Bagok Tiang Sepang Makan Petang ®

Share

 

Jika pasang surut air laut dijadikan ukuran, tempoh air banir atau air pasang kecil sememangnya kurang sesuai untuk memperoleh hasil tangkapan yang memberangsangkan.

Terutamanya spesies sasaran iaitu jenahak dan kerapu. Namun, disebabkan sudah lebih sebulan ‘berpuasa’ Shahrul, Sofian, Syamil dan Asrin sudah tidak terbendung menahan rasa rindu dan gian mengunjun kepingan besi 200 gm di perairan Zeezone Port Klang.

Menggunakan khidmat tekong tersohor Batu Laut, RM Rezza, mereka turun menunaikan ketagihan jigging perlahan tanpa menaruh harapan tinggi trip berakhir dengan gemilang.

 

 

Faktor arus lemah yang mempengaruhi keaktifan ikan memburu makanan agak ketara. Jig-jig yang membuai di lubuk-lubuk berpenghuni langsung disentuh.

Meskipun jelas tertera kelompok kumpulan ikan terpapar di alat pengesan ikan namun tiada sambaran berlaku.

Seolah-olah ikan terlalu malas untuk membuka mulut atau kekenyangan melahap sotong-sotong yang kehadirannya dapat disaksikan apabila jig yang dikarau naik ke permukaan.

 

Lewat petang setelah kecewa di lubang-lubang jenahak dan kerapu, juga kecewa memujuk gerepoh dan sagai di lubuk yang tidak pernah mengecewakan, tekong mengambil keputusan untuk mencuba nasib di lubuk ikan alternatif tidak jauh dari penanda Tiang Sepang.

Teknik pitching menyeret dasar membuahkan hasil kepada Sofian di bahagian hadapan bot.

Berselang tidak sampai seminit kemudian Shahrul yang berada di bahagian tengah bot pula menerima sambaran dan melayan larian dan mangsa yang belum dikenal pasti spesiesnya.

Sementara Asrin yang berada bersebelahan dengan Sofian di bahagian hadapan bot turut menerima sambaran namun rabut.

 

 

Setelah beberapa minit bertarung Shahrul dan Sofian berjaya mendaratkan tangkapan masing-masing.

Dan masing-masing terkejut melihat spesies yang mereka daratkan. Jenahak yang mereka idamkan tapi bagok pula yang mengena.

 

Bagok yang lazimnya berkumpulan itu mendorong tekong mengulangi lubuk yang sama beberapa kali.

Begitu juga lubang-lubang berhampiran yang berpotensi namun tiada lagi sebarang sambaran dari bagok atau spesies lainnya.

Sekaligus menjadikan bagok bersaudara itu penutup trip jigging pelepas gian mereka berempat.

 

 

“Bagok pun bagok la janji tak kumpau!” ujar Shahrul dalam perjalanan pulang ke jeti Batu Laut disulami ketawa besar.

 

IKLAN