
Serbuk roti yang lebih popular dalam industri makanan, mungkin bahan yang pelik bagi sesetengah pemancing jika dibabitkan dengan industri pemancing.
Apatah lagi jika dikatakan bahawa ia boleh digunakan sebagai bahan umpan memancing.
Serbuk roti sebenarnya hampir sama fungsinya dengan dedak makanan ikan yang biasa digunakan untuk membuat umpan memancing.
Namun sifat serbuk roti yang kosong tanpa rasa ini sebenarnya sangat berkesan terhadap perisa umpan jika digunakan ke atasnya.
BAHAN-BAHAN
- 1kg serbuk roti
- 1 paket NS Power (Serbuk Perisa Pandan)
- Pes Perisa Pandan Original
- Umpan Sos Serai
LANGKAH 1
Masukkan serbuk roti ke dalam bekas atau tong bancuhan umpan.
LANGKAH 2
Campurkan 1 paket NS Power dan gaul hingga sebati dengan serbuk roti.
LANGKAH 3
Tuangkan 5 penutup perisa pandan kelapa original. Sebaiknya sapukan pada dinding bekas agar dapat digaul dengan lebih mudah.
LANGKAH 4
Masukkan pula 3 penutup Sos Umpan serai dan gaul hingga sebati.
LANGKAH 5
Renjis-renjis air pada serbuk roti dan digaul hingga adunan menjadi sedikit lembab. Pastikan jangan terlebih air agar adunan tidak menjadi keras apabila selepas dipam.
LANGKAH 6
Cucukkan jajan pada mata kail. Sebaiknya gunakan jajan yang kecil.
LANGKAH 7
Masukkan hujung perambut Y ke dalam lubang bawah pam kemudian masukkan adunan serbuk roti.
LANGKAH 8
Letakkan kedua-dua mata kail di bahagian tengah pam dan kemudian masukkan serbuk roti sehingga penuh.
LANGKAH 9
Setelah itu ketatkan penekan pam sehingga betul-betul padat.
LANGKAH 10
Setelah dibiarkan kira-kira 5 minit, barulah buka penutup pam bahagian bawah dan pulas tangkal pam sehingga adunan terkeluar.
LANGKAH 11
Umpan serbuk roti pam yang siap untuk dimainkan dengan teknik dasar batu mati.
Konsep Memancing Paling Popular Perairan Port Klang

Selain pancing dasar atau jigging, teknik bottom drifting atau lebih senang disebut sebagai MENOTOK merupakan kaedah memancing popular di perairan Selat Melaka. Ia lebih menyerupai teknik bottom dari segi pancingan namun bot atau sampan tidak bersauh, sebaliknya berhanyut atau drifting seperti teknik jigging.
Di laluan kapal yang sibuk seperti perairan Pelabuhan Klang sememangnya berbahaya untuk bersauh, maka teknik menotok adalah kaedah paling selamat dan berkesan untuk menaikkan spesies dasar berharga seperti jenahak, merah atau kerapu.
Biasanya tekong akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike. Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Lokasi popular laluan kapal dikenali sebagai Paloh. Paloh 1 merupakan laluan kapal keluar masuk Pelabuhan Klang, Paloh 2 ialah laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang. Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, barulah peralatan pemancing digunakan. Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas.
Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal. Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb. Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup. Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok.
Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik. Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekaligus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja. Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga.
Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain. Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter. Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar.
Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya. Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang. Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Pedoman memancing kelong – part 3!!

Setelah memahami teknik memancing, satu lagi perkara penting ialah kedudukan balingan. Bukan semua tempat keliling kelong mampu memberikan hasil.
Bagi beberapa kelong contihnya di Lukut, kawasan yang menghadap pintu muara dan Pelabuhan Port Dickson adalah yang terbaik untuk teknik menghanyut.
Banyak rekod yang terhasil dan pernah mendapat tenggiri 5kg.
Kawasan menghadap pantai mempunyai batu karang di sasarnya dan menjadi tumpuan untuk pancingan dasar pada waktu malam.
Kawasan menghadap laut lepas pula berdasar lumpur dan pasir. Kawasan ini mampu menghasilkan kerisi, sembilang, ketuka, tengkerong, gelama dan bebolos sebagai penambah hasil tangkapan.
Kawasan bersebelahan tandas pula menjadi tumpuan untuk menghanyut umpan ketika air surut dan mencari tamban hidup menggunakan apollo.
Bahagian bawah kelong juga berpotensi mendapatkan hasil seperti mentimun, mempasir, sembilang karang, bayan, anak gerong belang, gerut-gerut dan pelbagai lagi ikan yang pelik dan berwarna-warni beruman umpun-umpun dan hirisan ikan.
Bagi set memancing pula, disarankan penggunaan kekili bersaiz 3000 ke atas yang dipadankan dengan joran 7-15 kaki panjang.
Joran panjang memberi kelebihan untuk membuat lontaran jauh dan mengawal ikan dari menyusup ke tiang kelong.
Tali utama pula biarlah bersaiz 30-40lb mengikut kesesuaian kekili. Jangan lupa ikat joran kerana pernah joran 13 kaki yang dibiar tanpa diikat terbang disentap ikan.
Bagaimana pula cara untuk memastikan umpan hidup bertahan lama? Kebanyakan kelong di Malaysia biasanya tidak mempunyai pukat tangkul untuk mencari umpan pada waktu malam dan tidak juga disediakan dengan tong khas untuk umpan hidup.
Di sini kami gunakan kolam mandi kanak-kanak untuk mengatasi masalah ini.
Kolam yang diisi air laut dan dibekalkan oksigen pam bateri memadai untuk diletakkan umpan hidup semalaman, tetapi ada pantangnya.
Jangan sesekali mencelup tangan untuk mengambil umpan. Gunalah tangguk kecil dan ini penting untuk menjamin ketahanan umpan. Jika perlu tukar air selang 6 atau 7 jam.
Seperkara lagi ialah tanggungjawab kita sebagai pemancing di kelong. Saya dapati ramai yang mengambil sikap sambil lewa mengenai hal kebersihan dan keselamatan di atas kelong.
Mata kail dan apollo yang tidak digunakan selalunya disangkut di merata-rata tempat dan mampu mengundang kecederaan terutamanya jika ada kanak-kanak di atas kelong.
Sampah sarap pula dibiar bertaburan yang kemudiannya akan jatuh ke laut di tiup angin. Sampah ini akan hanyut ke pesisir pantai atau pintu muara dan mengotori pemandangan di sana.
Perairan Lukut juga merupakan kawasan laluan dan cari makan bagi penyu dari spesies karah.
Sekiranya bernasib baik, kita akan dapat melihat sang penyu berenang di sekitar kelong.
Jadi plastik sampah yang dihanyutkan tadi mungkin boleh mengundang bahaya kepada spesies ini.
Plastik yang hanyut akan kelihatan seperti obor-obor, antara makanan utama penyu dan sekiranya termakan, sang penyu akan mati tercekik.
Jadi sedar atau tidak kita menjadi penyumbang kepada pembunuhan penyu.
Kenali Pokok Bertam Dan Cara Buat Joran Batang Bertam

Bertam atau nama botaninya Eugeissona tristis merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga palma yang tumbuh serumpun. Anatomi bertam seakan-akan salak dan kelubi dari segi saiz batang dan durinya. Lazimnya pokok bertam digunakan sebagai atap pondok atau rumah tradisional, namun tidak ramai yang tahu ia juga boleh digunakan sebagai joran memancing.
Bagi pemancing yang lahirnya di bandar dan kawasan pantai, pasti tidak tahu akan wujudnya teknik pancingan begini. Namun bagi anak desa, ia merupakan teknik pancingan yang sangat popular dan saya percaya, ramai kaki pancing yang ada pada hari ini, masa kecilnya belajar memancing menggunakan joran bertam.
Batang bertam sesuai dijadikan joran memancing kerana tumbuhan ini tidak mempunyai batang berkayu, justeru ia sangatlah ringan. Strukturnya adalah teras seumpama gabus yang disalut kulit yang keras seumpama buluh.
Batang bertam yang hendak dijadikan joran akan dipilih berdasarkan lapang pancingan. Bagi pancingan tali air, joran yang pendek pada kadar 5-6 kaki diperlukan. Bagi pancingan paya, kolam dan sungai, joran sehingga 10 kaki diperlukan.
Kriteria utama pemilihan adalah batang yang lurus dan tua. Bertam yang muda sangat lembut, kurang sesuai untuk dijadikan joran. Sewaktu menebang bertam, berhati-hati dengan duri di sekitar batangnya.
Bertam yang sudah ditebang perlulah dibuang daun dan durinya, namun dua helai daun perlulah ditinggalkan sedikit untuk tujuan mengikat tali pancing. Ia berfungsi sebagai penahan tali pancing agar tidak terlucut dari ikatan.
Potongan di hujung joran pula adalah berdasarkan saiz ikan sasaran anda. Bagi ikan-ikan kecil di tali air khususnya, hujung joran perlulah dipotong menghampiri pucuk bertam bagi memudahkan kita mengesan getuan halus ikan, terutamanya yang menggunakan ladung.
Manakala bagi ikan sasaran melebihi 1kg, anda perlu memotong hujung joran menghampiri pangkalnya kerana ia lebih besar dan kuat.
Bertam yang sudah ditebang seelok-eloknya dijemur selama 3 hingga 7 hari untuk mengeringkan bendalir di dalam terasnya. Joran perlu disandarkan pada dinding atau pokok. Untuk mendapatkan batang joran yang lurus, bertama perlu digantungkan pada pokok yang tinggi dengan tambahan pemberat di pangkal joran.
Joran bertam yang sudah kering memiliki daya lenturan yang tinggi. Percaya atau tidak, kami pernah mendaratkan patin seberat 2kg dan juga labi-labi dengan hanya menggunakan joran bertam. Sedikit teknik perlu dilakukan kerana umum mengetahui patin gemar melakukan henjutan di saat-saat akhir, apatah lagi dengan menggunakan joran yang mustahil untuk tali keluar mengikut rentak ikan.