Sama ada memancing di sungai, tasik, lombong, laut mahupun kolam pancing pasti ada spesies yang tidak diingini yang gemar menghabiskan umpan yang digunakan. Di laut, spesies-spesies ini sememangnya menjengkelkan para pemancing.
Sesirat
Semua pemancing pasti bersetuju sesirat merupakan pengacau umpan nombor satu pancingan muara. Jika setakat mengutis umpan sehingga licin sekalipun tidak mengapa. Apa yang menjadi kemarahan pemancing apabila ia menelan mati kail dan bergumpal bersama perambut dan tali utama. Untuk menghapuskan lendirnya yang berbau dan menyebabkan ikan lain menjauh, terpaksalah dikorbankan mata kail, perambut dan tali utama tersebut.
Buntal
Menduduki carta di tempat kedua ialah ikan buntal. Perangai buntal lebih kurang sesirat juga. Malah ia lebih ditakuti berbanding benci kepada sesirat. Buntal bukan saja kerap menggigit tali utama dan perambut, ia juga suspek pembunuh kepada umpan hidup terutamanya udang hidup. Dengan harga udang hidup yang semakin mahal, ia tentu menyakitkan hati pemancing jika lubuk dipenuhi si buntal.
Ketam
Sama ada ketam nipah, ketam batu atau lain-lain, ia merupakan spesies mengutis umpan yang cekap dan menyakitkan hati. Sebagaimana ikan buntal, ia juga pakar mengerjakan umpan udang hidup. Jika dibiarkan lama, ia bukan saja memakan kaki udang malah sehingga mata kail menjadi kosong. Kecuali ia tercangkok pada mata kail, ia tidak lagi dianggap pengacau umpan sebaliknya satu tangkapan bonus.
Ulat bulu
Sama ada di muara, pesisir pantai atau perairan cetek, anda akan berhadapan dengan spesies bernama ulat bulu. Selain bijak menghabiskan umpan, ia kadangkala tercangkuk juga pada mata kail. Apabila dinaikkan, pemancing perlu berhati hati ketika menanggalkan dari mata kail kerana spesies ini mempunyai bulu-bulu beracun dan sekiranya terkena pada anggota badan boleh menyebabkan kegatalan.
Kitang
Ikan yang bergerak secara berkumpulan ini dianggap sebagai spesies pengacau umpan, khusus bagi pemancing yang tidak menjadikannya sebagai ikan sasaran. Ia sememangnya gemar mengetis umpan dengan mulutnya yang kecil. Jika menggunakan mata kail yang besar maka ia selamat dari tercangkok. Oleh yang demikian jika anda teringin untuk memancingnya juga maka gunalah mata kail yang lebih kecil.
Belangkas
Belangkas biasanya boleh ditemui di muara anak sungai kecil yang menghala ke kawasan muara. Sebagaimana ketam, ia boleh dibawa pulang dan dimakan jika tercangkok pada mata kail. Namun jika tidak tercangkok pada mata kail, ia samalah seperti spesies pengacau umpan lain yang menghabiskan umpan secara senyap.
Anak ikan
Apa saja jenis ikan termasuk ikan-ikan kecil seperti seriding merupakan pengacau umpan yang paling banyak menghabiskan umpan. Terutamanya umpan dari jenis hirisan ikan. Bagi mengelak serangan anak atau ikan-ikan kecil, sebaiknya gunalah umpan yang agak liat seperti jejari sotong kurita. Walau dikutis ia masih mampu bertahan sehingga disambar spesies sasaran.
Perumpun sarang
Selain dijadikan umpan yang mujarab, sebenarnya perumpun sarang juga tergolong dalam spesies pengacau umpan. Biasanya berada di kawasan anak sungai dan tebing yang bereba. Cuma kerjanya lebih halus berbanding ketam. Atau lebih kurang sama macam anak ketam. Biasanya dia akan meratah udang hidup secara perlahan-lahan. Kalau anda mendapati kaki udang hidup anda kudung semua, jangan tak percaya ia adalah kerja perumpun sarang.
Belukang
Merupakan ikan yang banyak berkeliaran di kawasan muara yang berselut dan berlumpur. Secara fizikalnya mempunyai mulut yang besar dan badan yang berbelang. Tabiat makan yang tidak memilih, semua umpan ikan ni sebat. Kadang-kadang telan umpan sehingga ke insang. Jika bersaiz kasar mungkin ada yang ingin membawa pulang dan memberikan sedikit hiburan ketika tercangkok umpan. Tetapi jika asyik yang bersaiz dua jari yang membaham umpan, memang menjengkelkan!
Gedema
Seperti belukang, species ini tidak mempedulikan umpan apa yang digunakan. Semua yang melekat kat mata kail akan disapu. Kalau dah ambil umpan ia biasanya akan menelan mata kail hingga ke dalam perut. Kalau dah telan, amat susah untuk mengeluarkan mata dan kadang kala pemancing terpaksa mengeluarkan perambut dan digantikan dengan mata dan perambut yang baru. Jangan tertipu dengan rupa parasnya yang seakan kerapu itu.
Sekarang ini ramai pihak penganjur yang berlumba-lumba mengadakan pertandingan memancing dengan tawaran hadiah yang mampu memukau ramai pemancing untuk turut serta. Malah individu yang tak pernah pernah pegang joran nak join sama.
Sekiranya korang sudah biasa sertai pertandingan memancing tentu tidak akan berhadapan dengan banyak masalah (walaupun belum pasti tak kumpau). Tetapi jika korang tak pernah join walaupun pertandingan secara kecil-kecilan, korang kena luangkan sedikit masa untuk hadam panduan berikut supaya tak kumpau.
Sama ada pertandingan di kolam, tasik atau lombong, sebaiknya buat kajian serba sedikit tentang teknik memancing di lokasi pertandingan sebelum menyertai pertandingan yang diadakan. Selidik juga apa spesies ikan yang dipertandingkan dan umpan yang tepat untuk memancingnya.
Untuk memperoleh spot pancing berpotensi tinggi untuk strike, datanglah awal untuk pendaftaran dan dapat undian memasang pancang. Kemudian (jika dibenarkan) jagalah kawasan pancang (spot) agar tidak dicerobohi oleh pemancing yang lain.
Sebaiknya sertai pertandingan tersebut secara berkumpulan. Lagi ramai lagi bagus apatah lagi jika korang tak pernah menyertainya. Selain itu ia bagus untuk tujuan keselamatan dan peluang untuk peroleh strike dalam pertandingan juga lebih cerah.
Fahami betul-betul syarat pertandingan yang ditetapkan oleh penganjur. Ia sebenarnya langkah pertama yang teramat penting untuk difahami di supaya tidak berputih mata jika hasil tangkapan yang berjaya didaratkan tidak dibatalkan kerana melanggar syarat.
Perkara utama sebelum menyertai pertandingan adalah menguasai teknik balingan. Pastikan anda mampu membuatkan balingan dengan lurus dan tepat. Pastikan juga lubuk yang dilabuhkan umpan itu berada tepat di hadapan anda, bukannya tepat di hadapan muka peserta hujung sebelah kiri atau kanan anda.
Pastikan alatan pancing yang digunakan adalah bersesuaian. Joran, kekili, tali utama, perambut dan mata kail adalah berkualiti bagi mengelak daripada kegagalan fungsi ketika bertarung dengan ikan. Harus diingat, banyak kejadian kumpau disebabkan oleh perkara ini.
Jadilah pemancing yang sporting dan bertimbang rasa. Beri laluan kepada pemancing yang sedang cuba menaikkan ikan kerana perkara yang sama juga kita harapkan apabila berhadapan dengan situasi demikian.
Elakkan dari melakukan sebarang penipuan atau sabotaj semata-mata untuk memenangi pertandingan. Dan sebaiknya juga elaklah dari menyertai pertandingan yang jelas melanggar hukum syarak. Lagi parah kalau kumpau.
Penipuan dalam pertandingan memancing yang telah dibincangkan itu sebenarnya hanyalah salah satu penipuan yang terdapat dalam dunia memancing.
Masih banyak lagi jenis penipuan yang ada dan di sini kami senaraikan beberapa jenis penipuan yang telah dikesan.
Umpan tipu
Sama ada anda setuju atau tidak, hanya dengan menggunakan gewang, ia secara tidak langsung menjadikan anda seorang penipu. Iyalah, nama pun dah umpan tipu.
Namun, penipuan jenis ini tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan dan sama sekali tidak menyakitkan hati mana-mana pihak kecuali ikan sahaja.
Tipu umpan
Tipu umpan tidak sama dengan umpan tipu. Jika umpan tipu itu gewang, tipu umpan juga turut melibatkan gewang.
Tipu umpan yang dimaksudkan ialah pemancing yang tidak menyatakan umpan sebenar yang digunakan ketika memperoleh tangkapan bonus.
Terutamanya pemancing kolam air tawar yang begitu taksub pada sesuatu umpan dan sama sekali akan mendedahkan umpan sebenar yang digunakan.
Tipu lubuk
Rasanya semua pemancing sudah faham dengan maksud tipu lubuk. Jika dibuat perbandingan, pemancing yang paling kuat menyembunyikan atau berbohong tentang kedudukan sesuatu lubuk ialah para caster atau pengilat.
Jarang sangat nak jumpa caster yang beritahu secara tepat dan jujur lubuk yang mana dia memperoleh kelah atau sebarau monster.
Tipu tangkapan
Tipu tangkapan ni memang banyak dilakukan oleh para pemancing. Ada yang mengaku pernah mendaratkan sesuatu spesies itu sedangkan tak pernah dapat strike.
Sejenis lagi ialah yang jenis suka bergambar dengan ikan orang lain tetapi claim ikan tu dia yang berjaya tangkap.
Tipu saiz
Tipu saiz ikan ini lebih kurang macam tipu hak milik tangkapan jugaklah. Ia berlaku dalam dua keadaan juga.
Yang pertama, dapat ikan saiz curut je tapi sembang kat orang lain macam dapat monster.
Dan yang kedua, jenis yang suka nak menampakkan ikan macam besar melalui teknik fotografi. Rasanya, penipu jenis ini memang banyak jumlahnya.
Tipu jual beli
Jenis kaki menipu dalam jual beli barangan pancing ini pun tidak kurang jumlahnya.
Para penipu dari jenis ini bukan saja bijak menipu bahkan juga cekap menghilangkan diri apabila kantoi. Tau-tau hilang begitu saja.
Tipu bini
Hahahaha… ada tak sesiapa yang tidak pernah menipu isteri untuk pergi memancing? Baguslah kalau tak pernah tipu bini.
Tapi, tipu bini untuk pergi memancing itu lebih bagus daripada tak pergi memancing kerana takut bini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...