Jika pasang surut air laut dijadikan ukuran, tempoh air banir atau air pasang kecil sememangnya kurang sesuai untuk memperoleh hasil tangkapan yang memberangsangkan.
Terutamanya spesies sasaran iaitu jenahak dan kerapu. Namun, disebabkan sudah lebih sebulan ‘berpuasa’ Shahrul, Sofian, Syamil dan Asrin sudah tidak terbendung menahan rasa rindu dan gian mengunjun kepingan besi 200 gm di perairan Zeezone Port Klang.
Menggunakan khidmat tekong tersohor Batu Laut, RM Rezza, mereka turun menunaikan ketagihan jigging perlahan tanpa menaruh harapan tinggi trip berakhir dengan gemilang.
Faktor arus lemah yang mempengaruhi keaktifan ikan memburu makanan agak ketara. Jig-jig yang membuai di lubuk-lubuk berpenghuni langsung disentuh.
Meskipun jelas tertera kelompok kumpulan ikan terpapar di alat pengesan ikan namun tiada sambaran berlaku.
Ads
Seolah-olah ikan terlalu malas untuk membuka mulut atau kekenyangan melahap sotong-sotong yang kehadirannya dapat disaksikan apabila jig yang dikarau naik ke permukaan.
Lewat petang setelah kecewa di lubang-lubang jenahak dan kerapu, juga kecewa memujuk gerepoh dan sagai di lubuk yang tidak pernah mengecewakan, tekong mengambil keputusan untuk mencuba nasib di lubuk ikan alternatif tidak jauh dari penanda Tiang Sepang.
Teknik pitching menyeret dasar membuahkan hasil kepada Sofian di bahagian hadapan bot.
Berselang tidak sampai seminit kemudian Shahrul yang berada di bahagian tengah bot pula menerima sambaran dan melayan larian dan mangsa yang belum dikenal pasti spesiesnya.
Sementara Asrin yang berada bersebelahan dengan Sofian di bahagian hadapan bot turut menerima sambaran namun rabut.
Ads
Setelah beberapa minit bertarung Shahrul dan Sofian berjaya mendaratkan tangkapan masing-masing.
Dan masing-masing terkejut melihat spesies yang mereka daratkan. Jenahak yang mereka idamkan tapi bagok pula yang mengena.
Ads
Bagok yang lazimnya berkumpulan itu mendorong tekong mengulangi lubuk yang sama beberapa kali.
Begitu juga lubang-lubang berhampiran yang berpotensi namun tiada lagi sebarang sambaran dari bagok atau spesies lainnya.
Sekaligus menjadikan bagok bersaudara itu penutup trip jigging pelepas gian mereka berempat.
“Bagok pun bagok la janji tak kumpau!” ujar Shahrul dalam perjalanan pulang ke jeti Batu Laut disulami ketawa besar.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Bluefin tuna adalah salah satu ikan yang paling sukar dipancing berdasarkan pengalaman para pemancing. Dilihat dari bentuk tubuhnya yang mirip torpedo, jelas ikan ini mampu meluru bagai roket ketika di air. Makin besar ukurannya, tentu makin sukar memancingnya karena ototnya yang tentu lebih kuat.
Atlantic bluefin tuna terbesar pernah didaratkan oleh Ken Frazer, di perairan Nova Scotia, Kanada seberat 1,496 atau 690 kg. Fraser berhasil menaikkan sang monster tuna ini setelah bertarung selama 45 minit. Keterujaan membuatkan Fraser hampir menghasilkan buku yang menceritakan aksi tangkapannya ini.
Atlantic Blue Marlin (635 Kilogram)
Ada satu jenis ikan yang dianggap primadona. Mendaratkannya akan menerbitkan rasa bangga yang luar biasa, apalagi jika ukurannya sangat besar. Ikan yang dimaksud adalah marlin atau mersuji. Tengok saja bentuk tubuhnya yang sangat anggun. Memanjang dengan mulut runcingnya yang khusus.
Belum lagi padanan warna tubuhnya yang membuat ikan ini makin sempurna. Rekod tangkapan ikan mersuji terbesar ini ialah 1,402 lb atau sekitar 635 kilogram.
Pemancingnya adalah Paulo Amorim yang berhasil menaikkan ikan ini hampir selama 80 minit! Ikan yang ditangkap di perairan Brazil tersebut berhasil mengalahkan rekod sebelumnya dengan perbezaan 120 lb.
Swordfish (536 Kilogram)
Dilihat dari fiziknya, swordfish punya kesamaan dengan mersuji. Hanya saja seperti namanya, ikan ini punya paruh yang mirip dengan pedang. Bentuk tubuh swordfish direka seperti Lamborghini lautan. Anda boleh bayangkan sendiri pertarungan dengan ikan seperti ini pasti sangat sukar.
Swordfish terbesar pernah ditangkap oleh Lou Marron, berasal dari Chile. Tangkapannya pada tahun 1953 dengan berat mencapai 1,182 lb atau 536 kilogram. Hingga kini ini belum pernah ada yang memecahkan rekor swordfish terbesar terutama yang dipancing menggunakan joran dan kekili.
Uniknya, spesimen swordfish ini sekarang diawet untuk tatapan di Game Fish Association Fishing Hall of Fame di Miami.
Giant Mekong Catfish ( 293 Kilogram)
Sebesar mana rekod tangkapan ikan patin Mekong yang pernah korang daratkan? Walau sebesar mana sekalipun rasanya tidak mungkin dapat mengatasi rekod ini. Rekod patin Mekong terbesar yang berhasil dipancing ialah 646 lb atau sekitar 293 kilogram.
Ikan ini berhasil didaratkan pada 1 Mei 2005 lalu oleh seorang nelayan Thailand di perairan setempat. Ikan patin Mekong ini memang terkenal dengan ukurannya yang besar walaupun kini populasinya terancam punah.
Kini pemancing dunia pun juga tak ketinggalan untuk menikmati sensasi tarikan sang ikan raksasa ini untuk pancingan tangkap dan lepas.
Alligator Gar (104 Kilogram)
Sebagaimana namanya, fizikal ikan ini memanjang seperti buaya dan bahkan punya bentuk mulut serta deretan gigi tajam yang sama. Ikan ini berhabitat di Amerika Utara hingga Amerika Tengah. Pertarungan yang dihasilkannya ketika dipancing hampir seagresif ketika memancing buaya!
Rekod tangkapan alligator gar terbesar menjadi milik John Paul Morris yang menangkap ikan ini di sebuah perairan di Texas. Beratnya mencapai 230 lb atau 104 kilogram. Setakat ini belum pernah ada rekod lain yang mengalahkan milik Morris walaupun ramai pemancing di dunia yang sudah berjaya mendaratkan spesies bersaudara dengan buaya ini.
Sudah agak lama juga saya tidak menyertai aktiviti memancing bersama geng otai haruan yang saya gelarkan Geng Temoh.
Mereka bukanlah orang-orang Temoh, sebaliknya geng pemancing Lembah Kelang tetapi kami bertemu dan memancing bersama di Temoh.
Kerap kali juga kami memancing bersama di Temoh dan memancing di kolam ternakan bagi mengeluarkan haruan dan puyu.
Setelah lebih setahun setengah yang tidak memancing bersama, saya berkesempatan juga memancing bersama mereka.
Spesies sasaran masih lagi sama iaitu haruan dan puyu tetapi lokasi berbeza. Kali ini kami memancing di sebuah ladang kelapa sawit di Bestari Jaya, Selangor.
Sementara padang pancing pula ialah sebuah lombong atau mungkin kolam saliran ladang yang sudah terbiar.
Apa yang menarik minat saya untuk sertai trip mereka bukanlah untuk memancing haruan, sebaliknya puyu-puyu liar yang bukan saja banyak tetapi juga mudah dipancing.
Menurut kata Anhar, pada trip sebelum ini mereka ada melihat seorang pak cik memancing di situ dengan begitu mudah memunggah puyu hanya sekadar menggunakan joran teleskopik.
Abang Lan menabur dedak sambil diperhatikan oleh `Coach’ haruan, Abang Kamal
Sesampainya di lokasi, Abang Lan segera menabur dedak ayam di spot untuk memancing puyu.
Ia bertujuan memanggil puyu datang berkumpul di situ. Saya dan Anhar segera menyiapkan kelengkapan untuk memancing puyu.
Sementara ahli trip lain yang memburu haruan, terus saja ke mengelilingi lombong yang boleh tahan juga luasnya.
Melihat pada keadaan lombong yang dipenuhi tumbuhan akuatik seperti teratai dan rumput panjang itu menyedarkan saya kesukaran yang bakal dihadapi.
Tambah pula dengan cuaca berangin. Bukan satu perkara yang mudah untuk memancing dengan santai. Keadaannya jauh berbeza dengan kolam ternak di Temoh.
Setelah lebih satu jam kami berdua memancing puyu dengan pelbagai umpan dan tidak membuahkan sebarang hasil , akhirnya Abang Lan kita sama memancing dengan kami.
Saya sendiri sudah hampir berputus asa kerana tiupan angin menyebabkan tali pancing dan mata kail tersangkut pada pokok teratai.
Anhar berusaha keras mencari strike
Dengan menggunakan teknik yang sesuai, tidak sampai setengah jam kemudian Abang Lan mempamerkan hasil tangkapannya kepada kami berdua.
Tidak sangka pula Abang Lan ada menyediakan peralatan lengkap untuk memancing puyu.
Nak meminjam peralatan seperti pelampung kecil dan batu kepit yang dibawanya itu terasa segan pula.
Abang Lan memperlihatkan skilnya
Setelah beberapa ekor puyu berjaya dinaikkan oleh Abang Lan termasuklah seekor dengan saiz monster (sepanjang tapak tangan), barulah kami meniru teknik yang digunakan oleh Abang Lan.
Namun waktu sudah sedikit terlewat. Hari dah nak senja barulah kami nak bertukar teknik. Walaupun agak terlewat namun kami berjaya jugalah memperoleh lesen.
Walaupun cuma seekor dan bersaiz kecil, ia begitu bermakna sekali.
Pancingan dasar secara berhanyut adalah teknik pancingan paling efektif di perairan Zeezone kerana kebanyakan lubuk adalah di celahan laluan kapal dagang yang mundar mandir sepanjang Selat Melaka.
Istilah menotok (pancingan dasar secara berhanyut) lebih banyak diguna pakai oleh pemancing otai di perairan ini kerana ia lebih menjurus kepada situasi dasar berbanding berhanyut yang berkisar di permukaan.
Kini bertambah ramai yang sanggup meredah gelombang dan alun kapal semata-mata ingin merasai keperitan menarik jenahak, merah, kerapu dan ibu gelama dari dasar manakala talang, haruan tasik, gerepoh, tenggiri pula pasti turut mendapat habuan jika umpan dilepaskan tanpa ladung.
Dalam trip ke sekian kalinya, cuaca begitu menyebelahi kami kerana beberapa trip sebelumnya terpaksa menempuh alun menggila di pintu keluar kawasan merah yang dikenali Pintu Air Pulau Pintu Gedung. Laut yang sedikit beralun membolehkan proses mencari umpan hidup. Umpan hidup dari hasil apollo lebih mudah diperoleh namun ia sekadar umpan pilihan kedua.
Pilihan pertama sotong kurita menjadi pertaruhan terbaik namun permintaan tinggi dan bekalan sering tidak mencukupi memaksa ramai pemancing mencari umpan alternatif.
Penjimatan masa ke lubuk amat ketara ketika bergerak dalam kelajuan hampir penuh di kala laut mendatar. 15 hingga 30 minit diperlukan setiap kali berpindah lubuk. Ikan tidak mendiami lubuk yang sama dan jumlahnya agak menurun.
Kalau disebut kawanan ikan tentu ratusan dan puluhan ekor, tapi di kawasan Zee Selat Melaka ini kawanan ikan biasanya kurang dari 10 ekor mengikut pemerhatian hasil yang dibawa pulang oleh kumpulan pemancing.
Kami bergerak ke lokasi dengan penuh semangat kerana kedua-dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan ikan selar hidup serta tamban yang nyawa-nyawa ikan sudah tersedia untuk digunakan.
Lubuk pertama menjadi persinggahan kira-kira 11 batu nautika dari Pintu Gedung atau lebih dikenali Lubuk 190 darjah berpandukan bacaan kompas dari kuala Pintu Gedung. Kalau 230 darjah akan melepasi Rumah Api Permatang Sedepa.
Kedudukan lubuk hampir melepasi Paloh 3 di mana kawasan laluan kapal melintasi Pelabuhan Klang menuju ke arah Selatan. Memandangkan umpan selar dan tamban masih lagi segar hidup, kami mengunjungi lubuk biasa yang banyak menerima strike oleh talang.
Umpan selar amat mudah menjerat talang manakala tamban pula menjadi taruhan untuk ikan dasar. Dalam keadaan laut agak selesa, muka baru yang pertama kali turun nampaknya masih tetap tidak tahan.
Mabuk membawa sehingga seharian di dalam sampan dengan baring sambil melihat rakan-rakan memancing. Lama-lama nanti pasti akan biasa dengan alun dan akhirnya boleh mengikuti trip di kemudian hari.
Zon penantian bermula beberapa minit selepas semua peralatan pancing ditugaskan melabuhkan umpan selesai. Pertaruhan umpan selar hidup, sotong kurita dan tamban yang nyawa-nyawa ikan pasti dinilai keberkesanannya merujuk kepada umpan mana yang disambar terlebih dahulu.
Bunyi hon kapal kedengaran apabila dari kejauhan menandakan ada sampan lain yang ketika itu terlalu hampir dengan laluan mereka. Perkara yang dah biasa buat kami kerana tumpuan utama ke arah hujung joran, menanti lenturan dengan penuh harapan.
Umpan tamban segar menjadi korban pertama untuk sang jenahak remaja. Strike kedua di kawasan yang sama turut mengorbankan umpan tamban apabila seekor lagi jenahak tewas dengan joran buatan tangan dengan pasangannya kekili elektrik Shimano Beastmaster 9000.
Larian ikan bermasalah – sang cobia, itulah gelaran yang diberi kepada aruan tasik. Apabila ia kena sahaja, pasti ia akan mengelilingi sampan apabila muncul di permukaan. Kekuatan yang dimiliki spesies ini walaupun di permukaan air tidak terdaya lagi ditangani apabila larian kedua begitu kuat sehingga perambut 80 lb putus.
Suasana menyepi selepas kehilangan aruan tasik. Beberapa kali lubuk pertama diulangi namun tiada sentuhan kasar. Hanya tengkerong dan ikan mengkerong pasir yang mencuri umpan yang semakin mahal harganya.
Waktu puncak pertama sudah lepas terpaksa menunggu waktu puncak berikutnya dalam masa 5 jam lagi. Sesi berhanyut sambil merehatkan badan seketika.
Memasuki waktu puncak kedua kami berpindah ke lokasi lain yang terletak kira-kira 6 batu nautika. Dengan pecutan 24 knot, dalam masa 15 minit akan sampai kerana alun selat semakin mendatar menjelang waktu petang. Percaturan yang sama seperti sesi sebelah pagi.
Cuma tinggal beberapa ekor selar dan kurita sahaja. Umpan tamban semuanya mati kerana spesies ini perlukan kitaran air yang baik untuk kekal hidup.
Apabila arus semakin melemah, sambutan ikan dasar semakin kerap jika berada di kawasan lubuknya. Petang itu agak menceriakan kami apabila ikan lebih galak. Semakin lewat petang semakin menjadi pula jenahak menyambar. Walapun tidak kesemua strike berhasil sekurang-kurangnya ada juga kepuasan yang diperoleh.
Lewat petang itu kami pulang dalam keceriaan sambil menyusun perancangan untuk kembali lagi. Jadi pemancing mana pernah puas tidak kira menggasak atau digasak. Kumpau itu sesuatu yang indah dikenang walaupun pahit untuk ditelan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...