Lluvia de Peces (Rain of Fish) merupakan satu fenomena misteri di mana hujan yang turun tak hanya membawa air tetapi membawa ikan yang berlaku setiap tahun di kawasan Yoro, Honduras. Fenomena ini juga dikenali sebagai aguacero de pescado dan telah menjadi festival tahunan bagi komuniti di sana.
Terdapat beberapa penjelasan berkaitan fenomena yang berlaku sekitar bulan Mei atau Jun. Antara yang paling popular ialah, dalam keadaan cuaca yang mengakibatkan angin kuat seperti ribut taufan, akan terhasil puting beliung atau tornado kecil.
Apabila tornado ini bergerak ke kawasan air, organisma kecil seperti ikan atau katak akan ditarik ke atas dan dibawa sehingga beberapa batu jauhnya.
Ads
Tornado ini mampu membawa organisma tersebut sehingga ke kawasan yang agak jauh sebelum ikan ini akan bertebaran jatuh selepas ribut.
Walaupun penjelasan tersebut dikatakan antara yang paling logik, namun terdapat beberapa persoalan yang masih menjadi misteri.
Ads
Walaupun pakar kaji cuaca menjelaskan fenomena ini merupakan kejadian meteorologi, persoalan timbul apabila kesemua ikan yang turun bersama hujan ini merupakan spesies air tawar sahaja.
Bahkan, ikan-ikan ini dalam keadaan sempurna di mana mempunyai mata. Selain itu, ikan yang turun juga merupakan bersaiz kecil sahaja.
Ads
Beberapa persoalan ini masih belum dapat dirungkai secara saintifik. Penduduk tempatan pula kebanyakannya percaya fenomena ini terjadi kerana doa seorang paderi Katholik iaitu Father Jose Manuel Subirana yang meminta rezeki untuk penduduk yang miskin.
Apa pun penjelasan terhadap fenomena ini, Rain of Fish tetap menjadi antara fenomena misteri. Tak memancing pun boleh tunggu ikan jatuh dari langit. Di Malaysia, kejadian seperti ini belum lagi pernah terjadi.
Terbayang juga kalau berlakunya hujan ikan kelah atau patin muncung, tentu harga ikan kelah dan patin muncung tak setinggi macam sekarang. Yang ada di negara kita sekarang hanya dihujani ikan pendatang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Nama ikan pari lazimnya akan disebut terlebih dahulu bila berbicara soal bisa sengat. Sebenarnya, ikan laut yang paling berbisa bukanlah datang dari pari. Kita letak skala 1-5 untuk mengukur sengat mana yang paling sakit. Skala satu untuk yang kurang sakit dan skala lima untuk sengatan yang paling padu bisanya!
IKAN DURI
Bisa ikan ini tidak sekuat ikan sembilang. Sengatan ikan duri akan menyebabkan rasa pedih dan aliran darah yang banyak kerana durinya yang besar. Jika terkena sengatan ikan duri, bersihkan bahagian itu. Kemudian, letakkan minyak angin ataupun minyak gamat. Seandainya ada pil paracetamol, boleh dimakan untuk mengurangkan rasa sakit. Jika sakit berlanjutan, segeralah ke klinik.
Level Padu Bisa : Skala 2
KITANG
Biasanya seseorang akan terkena sengatan ikan ini ketika menjala. Sakitnya ‘mencucuk’ dan terasa berdenyut. Sakitnya tidak lama, lebih kurang satu jam sebelum ia bernasur-ansur hilang. Jika disengat pada jari, secara automatik tangan akan menjadi lenguh. Namun duri ikan kitang tidak mempunyai toksin yang tinggi sehingga boleh menyebabkan sesiapa yang terkena sengatnya terancam nyawanya.
Level Padu Bisa: Skala 2.5
DENGKIS
Ikan ini turut dikenali sebagai kitang lada. Sakitnya lebih daripada kitang biasa. Bisanya terletak pada duri di sirip ikan ini. Apabila terkena sengatan ini, pandangan mata akan menjadi sedikit kabur. Dikatakan, hampir setengah hari lamanya anggota badan yang terkena sengat akan kebas dan hampir hilang upaya untuk digunakan.
Level Padu Bisa: Skala 3
SEMBILANG / USAT
Sengatan ini masih boleh ditahan. Mampu membuatkan seorang lelaki ‘macho’ mengalirkan air mata tetapi sengatnya jika dirawat segera tidak mendatangkan kesan serius. Jika dibawa ke klinik atau hospital, biasanya akan diberi suntikan untuk mengurangkan sakit sengatan. Petua orang dulu-dulu, kononnya jika disengat sembilang, seseorang itu dinasihatkan untuk gigit dan makan ekor ikan ini. Bolehkah petua ini dipercayai?
Level Padu Bisa: Skala 4
PARI
Biasanya menyengat dan boleh membunuh. Apabila terkena sengatan ikan pari, segeralah dapatkan rawatan doktor. Suatu ketika dahulu kita pernah dikejutkan dengan kematian Steve Irwin yang popular menerusi programnya; The Crocodile Hunter kerana disengat ikan pari tepat pada jantungnya. Sekiranya terkena pada anggota badan lain mungkin masih sempat diselamatkan.
Level Padu Bisa: Skala 4.5
IKAN KETUKA
Terkena bisa ikan ini ada masanya menyebabkan lumpuh pada bahagian disengat. Kesan lumpuh hanya sementara tetapi perlu dirawat segera. Duri ketuka sangat tajam dan mempunyai toksin di dalamnya. Bisanya menyengat. Lebih menyengat daripada sembilang yang bukan main gah lagi namanya sebagai ikan bersengat.
Level Padu Bisa: Skala 4.5
DEPU/LEPU
Depu dikenali kerana senjatanya iaitu duri yang tajam dan memiliki warna merah, coklat, kuning, hitam atau putih yang amat berbisa yang terdapat di bahagian sirip belakang, jika terkena boleh menyebabkan seseorang itu pengsan dan boleh membawa maut. Jadi kepada para pemancing perlulah berhati-hati ketika mengendalikan ikan ini, atau dengan kata mudah tak payah sentuh lansung ikan ini kerana boleh dikatakan seluruh tubuh spesis ini mempunyai bisa yang amat beracun.
“Percayakah kamu sekiranya saya menyatakan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menaikkan seekor temoleh seberat 40 kg ke dalam sampan kecil berseorangan?”
Dalam fikiran aku, tentu saja sedang kita membongkok cuba menaikkan ikan liar yang terperangkap dalam jala panjang 10 kaki itu ke dalam sampan, sampan akan terumbang-ambing dan terus senget.
“Sudah tentu air akan mencurah-curah masuk. Kamu boleh bayangkan nasib penjala tersebut!” ucap Cek Mat kepadaku ketika aku sedang menghirup kopi pekat di anjung rumah pusaka datuknya. Cek Mat terus menceritakan lagi kisahnya…..
Aku sendiri pun pada mulanya tidak yakin, tapi setelah melihat sendiri Pak Jangit mendayung sampan dengan membawa seekor temoleh besar dalam perut sampannya yang sedang merapat ke tebing memang sungguh mengejutkan.
“Ada orang tolong Pak Jangit tadi ke?” kata aku sambil memerhati sampan Pak Jangit mula merapati tebing.
“Kamukan nampak aku seorang je ni,” ujar Pak Jangit sambil tersenyum.
Aku terdiam. Dalam fikiranku mungkin ada seseorang yang sedang mudik ke hulu bertembung dan membantunya menaikkan ikan tersebut ke dalam sampan. Mana mungkin seseorang menaikkan ikan tersebut bersendirian, fikirku lagi.
Aku segera membantu Pak Jangit memikul ikan temoleh menuju ke rumahnya yang berjarak suku batu. Suasana agak suram bila memasuki lorong kebun getah yang menuju ke rumahnya yang jauh dari rumah jiran-jiran.
Terasa pelik dan kagum apabila melihat Pak Jangit masih gagah memikul tanpa mengeluh ikan tersebut naik ke dapurnya. Pak Jangit mengeluarkan golok dan menyuruh aku memotong mana-mana bahagian yang aku sukai.
Melihat aku masih ragu-ragu, Pak Jangit lantas memotong bahagian kepala dan memasukkan ke dalam buntil tepung dan menyerahkan padaku untuk dibawa pulang.
Esoknya, selepas pulang dari bekerja di Kilang Getah Kati Estate, aku mencapai batang-batang joran lantas mencapai basikal. Hajatku untuk pergi memancing. Di simpang jalan aku singgah di Kedai Runcit Pak Alang Him untuk membeli rokok dan sedikit roti manis buat bekalan.
Bunyi riang-riang rimba yang tingkah meningkah menyambut kedatanganku di pinggir sungai. Dua batang pancing segera kusiapkan dan siap kutambatkan pada anak pokok pinang. Aku pun bersandar pada perdu pokok sambil mengeluarkan bekalan roti yang dibawa.
Tiba-tiba aku teringat pelawaan Pak Jangit mengajak aku menjala ikan bersamanya. Seingat aku Pak Jangit Tamih pernah memberitahu dia berasal dari suku Kerinci dari daerah Jambi, Indonesia. Telah setahun Pak Jangit mengambil upah menoreh getah di kebun ketua kampung. Pak Jangit pernah berkahwin tapi bercerai tanpa meninggalkan zuriat.
Aneh, orangnya. Rela tinggal bersendirian di hujung kampung dan menghuni rumah kecil peninggalan Bidan Mak Limah.
Sekiranya tidak menoreh kerana hujan, dia akan membuat jala. Kadang-kadang ada juga orang kampung turut menempah jala darinya. Cuma dia agak kurang bergaul. Satu-satunya yang menentang keras akan kehadirannya adalah Pak Malim, seorang guru silat di kampung kami.
Pernah tiga bulan yang lalu, Pak Jangit menggemparkan penduduk Kampung Beluru dengan tangkapan ikan temoleh seberat 40kg di Sungai Jawang. Berita kejayaannya telah menjemput kaki-kaki pancing dan pemukat dari kampung-kampung berhampiran.
Namun ramai yang hampa. Cuma Pak Ngah Tago agak bernasib baik dapat menaikkan temoleh 17 kg, itu pun dibantu oleh anak bujangnya yang ikut bersama.
Aku menyalakan sebatang rokok. Nyamuk yang berlegar di sekeliling badanku mulai berkurangan. Ada juga desas-desus menyatakan Pak Jangit mengamalkan ilmu hitam. Ada juga menyatakan Pak Jangit ada pendamping.
Terasa seram menyelubungi diri sewaktu aku berpaling ke kiri. Berderau darahku. Berdiri di bawah pokok salak kelihatan Pak Malim yang sedang melangkah ke arahku. Kami pemuda-pemuda Kampung Beluru dan kampung-kampung sekitarnya sangat menghormatinya kerana ilmu persilatannya yang tinggi.
“Aku mencari kerbau aku yang terlepas!” ujar Pak Malim sewaktu aku bertanya akan kehadirannya. Aku dengar kau nak ikut Pak Jangit menjala? Berhati-hati jangan cepat percaya dengan orang luar.”
Aku mula merasa tidak selesa. Bagaimana Pak Malim boleh tahu rancanganku? bisik hatiku. “Mat, kau ada rasa kelainan tak semasa berada di halaman rumahnya?”. Aku mengangguk perlahan.
Memang aku akui. Ada ketikanya suasana tiba-tiba rasa sejuk yang melampau, bau kemenyan yang nipis menusuk ke hidung sewaktu berada di halaman rumahnya. Lebih-lebih lagi waktu rembang petang.
“Kebaikan kau akan dipergunakannya, berkemungkinan dia akan melepaskan sakanya pada kamu.” Aku merenung jauh memikirkan kata-kata Pak Malim. “Kehebatannya menaikkan ikan-ikan besar seorang diri ke dalam sampan hanyalah dibantu oleh pendampingnya. Tapi ingat itu hanyalah ilmu dunia yang sementara!”
Aku mula merenung muka Pak Malim. Sayup-sayup kedengaran bunyi kereta api barang melintasi jambatan besi Victoria. Petang yang cerah tiba-tiba bertukar kelam. Langit hitam beserta angin kencang membawa gerimis. Sebaik bunyi guruh berdentum kuat, tiba-tiba kami dikejutkan kelibat Pak Jangit di bawah pokok kabong, sambil merenung tajam ke arah kami.
Daripada pandangan mata wajahnya, perlahan-lahan seakan berubah menjadi harimau. Suaranya kedengaran garau dan bersedia dalam kedudukan untuk menerkam kami.
Pak Malim lantas mengeluarkan kain hitam berjalur merah. Dari mulutnya meluncur ayat-ayat suci. “Mat kamu jangan gentar, teruskan membaca ayat Qursi.” Aku akur sambil cuba melangkah pantas ke belakang Pak Malim.
Belum sempat aku berada di belakang Pak Malim, satu tamparan singgah di dada kiriku. Sepantas kilat Pak Malim merentap daunan dan menepuk sambil mulutnya kumat kamit menghembuskan ke dadaku dan tangan kiriku menekup daunan seperti diarahkan. Aneh!
Dalam beberapa saat dada terasa seperti terbakar mula reda seperti di sirami air dingin. Jelmaan Pak Jangit yang telah bertukar wajah kepada harimau jadian mengaum sekuat tenaganya.
Terkamannya yang agak tersasar memberi peluang Pak Malim melibas muka harimau jadian dengan kain hitam dengan sekuat hati. Lantas ghaib dari pandangan mata kami dan meninggalkan bau kemenyan yang tajam. Perlahan-lahan Pak Malim memapahku pulang….
“Peristiwa ini telah 20 tahun berlalu. Pak Malim pun telah lama meninggal dunia. Pak Jangit telah lama menghilangkan diri tanpa berita. Lihatlah ini bekas cakarannya masih meninggalkan parut di dadaku sebagai kenangan,” Ucap Cek Mat sambil tertawa kecil.
Matanya merenung jauh ke puncak Bukit Karai. Sesekali mataku merenungi bunga-bunga teratai di permukaan kolam yang berada di pinggir rumah pusaka Cek Mat.
“Setiap kejadian ada hikmahnya. Cuma kita harus selalu berwaspada. Ingatlah pada yang Esa!” ucap Cek Mat perlahan kepada ku.
Kita jarang menemui kejadian ikan mati di laut atau sungai kecuali ada penglibatan tangan-tangan nakal manusia.
Namun kejadian ikan mati secara semulajadi ini boleh dilihat di lombong-lombong tinggal, paya, kolam-kolam kecil, kolam ternakan dan juga kolam pancing komersial, terutamanya kolam pancing air tawar.
Oleh yang demikian, sekiranya anda seorang pengusaha kolam memancing, perkara-perkara berikut boleh menyebabkan ikan-ikan di dalam kolam mati lemas jika tidak diambil sebarang tindakan.
Tahap Oksigen Rendah
Saiz kolam yang kecil dan tiada bantuan pengudaraan seperti kincir udara antara menjadi penyumbang kepada masalah kekurangan oksigen. Apatah lagi jika kolam terlindung dari pancaran terus cahaya matahari.
Kualiti Air Kolam Yang Buruk
Antara sebab kenapa umpan berasaskan minyak dan umpan organik seperti usus haiwan dilarang penggunaannya di kebanyakan kolam pancing. Terutamanya kolam yang tiada saliran air keluar masuk yang baik. Lapisan minyak yang terbentuk di permukaan air sangat menjejaskan kualiti air dan pembentukan oksigen.
Lebihan Makanan Dan Najis
Timbunan umpan seperti dedak dan pelet serta najis yang dilepaskan oleh ikan bukan saja menyebabkan kolam menjadi semakin cetek dan kotor, tetapi juga boleh menyebabkan ikan menjadi lemas.
Kandungan Ammonia Yang Tinggi
Bekas lombong tinggal atau lombong yang pernah menjadi pusat pembuangan sampah merupakan tapak yang tidak sesuai dijadikan kolam memancing. Kandungan toksik itu umpama racun yang akan membunuh ikan secara perlahan-lahan.
Kapasiti Ikan Terlalu Padat
Stok ikan yang berkurangan akan membuatkan kolam menjadi krik-krik… stok ikan yang berlebihan pula akan membuatkan ikan pula yang menjadi krik-krik.
Persaingan dapatkan oksigen
Apabila jumlah ikan yang agak padat dan sistem pengudaraan yang kurang bagus maka akan menyebabkan ikan bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan oksigen.
Pengurusan tidak sistematik
Pokok pangkalnya terletak kepada pihak pengurusan kolam untuk menjamin kualiti dan kesihatan ikan yang mereka tawarkan untuk pemancing. Sekiranya pandai menguruskan survival ikan maka akan kekal sihat untuk dipancing oleh pemancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...