Hal ini memang harus diakui kerana tidak ramai kaki pancing yang gemar berembun dan menahan kesejukan di malam hari semata-mata untuk memancing. Jadi, saingan anda semakin kurang terutamanya jika memancing di kawasan yang popular di kalangan kaki pancing. Justeru, potensi anda untuk mendapat hasil yang lumayan juga lebih tinggi.
Ads
Lebih Mencabar
Bagi yang gemarkan cabaran, memancing di waktu malam mesti menjadi pilihan mereka. Faktor cahaya yang terhad dan faktor-faktor lain akan menjadikan aktiviti memancing di malam hari lebih mencabar. Walaubagaimanapun, sebagai pemancing anda haruslah sentiasa mengutamakan aspek keselamatan walau di mana jua anda berada walaupun anda gemarkan cabaran memancing di malam hari.
Ads
Selamat Dari Berpanas
Umum mengetahui memancing di siang hari akan mendedahkan kaki pancing kepada ‘sunburn’ terutama jika tidak menggunakan pelindung muka dan tangan. Dengan memancing di malam hari pula, potensi-potensi untuk ‘sunburn’ akan hilang sama sekali dan anda boleh memancing dengan tenang tanpa merisaukan kulit anda terbakar dek panahan matahari.
Ads
Keindahan Panorama Malam
Bukan senang nak melihat sendiri sotong berenang-renang di tepi bot dek limpahan cahaya lampu dan bukan juga senang nak menyaksikan kelip-kelip bila anda memancing di kawasan hutan dan paya bakau. Semua ni dapat dilihat bila anda memancing di waktu malam. Jadi, kesempatan yang ada itu, anda hargailah dengan menyaksikan keindahan alam ciptaan tuhan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Tanjung Buai yang berada di dalam daerah Kota Tinggi, Johor merupakan kawasan muara yang cukup strategik untuk dilawati kaki pancing seluruh Malaysia Muara Tanjung Buai boleh dilihat dengan jelas dari Jambatan Lebuh raya Senai-Desaru, yang pastinya menggamit pemancing untuk datang bertandang.
Muaranya yang bersambung dengan Teluk Sengat dan Kong Kong menjadi habitat pelbagai spesies hidupan akuatik, khususnya ikan muara. Bagi pemancing, spesies ikan gred A seperti siakap, tanda, siakap merah, merah, kerapu dan tebal pipi merupakan buruan utama, dek kerana harganya yang tinggi dan rasanya yang enak.
Selain popular diterjah melalui kaedah pancingan bot, Tanjung Buai juga popular dengan gugusan rumah rakit milik pengusaha tempatan yang menawarkan harga yang berpatutan untuk sesi pancingan selama satu hari atau lebih.
Salah seorang pengusaha rakit yang popular di Tanjung Buai adalah saudara Rosul. Beliau memiliki beberapa buah rumah rakit di kawasan berpotensi tinggi sebagai habitat ikan.
Setiap hujung minggu rakitnya pasti laris ditempah. Saya bersama Team Redah tidak mahu ketinggalan untuk mencubanya. Trip disertai oleh Amir, Paklang Rahimi, Pakteh Miren, dan saya, berikutan kekangan masa ahli-ahli yang lain.
Kami tiba pada saat air baru bergerak pasang, yang mana menjadi masa terbaik untuk melabuhkan umpan kerana kebiasaannya ikan siakap, jenahak dan tebal pipi sangat aktif pada ketika itu.
Udang hidup, ruat, udang pasar dan ikan tamban menjadi umpan taruhan kami. Udang hidup dan ruat merupakan diet utama kebanyakan spesies gred A. Ikan tamban dan selayang pula sangat sesuai digunakan sekiranya anda menyasarkan spesies kerapu dan pari.
Lebih elok sekiranya pemancing menggunakan umpan seekor ikan kerana lebih besar umpan, lebih besarlah saiz pemangsanya. Udang pasar pula lebih sesuai untuk mencari duri dan gelama sementara menantikan ketibaan spesies gred A yang dicari.
Tidak perlu menunggu lama, joran saya yang berumpankan ikan tamban direntap kasar. Namun kelewatan saya menyentap menyebabkan ikan terlucut. Kejadian yang sama juga berlaku kepada ahli- ahli yang lain. Sehingga ke petang, hanya beberapa ekor ikan gelama yang kami perolehi.
Senja, merupakan waktu efektif untuk mengintai spesies siakap. Umpan udang hidup dihanyutkan menggunakan kaedah pelampung. Selang berapa lama, pelampung yang digunakan Paklang Rahimi tenggelam timbul dilarikan mangsa.
Sentapan yang padu mengukuhkan cangkukan mata pancing, namun keadaan yang kosong ketika proses karauan menimbulkan tanda tanya. Rupanya seekor ikan pecah periuk atau siakap sampah menjadi habuan Paklang Rahimi. Melihat hasil yang memberangsangkan, Amir dan Pakteh Miren menukar kepada teknik yang sama.
Hasilnya, Pakteh Miren pula berjaya menaikkan spesies yang sama namun saiznya lebih besar. Alhamdulillah, rezeki. Ketika air mula bergerak surut, joran Paklang Rahimi pula dihenjut ganas. Sistem tegangan kekili yang diletak ke tahap maksimum tidak mampu menahan asakan, dan akhirnya perambut 80lb yang digunakan putus begitu sahaja.
Melihat kepada corak pemakanan, kami jangkakan suspek seekor kertang, yang saiznya kami agak sebesar pintu kereta kancil. Biasalah, bila ikan terlepas pastinya yang bersaiz besar. Selepas itu suasana kembali sunyi dari ragutan kasar, hanya gelama dan duri yang sudi muncul.
Sesekali ada ahli yang menaikkan belut dan sirat dan pemancing itu mendapat malang berganda apabila terpaksa menahan telinga pula daripada kutukan rakan-rakan.
Subuh keesokannya, jeritan kami memecah keheningan pagi apabila Amir pula menaikkan seekor tebal pipi. Hajat isterinya untuk merasa keenakan ikan tebal pipi sebelum trip bermula termakbul akhirnya. Saya hanya mampu memandang dengan iri hati, kerana hanya saya seorang yang masih belum menaikkan sebarang spesies gred A.
Kalaulah saya cepat sedikit, sudah pasti ikan yang terlucut sebelumnya dapat dinaikkan. Kalaulah… dan kalaulah itu berterusan sehingga matahari memunculkan diri.
Kami bersepakat menamatkan trip pada jam 9 pagi. Beberapa minit sebelum bot tiba, joran Lemax Slimmax milik saya tiba-tiba melentur. Peluang yang muncul diambil sebaik mungkin. Selepas beberapa minit bermain tarik tali dengan debaran yang kencang di dada, akhirnya seekor senangin anggaran 1kg dapat juga saya naikkan.
Kini lengkaplah koleksi 4 ekor ikan gred A untuk 4 orang pemancing. Kami pulang dengan senyuman. Sudah ada lauk untuk dibawa pulang dan sudah semestinya, tidak akan ada halangan dari isteri sekiranya ingin turun memancing lagi.
INFO RAKIT ROSUL
Sebarang tempahan atau pertanyaan, bolehlah hubungi saudara Rosul di talian 019-7822775.
Telah menjadi kebiasaan Royal Belum menjadi salah satu lokasi perkhemahan Geng Bregol. Kali ini perjalanan menggunakan bot sehingga ke tapak perkhemahan memudahkan kami membawa kelengkapan lebih dari kebiasaan. Dengan tema yang sama ‘makan biar lebih’ bahan basah dibeli di pekan Grik pada awal pagi.
Dengan 2 buah bot kami terus memasuki Taman Negara selepas membuat pendaftaran di pondok kawalan Jabatan Perhutanan.
Sesi pemasangan khemah dan juga penyediaan meja dapur dari bahan-bahan hutan disediakan secara rapi untuk keselesaan tukang masak kami. Sesi memancing dipecahkan kepada dua buah bot pemburu spesies toman dan manakala saya menyertai bot memburu spesies sebarau.
Suak demi suak kami masuki, namun pada hari pertama hanya 2 ekor sebarau yang sudi meligan gewang Rapala Shad Rap Goldfish manakala bot pemburu toman gagal mendaratkan spesies itu kerana semuanya berakhir dengan putus semasa bertarung.
Pada hari kedua sebelah pagi juga tiada hasil yang berjaya ditawan dan tiada spesies yang sudi bergambar dengan kami. Pada sebelah petang kami keluar dengan menggunakan speedboat pada pukul 4.00 petang dan tekong menemui satu suak di mana terdapat air dari anak sungai mengalir ke tasik.
Di sini kami berpesta apabila seekor demi seekor berjaya didaratkan dengan gewang yang berwarna terang. Hanya yang bersaiz dewasa dibawa pulang ke khemah untuk dijadikan santapan manakala yang bersaiz kecil dilepaskan semula.
Skill bagi penggunaan gewang di tasik agak berbeza dengan penggunaan gewang atau sesudu di kawasan sungai yang berjeram. Di sini kami lebih banyak menggunakan sesudu yang dilontar jauh hingga mencecah dasar dan di karau secara laju ataupun menggunakan gewang ‘sinking’.
Trip tahunan ini akan sentiasa berubah mengikut giliran bagi merasai kenikmatan berada di hutan belantara. Ahli tetap seramai 15 orang sudah cukup untuk memenuhkan kuota bagi sesuatu trip dan perancangan rapi daripada ketua misi, Lan Bregol adalah trip yang sentiasa saya nantikan.
Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) merupakan pertandingan memancing ikan berparuh (billfish) berstatus antarabangsa dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui agensinya Kementerian Pelancongan Malaysia (Motac) Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), dengan sokongan penuh Tourism Pahang Malaysia dan Pejabat Parlimen Rompin. Acara yang di kolaborasi oleh Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) serta dibantu oleh Persatuan Memancing Rompin selama tiga hari bermula dari 15 hingga 17 September bertempat di Lanjut Golden Beach & Golf Resort.
Menurut anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin, pertandingan ini yang merupakan acara tahunan sejak 2004, berjaya meletakkan Rompin sebagai antara destinasi pelancongan khususnya untuk kaki pancing.
“Edisi kali ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM44,000 dan melibatkan 13 buah negara termasuklah Malaysia sebagai tuan rumah. Sementara penyertaan kali sedikit merosot apabila 14 pasukan daripada Indonesia dan Filipina menarik diri pada saat-saat akhir. Hanya 78 orang peserta dan 26 buah bot memancing terlibat dalam acara ini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran RPBIC 2017, Sabtu lalu.
Turut hadir dalam acara perasmian dan pelancaran peserta RPBIC 2017 ialah Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya, anggota Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan dan Pegawai Daerah Rompin Datuk Mohd Zulkifli Hashim
Menurut Edros Yahya, acara yang dianjurkan bagi mempromosikan Rompin sebagai destinasi pilihan bagi aktiviti memancing spesies berparuh kepada pemancing tempatan, serantau dan antarabangsa.
“Penyertaan bagi acara RPBIC tahun tampak sedikit suram berikutan 14 pasukan menarik diri pada saat akhir. Sekiranya kejadian itu tidak berlaku, ia sebenarnya satu pencapaian memberangsangkan sebagaimana acara pada tahun lalu yang berjaya mengumpul 40 pasukan terdiri daripada 120 orang peserta.
“Biarpun kami hanya mampu mengumpulkan 78 orang pemancing dari 13 buah negara namun 40 orang peserta sekali menjadi peserta paling ramai yang menyertai acara ini adalah peserta dari luar negara berbanding hanya 38 orang sahaja peserta tempatan.
“Selain Malaysia, negara lain yang menyertai acara ini terdiri daripada negara Austria, Singapura, Thailand, Taiwan, China, Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, Brunei, Filipina, Afrika Selatan, India dan Norway.”
Memandangkan aktiviti memancing spesies berparuh ini mampu menjana pertumbuhan yang baik, beliau amat berharap konsep ‘tangkap dan lepas’ perlu diterapkan bukan sahaja oleh peserta RPBIC malah kepada semua pemancing dan bukan hanya di Rompin sahaja malah di mana jua spesies layaran ini dipancing. Dan Edros Yahya turut mengumumkan di media sosial Isnin lalu tarikh 14-16 September 2018 telah dipilih bagi melangsungkan RPBIC kali ke-15.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...