Tidak dinafikan pemancing di kotaraya adalah jauh lebih ramai berbanding pemancing di luar bandar. Namun kebanyakan pemancing di bandar ini berasal dari kampung. Jadi, bila hari raya ramai pemancing akan pulang ke kampung. Agak-agaknya, apa pemancing ini suka buat bila pulang bercuti di kampung?
Tinjau lubuk
Kalau tidak berhenti pun, sekurang-kurangnya mereka akan panjangkan leher meninjau lubuk-lubuk yang pernah jadi padang pancing, di sepanjang perjalanan pulang ke kampung. Dalam kepala mula berkira-kira untuk turun beraksi berbekalkan ilmu dan skil memancing yang telah dinaik taraf.
Padang pancing baharu
Mana-mana pemancing pasti teruja tak terkira bila secara tiba-tiba ternampak ada kolam memancing yang baru beroperasi tidak jauh dari kampung halaman. Bila dah terlajak pun sanggup patah semula untuk meninjau situasi. Dan tak mustahil ada yang terus keluarkan set dan memancing.
Ads
Jenguk lubuk berdekatan rumah
Bagi yang betul-betul kaki pancing, masuk jumpa mak ayah sekejap kemudian terus menjenguk lubuk-lubuk memancing berdekatan dengan rumah. Bukan nak memancing pun cuma nak tinjau potensi semasa berbanding masa lalu. Tapi kalau nampak sangat berpotensi, balik ambil joran la jawabnya.
Pergi pasar
Ads
Percaya atau tidak ramai kaki pancing jadi rajin untuk ke pasar basah atau pasar tani. Sebenarnya bukan nak ayam daging sangat. Tapi nak tengok hasil sungai dan laut yang dipasarkan. Kalau banyak ikan gred A yang makan umpan pancing, boleh usyar tekong-tekong bot yang buat trip memancing.
Jumpa kawan
Sudah semestinya akan jumpa yang sama hobi terlebih dulu. Selain dengar cerita perkembangan trip memancing mereka, inilah masanya untuk kongsikan pengalaman sendiri memancing di ibu kota dan lain-lain padang pancing. Sekelip mata maka dapatlah gelaran sifu atau masta dari rakan-rakan.
Ads
Tayang set pancing
Bila dah jumpa kawan-kawan kaki pancing tak lengkap kalau sekadar sembang berapi saja. Rugilah kalau tak tayang set pancing terkini yang diguna pakai. Nama pun dah jadi pemancing bandar, takkan nak pakai set pancing level pemancing kampung lagi. Ye dak?
Ronda kedai pancing
Memang tak sah kalau tak pergi meronda ke semua kedai pancing yang ada dalam kawasan berdekatan. Inilah masanya nak cari barang rare yang dah habis stok di kedai-kedai pancing utama di kotaraya. Tapi yang pasti akan buat perbandingan dan komen macam-macam pasal harga.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kita sudah menghurai watak dan karakter pemancing dari jenis darah O, sekarang kita tengok pula pewatakan dan karakter pemancing berdarah A. Korang darah jenis apa?
Tegas
Pemancing dari jenis darah A adalah seorang pemancing yang tegas pada pendirian dan tindakan. Dalam erti kata lain, kalau dia dah minat jigging, takde gunanya korang racun atau bakar untuk main bottom.
Konservatif
Pemancing dari jenis darah A adalah seorang konservatif. Iaitu seseorang yang berpegang pada ideologi lama.
Senang cakap, kalau dah dia percaya ikan tenggiri hanya boleh dipancing dengan teknik menggunakan umpan ikan hidup, dia takkan memancing tenggiri dengan kaedah lain seperti casting atau jigging menggunakan umpan tiruan.
Tanggungjawab
Pemancing dari jenis darah A juga adalah seorang yang bertanggungjawab. Satu sifat yang baik bagi seorang pemancing. Senang cakap, pemancing dari jenis darah ini memang sesuai untuk dilantik sebagai ketua atau organizer.
Tepati masa
Pemancing dari jenis darah A adalah seorang yang menepati masa. Satu lagi sifat yang wajib ada sebenarnya pada seorang pemancing.
Tapi perlu diingat juga bahawa mereka ini seorang yang tegas. Jadi, kalau korang dah berjanji nak sampai ke lubuk jam 7.00 pagi, maka korang kenalah tepati masa.
Idola
Pemancing dari jenis darah A adalah seorang yang memiliki karakter idola. Senang cakap, mereka ini mudah menonjol di kalangan komuniti pemancing.
Walaupun seorang idola, tak bermakna mereka ini takkan kumpau kerana kumpau tetap tidak memilih jenis darah korang.
Siap pada waktu
Sebagaimana seorang yang menepati masa, pemancing dari jenis darah A juga adalah seorang yang siap pada waktu.
Kalau mereka ini menyediakan apa-apa servis, jarang sangat mereka melanggar deadline yang ditetapkan. Senang cakap, mereka kuat berpegang pada janji.
Suka bergaul dengan darah AB dan O
Salah satu sifat aneh pemancing dari jenis darah A ini mereka lebih senang bergaul dengan pemancing jenis darah AB dan O.
Jadi, korang jangan ingat mereka kalau tak berkawan dengan pemancing lain bukanlah sebab berlainan konsep memancing, tetapi pengaruh dari jenis darah.
Hargai kepimpinan
Pemancing dari jenis darah A juga adalah seorang yang sangat menghargai kepimpinan. Kalau korang seorang ketua kelab pemancing atau sebagainya, mereka ini tidak akan cuba menjatuhkan korang.
Malah mereka tetap menghormati korang walaupun sudah tidak lagi bergelar seorang ketua.
Saya percaya, hampir semua kaki pancing laut dalam bermula dengan pancingan muara atau menebing, kemudian barulah melangkah yang peringkat berikutnya. Di sini saya ingin berkongsikan apa yang saya alami dan mungkin juga anda juga turut mengalaminya.
Menebing (landbase)
Dahulu sewaktu mula-mula berjinak dengan pancingan muara, hampir serata jambatan sama ada yang dibenarkan ataupun larangan, jeti tinggal, kuala sungai dan pinggir hutan bakau diterjah pada setiap hujung minggu. Asalkan ada getuan dan aksi tarikan tanpa mengira apa jenis ikan sudah memadai.
Dari memancing secara berseorangan memancing, lama kelamaan dapat berkenalan dengan kaki pancing yang lain maka bertambah geng yang sealiran. Lubuk dan kawasan pancing dapat diperluaskan. Sebut sahaja pesisir pantai sepanjang Selangor hampir semuanya dijelajahi.
Ketika itu perumpun sarang menjadi umpan paling mujarab, beli hari ini boleh bertahan 4 hari jika simpan tempat yang sesuai. Kadangkala cuba juga menggunakan udang hidup yang dibeli di tepi jalan namun banyak kes ia ‘kojol’ dan kemerahan sebelum sampai di kawasan memancing.
Dengan akal yang ada maka umpan yang berada di kawasan berhampiran seperti sesiput, kupang dan anak ikan yang dipancing turut boleh dijadikan umpan sekiranya kehabisan perumpun.
Atas pengalaman itu hanya perumpun sahaja yang terbaik untuk bergerak ke serata di kawasan muara sungai menggunakan kenderaan darat. Masa itu agas atau nyamuk bukan halangan asalkan dapat menghilangkan stress tekanan kerja pada hujung minggu.
Lama kelamaan apabila asyik gelama, gegerut, bebolos, duri dan sesirat, tetuka dan anak tetanda yang berjaya didaratkan, hati mula berteriak mencari spesimen yang lebih besar, lebih nilai, lebih gred sesuai dengan pengalaman memancing sudah mengembang.
Namun bila setiap kali terpandang sampan pemancing mundar mandir di kawasan kita memancing, hati tertanya-tanya bila pula masanya untuk merasai memancing bersampan. Dah sampai waktunya, takkan selamanya asyik nak menebing?
Bersampan dan bertekong
Dari situ mula beranikan diri menyewa sampan kecil berserta tekong untuk memancing di sekitar Pelabuhan Klang. Barulah puas dapat melabuhkan umpan di tempat yang selama ini kena lontar sekuat tenaga. Dari atas sampan cuma hulur sahaja ke bawah.
Menggunakan khidmat tekong kadang kala masa memancing terasa terlalu singkat, tekong kenalah banyak kerja lain yang dilakukannya. Almaklum beliau bukan tekong sepenuh masa. Mana cukup nak menyara keluarga kalau hanya bawa orang memancing dengan kadar sewa RM200.
Sampan berukuran 19 kaki menggunakan enjin sangkut 30Hp dengan kapasiti muatan 3 orang pemancing dan seorang tekong. 4 orang berada dalam sampan kecil tidak banyak pergerakan yang boleh dilakukan.
Duduk setempat seharian hingga kematu punggung. Belum masuk ke anak sungai bila tekong terpaksa menjala mencari bekalan umpan udang hidup. Keluar dari anak sungai muka merah-merah dipenuhi dengan tompokan lumpur sungai dan kesan lebam dek sang agas. Bila bersampan sesekali dapat merasa tarikan sembilang, ikan pari, tebal pipi dan senangin.
Spesies ikan yang gemar udang hidup atas sebab itu kami tiada pilihan lain kecuali mengikut tekong menjala di anak sungai bila air dah surut. Banyak juga kes terpaksa menunggu tekong yang tidak muncul-muncul. Masa memancing terbuang begitu sahaja. Panas hati membara apabila sering kena tipu dan kansel trip pada saat akhir.
Misi solo
Hati pemancing jarang sekali merasa puas. Bila tak tahan penangan agas, suruh tekong pergi menjala dahulu dengan kos tambahan umpan dan minyak dipersetujui. Dapat lama lagi memancing tanpa membuang masa mencari umpan. Apabila kita ada waktu terluang, tekong pula ada hal lain. Kemudian hati mula memberontak lagi, sewa sampan bawak sendiri lagi senang.
Lebih mudah, ada waktu terluang, beli umpan, isi minyak, bayar duit sewa sampan, start enjin terus ke lubuk. Bebas ke sana ke mari berpindah apabila hasil tidak menepati sasaran. Setiap kali air bah, setiap kali pantai berubah, pepatah yang hakiki kenyataannya.
Mana tidaknya, kalau memancing di tebing senang nak cam kawasan, ada jalan, ada pokok dan kesan lama kita memancing, tapi kalau di tengah sungai nak cam pokok tiba-tiba dah hilang ditebang dan ada yang tumbang ke air.
Kemudian apabila membuat penilaian dan rumusan trip keputusan hasil amat tidak berpadanan dengan kos yang dileburkan untuk memancing. Melihat orang lain membawa hasil yang lebih baik maka hati sekali lagi tersentak. Kawasan sama, argggh… Mungkin nasib mereka lebih baik. Atau mereka kena lubuk, tapi kita kena serbuk!
Apabila sukar nak cam lubuk kerana keadaan tebing yang berubah dek pembangunan, maka tiada jalan pintas lain kecuali menggunakan alatan yang sesuai. Selepas itu dunia pancing mula mengenal GPS dan carta pasang surut.
Mana boleh kalah sepanjang waktu. Memancing perlu ada pembaharuan, perlu ada revolusi seperti pesisir pantai dataran muara Klang, dari hanya Pelabuhan Selatan, kemudian Pelabuhan Utara dan seterusnya Pelabuhan Barat.
Ketika pembinaan Pelabuhan Barat, banyak lubuk dan lokasi kapal karam tempat tumpuan memancing dimusnahkan, laluan diperdalami untuk memudahkan kapal dagang masuk ke pelabuhan. Pesisir pantai dan hutan bakau digondol dan diganti dengan jeti dan dermaga siap sekali dengan papan tanda ‘KAWASAN LARANGAN MEMANCING’. Itu juga satu revolusi…!!!
Memang susah nak kenali minat atau hobi seseorang berdasarkan penampilannya. Tiada sebarang ciri-ciri seseorang itu minat kumpul setem atau karaoke kecuali ia menyatakannya.
Begitu juga dengan hobi memancing. Namun, jika seseorang itu betul-betul kaki pancing atau pemancing tegar, ia boleh dikenal pasti berdasarkan beberapa perkara berikut:
Sticker Kenderaan
Jika ada sticker jenama atau produk peralatan memancing tertampal pada cermin atau badan kenderaan, sahlah beliau seorang kaki pancing.
Picture profile
Jika di media sosial contohnya di Facebook atau Instagram pula cukup mudah untuk mengetahui seseorang itu adalah kaki pancing kerana lazimnya mereka akan letakkan posing bersama ikan atau set pancing sebagai picture profile mereka.
Keychain
Kalau kenderaannya tak bersticker, tengok pula pemegang kunci atau keychain yang digunakannya. Lazimnya pemancing tegar khususnya peminat casting akan menggantung apa-apa gewang pada keychainnya.
Berpakaian outdoor
Peminat sukan memancing lazimnya akan mengenakan pakaian outdoor berjenama yang terkenal dengan aktiviti memancing. Tak kira original atau tidak tetapi apa yang dipakainya sama saja sama ada ke pejabat atau ke trip memancing.
T-shirt memancing
Jika tidak berpakaian outdoor, tshirt atau topi berjenama produk alatan memancing juga sering dipakai pemancing. Begitu juga dengan t-shirt kejohanan memancing yang disertainya atau kelab memancing yang disertai.
Warna kulit
Tengok warna kulitnya… putih atau rentung? Walaupun bukanlah satu fakta yang tepat, lazimnya tidak ada pemancing tegar yang berkulit halus dan putih gebu. Kebanyakannya macam hangus kerana banyak berjemur di tengah panas.
Gaya Ngeteh
Pemancing ni gemar ngeteh di kedai-kedai mamak. Kalau terlihat sekumpulan lelaki lepak-lepak di kedai mamak dan kedengaran bercerita pasal aktiviti memancing, memang sah la mereka adalah kaki pancing.
Waktu kahwin
Hanya pemancing yang melakukan perkara ini. Bergambar kenang-kenangan bersama set pancing dengan rakan-rakan pemancing lain.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...