia masih mempunyai tenaga akhir untuk membuat pecutan ketika anda mahu membuang mata kail. Pengendalian tanpa sarung tangan bukan sahaja mampu membuat anda berputih mata, namun meninggalkan anda dengan kecederaan akibat sirip atau gigi yang tajam sebagai salam perkenalan.
Tak Percaya Pada Tekong
Ketika trip memancing, amat penting untuk mendengar saranan dan nasihat daripada tekong atau guide. Ini kerana, mereka lebih tahu dan berpengalaman dengan spot yang dibawa. Jangan terlalu ego dan nak tunjuk terer seolah-olah anda tahu segalanya atau seolah-olah anda telah memancing di situ setiap hari.
Banyak Buang Masa
Memancing memang aktiviti untuk baik untuk mengisi masa lapang. Namun jika anda pergi memancing sekadar untuk berborak, makan dan minum, itu membuang masa namanya. Walaupun bersantai, pastikan anda tahu objektif utama anda.
Asyik Tukar Gewang
Ya, anda mempunyai banyak koleksi gewang di dalam kotak gewang anda. Namun, ketika memancing, menukar gewang anda sepantas kilat dan terlalu kerap merupakan kerja sia-sia. Secara tidak langsung, terlalu sekejap gewang anda berada di dalam air dan membuatkan ikan target anda hilang minat.
Istilah mengolok sememangnya popular di Pantai Timur terutamanya Terengganu. Mengolok lebih menjurus kepada teknik menunda atau trolling umpan. Dalam pancingan ikan tongkol ini, mengolok tongkol adalah perbuatan menunda umpan (apolo) bagi menjerat ikan tongkol.
Mata apolo berangkai biasanya 20-100 mata dilabuhkan di belakang bot yang sedang bergerak merentasi kawasan yang dikenal pasti adanya tongkol. Saiz mata yang digunakan sekitar pada saiz 10-15. Anak perambut disyorkan 40-60lb setiap satu diikat pada ibu perambut 100-200Ib. Tali perambut 300lb untuk tali utama.
Jika lebih dari 20 ekor tongkol menyambar dalam satu-satu masa, 2 hingga 3 orang diperlukan untuk menarik kumpulan tongkol yang tersangkut pada mata appollo tersebut .
Selain itu apolo yang dijual (maksimun 6 mata) boleh digunakan dengan syarat perambut tersebut mestilah melebihi 30lb. Warna bulu yang digunakan untuk membuat apolo tongkol biasanya warna putih (warna bilis) dan sekarang ini warna putih, kuning dan merah turut digunakan.
Awak-awak akan menurunkan set ngolok sepanjang 15-18 meter ini tatkala bot akan menghampiri kawasan unjam. Setelah mendapat isyarat daripada tekong perambut ngolok ini dilepaskan di belakang bot sama ada di sebelah kanan atau kiri bot dan kadang-kala mereka mengolok di kedua-dua sisi bot.
Ikan-ikan tongkol yang menggelepar di lantai bot dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam raga. Apabila raga penuh, ikan dicurahkan ke dalam tong ais sebagai bekalan umpan sepanjang sesi memancing. Isi ikan tongkol mengandungi banyak darah dan kuat baunya antara penyebab kenapa ia begitu cepat ‘memanggil’ penghuni dasaran.
Jika tidak untuk mencari umpan bagi sesi memancing, teknik ngolok ini turut dilakukan oleh nelayan bagi menangkap ikan tongkol.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...