
Micro jig merupakan teknik yang menggunakan kepingan besi yang mempunyai renangan seperti ikan di dalam air. Kepingan besi itu biasanya bersaiz 3-30gram sebab itulah ia digelar micro jig.
Untuk mengaplikasikan teknik micro jig ini padanan joran dan kekili juga haruslah seimbang. Joran dari P.E 0.6 hinggalah 1.0/1.5 dengan hujungnya yang sensitif adalah yang terbaik untuk digunakan. Kekili pula yang biasa digunakan ialah bersaiz 1000 – 2500 yang dipadankan dengan tali braided 0.6 – 10lb.
Untuk menggunakan teknik ini, pemancing harus tahu menggayakan micro jig anda. Saiz jig yang perlu digunakan haruslah bergantung kepada arus pada waktu itu. Jika arus agak laju, gunakanlah jig yang lebih berat dan begitulah sebaliknya.
Untuk teknik micro jig di rumah rakit / kelong, pemancing haruslah mengetahui kawasan yang berpotensi (karang atau tukun) untuk menurunkan jig anda. Caranya mudah saja, dengan hanya melepaskan jig hingga ke dasar, dan unjun jig tersebut beberapa kali (2-3 kali).
Dan kemudian gulung sedikit dan mainkan kembali jig itu. Selepas beberapa gulungan, jika tiada sambaran, lepaskan kembali jig itu ke dasar dan ulang semula permainan jig berkenaan. Jika kena pada tempat dan waktunya, pasti ada sambaran yang anda dapat. Selamat mencuba!!!
Kitab Panduan Pancingan Muara – Bab Akhir!!

Ketika pembinaan pelabuhan barat banyak lubuk dan lokasi kapal karam tempat tumpuan memancing dimusnahkan, laluan diperdalam untuk memudahkan kapal dagang masuk ke pelabuhan.
Pesisir pantai dan hutan bakau digondolkan dan diganti dengan jeti dan dermaga siap sekali dengan papan tanda “Kawasan Larangan Memancing”.
Itu juga satu revolusi!!! Dalam erti yang menyakitkan hati.
Pecah Tabung
Sampai bila nak sewa sampan, kalau diikutkan jumlah sewa yang dileburkan selama ini sudah tentu dapat bayar deposit bot dan enjin baru.
Kalau nak keluar seketul duit bukan senang, wang simpanan masih sedikit. Sambil buat perancangan mencari sampan dan enjin sendiri.
Aktiviti memancing tebing dilebihkan sambil mengurangkan sewa sampan.
Setidak-tidaknya ada sedikit wang untuk merealisasikan impian kemudian hari. Masa berlalu begitu pantas walaupun kadang kala bosan menghantui ketika menunggu sentapan ikan yang tak kunjung tiba.
Memancing adalah kepuasan minda, bukan kepuasan mata, soal dapat ikan atau tidak bukan perkara pokok, yang penting dapat melapangkan fikiran di hujung minggu setelah otak penat bekerja.
Maki hamun, tekanan, perasaan marah dan kejengkelan terhadap boss dari Isnin hingga Jumaat dapat dilepaskan selepas jam 1800 Jumaat.
Minda dah ‘free’ sebaik sahaja minggu kerja berakhir. Persiapan dan perancangan dibuat sehari dua sebelum masuk hujung minggu.
Contact dengan rakan sekaki dalam dunia pancing turut dibuat bagi merencana perancangan yang telah dibuat.
Sambil memancing, kepala dok asyik fikir bila nak merasa sampan sendiri pula.
Pasal lubuk, selok-belok dah tahu serba sedikit Kemahiran mendayung, menjala dan mengemudi enjin sampan juga dipertingkatkan.
Tunggu masa sahaja sementara guna sampan sewa.
Pasang Telinga
Memandangkan tabung tak cukup penuh, pasang telinga di sekitar pangkalan mana tahu ada yang hendak jual sampan dengan enjin.
Puas menunggu akhir terungkai apabila ada kaki pancing ingin menjual sampan kayu 17 kaki bersalut fiber dengan enjin 15hp.
Harga agak murah ketika itu. Bila dah kemaruk melanda tanpa usul periksa sambar sahaja.
Bila selesai urusan jual beli, tak sabar menunggu saat dan waktu pertama kali untuk menggunakan sampan sendiri.
Hari pertama menggunakan sampan sendiri cukup mengujakan. Buat permulaan hanya kawasan berdekatan dengan pangkalan sahaja yang dikunjungi sementara mengilap kemahiran.
Semakin lama semakin memberanikan diri bertandang ke lokasi lebih jauh kononnya. Enjin kecil setakat sekitar Pulau Ketam sahaja yang mampu di kecapi.
Lapuk dek panas, kuyup dek hujan sudah lumrah apabila bersampan tiada bumbung berlapik petak kayu lantai usang sehingga kematu bontot.
Tapi sudah cukup baik memancing bersama teman. Biasalah bila menggunakan enjin berserta sampan kecil selalu kena potong, lebih marah bila kena potong tang selekoh anak sungai.
Ini tidak boleh jadi suatu hari pasti nak cari sampan yang gadang sikit. Langit tidak selalu cerah apabila lepas satu persatu enjin buat hal.
Ini belum masuk kes sampan hampir tenggelam akibat hujan lebat semalaman.
Paling bengang ialah apabila semua barang siap dipunggah ke dalam sampan bersedia untuk keluar memancing, start enjin tak nak hidup.
Berpeluh satu badan hingga terpaksa buka baju di tengah panas mengerjakan enjin meragam. Sampai habis separuh tenaga barulah enjin berkepuk-kepuk hidup.
Dalam perjalanan sekali lagi ia mati di tengah laluan bot.
Habis kudrat enjin terus diam sehingga terpaksa ditunda balik ke pangkalan oleh kenalan yang kebetulan baru balik memancing.
Kopak lagi duit asyik dok membela enjin yang sudah layak masuk muzium.
Sampan akhirnya reput begitu sahaja apabila menanti spare part enjin yang tidak kunjung tiba. Kos baik pulih pula lebih baik dapatkan yang baru.
Pecah tabung lagi apabila mangsa seterusnya ialah sampan gentian kaca berukuran 19 kaki dengan injin 25hp berusia lebih dari 4 tahun.
Baru ada semangat sikit, enjin baik sampan dah boleh muat bertiga.
Bumbung berlipat mudah alih juga dipasang bagi memutihkan sedikit kulit yang sudah gelap terbakar oleh sinaran cahaya terik. Kata orang dari tetanda dapat pula jenahak, dari sembilang mengintai gemang, selalu gelama sesekali mengintai temerih.
Banyak sikit barang termasuk peti ikan, dapur ketika bermalam boleh dimuatkan dalam sampan.
Kalau setakat Pulau Ketam tu mainan sahaja, minyak satu tong pergi balik pun tidak habis. Lepas ini berani meneroka lubuk-lubuk baru hingga ke Pulau Angsa.
Pantang dengar sahaja kawasan ada potensi terus diterjah dengan hati kering. Malah rumah api Permatang Sedepa (One Phantom Bank) juga dilawati dengan enjin 25hp tanpa ada perasaan takut.
Ketika itu berpandukan kompas dan Rumah Api Bukit Jugra sebagai pedoman sahaja.
Nak dijadikan rezeki ada kenalan bagi pinjam terus GPS miliknya kerana beliau langsung tak tahu pakai, tahu beli sahaja katanya.
Pantang dapat ikan di satu-satu lokasi, kedudukan kordinat berkenaan terus dilog dalam GPS.
Ada GPS tidak akan lengkap kalau tiada sonar. Terpaksalah labur sedikit duit beli sonar hitam putih terpakai asalkan dapat lihat struktur dasar sudah memadai.
Ketika itu dah rasa cukup sempurna aktiviti memancing. Pantang ada cuti kawasan Delta Klang dijelajahi bagi memenuhi masa lapang.
Sehinggalah enjin 25hp dimamah usia beroperasi, ada tanda-tanda semput.
Beberapa kali turun naik ke bengkel akhirnya tiba waktunya ia terus melekat. Nak baiki mahal, akhirnya timbang kati.
Sekali lagi terpaksa menebing sambil memendam rasa sementara mengumpul duit menggantikan enjin yang baru.
Trip Throwback – Memujuk Sebarau Bawah Jambatan!!

Selepas beberapa siri perbincangan, saya, adik saya Mat Salleh, Asri dan adiknya Ayim, bercadang ke lokasi kegemaran kami yang digelar ‘Lubuk Bawah Kolong’ untuk menduga penghuninya.
Awal pagi tatkala matahari baru menjengah memancarkan sinarnya, kami berempat menyusuri laluan estet getah dan kelapa sawit ke lokasi yang terletak kira-kira 8 km dari rumah saya dengan motosikal masing-masing.
Sampai sahaja di lubuk yang dikenal pasti, peralatan segera dipersiapkan sambil mata meliar mengesan sebarang atau cakupan daripada sebarau yang menyambar anak-anak ikan. Lantas bersimpang siurlah gewang dan besi sesudu menerjah spot yang difikirkan berpotensi menghasilkan sesuatu.
Selepas beberapa percubaan, rezeki pertama berpihak kepada Ayim apabila lontaran sesudu Seahawk nya disambut sebaik sahaja mencecah air. Gandingan set mengilat kelas sederhana ringannya tiada masalah untuk mengekang larian mangsa dan beberapa minit kemudian seekor sebarau berskala 1.2 kilogram berjaya didaratkan.
Dalam pada itu lontaran gewang saya dan juga sesudu Salleh disergap sesuatu hampir serentak. Walau bagaimanapun mangsa di hujung tali saya berjaya melepaskan diri dan meninggalkan mata tiga yang terkangkang dikerjakannya.
Manakala Salleh terus melayan tarikan seekor lagi sebarau yang akhirnya berjaya dihela naik. Agak kecil sedikit kira-kira 600 gram yang kemudiannya dilepaskan kembali.
Tiba-tiba kedengaran drag kekili Asri berbunyi akibat sambaran sesuatu di bawah air. Asakan yang diterima agak hebat juga menyebabkan hujung jorannya melengkung menyentuh permukaan sungai.
Dengan berhati-hati Asri mengawal larian mangsa agar tidak terus membawa tali ke struktur berkayu di dasar sungai.
Salleh segera menghulurkan bantuan mendapatkan sebarau berskala 1.8 kilogram yang akhirnya terdampar kepenatan di gigi air. Terpancar senyuman kepuasan pemancingnya dengan hasil yang agak kasar ini.
Walaupun jam baru pukul 9.30 pagi, kami membuat keputusan menghentikan pemburuan kerana keadaan air sungai yang mulai bertukar kepada warna teh susu akibat kerja-kerja mengorek pasir haram di bahagian hulu sungai.
Kami pulang selepas tiada lagi minat sebarau mengejar sesudu atau gelekan gewang yang dipersembahkan. Walau bagaimanapun, kami bersyukur dengan rezeki yang diperolehi.
Trip Retro – Panggilan Puteri Dulang!!

Perairan Terengganu dan Kelantan dilimpahi kerana dikurniakan sumber alam semula jadi iaitu gas dan petroleum. Tidak hairanlah jika kita dapat saksikan banyak pelantar minyak yang digelar ‘boreng’ berdiri megah bertaburan di Laut China Selatan.
Namun pemancing lebih tertarik dengan sumber kekayaan di dasarnya yang melimpah ruah. Maka tidak hairanlah jika semua bot-bot tekong tersohor habis ditempah sejak setahun lalu. Dari Tumpat hinggalah ke Kuala Besut, Kuala Terengganu dan Dungun bot-bot pancing laut dalam laris macam pisang goreng panas.
Cuaca pada hari pertama kelihatan tenang sepanjang perjalanan. Sasaran kali ini tentulah gerepoh bagak di samping spesies mahal seperti ikan merah, kakap merah dan pelbagai spesies kerapu.
Dalam perjalanan, kami sempat singgah di pelantar Puteri Dulang. Target kami di sini untuk melayan ikan pisang dan ebek. Bukannya sukar sangat nak pancing si rainbow runner ini.
Kita perlu hanya menghanyutkan umpan sotong segar dan biarkan terapung dibuai arus di belakang bot. Kalau boleh gunakan batu ladung kecil agar umpan sedikit tenggelam. Hulurkan umpan jauh ke belakang hingga rapat dengan pelantar Puteri Dulang ini. Memang banyak rainbow runner yang menyambar.
’Pesta pisang’ berjaya mengejutkan rakan-rakan yang masih dibuai mimpi. Ada yang tidak sabar lagi mencuba nasib setelah lama berehat di bilik tidur. Kasar-kasar betul saiznya kali ini hingga ada yang mencecah hampir 10 kg setiap ekor.
Namun apa yang menarik apabila merah suman juga turut mengapungkan diri bermain di permukaan air. Banyak juga merah suman dikerjakan oleh Azman, Asri dan Wahab sepanjang petang dan waktu malam.
Tenggiri Semangkok
Keesokan paginya perjalanan diteruskan. Sampai sahaja di Pelantar Semangkok, awak-awak segera mengejutkan kami yang masih dibuai mimpi. Setelah beberapa jam di alun ombak akhirnya sampai juga ke destinasi pilihan.
Tekong menjerit agar segera bersedia dengan set popping dan jigging. Dari jauh nampak kelibat spesies menyambar sedang galak mengejar anak-anak ikan di permukaan air.
Kalau tak tenggiri pun sudah tentu gerombolan gerepoh. Masing-masing menjerit dan keadaan tiba-tiba menjadi riuh rendah. Tekong segera merapati pelantar tersebut. Wajah jelas terasa bahang panas api boreng apabila bot semakin menghampirinya.
Rakan-rakan yang sejak dua hari lalu memendam perasaan mula bersiap sedia dengan senjata masing-masing. Azman dan beberapa orang rakan lagi kaki popping segera ke hadapan bot untuk melancarkan serangan.
Masing-masing seolah-olah geram dicabar sang gerepoh yang semakin galak. Dalam ramai-ramai nasib Wahab dan Sobri lebih baik. Namun nasib kurang baik apabila banyak popper putus akibat gerepoh menyelinap ke tiang pelantar yang penuh siput teritip tajam.
Sobri yang gemar berjigging mendapat satu sambaran. Rupa-rupanya jig yang di unjun disambar tenggiri. Pecutannya juga boleh tahan. Berdesup laju di permukaan air tanpa memberi amaran.
Malam itu cuma Asri berjaya menewaskan beberapa ekor tenggiri dan ikan bandang namun kelibat gerepoh masih gagal dikesan. Akibat kurangnya sambutan daripada target spesies ini kami mengambil keputusan terus ke pelantar seterusnya.
Gerepoh Pelantar Bekok
Malam semakin pekat cuma pelantar boreng sahaja yang setia memuntahkan api tanpa henti. Masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Kelihatan anak-anak ikan bermain-main kilauan cahaya di atas permukaan air.
Tekong merapati tiang pelantar yang dilimpahi cahaya itu. Tanpa membuang masa, masing-masing berjigging dan membuat lontaran popper ke sasaran.
Tiba giliran Asri menyambung aksi apabila jig Runaway kegemarannya disambar penghuni dasar. Selang beberapa ketika, Wahab pula menjerit gembira setelah strike nya mengena. Selepas itu silih berganti aksi antara saya, Azman dan Wahab. Saya sendiri mendapat 3 kali strike selepas itu namun cuma seekor berjaya ditewaskan.
Selepas berusaha tanpa jemu, akhirnya popper milik Azman disambar rakus berhampiran dengan tiang pelantar. Nampak kelibat pun dah tahu tentu gerepoh yang menyambarnya. Kuat betul asakan dan lariannya tapi masih tidak mampu menandingi kekuatan Daiwa Saltiga milik Azman.
Dengan pengalaman yang ada, advantage masih memihak kepadanya setelah bot dikeluarkan jauh dari pelantar minyak. Setelah hampir dengan bot barulah kelihatan seekor gerepoh lingkungan 25 kg tewas dengan popper Yo-Zuri.
Sesi malam diteruskan dengan acara jigging dan popping. Kehadiran cupak bagaikan pesta kerana banyak menyambar jig hingga ke lewat malam. Galak betul gerombolan cupak ini menyerang tanpa memilih jenis atau warna jig sekali pun.
Malah jig yang bukan luminous pun pasti ada cupak yang menyambar. Tekong dan awak-awak yang silih berganti mengemudikan bot memang cekap dan profesional.
Mereka sanggup tak tidur semata-mata hendak melayan kerenah para pemancing. Lagipun dilarang sama sekali sauh diturunkan di kawasan larangan tersebut. Apabila ada sahaja sambaran maka tekong akan segera mengalihkan botnya keluar daripada ’zon bahaya’ agar pertarungan lebih adil.
Sang gerepoh tidak berpeluang lagi menyelinap ke tiang pelantar yang menjadi senjata terakhirnya.
Suatu ketika, keadaan seperti tidak terkawal lagi apabila sambaran demi sambaran berlaku hinggalah ke tengah malam. Tidak kira jigging mahupun popping, semuanya membuahkan hasil. Beberapa jig telah lebur dilarikan gerepoh bagak.
Begitu juga dengan popper turut menjadi mangsanya. Cuma Wahab sahaja berjaya melayan kedegilan gerepoh menggunakan set popping miliknya yang baru dibeli. Apa yang penting, semua peserta ekspedisi ini dapat merasakan sendiri henjutan rakus sang gerepoh ini melarikan besi jig dan popper.
Kami berhenti jigging hampir jam 1 pagi. Lagi pun sudah tiada kelibat gerepoh bagak yang mencabar kami. Kami faham tekong juga keletihan mengawal bot sepanjang hari. Tekong segera beralih arah untuk memancing dasar pula.
Bolehlah tekong berehat dan tidur sekejap kerana keesokan harinya masih ada tugas besar yang perlu dilaksanakan. Acara malam menjadi acara merendam umpan untuk mencari lauk spesies bersisik pula.
Biasanya kami meletakkan acara ini sebagai penyeri bagi setiap trip. Lagi pun masa inilah nak berehat dan bersembang sambil berbincang apa strategi untuk esok harinya.
GT TRIANGLE
Keesokan paginya tekong segera menghala botnya ke pelantar spot yang kami gelar GT Triangle yang menempatkan tiga pelantar minyak tersohor iaitu Pulai, Seligi dan Tinggi. Bagi yang gagal semalam, inilah masanya melunaskan dendam kerana keesokan harinya kami perlu bertolak pulang mengikut yang telah ditetapkan.
Azman yang masih setia dengan teknik jigging memulakan pertarungan. Gerepoh pagi ini nampaknya lebih ganas. Namun otai berpengalaman sepertinya tidak timbul masalah kerana persediaan yang cukup rapi.
Berbekalkan Shimano Stella miliknya dan rod Jigging Master mudah menjinakkan mangsa. Biasanya beliau akan melayan gerepoh sehingga lembik barulah pelan-pelan ditarik naik.
Di tengah-tengah kemeriahan tarikan gerepoh, Si Wahab pula banyak menaikkan ikan mayong yang entah dari mana sesat pun tak tahu. Mayong pun mayonglah, bagi pemancing Johor, mayong cukup bererti bagi mereka lebih daripada tenggiri lagi.
Sekurang-kurangnya jelajah api boreng ini menyaksikan gabungan ‘orang lama’ dengan pemancing baru berganding bahu merealisasikan objektif yang ingin dicapai. Otai-otai laut dalam seperti Wahab, Azman dan Asri serta awak-awak berpengalaman senantiasa memberi tunjuk ajar kepada mereka.
Pesanan penaja untuk mereka yang mula mengenal pelantar minyak haruslah membuat persiapan yang lebih rapi terutamanya kekuatan mental dan fizikal.