Melihat pada rupa dan bentuk mulut yang dimiliki, kita boleh membuat andaian sekiranya mengunakan mata kail besar pasti hasilnya mengecewakan.
Dengan mulut kecil menjadikan spesies ini pandai mengutis terlebih dahulu umpan pada mata kail yang besar.
Sebagaimana spesies lain yang berkongsi habitat yang sama seperti kitang, telinga gajah, gedabang dan bagang, kesemua jenis ikan leper ini boleh dikelaskan dalam ikan aksi ringan atau light action game fish yang cukup menghiburkan.
Ini kerana spesies sebegini jarang bertindak menyelinap ke kawasan reba apabila terkena pancing.
Sebaliknya ia gemar bertarung di kawasan terbuka dan daya lawan cukup menawan terutama ketika ia melintang dan bertahan dari kedudukan pemancing.
IKLAN
Badan yang leper dan lebar memberi cabaran bagi pemancing untuk menewaskannya dengan mudah.
Ketika larian melintang inilah membuatkan pemancing sentiasa berubah kedudukan mengawal pergerakan tali pancing yang sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan.
Biasanya tentangan yang diberikan lebih tertumpu di pertengahan air dan sesekali ia menujah ke dasar apabila pemancing terlalu gopoh untuk mendaratkannya.
Untuk keseronokan melayan, cubalah tali utama 8 Ib hingga 15 Ib dengan mengunakan joran dalam kelas yang sama.
Untuk lebih keseronokan juga seeloknya sekadar menggunakan tali tangsi. Bagi pancingan ikan daun baru ini tidak memerlukan kapasiti tali yang banyak untuk disimpan di dalam gelendung kekili.
Set pancing untuk melayan apollo juga sudah lebih dari sesuai untuk digunakan.
IKLAN
Waktu yang dikatakan terbaik untuk memancing daun baru ini kira-kira 30 minit selepas air mula pasang dan lokasi biasanya di muara-muara sungai kecil.
Di pinggiran pantai pula lontaran dibuat jauh sedikit dari kawasan batu karang dengan mengunakan pemberat kecil sahaja.
Masa terbaik di kawasan pantai ialah ketika tiada angin kencang yang bertiup dari arah laut.
IKLAN
Sebagai pemburu makanan dasar bermulut kecil, umpan yang sesuai untuknya terdiri dari hirisan ikan dan sotong, udang yang dikopek kulitnya, umpun-umpun, isi sesiput dan
moluska bercengkerang seperti kupang, siput sudu, kepah, kerang dan ketam juga boleh digunakan.
Umpan jangan terlalu besar sekadar menutupi mata kail saiz 10 (mata udang paling berkesan).
Bagi yang meminati dunia memancing, pastinya akan menganggap aktiviti ini sebagai satu aktiviti yang menenangkan minda dan emosi anda. Tapi kadangkala memancing juga mampu membuatkan anda kecewa, terutama bila anda kumpau atau pulang dengan tangan kosong setelah seharian memancing. Untuk mengelakkan masalah kumpau dari berterusan, kami ingin berkongsi beberapa kesilapan yang patut anda elakkan sewaktu keluar memancing.
Peralatan Tak Sesuai
Biasa terjadi bila memancing dapat sambaran tetapi ikan susah nak mengena. Adakah anda kaji semula mengapa perkara itu terjadi? Besar kemungkinan ia datang daripada pemilihan peralatan yang salah. Jadi sebagai pemancing, anda harus tahu apa spesies ikan sasaran anda. Jadi dari sini anda boleh menentukan peralatan apa yang sesuai untuk anda gunakan. Sebagai contoh, janganlah nak pancing layaran guna mata kail udang pulak nanti.
Bodoh Sombong
Biarpun berapa puluh tahun anda memancing dan seberapa banyak pengalaman yang anda, janganlah jadi pemancing yang bodoh sombong atau berlagak pandai! Ini amat penting terutama bila anda meneroka lubuk baru. Sentiasalah bertanyakan mereka yang arif dengan kawasan tersebut dan kaji dahulu lokasi memancing anda untuk mengelakkan kes membangau sehari suntuk!
Kelam-Kabut
Kalau kot ye pun teruja nak memancing elakkan dari menjadi seorang yang kelam-kabut. Bukannya apa, bila terjadinya kes-kes kelam-kabut ni pasti ada saja masalah yang akan terjadi. Tertinggal set pancinglah, ikan rabutlah dan yang paling teruk berpotensi untuk ditimpa kecederaan sewaktu memancing. Jadilah seorang pemancing yang sentiasa bertenang dan rancanglah sebaik mungkin perjalanan sebelum anda keluar memancing.
Cemburu Tak Tentu Pasal
Kes kaki pancing cemburu ni mesti banyak kali terjadi di kalangan kita. Pantang je tengok orang tarik ikan mesti ada 1 atau 2 orang yang jenis tak senang duduk bila tengok orang strike. Time tu jugaklah dia nak pindah duduk kat kawasan orang yang dapat ikan tu. Haihh, kalau boleh, jadilah pemancing yang sentiasa percaya pada rezeki sendiri. Janganlah dek kerana sikap tamak dan cemburu tu anda dibenci pemancing lain.
Bilakah waktu yang sesuai untuk memancing atau casting sotong mengabang? Waktu siang atau malam?
Jawapannya cukup mudah. Dua-dua pun boleh. Bergantung pada lokasi di mana kita hendak casting.
Contoh di Pulau Ular yang kami kunjungi, sotong mengabang hanya aktif dan mengejar candat pada waktu siang sehinggakan matahari terpacak atas kepala pun masih boleh casting dan mengabang tetap galak. Bila malam, sotong menyepi.
Berlainan pula di daratan seperti di tebing berbatu serta benteng, sotong mengabang aktif pada lewat petang dan waktu malam. Di kawasan yang terdapat cahaya seperti di bawah jambatan juga boleh didapati spesimen ini.
MEMILIH CANDAT
Warna serta corak yang cantik pada pandangan kita belum tentu menjadi kesukaan dan menarik minat sotong mengabang.
Jika di sebelah Pantai Timur candat bintik, pink dan oren menjadi pilihan. Warna serta berat candat yang pelbagai perlu dibawa kerana lain tempat lain pula kesesuaiannya.
PERALATAN
Joran khas untuk casting sotong agak sukar untuk mendapatkannya di pasaran. Sebagai alternatif joran P.E 0.6-1.2 sepanjang 6-7 kaki sudah dikira sesuai untuk mengilat dari tebing.
Kekili mendatar yang kecil bersaiz 500-1000 sudah memadai dan dimasukkan tali tangsi berkekuatan 10lb-15lb dengan diameter 0.18mm -0.20mm.
Penggunaan tangsi lebih efektif berbanding tali sulam kerana ia mempunyai daya regangan. Tangsi hanya dimasukkan ke dalam spool kekili sehingga 80% ruangan spool.
Jika tangsi dimasukkan memenuhi spool, masalah ‘sarang burung’ sering terjadi. Peralatan yang lebih ‘heavy’ diperlukan jika mengilat mengabang di laut dalam kerana saiz sotong yang lebih besar serta perlawanannya lebih ganas.
WARM JACKET
Ini antara teknologi terkini dalam penghasilan candat. Jika sebelum ini kita hanya bergantung kepada cahaya luminous pada candat bagi memerangkap sotong, kini badan candat yang bersuhu suam membuatkan candat seolah-olah umpan hidup sebenar dan sudah tentu ia lebih memperdaya sotong.
Walaupun tanda harga yang dilekatkan pada kotak candat ini membuatkan ‘kening terangkat’ namun berbaloi menggunakannya kerana kelebihannya ini.
Selain itu terdapat juga candat UV seperti Keimura Teknologi keluaran Shimano yang mana candat ini sangat efektif terutama untuk situasi gelap di dasar yang dalam.
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung. Biasanya kami akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal. Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah.
Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal. Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas. Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya. Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah.
Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai. Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...