Habitat utama bebaji ini sama ada di pantai, sungai dan muara berasaskan selut berlumpur. Sifat semula jadinya menanamkan badan hanya mata timbul di permukaan dasar gemar melakukan serangan hendap dan menyerbu mangsa seperti anak-anak ikan atau krustasea yang lalu di hadapan mulut. Ia tidak akan mengejar mangsa yang terlepas dan berada jauh dari jarak serangan.
Walaupun demikian bebaji tidak mendiami satu kawasan pada satu-satu masa, ia juga bergerak satu tempat ke satu tempat mengikut perubahan arus dan paras pasang surut air. Ini bermakna ia mampu meneroka satu-satu kawasan buruan mengikut pergerakan pasang surut air.
Bebaji mempunyai persamaan dengan spesies ikan sebelah dan ikan lidah dari segi sifat, penyamaran dan cara memburu mangsa.
Ikan bebaji adalah pemangsa dasar (bottom feeding). Ia boleh dikaitkan dengan spesis dasar yang lain seperti bebolos, sebelah dan lidah yang mana hanya tertumpu makanan dasar dan amat jarang menerkam mangsa yang lebih dari sekaki atas dari dasar.
IKLAN
Teknik memancing sama seperti mana memancing ikan dasar seperti bebolos. Umpan harus berada di dasar dan mengunakan perambut pendek memberi kelebihan untuk memerangkap ikan ini.
Jika bebolos, penggunaan mata kail halus dipraktikan, sebaliknya untuk bebaji, mulutnya yang leper mampu membuka luas mata kail kasar bersaiz 1/0, 2/0 tidak menjadi masalah untuk memerangkap ikan pemalas ini.
IKLAN
Mangsa utama bebaji adalah ikan-ikan kecil yang melintas di hadapan mulutnya. Manakala perumpun, udang dan sotong digunakan secara meluas oleh pemancing di negara ini. Diet bebaji sering dikaitkan dengan pergerakan mangsa lalu di hadapannya. Oleh itu menggunakan umpan mati lebih berkesan jika umpan tersebut dihenjut lembut setiap masa untuk mengelirukan bebaji.
IKLAN
Satu cara lagi memancing hanyut. Ramai yang tidak suka teknik menghanyut umpan di dasar kerana keberangkalian sangkut pada reba dan sebagainya amat tinggi di kebanyakan lokasi. Selain umpan yang disebutkan tadi, satu lagi umpan yang jarang sekali di pratik di negara kita ialah umpan tiruan dari plastik lembut. Cara ini banyak di amalkan secara meluas di Australia.
Walaupun gigi tajam, bentuknya tidak mampu memotong tangsi perambut 20lb. Bebaji biasanya menelan mangsa setelah dicengkam rakus. Kebarangkalian mata kail tertelan di dalam perutnya amat jarang berlaku kerana ia melarikan diri setelah menyambar umpan.
Fenomena mangsa sudah tersangkut hanya disedari setiap kali umpan diperiksa disebabkan ia tidak banyak bergerak setelah meragut umpan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Untuk memikat senangin, terutama sekali pemancing harus tahu keadaan pasang surut air. Pada kebiasaannya, paras air pasang dari 1.8 ke 3.0 meter merupakan waktu yang terbaik.
Apabila air mula pasang, tunggu sehingga paras air naik ke separuh nak penuh baru boleh cuba untuk memikat senangin. Keadaan air pula wajib berarus.
Tetapi tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu perlahan. Cubalah memikat sehingga paras air hampir pasang penuh.
Apabila air sudah pasang penuh, senangin agak kurang makan dan tidak aktif. Tunggulah sehingga air mula bergerak sudut dan mencuba lagi memikat sehingga paras air surut dan kembali normal.
Lazimnya senangin sangat suka dengan keadaan dasar yang berpasir dan tidak terlalu dalam. Jangkaan dalam 2-3 meter kedalaman air.
Untuk memikat senangin, pemancing boleh cuba teknik top water (popping), gewang crank selaman dalam dan micro jig (10-20 gram) mengikut tempat dan kelajuan air.
Pemilihan gewang sebaiknya tidak terlalu besar. Memadai gewang bersaiz 7cm hingga 9 cm. Untuk teknik popping pula, pemancing harus memilih popper yang agak bising (bunyi kuat) untuk menarik perhatian senangin.
Selain itu teknik karauan juga memainkan peranan. Kebiasaannya, karauan laju dan jerk menjadi keutamaan.
Bagi penggunaan gewang crank selaman dalam pula, lakukan karauan seperti biasa sahaja. Hanya baling dan karau santai.
Bagi penggunaan micro jig pula, teknik jerk hujung joran dan karau untuk dua atau tiga pusingan dilakukan berulang kali.
Sebaiknya setiap balingan ke sesuatu spot yang sama itu diulang beberapa kali sebelum beralih ke spot yang lain. Kebiasaannya senangin memburu makanan secara berkumpulan.
Oleh yang demikian, pemancing boleh melontar gewang di tempat yang sama apabila nampak ada pemangsa mula menyambar gewang.
Kemungkinan senangin yang lain pula akan menyambar gewang yang anda lontarkan.
Senangin juga memiliki aksi akrobatik apabila terkena gewang. Seperti siakap, ia juga berkebolehan memutuskan tali pancing dengan pipinya yang tajam.
Jadi pemancing harus pandai control drag sewaktu ikan mengena dan berhati-hati melayan sehingga ikan selamat didaratkan.
Untuk pengetahuan semua, tip dan panduan ini amat berkesan di padang pancing khususnya di muara Sungai Penor, Kuantan.
Mungkin di lokasi lain sebelah pantai barat sedikit berbeza namun tiada ruginya jika pemancing ingin mencubanya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Terdapat pelbagai cara untuk menangkap haruan dengan penggunaan set pancing, namun teknik melontar dan menggerakkan umpan dengan cara mengarau kekili merupakan method yang disukai ramai pemancing.
Teknik yang lebih dikenali sebagai mengilat atau casting lazimnya menggunakan umpan semula jadi terutamanya katak.
Begitu pun pemancing moden masa kini lebih menggemari penggunaan gewang seperti katak tiruan.
Biarpun penggunaan katak tiruan tidak mampu menandingi keberkesanan katak asli, dari aspek lain ternyata memihak kepada katak tiruan.
Apa yang paling penting untuk casting haruan selain peralatan pancing yang tepat, sepadan dan serasi ialah kecekapan mengesan kewujudan haruan itu sendiri. Haruan boleh dikesan sama ada dengan deria penglihatan dan pendengaran.
Melalui deria penglihatan, anda boleh mengesan kelibat haruan meneguk udara di permukaan air.
Buat permulaan ia mungkin boleh mengelirukan juga dengan ikan-ikan lain, namun sedikit demi sedikit akan dapat membezakannya.
Lazimnya, haruan kurang aktif bergerak. Oleh yang demikian ia akan muncul kembali meneguk udara di kawasan yang sama.
Satu lagi cara mengesan dengan daya penglihatan ialah mencari kelompok anak haruan. Kaedah ini paling digemari ramai pengilat kerana peluang untuk berjaya adalah lebih tinggi.
Jika kumpulan anak haruan itu masih kecil dan belum terusik oleh sesiapa, peluang untuk mendaratkan haruan lebih dari seekor juga cerah.
Satu lagi kaedah ialah melalui deria pendengaran. Sebarang bentuk hentaman haruan terhadap mangsa di permukaan air akan menghasilkan bunyi dentuman.
Oleh yang demikian, anda perlu peka terhadap bunyi tersebut untuk menghantar umpan yang digunakan.
Mengilat atau casting haruan agak mudah kerana haruan gemar kepada benda bergerak.
Namun, sekiranya anda menemui spot yang dikenal pasti ada haruan tetapi tiada sebarang aksi sambaran, tip berikut boleh dicuba.
Lontar gewang dan buatlah karauan laju tiga hingga empat kali. Kemudian ubah kepada karau perlahan sambil melakukan henjutan pada gewang secara perlahan.
Sekiranya menggunakan jump frog atau soft frog, selang-seli kadar karauan sambil mengenjut gewang yang digunakan.
Lakukan karauan perlahan kemudian berhenti dan biarkan gewang pegun seketika. Kemudian lakukan henjutan dan teruskan dengan karauan perlahan.
Jika masih tiada sambaran, tukar pula gewang atau soft frog aksi tenggelam. Karau perlahan-lahan disulami henjutan kecil.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Teknik jigging perlahan merupakan teknik khusus untuk menggantikan teknik pancingan dasar bagi memburu ikan-ikan bersisik yang bersifat demersal. Terdapat pelbagai spesies ikan demersal namun dalam sukan memancing jigging perlahan yang berkonsepkan pancingan ikan dasar, terdapat beberapa spesies yang menjadi sasaran utama.
Jenak / Jenahak
Dalam disiplin jigging perlahan, ia merupakan ‘ikan sisik’ yang berada di ranking paling atas dalam spesies buruan utama. Bahkan dalam sesuatu trip jigging perlahan, trip berkenaan boleh dianggap gagal atau kumpau jika gagal mendaratkan jenahak berikutan ia merupakan spesies utama sasaran dalam aktiviti ini.
Nama saintifik: Lutjanus Johnil
Nama Inggeris: Golden Snaper, John’s Snapper
Nama Tempatan: Jenahak, jenak, ungah
Ikan yang tergolong dalam keluarga Lutjanidae ini merupakan spesies yang paling popular dalam 60 genus lutjanus yang memakai nama jenahak. Ikan jenahak boleh hidup sihat dan berenang bebas di kawasan laut beriklim tropika dan sub-tropika. Ia mampu membesar sehingga satu meter panjang dan seberat 13 kilogram. Ia mudah dikenali dengan tompok hitam bulat di bahagian belakang badannya.
Boron / Tong gas
Boleh dikatakan, setiap pengamal slow jigging berhasrat untuk menundukkan kerapu boron atau tong gas ini. Walaupun daya juangnya cuma seketika namun aksinya selepas membaham jig itulah yang dirindukan. Pasti ramai pecinta jigging perlahan merindui aksi benamannya dalam usaha melarikan diri setelah tersangkut mata jig.
Nama saintifik: Epinephelus malabaricus
Nama Inggeris: Malabar Grouper
Nama tempatan: Kerapu, boron, tong gas
Kerapu mampu survival dalam pelbagai habitat. Ia mampu hidup di kawasan terumbu karang, terumbu berbatu, muara, kawasan paya bakau serta lautan hingga kedalaman 150 meter. Boron atau turut digelar ‘tong gas’ merupakan hidupan laut yang lasak. Dengan kepala coklat dan badan panjang.
Badannya dilitupi bintik hitam kecoklatan yang meningkat jumlahnya seiring usia. Ia mampu membesar sehingga 120 cm dan 150 kilogram berat.
Siakap Merah
Ia merupakan ikan sisik yang dianggap sebagai ikan trofi jika berjaya mendaratkannya. Dalam disiplin jigging perlahan, kakap merah dianggap rare species berikutan peluang untuk mendaratkannya amat tipis walaupun berpuluh kali trip memancing diadakan. Hingga dikatakan hanya jigger tahap masta saja yang bejaya mendaratkannya.
Nama saintifik: Lutjanus argentimaculatus
Nama Inggeris: Mangrove jack
Nama tempatan: Kakap merah, siakap merah, tambong
Ikan kakap merah atau lebih popular dengan panggilan MJ di kalangan pemancing lazimnya hidup di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan. Apabila matang ia akan berhijrah ke laut lepas. Justeru ia menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pemancing untuk membezakan kakap merah yang didapati di muara dengan kakap merah di laut dalam.
Kaci
Dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini hampir tidak tersenarai dalam buruan utama berikutan ia pernah dianggap tidak membaham jig kecuali jig yang ‘berumpan’. Namun tentangan yang diberikan kaci sehingga ke permukaan membuatkan ia kini menjadi spesies yang ingin diburu.
Nama saintifik: Diagramma pictum
Nama Inggeris: Grunts (sweetlips)
Nama tempatan: Kaci, mandi abu
Ciri-ciri untuk mengenali kaci atau mandi abu ini memiliki 9-10 duri pada sirip dorsal, 20-24 tompok sinar lembut. Kaci juvana atau sub dewasa memiliki tompok atau jalur. Ia mampu membesar sehingga 100 cm namun saiz biasa yang ditemui sekitar 45 cm.
Dalam dunia memancing khususnya pancingan kolam air masin, kaci ini lebih merujuk kepada panggilan kakap merah.
MERAH PUCAT
Ia merupakan spesies buruan utama dalam dunia pancingan dasar. Namun dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini masih menjadi satu persoalan yang tidak terjawab sama ada ia benar-benar membaham jig. Atau dalam erti kata lain, bukannya jig hybrid atau jig yang diletakkan umpan. Namun peluang untuk memperolehnya dengan menggunakan jig sahaja tetap ada terutamanya ketika ia kelaparan.
Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama Inggeris: Crimson Snapper
Nama tempatan: Merah, merah pucat
Spesies yang mudah dikenali berikutan keseluruhan badannya termasuklah sirip berwarna merah atau merah jambu. Profil dorsalnya berkepala curam dan bermulut kecil. Ia mampu membesar sehingga 60 cm namun pada kebiasaannya yang didaratkan dalam lingkungan saiz 45 sahaja.
Ibu Gelama
Dalam skop jigging perlahan masa kini, ibu gelama dianggap sebagai spesies buruan paling atas masa kini. Ia berikutan bukan sahaja kerana kesukaran untuk memperolehinya, bahkan disebabkan tahap kekuatan pertarungannya yang luar biasa berbanding spesies. Seperkara lain, ibu gelama yang lazimnya ditumpaskan melalui teknik slow jigging ini, saiznya besar-besar belaka.
Nama saintifik: Argyrosomus japonicus
Nama Inggeris: Mulloway, Jewfish, Kingfish
Nama Melayu: Ibu gelama
Argyrosomus japonicus adalah spesies ikan berwarna keperakan dan hijau gangsa yang tergolong dalam keluarga Sciaenidae. Di Australia ia dikenali sebagai mulloway atau jewfish dan kob dusky di Afrika Selatan. Ibu gelama ini mampu mencapai panjang kira-kira 180 cm (80 kg berat), walau bagaimana pun purata saiz yang biasanya ditangkap sekitar 3-15 kg.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...