Hampir separuh dari jenis spesies ini mempunyai mulut yang menghala ke bawah sesuai dengan tabiat mencari makanan di dasar. Manakala yang mempunyai gigi yang agak tajam mempunyai mulut yang menghala ke atas dan lurus ke depan.
Jenis yang mempunyai gigi yang lebih besar dan tajam biasanya mempunyai mulut yang lebih besar adalah bermusim, seperti contoh gelama papan di sebelah pantai Timur boleh dipancing apabila ikan ini mula membanjiri kawasan pantai dan sungai.
Musim ini anda akan lihat ramai pemancing di kawasan pantai memancing ikan yang purata saiznya 300 gram berumpankan ikan yang dibeli di pasar sama ada udang mati atau ikan selayang.
Memancing gelama agak mudah kerana ia dalam jumlah yang banyak, serta boleh ditemui di serata tempat. Gelama tidak memilih umpan selain udang, perumpun, sotong, ikan malah anak ketam, siput, ala-ala, kupang dan dan sebagainya pernah dijumpai di dalam perutnya.
Ads
Ia adalah spesies pemakan tidak kira waktu. Sepanjang masa ia sentiasa sibuk melayan kerenah pemancing. Hampir 70% spesies gelama membesar kurang dari sekilogram, peralatan jenis ringan adalah paling sesuai dengan kaedah dua mata.
Kalau yang kecil gunakan mata kail udang (kecil, halus dan tajam) supaya ia cepat melekat pada mulutnya dan paling baik umpan tidak terlalu besar untuk mulut gelama yang kecil saiznya.
Gelama juga pernah menyambar bulu atau pancing apollo dihenjut di dasar air. Gelama adalah spesies yang mudah boleh dipujuk memakan umpan dengan kaedah mengampai umpan di dasar serta mengangkatnya perlahan-lahan atau menghenjut hujung joran berulang kali dengan lembut sebelum membalas apabila sentapan berlaku.
Ads
Umpan terbaik untuk memujuk gelama ialah perumpun. Kaedah ini membolehkan anda membawa satu peti gelama balik kerumah untuk dikeringkan. Ia mungkin seronok apabila sekali naik dua dan tarikannya boleh tahan pada permulaan sahaja sebelum ia lemah di kaki pancing.
Memancing sudah menjadi adat, kalaulah gelama tiada, susah juga memancing sementara menunggu ikan besar meragut umpan.
Ads
Sunyi pulak rasanya tanpa dilayan oleh gelama tidak pilih waktu makan. Jenis gelama yang lebih besar seperti tirusan, jarang gigi, san gaa atau ibu gelama memerlukan tali berkekuatan 15Ib ke atas serta mata kail yang bersaiz 1/0, 2/0 ke atas.
Memburu spesies yang agak besar perlu keluar sedikit dari kawasan muara.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Memancing ikan memang perkara normal, tetapi memancing belut (fluta alba) satu perkara baru buat saya.
Memang saya akui, begitu naif untuk memancing spesies berbadan licin ini. Macamana menangkapnya, apa tekniknya, bila masa sesuainya.
Semasa kecil dahulu, pernahlah belut yang disangka ular ini terpancing dengan tidak sengaja.
Bila bapa saudara saya mengajak untuk mencuba memancing belut sawah, lantas ajakan beliau dipersetujui.
Jelasnya, musim menuai di kawasan ‘Jelapang Padi Selangor’ telah siap dan inilah masa yang terbaik untuk memancing belut di tepi-tepi parit kecil yang airnya sedang mula mengering.
Beberapa orang teman sekerja yang kaki pancing juga turut serta. Masing-masing teruja untuk melihat bagaimana caranya memancing belut.
Macam-macam persediaan yang kami bawa, termasuklah set pancing yang kasar untuk jigging ke laut dan juga set casting (kononnya untuk feel).
Memang agak lawak, memandangkan masing-masing belum pernah cuba memancingnya.
Umpan jantung ayam
Nak dijadikan cerita, kami bertolak awal-awal pagi lagi dari Shah Alam menuju Sungai Besar.
Kerana menurut bapa saudara saya, memancing belut sebaiknya awal pagi dan juga lewat petang.
Selain aktif masa makannya, ia juga bagus kerana pada waktu itu, tidaklah terasa sangat bahang mentari.
Sebelum bertolak, kami terlebih dahulu singgah ke pasar awam Seksyen 16 untuk mendapatkan jantung ayam bagi dijadikan umpan.
Untuk memancing belut, sebenarnya tidak perlu risau pasal umpan sebab apa sahaja yang jatuh ke dalam lubangnya pasti akan dibedal, termasuklah katak, cacing, hirisan daging atau jantung ayam, udang busuk.
Kami memilih hati ayam kerana ia lebih kenyal, murah dan senang didapati.
Sedang dalam perjalanan, bapa saudara memberitahu agak lewat sedikit kerana ada kematian di kariah tempatnya, jadi dia terpaksa terlibat sama.
Jadi untuk menunggunya, kami lewatkan sampai dengan singgah dahulu di pinggir jalan selepas melewati pekan Sekinchan untuk pekena mentarang bakar (sejenis siput laut) dan air kelapa muda. Habis dua pinggan mentarang bakar kami kerjakan. Fuhh memang sedap.
Hampir tengahari jugalah kami sampai di Sungai Besar dan sebaik tiba terus sahaja peralatan memancing disiapkan. Pelik dia melihat yang geng set memancing lembut terutama set casting untuk memancing.
Jelasnya, sebaik belut menggetu umpan dan membawanya masuk ke dalam lubangnya, bukan satu perkara mudah untuk memaksanya keluar.
Tapi bila kami mengatakan untuk feel, lantas pakcik saya menggelengkan kepala melihat gelagat kami. (mungkin dalam hatinya berkata… ikut koranglah).
Selesai sahaja menyiapkan set memancing, lantas kami terus sahaja meniti batas-batas sawah untuk mencari lubang-lubang belut.
Sebelum itu, beberapa orang kanak-kanak termasuklah anak saudara saya menjadi jurupandu untuk kami mencari lubang-lubang belut dan juga mengajar teknik sebenar macamana untuk memancing belut.
Kedatangan saya rupa-rupanya diketahui oleh dua orang anak saudara saya yang sememangnya rajin mencari belut bersama rakan-rakannya.
Terus sahaja mereka menjadi ringan mulut dan ringan tulang membantu dan mengajar kami.
Teknik Dan Cara
Memang tanpa bantuan dari mereka ini, kami sendiri entah berjaya atau tidak memancing belut. Caranya adalah cari lubang kecil yang berair di tepi parit utama.
Gunakan batang padi, kocakkan air di permukaan dan tunggu ada pergerakan naik turun air atau tidak.
Jika ada, maknanya lubang tersebut dihuni oleh belut. Kadang-kadang kami langsung tidak mengenali mana satu lubang belut atau bukan.
Tetapi budak-budak ni dengan selamba jer berkata “Eh, itu bukan lubang belut pakcik, yang ini…itu lubang ular air, sini lubangnya…”
Alamak!
Bila lubang belut telah dikenalpasti, hulur mata kail yang telah dicangkukkan dengan hirisan jantung ayam tadi ke dalam lubang dan goyang-goyangkannya.
Jika ada, biasanya dalam jangka masa singkat huluran anda pasti akan disambut. Apabila ia mula memakan umpan dan mula membawa masuk ke dalam sarangnya, tunggu beberapa saat dan lakukan sentapan supaya mata kail tertacap kukuh di mulutnya.
Bila belut telah memakan umpan, saat inilah betapa ‘feelnya’ terpaksa lawan tarik tali dengannya.
Sungguhpun ia hanyalah ikan, tetapi kuasa tarikannya yang kuat, hujung rod melentur kuat, boleh diibarat seperti memancing ikan di laut.
Ini disebabkan belut akan menahan dirinya melalui sarangnya yang dalam dan berbelit-belit.
Apa yang kita perlukan adalah lakukan ‘sorong-tarik’ tali bagi melemahkan belut berkenaan.
Jika terlalu sukar untuk memaksanya keluar, jalan terakhir adalah terpaksa mengorek lubang belut berkenaan. Di sinilah sebabnya mengapa, set pancing, ringan tidak sesuai.
Pendek kata, kalau nak guna set untuk memancing belut, lupakan ajelah, Risau hujung rod sepatutnya mahal yang mahal harganya tu patah dan membuatkan menangis tak berlagu la jawabnya.
Jika berlaku ‘miss’ beberapa kali di sesebuah lubang, belut akan culas untuk memakan umpan dan perlu cari lubang lain dulu. Kemudian barulah bolehlah kembali ke lubang berkenaan.
Apa Yang Terbaik
Ketika kami semua menggunakan set pancing, saya sebenarnya cukup tertarik dengan pancing buatan sendiri yang digunakan oleh kanak-kanak ini, iaitu menggunakan rim basikal yang dibentukkan seperti mata kail.
Ia diikat menggunakan tali pengikat guni padi dan batang jorannya hanyalah menggunakan batang buluh pendek. Ringkas… tetapi cukup mudah untuk mendapatkan belut.
Set inilah juga yang digunakan oleh kebanyakan pencari-pencari belut untuk dijual. Mudah dan cepat.
Untuk umpan, bebas nak guna apa pun boleh. Tetapi menurut kanak-kanak ini, umpan yang paling mujarab untuk memikat belut adalah katak sawah, kerana ia lebih cepat digetu.
Bila difikirkan semula, memanglah logik kerana di persekitaran semulajadinya, katak dan juga ikan-ikan kecil memang diet utama belut.
Tetapi bagi mereka yang geli menggunakan katak, bolehlah menggunakan umpan seperti yang dinyatakan di atas tadi.
Lewat petang, kira-kira 15 ekor belut berjaya dipancing oleh kami. Beberapa ekor belut, diambil oleh bapa saudara saya untuk disiang dan digoreng.
Bila siap dan dihidangkan kepada kami… Sedap rupanya belut ini, rasa macam ikan keli goreng.
Selesai menjamu selera, kami bertolak semula ke Shah Alam dan sewaktu dalam kereta, masing-masing mengeluarkan persepsi…
“Seronok rupanya memancing belut ni!”
“Bila nak mancing belut lagi?”
“Alamak… aku tak lalu la nak makan belut sebab bentuk dia macam!“
Ketika mula menjinakkan kaki ke arena pancingan kelong belasan tahun lalu, penulis hanya mampu memasang impian untuk menjejakkan kaki ke Kelong Paradise. Atau kelong batu sebagaimana yang selesa disebut oleh rakan yang bertanggungjawab mengheret penulis memancing ke kelong-kelong.
Ada beberapa faktor yang membuatkan penulis hanya sekadar mampu memasang angan-angan untuk memancing di Kelong Paradise ketika itu. Pertama, kos pakej memancingnya yang mahal. Maklum sajalah kos memancing di kelong-kelong biasa cuma sekadar RM30-RM40 seorang, sedangkan kos pakej di Kelong Paradise mencecah dua ratus ringgit. Itu belum campur kos-kos lain lagi.
Gedebak-gedebuk mahu cecah RM300 seorang. Dengan kos perbelanjaan sebanyak itu sudah pasti lebih afdal ke kelong biasa saja berulang kali. Seperkara lainnya, penulis merasakan kelengkapan pancing yang ada ketika itu tidak menepati piawaian untuk memancing di Kelong Paradise yang terkenal dengan ikan-ikan berstatus monster.
Lebih kurang 10 tahun yang lalu, akhirnya penulis berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Kelong Paradise atas tiket media apabila ada sebuah universiti mengadakan program di kelong tersebut.
Tentu saja penulis tidak lepaskan peluang tersebut kerana tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dan sudah memiliki kelengkapan pancing yang sepadan untuk bertarung dengan monster di Kelong Paradise.
Tapi bila berbual bicara dan melihat peralatan pancing seorang regular customer di kelong tersebut, terasa balik diri sebenarnya masih belum bersedia untuk menduga Kelong Paradise.
2 hari 1 malam tanpa sebarang hasil (hanya seekor ketuka) membuatkan penulis seperti berpatah arang untuk kembali ke kelong bercat merah kuning ini.
Tapi untuk bersikap adil, penulis tidak boleh nak cop kelong ini sudah takde ikan atau takde ikan kerana sepanjang tempoh itu ada juga pemancing yang berjaya menaikkan kerapu dan senangin bersaiz kasar. Sembilang pun ada naik di tiang-tiang kelong tertentu. Cuma pari yang menjadi sasaran utama tidak muncul.
Beberapa tahun kemudian, apabila salah seorang rakan yang suatu ketika dulu cukup kerap memancing dalam masa yang sama mempromosi kelong tersebut tiba-tiba mengadakan komplot kecil-kecilan ke kelong itu, muncul balik keterujaan penulis yang hampir padam.
Berdasarkan pengalaman kali pertama dahulu penulis percaya trip kedua kali akan membuahkan hasil. Keyakinan rakan akan menaikkan pari gergasi sedikit sebanyak menyuntik semangat pada penulis.
Namun semangat yang meluap segera padam apabila bertemu dengan rakan tersebut di jeti sebelum menaiki bot ke kelong. Menyedari hari tersebut air pasang besar atau pasang ‘keling’, penulis bertanya sama ada ia sesuai atau tidak untuk memancing di kelong.
Jawapan rakan penulis cukup mudah, beliau tidak pernah ambil tahu pun pasal air pasang surut. Semuanya bergantung pada kelapangan masa. Nampaknya bayangan kumpau mula mengekori penulis ke Kelong Paradise.
Dengan arus yang laju sememangnya tidak sesuai untuk memancing di luar kawasan kelong. Dan walaupun tiada ikan luar yang masuk ke kawasan kelong, struktur konkrit kelong yang dibina sebenarnya menjadi tukun khusus untuk pembiakan senangin.
Tatkala sukar mendapatkan ikan lain, senangin masih boleh dipancing dengan teknik dan umpan yang betul. Ketika itu bilis yang banyak berteduh di kawasan kelong menjadi diet utama senangin. Malangnya tiada seorang daripada ahli komplot yang bawa apollo bersaiz kecil untuk memancing bilis.
Udang hidup yang beratus ekor dibawa bersama langsung tidak dilayan. Dengan situasi tersebut rasanya sesiapa saja boleh mengagak keputusan trip penulis kali kedua atau mungkin juga kali terakhir ini.
Kini Kelong Paradise telah diberi nafas baru oleh kerajaan Selangor. Kita tunggu sehingga pandemik Covid-19 ini untuk kembali terjah ke kelong legend ini.
Loji Air Sepayang atau lebih popular dipanggil Dam Sepayang yang terletak kira-kira 15kilometer dari bandar Kuala Rompin, Pahang sebenarnya bukanlah padang pancing yang baru muncul. Sudah sekian lama padang pancing ini menjadi destinasi pemancing khususnya memburu spesies toman.
Penulis sendiri meski sudah saban tahun ke Kuala Rompin sama ada untuk pancingan laut atau sungai tidak pula menjengah kaki ke Dam Sepayang walaupun sudah lama menyedari potensi pancingan toman di dam tersebut.
Sebelum menjejakkan kaki ke Dam Sepayang penulis pernah digambarkan dengan keadaan permukaan takungan airnya yang dipenuhi samai. Namun tidak pula menyangka bukan sekadar samai-samai biasa sahaja.
Rumpai air, ekor kucing, teratai dan resang ternyata menutupi hampir 80 peratus kawasan takungan air. Hanya alur-alur sungai yang sempit saja bebas dari samai. Tak cukup dengan samai, reba dan tunggul-tunggul balak turut sama menghiasi landskap Dam Sepayang.
Jika Air Ganda terkenal dengan reba yang banyak maka Dam Sepayang berkali-kali ganda lebih banyak. Dan semua itu sebenarnya merupakan kondominium mewah bagi kediaman toman.
Dengan keadaan heavy cover di Dam Sepayang, penggunaan katak tiruan atau jump frog yang kian menimbuni di kedai-kedai pancing menjadi satu kemestian. Bahkan di Dam Sepayang ini boleh dijadikan padang ujian terbaik jump frog. Lebih berkesan jika jump frog yang digunakan itu menggunakan mata kail kalis sangkut atau weedless.
Disebabkan faktor samai yang tebal juga set joran yang ingin digunakan harus juga bersifat hardcore. Dam Sepayang bukanlah padang ultralight.
Spesifikasi joran fast action 10-20 lb atau 12-25 lb adalah setting sepadan. Manakala kekili pula sebaiknya yang tahan lasak untuk mengekang benaman toman ke reba-reba.
Setelah tiga kali turun memburu toman di Dam Sepayang dan tidak pula kecewa pada setiap trip, membuatkan penulis tertanya sendiri di mana sebabnya potensi pancingan kurang diviralkan khususnya di Facebook. Malah di media-media cetak juga sudah agak lama menyepi.
Populasi spesies buruan seperti toman seperti tidak berkurangan walaupun ratusan ribu anak-anaknya dipunggah keluar. Sebarau masih lagi dipancing di kawasan alur sungai yang dilitupi samai. Begitu juga tapah yang sudi menyambar gewang meskipun aktiviti seperti menjaring, taut, rawai serta bubu turut mewarnai loji ini.
Jika kekurangan guide yang menawarkan pakej memancing atau kos pakej yang ditawarkan menjadi faktor utama, hakikatnya perlu dikaji juga dengan servis yang diberikan oleh boatman. RM400 (sekarang rasanya sudah naik) satu bot maksima 3 orang pemancing atau lebih selesa 2 orang pemancing, sebenarnya tidak jauh beza dengan pakej pancingan di Tasik Temenggor.
Sebaliknya dengan keadaan heavycover kudrat boatman sangat-sangat ditagih untuk berdayung. Apatah lagi kawasan permainan toman adalah di bawah permukaan air bersamai. Itu belum campur tenaga yang dikerah untuk mengangkat enjin bot bagi membersihkan ke kipas dari belitan samai atau membebaskan bot yang sering terkandas di atas batang dan tunggul balak.
Dan yang paling istimewa adalah bonus servis yang tersendiri. Jika di tempat-tempat lain lain, kebanyakan boatman akan bawa ke lubuk atau spot yang berpotensi, tapi boatman di sini akan membawa terus pemancing kepada toman.
Kecekapan mata para boatman mengesan lokasi anak-anak toman dari jauh sememangnya tidak dapat dinafikan. Tambah menarik, kebanyakan anak-anak toman masih berinduk ekoran konsep tangkap dan lepas dipraktikkan dengan baik di sini. Selebihnya terserah kepada mama atau bapa anak-anak toman tersebut mahu buka mulut atau sebaliknya.
Namun keseronokan sebenar pancingan toman di sini bukanlah memujuk mama-mama membaham jump frog yang disuakan ke arah anak-anaknya tetapi memburu toman-toman bujang atau toman rempit. Apatah jika memasuki territory permainan toman bujang.
Nantikan saja kelibatnya timbul meneguk udara, balingan yang tepat pada tempat dan masa pasti akan bersambut. Dan kejayaan sama ada berpihak kepada pemancing atau toman meloloskan diri bergantung pula pada samai.
Semakin banyak samai yang dijerut oleh toman dalam usaha meloloskan diri maka semakin besarlah harapan pemancing untuk berputih mata sekadar mendaratkan samai. Perlawanan seperti inilah sebenarnya yang membezakan Dam Sepayang dengan padang-padang pancing lainnya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...