Harga batung ladung di pasaran ketika ini sememangnya boleh bikin pening kepala. Batu nombor 20 misalnya, khabarnya ada kedai yang menjualnya harga puluhan ringgit. Bagaimana pula untuk pancingan yang tinggi risikonya menjadikan batu ladung sebagai ‘tukun’ di dasar seperti di sungai dan juga muara, pantai.
Andai kata kalau sebiji batu no 4-8 berharga RM1 dan ke atas dan setiap trip diandaikan menggunakan 10 batu ladung serta purata ia akan sangkut 3-4 ketul, berapa pula nilai RM yang lebur untuk trip dua kali sebulan dan darab dengan setahun.
Ads
Apa kata jimatkan kos batu ladung terutama pancingan bottom di lokasi-lokasi risiko dengan menggunakan barang terpakai. Caranya adalah menggunakan palam pencucuh (plug) terpakai yang boleh didapati secara percuma di bengkel-bengkel motosikal.
Ads
Walaupun sukar untuk menentukan beratnya berbanding terdapat nombor pada batu ladung yang dijual di kedai, apa kata rajin-rajinlah menimbang berat palam pencucuh (gunakan penimbang elektronik) berkenaan dan gandakan ia mengikut berat yang sama dengan batu ladung yang mempunyai nombor.
Ads
Untuk laut dalam, boleh gunakan potongan batang besi (besi yang digunakan membuat cerucuk bangunan) dengan cara mengubahsuainya di bengkel pertukangan. Bahkan, ia sebenarnya bukan perkara baru, pemancing tradisional yang menggunakan botol mineral yang di dalamnya diisi dengan bancuhan simen.
Pada Asasnya, ikan ebek merupakan salah satu daripada pemangsa marin dalam kitaran makanan lautan. Ebek sering menjadikan ikan kecil, sotong, obor-obor dan krutesia sebagai mangsanya sekaligus menjadikan senarai tersebut sebagai diet makanan utama.
Di Malaysia, akses lokasi atau lubuk untuk memancing ebek tidak sesukar mana. Bermula dari kawasan muara sehinggalah ke laut lepas. Antara lokasi terbaik memancing ebek ialah di kebanyakan perairan Terengganu dan Pahang.
Waktu sesuai untuk memburu ebek dikatakan sekitar bulan Februari hingga Jun setiap tahun. Lubuk terbaik untuk memburu ebek ialah di kawasan yang mempunyai struktur seperti batu atau karang.
Selain dipancing dengan menggunakan umpan konvensional, ebek turut menjadi spesies idaman penggemar teknik jigging menggunakan kepingan besi atau jig. Tidak dinafikan dalam sukan memancing, ebek merupakan antara spesies buruan berikutan aksi pertarungan yang dipersembahkannya.
Ebek boleh dipancing dengan teknik dasar atau jigging/light jigging di kawasan berbatu. Jig yang dipilih sebaiknya warna silver, hijau. Tetapi warna jig yang terang seperti pink, juga boleh, namun bergantung juga kepada lokasi, air, kedalaman air.
Diet utama ebek ialah krutesia bergerak perlahan. Jadi umpan yang efektif yang mungkin anda boleh cuba ialah udang hidup. Selain itu, tamban, ketam angin dan sotong cumit juga boleh digunakan. Gunakan perambut yang panjangnya sekitar 3 kaki ke atas.
Salam admin, ada dua solan nak tanya. Satu, selain ikan sembilang, duri, belukang dan ketuka apakah spesies lain mempunyai sengat di kawasan muara?
Kedua, betul ke air pasang besar dan arus laju ikan tidak makan umpan?
JAWAPAN:
Banyak lagi spesies muara yang bersengat ikan depu, baji, dengkis, kitang, dengkis dan pelbagai jenis ikan yang jarang dijumpai mempunyai sengat sama ada yang jelas kelihatan atau tersembunyi di sebalik sirip dan badan.
Ikan semilang, duri, belukang atau jahan memiliki sengat keras terserlah di atas badan, sisi kiri dan kanan.
Sengat pari dan ketuka pula terdapat di bahagian ekor sama ada di pangkal, tengah atau hujung ekor.
Ada juga spesies pari seperti pari kebas atau pari serban tidak memiliki sengat tetapi senjata utama ialah getaran arus elektrik dialirkan ke badan yang menyentuhnya.
Terdapat juga pari memiliki hanya satu sengat keras dan ada yang mempunyai dua sengat keras di ekor.
Ikan lain yang dikategorikan berbisa memiliki sengat atau duri kecil yang tajam di badan (depu dan baji) selain sengat antara sirip dorsal dan sirip pelvik.
Sengat yang berbisa ini tersembunyi merbahaya jika terkena tangan. Pari umpamanya perlu dikendalikan dengan betul.
Pastikan sengat dibuang terlebih dulu jika ingin bergambar.
Bagi soalan kedua pula, kebanyakan ikan aktif ketika air pasang dan kawasan yang berarus.
Kawasan yang tenang kurang didiami ikan pemangsa kerana sukar mendapat mangsa buruan.
Di kawasan terdapat alun atau ombak (bukan jenis yang terlalu besar hingga puluhan kaki) selain anak ikan turut bermain ombak, kumpulan ikan pemangsa (predator) turut mengikuti dari belakang.
Nama Temerloh memang begitu sinonim sebagai Bandar Ikan Patin. Namun tak ramai tahu, Temerloh juga sedang pesat membangun sebagai antara kawasan ‘angling tourism’ yang berpotensi untuk diketengahkan.
Rumah Rakit Temerloh menjadi salah satu usaha untuk menaikkan nama Temerloh sebagai salah satu spot memancing terbaik di Malaysia.
Sedang kebanyakan rumah rakit untuk memancing sambil menginap dibina di kawasan muara yang mengunjur ke laut, Rumah Rakit Temerloh mengambil pendekatan baru
apabila dibina betul-betul di jajaran sungai terpanjang Semenanjung Malaysia, iaitu Sungai Pahang.
Mula dibina sekitar bulan puasa 2015 yang lalu, akhirnya pada hari raya ketiga tahun tersebut, Rumah Rakit Temerloh sudah mula beroperasi.
Pada awalnya hanya 1 rakit sahaja dibina, namun atas sambutan yang luar biasa, rakit kedua mula beroperasi pada Oktober.
Biarpun kelihatan masih hijau, namun ternyata sambutan tanpa henti dari kaki pancing serata Malaysia berjaya menaikkan lagi nama Rumah Rakit Temerloh ini.
Apatah lagi apabila mendapat respon yang sangat positif daripada pengunjung yang pernah menginap di sini.
Fasiliti yang ada di sini bolehlah dikatakan serba lengkap. Dilengkapi bilik dengan penghawa dingin dan kipas, dapur untuk memasak, bekalan air bersih dan elektrik menjadikan penginapan memancing di sini benar-benar berbaloi.
Bila ditanya tentang bagaimana mendapat idea membina rumah rakit ini, pemiliknya yang lebih mesra dipanggil Abang Salleh menyifatkan idea ini datang daripada pengalaman beliau yang kerap ke luar negara.
Dari situ, beliau dapat melihat banyak rumah rakit dibina sebagai kawasan pelancongan, yang mana, ia sangat berpotensi untuk diketengahkan.
Selepas sahaja pencen, beliau terus membuat perancangan untuk menaikkan rumah rakit dan akhirnya Temerloh menjadi lokasi pilihan memandangkan ia merupakan titik tengah Semenanjung Malaysia.
Ternyata percaturan untuk membina rumah rakit di Temerloh ini benar-benar berhasil dan mendapat sambutan hangat.
Apatah lagi apabila mendapat sokongan tak berbelah bahagi daripada masyarakat setempat di Temerloh, sekaligus menjadikan Abang Salleh terus bersemangat untuk menaikkan industri pelancongan memancing di Temerloh.
Potensi Memancing
Nama Temerloh memang tidak asing sebagai antara kawasan tumpuan untuk memancing. Ikan-ikan sungai seperti patin buah, temoleh, begahak dan udang galah menjadi antara nilai tambah yang menaikkan nama Temerloh untuk dikunjungi oleh kaki pancing.
Di Rumah Rakit Temerloh ini, anda boleh terus memancing dari kawasan anda menginap. Dari sini sahaja anda boleh mendapat hasil seperti udang galah, lais, lampam dan baung.
Tetapi untuk hasil yang lebih mantap, Abang Salleh turut menyediakan khidmat sewa bot untuk anda menjelajah sekitar kawasan Sungai Pahang dan mencari lebih banyak lubuk yang boleh menjanjikan hasil yang terbaik.
Bagi yang baru pertama kali ke sini, penulis mencadangkan agar anda mengambil sekali khidmat guide kerana jika anda kurang ‘familiar’ dengan lubuk di sini, pasti agak sukar untuk anda mendapatkan hasil yang lumayan.
Jadi, untuk anda yang dah lama teringin merasai tarikan ikan-ikan Sungai Pahang, marilah berkunjung ke Rumah Rakit Temerloh ini.
Di samping dapat mencari ketenangan dan menghilangkan stress di tempat kerja, mana tahu rezeki anda juga untuk mendapat ikan-ikan sungai yang harganya semakin tinggi di pasaran masa kini.
Pakej sewa & penginapan:
Sewa bot :
Bot 5hp (RM80) / 15hp (RM100) untuk 24 jam
Rumah rakit:
Rumah rakit aircond : RM250
Rumah rakit kipas (lantai hijau) : RM150
Rumah rakit ada 2 bilik tidur dan selesa untuk 12 orang
Bilik bajet : RM50 selesa 4 untuk orang.
Umpun-umpun: RM10 sebekas
Bagaimana ke sini:
Jika anda dari ibu kota dan melalui Lebuh raya Pantai Timur (LPT), ambil susur keluar ke Temerloh.
Kemudian anda hanya perlu mengikut tanda arah ke Bera dan cari Kampung Pangsenam.
Rumah Rakit Temerloh terletak di KM 4, Kampung Pangsenam. Hanya lebih kurang 10 minit dari susur keluar Temerloh tadi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...