Ini merupakan rekod tangkapan peribadi terbaik hasil memancing dari pemancing seluruh dunia. Walaupun tidak tercatat dalam rekod dunia namun ia lebih dari cukup untuk memberi inspirasi kepada semua pemancing.
Pada 26 Oktober 1979, Ken Fraser berjaya mendaratkan Atlantic bluefin tuna (tuna sirip biru Atlantik) di perairan Aulds Cove. Tuna sirip biru Atlantik ini memiliki berat 1,496 lb (678.57 kg) Teknik yang diaplikasi Ken Fraser juga dengan trolling menggunakan mackerel sebagai umpan.
Pada 2012, Guy Yocom menangkap yellowfin tuna (aya sirip kuning) terbesar yang pernah dicatat. Ikan besar ini ditangkap di perairan Cabo San Lucas, Mexico. Menggunakan joran Melton dan umpan hidup potongan ikan, Guy Yocom mampu mendaratkan tuna besar dengan berat 426 lb (193.23 kg).
Selepas 45 minit bertarung, Siegfried Dickermann berjaya mendaratkan albacore seberat 88.2 lb (40 kg) di perairan Gran Canaria, Sepanyol. Umpan yang digunakan ialah mackerel hidup.
Ads
Pada 17 April 1957, Dr. Russell Lee berjaya mendaratkan seekor big-eyed tuna (tuna mata besar) seberat 435 lb (197.31 kg) di perairan Cabo Blanco, Peru. Doktor tersebut mengambil masa selama 55 minit untuk mendaratkan tuna itu ke atas bot.
Selepas bertarung selama 40 minit, Mark Sosin berjaya menewaskan yellowfin tuna (tuna sirip kuning) seberat 153.6 lb (69.67 kg). Namun tidak dinyatakan lokasi dan tarikh kejayaan beliau itu.
Ads
Pada 6 May 2012, Frank Sholtz berpeluh untuk menewaskan seekor yellowfin tuna di perairan Cape Point, Afrika Selatan. Beliau mengambil masa sehingga 6 jam untuk menewaskan tuna sirip kuning seberat 235.5 lb (106.87 kg) tersebut. Perghhh!
Seekor dogtooth tuna (aya budak) seberat 147lb 14oz (66.74 kg) telah berjaya ditewaskan oleh H.T. Chittum III pada 18 Oktober 2005.
Ads
Pada 17 February 2012, Nathan Adams berjaya menewaskan monster seberat 739lb 6oz (335.48 kg). Pacific bluefin tuna gergasi itu dipancing di perairan New Zealand.
Selepas bertarung selama 7 jam, Stewart Campbell pula berjaya menumbangkan Altalantic bigeye tuna seberat 329 lb (149.23 kg). Atlantic bigeye tuna tersebut didaratkan pada 5 May 1986 di perairan Abidjan, Ivory Coast, Afrika.
Pada 18 September 2012, Guy Yocum berjaya menewaskan tangkapan seberat 427pound (193.68 kg) berupa yellowfin tuna di perairan Cabo San Lucas, Mexico.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sungai Lepar merupakan sebatang sungai yang merentasi banjaran tengah semenanjung Malaysia.
Bermula dari hulu sungainya yang terletak bersempadan dengan Hulu Sungai Lembing, aliran sungai ini terus sahaja merentasi mukim Lepar Utara sehinggalah aliran hilirnya bertemu di Sungai Pahang di bahagian selatan.
Dahulu sungai ini kaya dengan pelbagai spesies seperti kelah, tengas, sebarau, kenerak, kerai kunyit.
Namun berlakunya tekanan aktiviti mencari ikan secara haram oleh masyarakat sekitar secara senyap-senyap seperti menuba dan arus elektrik, spesies kelah dan kerai terutamanya sudah semakin sukar diperolehi.
Namun, setiap kali berlakunya bah besar, rantaian sistem Sungai Lepar kembali pulih. Stok ikan masih lagi ada, tetapi tetap sukar berjumpa spesies bersaiz besar.
Apa yang menariknya, di dalam rantaian pelbagai jenis ikan yang ada di sungai ini, terselit spesies sikang yang boleh dianggap masih banyak di sungai ini, terutama di bahagian hulunya yang berpasir landai dan berbatu.
Semasa kecil saya kerap juga ke sungai ini. Serius, dahulu saya tidak pernah pedulikan ikan ini. Badannya pipih, panjang, berlendir dan paling penting ia bermulut luas.
Sebab itulah, saya dan rakan-rakan menggelarnya sebagai ikan mulut luas. Malah saya turut menggelarnya ikan racing, kerana ikan ini begitu pantas di dalam air.
Cuma saya teringat, ikan ini banyak saya perolehi dengan cara memancing menggunakan batang pelepah sawit yang dikeringkan yang panjangnya 7 kaki, tali cap nelayan 4 lb, panjang tali hampir sama panjang dengan batang pelepah sawit dan mata kail udang.
Menggunakan umpan cacing tanah, saya membiarkan umpan hanyut di kawasan lata cetek yang berarus laju.
Bila terasa umpan diragut, tanda sikang sedang menjamah dan melarikan umpan, terus sahaja joran disentap ke belakang dan sikang sebesar 1-2 jari yang meragut umpan jatuh ke atas pasir.
Begitulah rutin saya dan rakan-rakan kalau pergi ke sungai ini semasa musim cuti sekolah.
Selepas lebih 20 tahun berlalu, sungai yang tak pernah jemu mengalirkan air walaupun landskapnya berubah setiap kali banjir berlaku, ikan sikang ini masih banyak dan kekal menjadi penghuni sungai bernama Lepar ini.
CASTING SIKANG SUNGAI LEPAR
Disebabkan memori lama itulah saya merancang trip untuk casting sikang bersama rakan-rakan.
Pada awalnya, kami bercadang untuk casting sikang di lubuk hulu Kuala Berakit, salah satu cabang anak Sungai Lepar, tetapi disebabkan hujan lebat yang turun tidak henti-henti
seharian pada semalamnya menyebabkan air keruh sekali gus membantutkan aktiviti casting.
Hanya beberapa ekor sahaja strike yang kami perolehi. Itu pun bersaiz kecil. Lubuk dalam yang kami jangkakan ada potensi, kosong!
Mungkin disebabkan air keruh yang berlumpur, ia membatasi keaktifan sikang menyambar gewang dan spoon.
Keesokan harinya, kami merancang pergi ke lokasi lain. Kali ini, kami betul-betul ke bahagian hulu Sungai Lepar yang hanya boleh diakses dengan menaiki motosikal.
Di hulu sungai yang bersempadankan ladang kelapa sawit dan hutan simpan, kami berjalan menyusuri sungai yang cetek airnya. Mujur air telah pun jernih dan tidak keruh.
Sekali pandang, memang tidak percaya ada banyak sikang. Tetapi setiap kali lontaran di zon lata dan air yang sedikit dalam, bertalu-talu sikang tanpa malu mengejar sama ada spoon atau gewang kecil yang kami lontarkan.
Walaupun bersaiz kecil, ia cukup menghiburkan kami.
Hasan antara yang paling gembira kerana lesen sikang pertama diperolehinya di sini. Kerana itulah juga dia sanggup mengambil cuti dan sanggup datang dari Shah Alam.
Mungkin sudah tuah agaknya, dia turun memperoleh saiz sikang yang boleh tahan juga saiznya. Ini semua ‘racun’ katanya!
KOMPLOT KEDUA
Selepas komplot pertama, saya merancang bertandang lagi ke sungai untuk mencari sikang.
Berbeza dengan trip kali dahulu yang airnya jernih, trip kali kedua ini airnya sedikit keruh, kerana berlakunya hujan agak kerap dan lebat.
Atas dasar percayakan tuah pada trip pertama dahulu, kami kembali ke lokasi yang sama.
Terdapat perbezaan landskap, terutama lubuk-lubuk yang dalam airnya telah berubah, dahulunya dalam telah menjadi cetek, yang cetek menjadi dalam (istilah dalam di bahagian hulu Sungai Lepar, hanyalah setakat pinggang sahaja).
Ketika kami berjalan berpecah sambil menyusuri dan menyeberangi sungai mencari spot-spot berpotensi, Pachai yang berjalan paling hadapan sekali berteriak kuat memberitahu berjaya memperoleh sikang bersaiz besar.
Sikang berkenaan berjaya diperdayakan menggunakan Rapala CD3 Fire Tiger UV series.
Ikan berkenaan diperolehi di satu lubuk airnya yang dalam, berarus dan berdekatan dengan gigi lata.
Pada pengamatan saya, sikang tersebut memang menghendap sumber makanan, terutama anak ikan kecil atau serangga yang hanyut.
Lontaran gewang berkenaan di kawasan lata sebelum ia memasuki ke tempat air yang dalam segera disergap oleh sikang yang menyangka ia habuan makanannya.
Melihat saiz sikang berkenaan, terbit rasa kagum dalam diri saya kerana sudah lama tidak melihat saiz sikang sebesar anggaran lengan kanak-kanak dan memiliki perut besar.
Cepat-cepat ikan berkenaan dilepaskan semula selepas diambil gambar.
Satu kepuasan bukan sahaja pada raut wajah Pachai, tetapi kami semua juga kerana berjaya mendapatkan sikang bersaiz begini dengan teknik casting.
Tidak lama kemudian, dia juga berjaya memperoleh seekor lampam sungai.
Cikgu Sofian yang baru belajar menggunakan baitcaster juga turut bertuah. Lontaran gewang pada saat kami ingin mengakhiri komplot berjaya memperoleh seekor kelah juvenil.
Amri pula, yang juga kali pertama cuba-cuba belajar casting turut berjaya memperoleh seekor sikang.
Walaupun bersaiz kecil, saya memberitahunya, tidak mengapa kerana bukan semua orang ada lesen ikan ini.
Agaknya inilah dikatakan orang baru memang selalu bertuah atau sebenarnya ia adalah `racun`permulaan kepada hobi memancing.
Setelah bersarapan di jeti, kami terpaksa menunggu salah seorang ahli trip yang agak kelewatan. Sementara menunggu boathouse bergerak, ada juga yang cuba-cuba menghulurkan pancing di tepi-tepi bot. Hasilnya, seekor haruan kecil yang menyambar umpan cengkerik berjaya didaratkan oleh salah seorang ahli trip. Kira-kira jam 10.30 pagi barulah boathouse dapat bergerak keluar dari jeti.
HARI PERTAMA
Keadaan air agak surut dalam kunjungan ini. Situasinya sama seperti trip yang saya sertai tahun lepas. Ini merisaukan saya kerana pada pengalaman lalu, memang sukar untuk mengilat sang sebarau di kala keadaan air begini. Toman juga acuh tidak acuh walaupun banyak timbul di permukaan.
Boathouse berhenti bergerak lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Sewaktu itu, makanan tengah hari sedang dihidangkan. Setelah boathouse ditambat, kami menjamu selera kemudian bersiap untuk turun casting. Kami berpecah menjadi tiga kumpulan dan menaiki bot masing-masing. Saya memilih menaiki bot di mana terdapat pasangan bapa dan anak. Melihat mereka berdua membuatkan pemancing lain termasuk saya teringat bapa masing-masing. Kesefahaman antara mereka sering mencuri perhatian kami.
Tekong membawa kami ke suak pertama berhampiran boathouse tetapi tiada sambutan. Di spot kedua tidak jauh dari suak pertama, saya mendapat satu sambaran apabila spoon yang dijatuhkan hingga ke dasar sebelum dikarau laju. Seekor sebarau remaja ditundukkan dengan mudah disebabkan set up yang agak kiasu iaitu rod berkekuatan 8-20 paun, tali 20 paun dan perambut 30 paun.
Port ketiga dan empat pula agak mengecewakan. Gewang yang dilontar beberapa kali ternyata hambar tidak bersahut. Kami pun beralih arah ke kawasan yang lain. Tiba di port kelima, terdapat akar pokok yang berselirat terendam di gigi air. Agak sukar untuk mengarau gewang yang dilontarkan di situ termasuk spoon walaupun telah ditukar ke single hook. Akim terus menukar spoon yang beliau pakai dengan jig berwarna biru.
Tidak sia-sia, seekor sebarau berjaya dipujuk keluar dari siratan akar tersebut walaupun saiznya tidak begitu memberangsangkan. Misi petang itu diteruskan hingga ke Kenarong. Airnya agak cetek dan berselut. Memang terdapat banyak boiling tetapi agak sukar untuk membuat telahan sama ada sebarau, toman mahupun haruan yang sedang bermain di situ. Top water lebih efektif di kawasan tersebut. Banyak sambaran dibuat apabila gewang jenis pensel dengan aksi walk the dog dan jump frog dibaling tetapi mata kail tidak tertancap kemas menyebabkan berlaku terlepas cangkuk.
Hanya seekor haruan kecil berjaya dinaikkan oleh Akim. Keadaan menjadi agak tertekan kerana masih terdapat ahli trip di dalam bot itu yang masih belum strike. Masa sudah agak lewat petang.
Apabila keluar dari Kenarong, kami terserempak dengan boiling sebarau di luar tanjung. Tekong terus memainkan peranan dengan mematikan enjin bot. Balingan pertama di spot berkenaan terus membuahkan hasil apabila Wan berjaya mendapat satu strike.
Hari beransur gelap. Keadaan boiling semakin rancak dari pintu tanjung sehinggalah ke perairan tasik yang lebih terbuka. Saya melihat Iman terlepas satu peluang apabila popper yang digayakan disambar tetapi tidak mengena. Apa lagi, kami pun masing-masing mengeluarkan popper. Seketika kemudian, gewang Iman sekali lagi disambar. Kali ini ikan tersangkut kemas tetapi beliau tetap melayan dengan penuh berhati-hati kerana dikhuatiri terlucut.
Dalam perjalanan pulang, kepala saya ligat memikirkan apalah cerita rakan dari rakan bot lain. Adakah hasil seperti kami atau lebih meriah. Tiba di boathouse, Apit menunjukkan gambar toman bujang dalam anggaran 3 kilogram hasil lontaran gewang Rapala Risto Rap dari Aiman.
Apit menaiki bot yang agak kecil, jadi beliau hanya bertiga termasuk Aiman dan tekong. Manakala Apit sendiri berjaya memperoleh seekor toman. Sedikit kecewa katanya kerana toman Royal Belum agak sombong walaupun pelbagai jenis gewang dilalukan di depannya. Langsung tidak mahu layan.
MISI DITERUSKAN
Hari kedua kebanyakan daripada kami bangun seawal jam 6 pagi untuk menunggu giliran mandi dan bersiap. Usai sarapan, kami berangkat menaiki bot mengikut kumpulan masing-masing pada pukul 7 pagi. Saya mengambil keputusan untuk bertukar tempat dengan rakan dari bot lain. Ini kerana saya ingin merasai pengalaman dengan tekong dan rakan yang lain.
Tekong membawa kumpulan kami menuju ke satu suak. Setiba kami di spot pertama, kami di arah membaling ke satu kawasan di mana ada sebatang balak yang tenggelam di dasarnya. Selain itu, balingan perlu berpandukan kepada buih yang timbul dari dasar air.
Jenuh juga membaling gewang tetapi tiada sambaran. Tekong berkeras untuk tidak menukar port kerana di situ terdapat sejarahnya tersendiri kerana pernah menaikkan sebarau seberat 2.9 kg dan ada pemancing yang patah joran. Saya masih tidak putus asa, apa yang dicadangkan tekong sebentar tadi terus diaplikasikan.
Sedang sesudu dikarau di pertengahan air, satu sentapan kuat berlaku sehingga saya tidak sempat untuk mengepam joran. Apabila keadaan kembali terkawal, spoon seakan tersangkut di dasar dan saya tidak dapat menggulung tali.
Tekong menyuruh saya bertahan dan jangan memaksa. Beliau menuju ke arah punca tali menggunakan thruster dan menarik-narik tali utama saya yang berkekuatan 14 paun. “Ada ni… ada… tunggu dia keluar,” kata tekong.
Tali dihenjut-henjut menggunakan tangan oleh tekong bot. Bila tali mula bergerak, satu perlawanan drastik berlaku. Dua tiga kali drag keluar dari Shimano Calcutta Conquest DC 51 yang saya gunakan. Sememangnya drag diketatkan dalam anggaran 80 peratus untuk mengelak mata kail rabut dari mulut ikan apabila ditarik. Tidak lama kemudian, seekor sebarau yang agak besar saiznya muncul di permukaan. Tekong terus mencapai tali perambut yang berkekuatan 20 lb dan menarik ikan ke atas bot. Bagi sesetengah kaki pancing, mungkin perlawanan sebegini hanyalah satu rutin memancing di air tawar tetapi bagi saya, ini pun sudah dikira satu kepuasan.
Apabila ditimbang, berat ikan ialah 1.3 kg. Walaupun bukan bersaiz badong tetapi menurut tekong, susah untuk mendapatkan saiz begini sekarang. Apabila berbual dengan tekong, beliau berulang kali mengatakan sekarang bukanlah musim terbaik casting sebarau kerana paras air tasik tidak naik sepenuhnya. Keadaan air tidak menentu kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun mengejut. Pada awalnya kami memang ingin datang pada penghujung tahun tetapi semua tarikh telah penuh ditempah pemancing lain. Terpaksalah datang lebih awal. Jika tidak, trip terpaksa dibatalkan berikutan tiada tarikh yang sesuai.
SESI PETANG HARI KEDUA
Sebelah petang, Zaini pula menunjukkan belangnya. Sebanyak tiga ekor sebarau kesemuanya dinaikkan oleh beliau. Lebih menarik lagi apabila bukan sesudu yang digunakan tetapi gewang Rapala Risto Rap saiz 8 berwarna parrot. Menjadi sungguh gewang beliau kali ini. Malah ada juga yang lucut dan meninggalkan sisik sahaja di mata kail. Dari segi saiz pula, ikan berskala antara 300 hingga ke 500 gram. Sementara itu, satu lagi kumpulan berjaya mendaratkan beberapa ekor sebarau dan seekor mama toman.
Sebelah malamnya pula, selesai makan malam, kebanyakan daripada kami semuanya tidur awal ekoran kepenatan casting, walaupun ada juga yang cuba-cuba untuk membottom baung. Pukul 3 pagi, kami tersedar apabila seorang staff boathouse datang ke bilik untuk memeriksa tingkap berikutan hujan lebat.
HARI TERAKHIR TRIP
Hari terakhir, kami keluar lebih awal berbanding semalam. Selesai sarapan tekong membawa kami ke satu tanjung di pintu masuk salah satu suak di situ. Dari jauh kami telah nampak boiling. Saya tidak pasti sama ada toman atau sebarau tetapi tekong meyakinkan kami bahawa itu ialah sebarau.
Zaini memperolehi strike pertama tetapi rabut. Hanya sisik sebarau yang agak besar terlekat pada gewang Rapala Risto Rap yang digunakan. Padahal beliau menggunakan mata tiga tetapi masih rabut. Ketika itu tekong bising dan menyatakan jika rabut, peluang untuk mendapat strike di tempat sama agak tipis.
Sekian kali mencuba, Zaini akhirnya berjaya juga menaikkan sebarau menggunakan Risto Rap bersaiz 8 tetapi warna neutral dan sekali lagi mendapat strike di kawasan yang sama tetapi kali ini agak kecil saiznya. Memang bertuah betul dia.
Hanya toman juvenil sahaja yang sudi menyambar spoon saya dan menjadi ikan penutup pada trip kali ini walaupun saya menjangkakan sebarau kerana lontaran spoon dan karauan laju dibuat. Aiman, pula tersenyum puas apabila berjaya menaikkan toman bersaiz mama.
Bercakap pasal pancingan tuna atau ikan aya ini mengingatkan saya pada trip memancing ke perairan Beting Patinggi Ali atau Lucornia di Sarawak.
Memandangkan trip tersebut lebih menjurus kepada menyasarkan ikan kertang dan ruby snapper melalui teknik pancingan dasar, maka peralatan bottom yang diberi keutamaan.
Peralatan jigging sekadar untuk ringan saja yang dibawa dengan beberapa ketul jig ringan.
Dalam perjalanan ke lubuk seterusnya pada malam kedua, tekong singgah sebentar di suatu kawasan untuk membolehkan kami berjigging.
Namun tujuan sebenar adalah untuk menambah stok umpan segar terutamanya ikan-ikan aya atau tongkol.
Melakukan teknik fast jigging pada kedalaman 80 hingga 100 meter di perairan berkedalaman sehingga 200 meter, dengan menggunakan jig seberat 60 hingga 100 gm, semata-mata untuk mencari ikan umpan memerlukan motivasi yang tinggi.
Tidak sampai sepuluh pusingan berjigging bagai nak tercabut lengan, saya mengangkat bendera putih.
Memandangkan ada di antara ahli trip yang tidak memiliki peralatan jigging maka saya beri peluang kepada mereka pula.
Saya mengambil keputusan untuk membersihkan tubuh dan berehat di dalam kabin. Dapat melelapkan mata buat seketika pun bagus juga.
Belum pun sempat melelapkan mata, kedengaran kekecohan mereka strike ikan dan kedengaran nama saya diseru keluar.
Sejurus keluar, kelihatan beberapa ekor ikan aya bergelimpangan di atas dek dan beberapa ahli trip sedang rancak berjigging dan mengepam joran.
Apabila melihat ada ahli trip berjaya mendaratkan aya sirip kuning, saya segera mengambil kamera untuk merakam foto.
Dalam pada merakam foto itu berdetik juga dalam hati rasa kesal kerana terlalu cepat menyerah kalah.
Tambah geram bila melihat aya sirip kuning itu dinaikkan oleh rakan yang menggunakan set pancing saya.
Walaupun masih bersaiz juvenil, ia tetap bergelar aya sirip kuning yang mana saya sendiri pun belum peroleh lesen!
Selain aya sirip kurning tunggal, aya-aya lain yang didaratkan ialah aya kurip dan satu lagi spesies aya yang belum pernah juga saya daratkan iaitu aya budak atau dogtooth tuna.
Saiznya tidaklah besar sekitar 1-2 kg saja, tapi di Semenanjung mana nak jumpa aya spesies itu.
Dan ia begitu mudah pula diperolehi sehinggakan ada ahli trip yang berjaya mendaratkan dua ekor aya budak pada satu jig.
Mungkin memahami perasaan saya ketika itu, selepas mendaratkan seekor lagi aya budak juvenil, rakan yang menggunakan set pancing saya itu menyerahkan kembali set pancing itu kepada saya.
Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, tanpa berlengah lagi saya terus menyambutnya dengan senyum lebar.
Bila ikan dah banyak, tak perlu berpenat lelah mengunjun joran pun boleh dapat ikan. Sejurus jig memasuki kedalaman 70-80 meter, terus ada pemangsa yang menyambar.
Harapan saya tentulah aya sirip kuning yang mengena. Tetapi yang berjaya didaratkan ternyata aya budak juvenil. Tak mengapalah… sekurang-kurangnya sudah ada lesen.
Selepas 3 ekor aya budak juvenil berjaya saya naikkan, gerombolan aya tersebut mula menghilang.
Tidak pasti pula sama ada bot hanyut keluar dari lubuk atau gerombolan ikan yang beredar ke kawasan, suasana kembali sebagaimana waktu awalan saya berjigging tadi.
Menyedari keadaan itu, tekong mengambil keputusan untuk bergerak ke lubuk kertang dan ruby snapper dan kami pula bergerak ke kabin untuk melelapkan mata buat seketika.
Dan saya pula masih tidak dapat melelapkan mata kerana terlepas peluang untuk memperoleh lesen aya sirip kuning.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...