
Ringankan mulut untuk bertanya operator atau pengusaha kedai pancing tentang jenis kekili yang anda ingin beli. Kebanyakan dari mereka adalah pemancing yang berpengalaman atau setidak-tidaknya tahu menilai sesuatu kekili. Jika mereka mengatakan tiada masalah pada kekili yang anda hajati barulah membelinya.
Ketika meneliti putaran pengayuh atau handle, sila tumpu perhatian terhadap sebarang kelonggaran cengkaman antara setiap gear. Pastikan pengayuhnya padu, mengarau dengan lancar, tidak bergoyang atau berlaku yang tidak lancar seperti tersangkut-sangkut atau agak ketat. Pengayuh pada sesetengah kekili mempunyai shaf gelincir dan skru kunci bertentangan, tetapi shaf sepatutnya cukup muat tanpa sebarang kelonggaran. Pegang rotor gelendung atau spool dari berpusing, kemudian gerakkan pengayuh ke depan dan ke belakang untuk menyukat kelonggaran antara.
Sekarang ini kita boleh dapati kebanyakan kekili dimuatkan dengan begitu banyak alas bebola sehingga berbelas-belas jumlahnya. Sebenarnya bilangan alas bebola dalam kekili bukanlah petunjuk kualiti atau ketahanannya. Biasanya alas bebola yang ditempatkan dalam reka bentuk kekili yang kurang baik adalah dari bahan berkualiti rendah dan cenderung terhakis atau terdedah kepada kemasukan butiran pasir, garam dan air. Jika banyak alas bebola sebegini, lagi banyaklah masalah yang akan timbul.
Cuba pegang spool atau gelendung kekili dengan sebelah tangan dan tarik ia ke atas dan tekan ke bawah dengan tekanan sederhana kuat. Ia bertujuan untuk melihat sama ada wujudnya sebarang pergerakan yang longgar dalam shaf utama. Ia sepatutnya tiada sebarang kerana kecuali shaf tersebut tidak diketatkan dengan sempurna. Ia perlu diperiksa bagi mengelakkan skru yang tidak diketatkan itu tertanggal dan hilang ketika digunakan nanti.
Walaupun peratusan kejadian ini amat kurang tetapi ada baiknya juga anda bawa joran yang ingin dipadankan dengan kekili yang ingin dibeli di bawa bersama. Ini merupakan cara terbaik untuk dipadankan. Ini kerana kadangkala tapak kekili itu terlalu besar, lebar, runcing atau kecil untuk dimuatkan dengan kemas pada joran. Perkara ini pernah berlaku kepada penulis apabila ingin memadankan kekili buatan Eropah dengan joran buatan China di mana ia tidak dapat dipadankan dengan kemas.
Trip Trobek – Jigging VS Bottom Pulau Tenggol Sebelum Monsun!!

Percubaan untuk trip ke laut Pulau Tenggol tetap dilaksanakan juga walaupun hanya 7 orang pemancing yang tinggal bagi meneruskan misi sebelum monsun tiba. Tekong hanya memandang apabila kami memberitahu misi kali ini ialah ke tukun kapal yang terletak 3 jam ke arah timur melepasi kedudukan Pulau Tenggol. Seramai 4 pemancing tetap yang pernah mengunjungi kawasan laut Pulau Tenggol dan 3 muka baru yang menaruh minat memancing di laut.
Cuaca sedikit tenang ketika kami mula bergerak meninggalkan Kuala Dungun. Dalam perjalanan tekong mengangkat 4 biji bubu beliau untuk mencari lauk makan tengah hari. Persiapan seperti biasa dengan bekalan kepingan umpan besi berketul-ketul yang dibeli di Hasya Joran, Sri Kembangan sehari sebelum bergerak ke destinasi.
Semua peralatan yang bakal digunakan sudah siap sedia menunggu masa sahaja. Kecuali muka baru yang lebih fokus pancingan dasar, 4 orang pemancing lagi begitu teruja untuk mengulangi pertarungan sewaktu trip tahun lalu.
Dengan kombinasi joran PE0.8 – 1.7 untuk dan ketika arus perlahan, PE1-3 pada waktu penggunaan jig 60 gm ke atas untuk sebelah malam. Kami jangka akan tiba di lokasi melewati waktu Asar, bolehlah bagi ruang dan tunjuk ajar kepada muka baru melabuhkan set pancing dasar mereka.
Kami memilih jig 45gm sebagai permulaan di kedalaman 150 kaki ketika arus lemah. Tiada masalah untuk jig mencecah dasar sebelum kayuhan rentak jigging dimulakan. Dalam kepenatan dan keletihan geng jigging mula terasa bahang apabila geng pemancing dasar sudah sedikit demi sedikit menunjukkan taring mereka. Bermula dari ikan kakap merah 6.5 kg sebagai pembuka episod ceria disusuli dengan seekor tenggiri yang turut menyambar umpan di dasar.
Patutlah banyak jig lebur setiap kali berlakunya strike. Belum sempat yang jigging berpeluang mengejar kedudukan, sekor lagi tenggiri terpedaya dengan lenggokkan ikan yang tergantung di permukaan air ketika pemiliknya baru hendak menurunkan umpan selayang hidup ke dasar. Lebih manis apabila kedua-dua tenggiri tersebut tewas tanpa penggunaan kabel sebagai perambut. Malah perambut tangsi 90lb yang digunakan tidak menakutkan tenggiri yang selama ini culas dan takut dengan penggunaan perambut yang kasar.
Perbandingan teknik slow jig dan fast jig ternyata banyak. Teknik slow jig lebih banyak menerima strike berbanding fast jig. Mungkin juga ikan banyak berlegar di kawasan dasar berbanding yang berada di sub permukaan air. Biasanya cupak yang berada di kawasan tukun karang tinggi ini tidak begitu besar berbanding yang mendiami kawasan tiang di pelantar minyak.
Apa pun saiz cupak sudah sesuai dengan set jig yang digunakan. Othman Paling bertuah apabila mengena seekor cupak paling besar pada malam itu. Ruang memancing ketika itu agak selesa kerana dari 7, tinggal 3 pemancing yang masih setia berada di luar kabin menahan kedinginan tiupan angin. Mujur ada strike dari cupak dan alu-alu sebagai penawar menahan rasa mengantuk.
Bila melakukan aktiviti jig, kita tak boleh pilih ikan, yang mana hentam jig, gasak sahaja. Sentuhan dari alu-alu selain memutuskan tali, ia membuatkan pemancing terpaksa bekerja keras mengikat semula FG knot dalam keadaan yang kurang selesa. Mahu atau tidak ini satu kemestian mengikat kembali shock leader yang terputus sebelumnya. Sebelum ramai yang memilih untuk berehat, satu-satunya joran dasar yang dilabuhkan mengena seekor lagi kakap merah .
Awal pagi pada hari kedua, bot kami masih lagi bertahan di lokasi yang sama. Ketika kaki jigging masih lagi mendapatkan rehat yang secukupnya di kabin, geng pancing dasar mengambil alih kedudukan termasuk tekong kami.
Menyedari banyak perambut tersangkut apabila teknik perambut 3 depa bersama tanduk tidak begitu sesuai ketika itu, ramai bertukar untuk menggunakan teknik apollo dua mata seperti saranan tekong.Karang tinggi yang tidak menentu apabila kedudukan bot sering berubah menyukarkan sukatan untuk melabuhkan umpan. Atas dasar ini umpan terpaksa digantung lebih tinggi supaya ia tidak sama paras dengan rimbunan karang di bahagian dasar.
Masa untuk memancing ikan cermin bermula setelah beberapa ekor selayang disambar ikan cermin purata saiz melebihi sekilo. Boleh tahan juga ikan cermin yang rakus dengan umpan selayang hidup di awal pagi. Kebetulan tempat yang sama terdapat anak ikan yang dipancing menggunakan set apollo.
Cermin spesies ikan yang datang meronda sesekali di kawasan tempat kami berlabuh umpan sebab itu serangan kumpulan cermin tidak berterusan. Sekejap makan kemudian hilang dan datang semula. Mata kail 3/0 sebentuk diikat pada perambut 50 lb sudah mampu bertahan dari asakan cermin.
Dalam masa yang sama juga kehilangan mata kail dan hasil tidak dapat dielakkan kerana alu-alu banyak lagi berterusan mengikuti pergerakan umpan kami. Ketika yang lain fokus melayan ikan cermin, set pancing Junhairi pula mengena sekor ikan ebek yang menelan sotong kurita yang disasarkan kepada kakap merah dan jenahak.
Bayangkan sotong yang sama berjaya mengena sekor kakap merah disusuli ebek pertama dan ebek kedua sebelum sotong tertanggal dari mata kail ketika melayan asakan ebek kedua. Melihat kehadiran ebek, geng jigging tidak senang duduk. Dalam usaha yang berterusan hanya seekor sahaja ebek terperdaya. Pada masa yang sama, sekor lagi tenggiri berjaya ditewaskan dengan set pancing dasar.
Dalam perbincangan awal kami merancang untuk memancing dua malam di lokasi sama kerana tarikan ikan dasar buruan iaitu jenahak dan kerapu boron cukup kuat panggilannya memaksa kami bertahan. Menyedari sotong yang dibeli di pasar tidak lagi segar, tengah hari itu kami banyak berusaha mendapatkan bekalan ikan selayang hidup dan tamban segar.
Sambil layan apollo, sempat juga kami melayan kumpulan belitung tadika yang sering meronda hampir dengan kedudukan bot. Sebelum ini saiz sekitar 5 kg seekor, kali ini yang bertamu kurang dari 2 kg tapi masih lagi rakus menghambat umpan hidup yang dihulurkan.
Cuaca yang tidak menjanjikan apa-apa pada petang hari kedua bertambah garang. Angin timur bercampur utara mula menolak bot melawan pergerakan arus. Di kaki langit awan gelap mula berkumpul dari ketulan kecil menjadi gerombolan awan pekat dan bercahaya. Masa untuk beredar menurut tekong kerana cuaca begini bot akan berada dalam keadaan tidak selesa. Kalau bertahan ia berdendang lagu sedih tambahan pula aktiviti memancing terlalu berbahaya.
Hasrat untuk bermalam di lokasi tersebut dibatalkan sambil membiarkan tekong mengemudi haluan bot mencari perlindungan di Pulau Tenggol yang sudah tidak kelihatan ketika itu. Waktu untuk melabuhkan badan mana tahu malam nanti cuaca elok boleh sambung memancing lagi.
Kami tidak sedar lagi selepas itu hanya membiarkan tekong meneruskan perjalanan ke destinasi yang selamat dari haluan angin dan hujan. Melihat kedudukan gps ketika deruan enjin bot tidak lagi berbunyi ialah 6.8 batu nautika dari Pulau Tenggol.
Kedudukan baru ialah di tengah antara pantai Teluk Lipat dan Pulau Tenggol. Laut agak tenang dan arus hampir tidak bergerak langsung. Sukar memancing apabila bot sering berpusing tidak menentu. Cuma yang jigging sahaja masih berusaha sementara pemancing dasar meneruskan pancing mimpi mereka. Begitu pun misi monsun dikira berjaya juga.
Fahami Konsep Teknik Menunda Umpan!!

Sebelum melakukan teknik trolling, kita perlu mengenal pasti struktur sungai terlebih dahulu. Ia kurang sesuai struktur sungai terdapat banyak bangkar kayu mati. Trolling dilakukan berhampiran reba atau kawasan tanah runtuh atau berhampiran susur tebing. Ini kerana lazimnya ikan-ikan gemar bermain di dasar kawasan tersebut untuk mencari makanan atau menghendap mangsa.
Joran
Untuk keselesaan trolling di muara sungai, memadai joran aksi sederhana (medium heavy). Disarankan joran kekuatan 6-12 lb, 6-16 lbs 8-17 lb, 8-20 lb atau 10-20 lb. Panjang joran pula sebaiknya 6 hingga7 kaki panjang.
Tali utama dan perambut
Tali utama yang digunakan untuk trolling haruslah tidak terlalu halus atau kasar. Jika terlalu halus, ia akan mudah putus jika tersangkut atau disentap oleh ikan bersaiz besar. Jika terlalu kasar pula ia akan menghasilkan getaran dan bunyi semasa ditunda. Ini akan menyebabkan bunyi bising dan peluang untuk strike ikan agak tipis. Cadangan paling sesuai adalah dalam 20lb-30lb sahaja atau diameter tali 0.18mm-0.28mm.
Gewang
Gewang yang paling sesuai digunakan untuk teknik ini adalah selaman 3 meter hingga 5 meter bergantung pada paras air sungai tersebut. Tidak kisahlah jenis atau jenama gewang apa yang ingin digunakan. Selain gewang selaman dalam, gewang selaman cetek atau minnow juga boleh digunakan meskipun peratusan strike lazimnya berpihak kepada gewang selaman dalam.
Jarak tundaan
Berkaitan dengan jarak, terdapat dua perkara yang perlu diketahui semasa trolling. Pertama adalah jarak antara bot dangan tebing dan kedua adalah jarak antara bot dengan gewang. Semasa trolling, jarak paling sesuai bot dengan tebing adalah antara 5-10 meter.
Pada kedudukan jarak ini, gewang selaman dalam yang kita gunakan akan sampai ke sasaran. Jika terlalu jauh ke tengah sungai, gewang tidak akan sampai ke dasar. Jarak yang kedua perlu dipertimbangkan adalah jarak antara bot dengan gewang yang kita tunda dibelakang bot. Kebiasaannya jarak paling sesuai adalah antara 30-50 meter. Amat sesuai jika menggunakan tali yang bewarna-warni kerana lebih senang buat ukuran (10 meter setiap warna).
Kelajuan bot
Tip ini adalah antara yang terpenting perlu diketahui jika melakukan teknik trolling. Semasa trolling pastikan bot dalam kelajuan yang paling minima. Kerana ini dapat memberi peluang kepada ikan untuk mengejar gewang tersebut. Jika bot kita dalam keadaan laju, kebanyakan ikan tidak mahu atau dapat mengejar gewang tersebut.
Penyelamat Gewang
Jangan Lupa! Amat penting untuk kita membawa alat ini. Ini kerana, semasa trolling peluang untuk sangkut pada batu dan kayu di dasar sungai adalah tinggi. Tidak dinafikan dengan adanya penyelamat ini, gewang anda akan selamat sekalipun tersangkut berkali-kali.
Trip Trobek – Berderau Darah Terpancing Ikan Umpama Ular!!

Kami bertolak ke Sungai Tepus dan saya melengkapkan diri dengan berpakaian baju hujan dan tidak lupa membawa bekal makanan. Cuaca agak mendung, maklumlah ketika ini musim hujan dan adakalanya ia turun tidak menentu.
Bukan apa, sebagai pemancing haruslah mengutamakan keselamatan. Kami terpaksa melalui sebuah ladang kelapa sawit dan jalannya memang cukup becak dan licin. Kami tiba di tebing sungai dan airnya memang keruh, macam teh tarik. Set peralatan ringan milik Udin saya gunakan, kerana memang saya tidak berapa tahu pasal peralatan pancing.
Tapi mujurlah mereka banyak membantu terutama membuat perambut, mengikat mata kail dan bermacam-macam lagi. Pendek kata semua barang pancing, milik Udin. Dengan berumpan cacing, Udin dan Bang Mat silih berganti menaikkan beberapa ekor baung kecil.
Tiba-tiba hujung pancing melentur dan Udin yang berada di sebelah saya menyuruh saya segera menggulung tadi, kerana katanya umpan pancing saya sudah dimakan ikan. Alangkah terkejutnya saya kerana, menaikkan makhluk seperti ular. Tetapi Udin terus menggelakkan saya sambil mengatakan adalah itu adalah sejenis ikan, iaitu tilan bukannya ular.
Nasib baik kata saya di dalam hati. Tiba-tiba Bang Mat mengeluarkan sesuatu dari dalam botol dan saya terkejut apakah benda tersebut. Katanya inilah umpan tapa, umpan yang diperbuat daripada jeruk ikan yang baunya cukup busuk.
Saya tidak sanggup untuk memegangnya, tetapi bila mana Bang Din mula menaikkan baung seekor demi seekor, saya teruja untuk menggunakannya.
Tetapi sebelum itu saya menggunakan plastik yang dibalut di tangan sebelum saya berani memegangnya. Merah padam juga saya kerana puas digelakkan oleh Bang Mat dan Udin. Kata mereka, kalau nak jadi pemancing haruslah berani.
Kami memancing sehingga hari malam. Tetapi pada malam itu, hujan mula turun dan kami mengambil keputusan untuk segera pulang. Ini kerana kami cukup bimbang jikalau kawasan tempat kami memancing tersebut dinaiki air. Pengalaman kali pertama memang sangat seronok, tetapi saya akui, perlu banyak bersabar menunggu ikan memakan umpan.