Berikut beberapa panduan yang perlu dititikberatkan ketika ingin mendarat dan mengendalikan ikan sama ada untuk keselamatan diri mahupun tangkapan itu sendiri.
Guna Sauk
Tidak kira apa jenis pancingan anda, sauk atau tangguk merupakan alatan kelengkapan memancing yang perlu ada dan dibawa bersama. Kebanyakan pemancing keberatan untuk membawa sauk berikutan saiznya yang besar dan memakan ruang simpanan dalam kenderaan.
Guna Lip grip
Jika tiada penyauk, gunakanlah lip grip atau pencangkuk bibir ikan. Penggunaan lip grip tidaklah sebaik menggunakan tangguk tetapi ia sesuai untuk mengendalikan ikan air tawar bergigi tajam seperti haruan dan toman.
Selain mudah bagi proses menanggalkan mata kail, kemalangan juga dapat dikurangkan jika memegangnya dengan tangan sahaja. Sebaiknya gunalah tangguk atau sauk yang sepadan dan sesuai untuk mendaratkannya. Dengan cara ini ikan tidak berhadapan risiko kecederaan malah dapat mengelakkan kemalangan pada joran dan pemancing sendiri.
Guna Gancu
Jika memancing di laut, seeloknya gunalah gancu atau cangkuk. Apatah lagi jika yang ingin didaratkan itu bersaiz besar, bergigi tajam atau yang bersengat seperti ikan pari. Jika ingin membawa pulang tangkapan tersebut bolehlah dicangkuk pada bahagian badannya, sebaliknya jika melepaskan kembali pastikan tidak mencederakan mana-mana anggota badannya atau putuskan sahaja tali perambut.
Cara Alternatif
Sekiranya tiada peralatan tersebut dan perlu mendaratkannya dengan menggunakan tangan, pastikan ikan berkeadaan lemah. Sebaiknya peganglah bahagian ekor ikan untuk menariknya ke darat atau ke atas bot.
Boleh juga mendaratkan ikan dengan kaedah memegang mulutnya dengan tangan tapi harus diingat, bukan semua ikan boleh dipegang mulutnya seperti siakap atau sebarau. Sebaiknya kenali dulu jenis ikan sebelum tunjuk hero.
Cara Pengendalian
Apabila menanggalkan mata kail dari dalam mulut ikan, sebaiknya gunalah playar atau hook remover. Elakkan dari menanggalkannya dengan menggunakan tangan khususnya mengendalikan ikan bergigi tajam.
Bagi mengurangkan ikan daripada menggelepar, pegang ekor ikan dan bengkokkan badannya ke arah kepala, jangan terlalu kuat hingga boleh mematahkan tulangnya. Jika memegang ikan bersengat, peganglah bahagian kepalanya dengan cara yang betul.
Jangan sesekali menyeret ikan naik ke darat khususnya jika berhasrat untuk melepaskan kembali ikan tersebut. Cara ini boleh menyebabkan kecederaan atau setidak-tidaknya menghapuskan lendir badan yang sangat penting untuk survival ikan.
Sekiranya mata kail ditelan terlalu jauh ke dalam mulut, sebaiknya putuskan saja perambut dan biarkan mata kail di dalam mulut ikan. Ia lebih baik bagi survival ikan daripada memaksa mengeluarkan mata kail tersebut.
Jika ingin bergambar bersama ikan (spesies tangkap dan lepas), sebaiknya ampu tubuh ikan di bahagian kepala dan ekornya. Jangan memegang ekor sahaja kerana ia boleh mencederakan ikan dan mudah terhempas.
Apabila candat sedang dihenjut, kita akan terasa seolah-olah tarikan kita lebih berat dari sebelumya. Itu menandakan ada sotong yang telah sudi memegang candat kita dengan jari lembutnya. Mungkin jenis candat yang kita gunakan telah menarik minat sotong atau cara henjutan kita yang membuatkan sotong tergoda untuk menariknya.
Sotong tidak seperti ikan, tarikannya sangat jujur. Sotong akan menarik pancing kita dalam tarikan lurus mengundur ke belakang berbanding ikan yang membuat tarikan rawak dan lebih menggila.
Jika pancing kita telah mengenai sotong, risiko untuk tersangkut dengan struktur tidak diingini adalah cukup minima berbanding ikan. Penyandat yang mahir bukan sahaja dapat membezakan antara tarikan ikan dan sotong, mereka juga mampu membezakan tarikan ular laut yang terkena pancing.
Jika sotong yang memegang candat anda bersaiz besar, ia akan membuat beberapa kali benaman ke bawah hinggakan tali pancing tertarik ke luar. Jika anda menggunakan ‘serek’, anda akan dapat merasa tarikan sotong yang original. Walaupun anda menahan tali di tepi bot, sotong besar masih mampu menarik tali ‘serek’ anda keluar.
Perlu diingat, jangan sekali-kali mengunci kekili pancing anda. Jika menggunakan ‘serek’ pastikan tali anda boleh dihulurkan keluar jika tarikan sotong terlalu kuat. Pastikan juga tali pancing anda sentiasa dalam keadaan tegang.
Menarik sotong tidak sama seperti menarik ikan. Jangan melayan tarikan sotong seperti anda membuat sentakan ikan. Jika anda menarik sotong seperti ikan, peluang untuk mendapatkan sotong agak tipis.
Mungkin anda hanya mendapat jejari sotong sahaja. Apabila semakin lama anda menyandat, akan akan faham sendiri seni pancingan sotong ini.
Semasa sotong tiba dipermukaan, sotong akan memancutkan dakwatnya ke atas. Oleh itu elakkan dari melihat sotong dalam posisi berhadapan. Pastikan sotong berada agak jauh dari muka anda dengan cara meluruskan tangan semasa mengangkat sotong.
Sotong mampu memancutkan dakwat dan air melebihi ketinggian bumbung bot. Selalunya sotong torak hanya membuat sekali pancutan yang kuat. Pancutan air juga menunjukkan kedudukan sotong yang sudah berada berdekatan dengan permukaan.
Jika kita menghampiri bot-bot menyandat sotong, kita boleh melihat pancutan-pancutan air yang tinggi. Pancutan yang kerap memberi gambaran bilangan sotong yang berjaya didaratkan.
Jika semakin banyak dan kerap pancutan, maka semakin banyak sotong yang telah dicandat. Selalunya fenomena sebegini tidak lama, oleh itu pemancing perlu peka kepada perubahan pola ini.
Bagi nelayan tradisional dan penyandat-penyandat hardcore, mereka akan menarik sotong dengan tarikan yang sesuai, memegang badan sotong dalam posisi rendah, mencampak ke dalam bekas sotong dan melepaskan semula candat ke laut dengan muka yang cukup selamber.
Semuanya berlaku cukup pantas. Agak sukar untuk melihat sotong yang telah mereka tangkap dari jarak yang jauh. Walaubagaimanapun, pancutan yang dilakukan oleh sotong dapat memberikan gambaran yang cukup bermakna bagi bot-bot yang baru tiba ke lokasi berkenaan.
Surfcasting atau pancingan pantai merupakan salah satu teknik memancing yang menyeronokkan. Dengan menggunakan joran panjang, batu ladung dan mata kail alatan utama, ia juga merupakan sukan memancing yang berisiko tinggi ditimpa kemalangan jika cuai atau kurang waspada.
Terutamanya jika memancing secara beramai-ramai di kawasan yang sempit, khususnya di dalam pertandingan.
Pastikan juga kawasan pemburuan tersebut tidak terlalu terpencil dan cuba elakkan dari memancing seorang diri. Sekarang ini semakin banyak kes penjenayah mensasarkan pemancing sebagai mangsa samun dan sebagainya.
Kaedah Balingan
Sentiasa pastikan di mana kedudukan batu ladung dan mata kail sebelum membuat balingan. Elakkan dari melakukan balingan sekiranya ada sesiapa yang bergerak di belakang anda.
Cuba elak daripada mengamalkan teknik balingan secara putaran untuk mendapatkan momentum balingan kecuali tiada sesiapa di kiri dan kanan anda.
Pastikan tiada halangan atau sesuatu yang terbelit sebelum melakukan lontaran. Dengan momentum balingan yang kuat, tali pancing atau hujung joran boleh patah sekiranya terdapat halangan.
Jika anda bukan seorang perenang yang baik, sebaiknya jangan lakukan balingan di dalam air melebihi paras pinggang, apatah lagi ketika permukaan laut agak berombak. Risiko ditarik ombak ke tengah laut kemungkinan besar akan berlaku.
Pastikan drag kekili diketatkan sebelum melakukan balingan. Sebaiknya juga alas jari anda dengan plaster atau memakai sarung tangan. Seretan tali sulam dengan mudah menghiris jari umpama mata pisau.
Selepas melakukan balingan, longgarkan drag kekili dan sebaiknya jangan pancangkan jorak melebihi sudut 90 darjah. Sentapan ikan bersaiz monster boleh menyebabkan hujung joran patah.
Sekiranya ingin melakukan lontaran dari dalam air, pastikan kawasan tersebut bebas dari kewujudan ulat bulu laut. Atau sebaiknya jangan berkaki ayam ketika meredah masuk ke dalam air.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...