Pencuri di kalangan pemancing… apa pendapat korang tentang perkara ini dan bagaimana agaknya untuk mengatasi tabiat mencuri terutamanya di kedai-kedai menjual peralatan memancing?
“Seringkali jugak kita melihat di FB, video rakaman kecurian di dalam kedai pancing. Nak kata kaki pancing ni kaki mencuri pun tak boleh jugak sebab ianya adalah dari hati dan sikap masing-masing.
Selalunya kaki mencuri ni asal barang boleh jadi duit tentu dia sebat… tapi bila kes mencuri dalam kedai pancing orang ramai akan kaitkan dia seorang kaki pancing aka kaki mencuri.
Yang terpalit dengan tohmahan adalah kita yang sememangnya kaki pancing. Pedih jugak bila dengar orang kata kaki pancing rupanya kaki mencuri.
Mudah-mudahan suatu hari nanti kita akan bertemu juga dengan kaki mencuri dalam kedai pancing atau di lapangan mancing… masa tu tau la nasib!”
– Loyer Anglers
“Allahu Akbar! konsep saya, tangkap ikan yang boleh buat lauk, dah perkara asasnya tak betul, bagi anak bini makan. Macam mana nak bagi keluarga tu sempurna.
Biar tak ada, biar menabung asalkan kita tak buat dosa. Jangan dibalas waktu atas bot sudah. Yang dicuri mata kail, yang jatuh ke dalam laut reel dan rod yang mahal pulak tu.”
– Blue Frogman
Ads
“Dengan orang macam ni jangan amalkan konsep tangkap dan lepas. Dapat tangkap dan tapau je. Hehe…”
– Nash Shisha
“Tak takut kumpaw sepanjang zaman ke? Kena pulak member asyik naik ikan je… awak sebab pakai barang curi tak dapat. Duri dengan gelama pun tak mau makan.
Boleh juga cuba kaedah ini. Pada pintu kedai tulis ayat ‘KALAU SAYA MENCURI BARANG DI DALAM KEDAI INI INSYAALLAH AKAN KUMPAW ABADI’.”
– Syamsul Hasan
Ads
“Nak memancing guna barang curi… lepas tu, dapat ikan dibuat makan. Ishh… ishh… tak berkat kot rezeki tangkapan tu.”
– Aqu IWann
“Pencuri tu bukannya pemancing, dia curi dan jual kat pemancing dengan harga yang murah asalkan boleh beli ubat… seorang pemancing sejati bukanlah seorang pencuri!”
– Muhammad Aliff Johari
Ads
“Tangkap, lepas tu ikat kat pokok! Hukumannya, libas badan dia dengan ekor pari. Hehe…”
– Encik Sam
“Turunkan harga barang pancing. Itu cara lagi baik. Kalau semua barang harga murah, dah tentu takde yang nak mencuri.”
– Nasir Mohamad Gp
“Panjang tangan di kedai pancing okey lagi… ni ada kes sama komplot, sama bot sempat pulak panjang-panjangkan tangan… haha. Betul-betul haramjadah ada pemancing macam ni.”
– Asyraaf Kay
“Dah masuk lokap nanti, sabun jatuh jangan kutip kat dalam tu. Siksa woooo… kata kawan sekolah aku dulu. Entah ler kenapa dia kata macam tu.. tapi dari penceritaan dia dengan gaya muka yang amat-amat seksa dan taubat.”
– Khairul Anuar Jeemadi
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Bung Pla Buk merupakan kolam pancing air tawar komersial bersaiz sederhana kira-kira tiga jam perjalanan atau 230km dari Pattaya. Ia terletak kira-kira 20 km ke barat ibu kota wilayah bersejarah Ayutthaya dan lebih kurang satu jam perjalanan dari Bangkok.
Bung pla buk atau bung senna mengikut sebutan masyarakat tempatan ini mempunyai banyak ikan patin terutamanya patin Mekong. Kami diberitahu oleh pihak kolam bahawa kolam ini mempunyai lebih daripada 200 ekor ikan patin Mekong bersaiz 80 kg atas. Ikan di sini kebanyakannya memakan sekam padi atau hong, dicampurkan dengan roti hancur.
Pada akhir Julai lalu kami bersama team Weebass Malaysia dan Thailand dan juga team Burn International meluangkan masa selama dua hari di sini. Kumpulan kami seramai 18 orang dari seluruh Malaysia ke sini untuk mencuba peralatan baru dari Weebass dan Burn International. Selain itu, misi kami untuk dua hari ini adalah untuk memberi peluang kepada lady anglers dalam kumpulan kami menarik ikan patin Mekong mega.
Pada hari pertama, cuaca pada waktu pagi agak mendung. Ini menyebabkan ikan tidak begitu aktif. Walau bagaimanapun, kami dapat juga menaikkan lebih daripada 10 ekor ikan sebelum tengah hari. Haiza turut menaikkan seekor patin Mekong bersaiz 30 kg. Sebelah petang sekitar jam tiga, hujan turun pula turun lebih kurang 30 minit.
Selepas hujan cuaca bertukar panas dan kembali aftif. Kami menaikkan banyak ikan berlainan saiz. Sebelum senja, beberapa ekor ikan bersaiz mega berjaya dinaikkan. Salah satu daripadanya dinaikkan oleh tester Weebass Thailand dengan anggaran berat sekitar 80kg.
Pada hari kedua, cuaca juga agak mendung dan tiupan angin agak kuat berbanding kelmarin. Ini menyebabkan kami tidak dapat memancing dengan teknik apungan. Kami dipaksa memancing teknik dasar menggunakan umpan roti sahaja.
Walau bagaimanapun selepas beberapa jam, hasrat kami tercapai juga apabila kesemua lady anglers berjaya bertarung dan menaikkan patin Mekong masing-masing.
Hujan lebat yang melanda pada sebelah petang menyebabkan kami terpaksa menamatkan sesi memancing lebih awal. Selepas meluangkan dua hari di kolam, kami amat gembira kerana misi kami tercapai. Haiza selaku ketua lady anglers turut gembira kerana dapat menimba pengalaman baharu yang begitu menyeronokkan.
Meskipun sesi memancing di sini agak mencabar, kami akan membuat perancangan untuk kembali lagi pada musim panas nanti. Kami percaya cabaran yang bakal kami tempohi nanti lebih mencabar dan penuh keseronokan!
Port Dickson merupakan bandar peranginan yang terkenal di Negeri Sembilan Darul Khusus. Malah juga terkenal di seluruh negeri.
Selain itu Port Dickson turut terkenal sebagai padang pancing yang berpotensi. Sama ada untuk pancingan pantai mahu pun laut dalam.
Dalam perkongsian terdahulu, Rasengan Limited tertumpu di kawasan mengilat sotong mengabang atau eging di perairan pantai Timur.
Ketika di sana kami membuat perancangan dan kajian lokasi berpotensi di bahagian pantai barat pula. Port Dickson menjadi kawasan pilihan untuk padang ujian mengilat sotong mengabang.
Ini kerana faktor air laut yang agak jernih, kawasan berbatu dan benteng pemecah ombak serta mudah dikunjungi.
Namun begitu terdapat dua lokasi yang disenarai pendek oleh kami sebagai berpontesi untuk mengilat sotong mengabang iaitu di Tanjung Tuan dan benteng pemecah ombak PD Marina.
Setelah tarikh percubaan untuk mengilat ditentukan, benteng pemecah ombak PD Marina menjadi pilihan utama kami.
Carta jadual pasang surut air laut di kawasan Port Dickson merekodkan air laut akan pasang penuh dengan ketinggian 3.5 meter pada pukul 8.30 pagi.
Kami menjangkakan waktu kemuncak untuk mengilat sotong mengabang adalah pukul 8.45 pagi.
Kami Memulakan perjalanan dari Shah Alam seawal 7 pagi dan tiba di kawasan pemecah ombak PD Marina tepat pukul 8.45 pagi.
Perjalanan sangat lancar lebih-lebih lagi melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan Seremban-Port Dickson amat selesa.
Jalan masuk ke kawasan benteng pemecah ombak PD Marina ini melalui gerai makan Cowboy Palace.
Jika mengunakan kereta sedikit kesukaran untuk destinasi yang dituju kerana jalan tanah merah berlopak dan becak sekiranya berlaku hujan.
Kami terpaksa menghabiskan sedikit masa untuk meredah kawasan ini mujurlah tayar kereta tidak terbenam dan tersangkut.
Apa yang kami perhatikan keadaan sekeliling benteng pemecah ombak di PD Marina amat berpotensi untuk aktiviti mengilat sotong mengabang mahu juga ikan.
Kami tiba di benteng pemecah ombak pukul 9.30 pagi dan disambut awan mendung dan hujan lebat.
Nasib menyebelahi kami hujan lebat berhenti selepas turun dalam tempoh 10 minit sahaja.
Apa yang menarik adalah ombak yang sangat lembut menghentam benteng pemecah.
Ini satu petanda yang sangat baik walaupun ditimpa hujan lebat dan awan yang mendung.
Peluang ini kami manfaat dengan beberapa balingan kami telah berjaya mendaratkan sotong mengabang.
Kami masih terus mencuba walaupun ketika itu arus laut sudah mula bergerak surut. Dua jam kami luangkan masa untuk mengilat sotong mengabang dan hasil yang didaratkan juga sangat menggembirakan.
Apatah lagi ia adalah percubaan kali pertama di kawasan ini. Ternyata kawasan pantai barat juga berpontensi untuk aktiviti eging sotong Mengabang.
Dengan meluangkan masa membuat kajian lokasi-lokasi tertentu di pantai barat anda juga berupaya menemui lubuk-lubuk sotong Mengabang.
Bagi yang berminat untuk eging sotong mengabang anda bolehlah ke Juara Tackle Shah Alam untuk matlumat lanjut berkaitan peralatan pancing, gewang, teknik dan lubuk berpotensi.
Persiapan untuk memancing 3 hari di perairan Pulau Tioman siap diatur untuk 3 orang kenalan lama dari luar negara.
Tempahan dan deposit bot memancing, hotel penginapan dan peralatan pancing lengkap untuk kegunaan 4 orang pemancing diuruskan seperti yang dikehendaki mereka.
“Kami datang dengan tangan kosong. Keperluan semua tolong uruskan,” itu pesanan ringkas yang diterima melalui e-mel.
Memandangkan banyak perkara dan keperluan perlu diuruskan, cara terbaik ialah sediakan senarai check list lengkap supaya tiada yang tercicir nanti.
Ini termasuk kepingan jig ringan yang diperuntukkan untuk kegunaan lima orang sepanjang trip. Kos peralatan pancing sudah mencecah ribuan ringgit.
Bagi mereka ini itu soal kecil sahaja kerana tujuan utama adalah memancing sambil melancong di Malaysia sekali sekala.
Setiap tahun mereka bertandang ke mari dan memilih untuk memancing ke destinasi berbeza. Hanya menanti masa yang dijanjikan.
Kali ini agak mencabar sedikit kerana trip ini berlangsung pada bulan Ramadan.
Lebih mencabar lagi ketika di laut hanya saya seorang sahaja yang berpuasa, banyak telan air liur tatkala melihat mereka teguk jus minuman dan buah-buahan di tengah kepanasan.
Hari Pertama
Malah hari pertama memancing angin selatan membuak lebih dari kebiasaan menurut kata tekong.
Ini terbukti kesukaran untuk mencari umpan setiap kali melewati kawasan unjam.
Percaturan awal ialah memancing layaran di hari pertama, kemudian bergerak ke Tioman untuk bermalam di sana.
Hari kedua kami merancang untuk berjigging di sekitar laut Tioman dan hari ketiga berdasarkan kepada keputusan dua hari pertama.
Bergerak dari Kuala Rompin menuju ke lokasi pada hari pertama sudah menampakkan kesukarannya.
Desiran angin dan percikan air sentiasa membasahi pemancing di dalam bot ketika dalam perjalanan.
Begitu pun, tiada tanda-tanda menampakkan kerisauan di kalangan mereka ini, maklumlah semangat dan penantian untuk memancing di laut selama ini baru sahaja bermula 30 minit yang lepas.
Masa sudah melepasi 2 jam pertama, semangat membara ketika tekong berusaha berpindah dari satu unjam ke satu unjam mencari kumpulan anak ikan.
Dua unjam pertama kami keletihan terpaksa melepaskan semula umpan hidup, mana tidak hanya ikan kunyit dan kerapu kecil menjamah apollo.
Unjam berikutnya terasa cerah sedikit harapan apabila dapat juga beberapa ekor selar dan tamban untuk mencari layaran.
Permukaan laut beralun di hembus angin dari arah selatan menyukarkan kami untuk mengesan ikan layaran. Tanpa kehadiran burung camar lebih merumitkan.
Minggu sudah layaran di kesan berada di sekitar laut Merchong. Lokasi kami pula di laut Tokong Burung.
Walaupun agak jauh dari lokasi layaran berada pada musim itu namun bot sebelah kami berjaya menerima sambaran layaran.
Dalam kekalutan, ikan berjaya meloloskan diri dan kami berharap yang lain sudi dengan umpan yang masih hanyut jauh di belakang bot.
Turut menerima kesan ialah aktiviti jigging kerana minat ikan terhadap umpan tiruan ini jatuh merudum. Tiada sambaran walaupun semua jenis dan warna jig dicuba.
Kena pula di bulan Ramadan, nak lebih-lebih bahang mentari terus menitikkan peluh.
Menyedari peluang mengintai layaran tipis, tekong menyarankan agar berpindah.
Satu persatu unjam kami singgah, jigging sambil melepaskan umpan hidup di belakang bot. Akhirnya sekor tamban yang baru dihulurkan terus sahaja menerima sambaran di pertengahan air.
Apabila melihat haruan tasik yang mengena, semua memandang sahaja sebelum menyarankan tekong lepaskan ia.
Selang pada itu sekor selar yang baru dipikat dengan apollo mengambil tempatnya pada mata kail yang kosong. Kini giliran selar pula berjaya memikat pemangsa.
Rakan saya, Antonio yang dari awal begitu sabar menanti sentapan ikan tanpa melengahkan masa menggenggam joran.
Baru nampak sedikit senyuman apabila sekor tenggiri pula mencuri tumpuan kami.
Usaha untuk mencari mangsa seterusnya berjaya tetapi berlainan spesies pula. Giliran todak pula bertali arus membedal umpan ikan hidup.
Umpan punyalah susah nak dapat, dapat umpan todak pula yang balun. Kami terpaksa beredar awal menuju ke arah Tioman memandangkan laut sedemikian memakan masa yang lama untuk sampai ke pulau.
Lebih merumitkan ialah kami sendiri tidak tahu di mana lokasi resort yang ditempah oleh geng pancing saya.
Akhirnya jumpa juga setelah terpaksa bertanyakan kepada penduduk pulau yang sedang memancing. Resort yang ditempah pun agak eksklusif juga dan jetinya betul-betul tepat dengan arah angin selatan yang melanda.
Sukar untuk merapatkan bot di tepi jeti bagi pemandu bot yang tiada pengalaman.
Setelah berjaya menurunkan kelima-lima geng saya di resort berkenaan, saya dan tekong kemudiannya sekali lagi meredah alun menuju ke marina di Kampung Tekek untuk berbuka puasa dan bermalam di sana.
Selesai hari pertama memancing dalam kesukaran sambil berharap hari berikutnya akan lebih bermakna.
Hari Kedua
Awal pagi kami berdua bergerak ke jeti Japamala Resort untuk mengambil geng pancing saya.
Kali ini tinggal 4 orang sahaja setelah wakil China tewas dengan alun semalam. Wakil Itali, Taiwan dan Indonesia masih bersemangat meneruskan cabaran di hari kedua.
Keadaan laut sepertimana semalam malah lebih power sedikit. Ikut hati nak je memancing di kawasan tepian pulau yang terlindung angin tetapi terpaksa jaga etika bila berkunjung di taman laut lebih-lebih lagi bila kita membawa bersama pelancong atau pemancing luar.
Nak tak nak redah juga laut beralun mencari spot memancing. Mimpi ngeri jadi kenyataan apabila hasil lebih teruk dari semalam.
Puas mencuba dengan segala teknik walaupun umpan hari kedua lebih mudah diperolehi. Macam-macam umpan ada, selar, tamban sisik, tamban bulat, kembung, sotong cumit, lolong dan ikan kerisi.
Semuanya sepi tanpa sambaran yang boleh hangatkan suasana. Terpancar sedikit kerisauan tekong melihat hasil sedemikian. Belum pernah terjadi.
Bagaimanapun ini tidak melemahkan semangat kaki pancing luar yang pertama kali bertandang di Tioman dan akur dengan faktor alam. Mungkin tidak kali ini, pasti akan ada hari mendatang ujar mereka lagi.
Sejuk hati melihat mereka redha dengan musibat hari itu dan akur dengan masalah deruan angin yang bertambah kencang menjelang tengah hari.
Sebulat suara bersetuju menamatkan sesi memancing hari kedua lebih awal dan membatalkan misi untuk hari ketiga berpandukan ramalan angin tidak mungkin berhenti dalam sehari dua.
Tiada siapa yang mereka salahkan dan mungkin kunjungan kali ini pada waktu yang kurang tepat.
Misi kami sebelum ini boleh dikatakan berjaya memperoleh ikan yang disasarkan. Mereka memilih untuk berehat di Tioman menghabiskan dua hari berikutnya.
Sempat juga geng ini mencari spot untuk memancing ikan air tawar pula selepas puasa nanti. Pastinya mereka akan berkunjung sekali lagi dalam waktu terdekat ini.
Kami kemudiannya sekali pagi terpaksa menempuh perjalanan sukar menuju ke Kuala Rompin. Inilah hakikat memancing kadang kala kita terasa kegagalan tetapi tidak bagi mereka yang memahami dan mendalami erti kata kumpau yang sebenarnya.
Kepuasan memancing bukan setakat ikat yang dipancing tetapi bila dapat naik bot, hulur pancing sambil bersembang seloka semasa menunggu sambaran sudah mampu mengukir senyuman buat pemancing sejati.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...