Ikan siakap merah merupakan spesies ikan gred tinggi. Ia bukan sahaja idaman para pemancing, enak dijadikan juadah malah kaya dengan khasiat yang bagus untuk kesihatan badan. Berikut merupakan antara khasiat ikan siakap merah.
BANYAK MENGANDUNGI VITAMIN A
Vitamin A sangat penting bagi tubuh, ini kerana vitamin A berperanan sebagai agen pertahanan tubuh manusia. Mengambil vitamin A secara berlebihan juga tidak bagus untuk tubuh kerana ia boleh menyebabkan beberapa penyakit kepada jantung dan hati. Namun ikan siakap merah ini berupaya membekalkan vitamin A yang secukupnya.
MENCEGAH GIGI BERLUBANG
Kandungan kalium di dalam daging ikan siakap merah sangat bagus untuk kesihatan terutamanya gigi kerana 3 gram daging siakap mengandungi 9.7% peratus yang diperlukan oleh badan. Tengok sajalah macam mana rupa gigi siakap merah.
MENJAGA KEKUATAN TULANG
Selain mencegah gigi dari berlubang, kalium di dalam ikan siakap merah turut membantu mencegah tulang daripada cepat reput.
MENJAGA KESIHATAN OTAK
Otak manusia juga memerlukan kalium yang berfungsi agar otak mendapatkan cukup oksigen, dan juga nutrisi ke otak agar menjaga kesihatan dan fungsi otak , dan juga mampu mencegah terjadinya sirkulasi darah di otak.
MENCEGAH BARAH
Vitamin A juga dapat mencegah pertumbuhan sel barah yang muncul pada tubuh dan mencegah DNA yang muncul dalam tubuh dan menyerang beberapa organ seperti usus, paru-paru, payu dara, serviks, prostat dan juga hati!
MEMELIHARA DAYA PENGLIHATAN
Omega 3 yang terdapat dalam siakap merah dipercayai dapat menurunkan risiko kehilangan penglihatan. Omega 3 juga dipercayai dapat mencegah kolestrol, dan juga penyakit jantung!
MENGURANGKAN RISIKO DEPRESI
Selain itu Omega 3 juga berperanan untuk menghilangkan depresi sekiranya anda menghadapi tekanan ini.
MENURUNKAN RISIKO HIPERTENSI
Hipertensi terjadi akibat tekanan darah tinggi. Namun bagi yang menghidap penyakit hipertensi tidak perlu risau kerana anda boleh mencuba ikan siakap merah sebagai diet yang berkhasiat dan merawat penyakit.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Memancing ikan sepat Siam tidak sama memancing ikan lain yang lebih besar. Malah, sekiranya anda memancing ikan puyu sekali pun, peluang untuk mendapatkan ikan Siam amat tipis.
Perlu diketahui, ikan sepat Siam adalah ikan yang gemar memakan lumut, rumpai air dan serangga kecil.
Dan untuk memulakan sesi memancing ikan sepat Siam, anda perlu cari habitatnya terlebih dahulu.
HABITAT & CARA MENGESANNYA
Cara mudah untuk mengesannya, selain melihat kudap ikan di permukaan ialah muncung ikan ini akan kelihatan di permukaan air tanda ia bermain udara.
Ikan ini biasanya kerap muncul di ruang kiambang atau rumpai air yang terbuka. Jika tidak ada atau ruang amat kecil, anda perlu membuat sendiri lubang ruang berkenaan sebesar saiz bola sepak dengan cara menyelak rumpai air berkenaan.
Sesetengah pemancing yang gemar mencari ikan ini, lubang ini akan dibuat sehari sebelum memancing. Ini bagi mengelakkan ikan ini culas untuk memakan umpan.
CARA MEMANCING
Anda boleh gunakan sama ada pelampung kecil atau tidak untuk melihat getuan sepat mula memakan umpan.
Letakkan umpan perlahan-lahan ke dalam air. Sebelum itu, anda perlulah berdiam diri tidak membuat bising semasa menghampiri spot yang telah dikenal pasti.
Ikan sepat begitu sensitif terhadap sebarang pergerakan bayang atau bunyi bising. Kerana jika ikan takut, menyebabkan ikan ini tidak mahu timbul.
Jatuhkan umpan juga mestilah perlahan ke dalam air dan perlu dekat dengan ikan sepat. Kemudian tunggu sehingga ikan memakan umpan.
Pegangan joran juga haruslah kuat. Antara sebab mengapa joran jenis teleskopik amat relevan digunakan adalah kerana ia ringan, kuat dan mudah dilaras.
Sebaik sahaja umpan dilarikan, cuba balas dengan perlahan dan jangan menyentapnya terlalu kuat.
Jika terlalu kuat, akan menyebabkan kawanan ikan sepat lain terkejut dan culas selepas itu. Prosesnya sama seperti anda memancing udang galah.
Jangan terlalu lama membiarkan ikan menggetu umpan tanpa sebarang tindak balas. Jika tiada getuan pula, periksa umpan anda mana tahu sebenarnya umpan telah tanggal atau habis.
Seboleh-bolehnya ikan jangan terlepas. Jika ikan terlepas lebih dari sekali di spot yang sama, ikan yang lain akan culas untuk makan umpan.
Jika tiada getuan akibat ikan terlepas dan culas, anda bolehlah beredar ke spot yang berhampiran terlebih dahulu.
Ini kerana kawanan ikan sepat biasanya akan kembali ke lokasi yang ia bermain udara, selain ia tertarik dengan bau dedak ayam tersebut.
Bagi penggemar pancingan air masin yang menggunakan umpan tiruan, pasti mempunyai gewang pilihan tersendiri sebagai senjata ampuh untuk menjinakkan ikan. Di sini, kami kongsikan senarai gewa ng air masin terbaik sepanjang zaman yang dikumpul dari seluruh dunia. Mana tahu anda berkenan!
Bomber 16A / Bomber Long A
Gewang ini merupakan sejenis gewang plastik berbentuk minnow yang sesuai digayakan sama ada dari jeti, daratan pantai atau dari bot. Panjang gewang ini sekitar 7 ½ inci dengan bibir plastik yang panjang, gewang ini merupakan jenis floating. Mata kail dan split ring asal gewang ini dikatakan mempunyai kualiti rendah dan ramai pemancing menukarnya dengan yang lebih berkualiti, namun persembahan gewang ini mampu menggoda ikan bersaiz besar. Hari ini, gewang ini dijual dengan menggunakan nama Bomber Long A.
Bucktail
Tidak kira apa jenama atau stail, leadhead atau jighead berwarna dengan padanan rerambut atau bulu putih rusa merupakan antara umpan tiruan paling mencakup pernah diinovasikan. Dikenali dengan nama bucktail, balingkan dan biar tenggelam sebelum gayakan dengan gaya slow jig atau gaya yoyo. Warna pilihan di laut selalunya warna putih atau kuning. Jika anda perlu menggunakan satu gewang sahaja ketika memancing, bucktail merupakan pilihan yang bijak.
Bunker Spoon
Sesudu trolling gergasi ini direka hasil inspirasi daripada lampu kereta LaSalle. Di bawah jenama Montauk Striper, sesudu trolling dihasilkan untuk pasaran komersial di bawah seliaan Joe Julian iaitu pemancing veteran. Semua bunker spoon dihasilkan untuk kegunaan trolling menggunakan rod istimewa yang panjang dan tali yang boleh memanipulasi kedalaman. Walaupun kelihatan tidak berpotensi, anda tidak boleh menidakkan sejarah keupayaan sesudu ini menaikkan ikan bersaiz besar.
Cedar Plug
Gabungan timah dan kayu cedar ini mungkin merupakan antara hasil ciptaan gewang tiruan terbaik untuk menundukkan ikan tuna. Cedar plug mungkin kelihatan tidak menarik, namun keupayaannya menarik perhatian spesies tuna tidak dapat dinafikan. Cedar plug boleh datang dengan pelbagai warna, namun ramai pemancing bersetuju warna asal kayu cedar tanpa warna lain merupakan yang terbaik.
Creek Chub – Pikie
Pada 1920, Creek Chub Bait Company telah memperkenalkan salah satu rekaan gewang terbaiknya iaitu Pikie. Asalnya gewang kayu dengan mata kaca serta bibir besi ini direka untuk air tawar, namun beberapa ketika selepas itu sekitar 30-an dan 40-an, semakin popular untuk kegunaan air masin lantas syarikat tersebut mengeluarkan rekaan yang lebih besar untuk kegunaan air masin.
Danny Plug
Asalnya, Danny plug dibuat dan dijual oleh Danny Pinchney pada awal 1960 dan gewang bibir besi ini mendapat sambutan hangat. Gewang ini dimainkan perlahan dan akan memperlihatkan renangan kiri kanan yang menggoda ikan. Hari ini gewang Danny plug dibuat oleh Gibbs Lures dengan rekaan asal di Kepulauan Rhode.
D.O.A Shrimp
Umpan ini dihasilkan pada tahun 1989 oleh Mark Nichols. Dibesarkan di Gulf Coast, beliau menghabiskan banyak masa di atas bot menangkap udang dan menghabiskan masa lapangnya dengan memancing. Pengalamannya banyak membantu dalam menghasilkan D.O.A Shrimp ini. Gewang rekaan asalnya sepanjang 3 inci sangat popular sekitar tahun 1993. Dalam beberapa tahun gewang ini terjual dengan banyaknya dan sesuai digunakan di perairan di mana ikan menjadikan udang sebagai diet utama. Hari ini gewang D.O.A Shrimp datang dengan pilihan 4 warna.
Diamond Jig
Pada tahun 1929, John Schumke telah menghasilkan jig besi empat sisi yang dipanggil Bridgeport Diamond Jig. Diperbuat oleh syarikat penghasilan barangan perak, jig ini terhasil dengan prestasi tangkapan yang mengagumkan sebelum dijual kepada Bead Tackle Company. Jig ini mampu menaikkan spesies seperti bass, cod, tuna mahu pun grouper. Boleh digayakan dengan cara casting atau pun jigging menegak.
Sama ada memancing di sungai, tasik, lombong, laut mahupun kolam pancing pasti ada spesies yang tidak diingini yang gemar menghabiskan umpan yang digunakan. Di laut, spesies-spesies ini sememangnya menjengkelkan para pemancing.
Sesirat
Semua pemancing pasti bersetuju sesirat merupakan pengacau umpan nombor satu pancingan muara. Jika setakat mengutis umpan sehingga licin sekalipun tidak mengapa. Apa yang menjadi kemarahan pemancing apabila ia menelan mati kail dan bergumpal bersama perambut dan tali utama. Untuk menghapuskan lendirnya yang berbau dan menyebabkan ikan lain menjauh, terpaksalah dikorbankan mata kail, perambut dan tali utama tersebut.
Buntal
Menduduki carta di tempat kedua ialah ikan buntal. Perangai buntal lebih kurang sesirat juga. Malah ia lebih ditakuti berbanding benci kepada sesirat. Buntal bukan saja kerap menggigit tali utama dan perambut, ia juga suspek pembunuh kepada umpan hidup terutamanya udang hidup. Dengan harga udang hidup yang semakin mahal, ia tentu menyakitkan hati pemancing jika lubuk dipenuhi si buntal.
Ketam
Sama ada ketam nipah, ketam batu atau lain-lain, ia merupakan spesies mengutis umpan yang cekap dan menyakitkan hati. Sebagaimana ikan buntal, ia juga pakar mengerjakan umpan udang hidup. Jika dibiarkan lama, ia bukan saja memakan kaki udang malah sehingga mata kail menjadi kosong. Kecuali ia tercangkok pada mata kail, ia tidak lagi dianggap pengacau umpan sebaliknya satu tangkapan bonus.
Ulat bulu
Sama ada di muara, pesisir pantai atau perairan cetek, anda akan berhadapan dengan spesies bernama ulat bulu. Selain bijak menghabiskan umpan, ia kadangkala tercangkuk juga pada mata kail. Apabila dinaikkan, pemancing perlu berhati hati ketika menanggalkan dari mata kail kerana spesies ini mempunyai bulu-bulu beracun dan sekiranya terkena pada anggota badan boleh menyebabkan kegatalan.
Kitang
Ikan yang bergerak secara berkumpulan ini dianggap sebagai spesies pengacau umpan, khusus bagi pemancing yang tidak menjadikannya sebagai ikan sasaran. Ia sememangnya gemar mengetis umpan dengan mulutnya yang kecil. Jika menggunakan mata kail yang besar maka ia selamat dari tercangkok. Oleh yang demikian jika anda teringin untuk memancingnya juga maka gunalah mata kail yang lebih kecil.
Belangkas
Belangkas biasanya boleh ditemui di muara anak sungai kecil yang menghala ke kawasan muara. Sebagaimana ketam, ia boleh dibawa pulang dan dimakan jika tercangkok pada mata kail. Namun jika tidak tercangkok pada mata kail, ia samalah seperti spesies pengacau umpan lain yang menghabiskan umpan secara senyap.
Anak ikan
Apa saja jenis ikan termasuk ikan-ikan kecil seperti seriding merupakan pengacau umpan yang paling banyak menghabiskan umpan. Terutamanya umpan dari jenis hirisan ikan. Bagi mengelak serangan anak atau ikan-ikan kecil, sebaiknya gunalah umpan yang agak liat seperti jejari sotong kurita. Walau dikutis ia masih mampu bertahan sehingga disambar spesies sasaran.
Perumpun sarang
Selain dijadikan umpan yang mujarab, sebenarnya perumpun sarang juga tergolong dalam spesies pengacau umpan. Biasanya berada di kawasan anak sungai dan tebing yang bereba. Cuma kerjanya lebih halus berbanding ketam. Atau lebih kurang sama macam anak ketam. Biasanya dia akan meratah udang hidup secara perlahan-lahan. Kalau anda mendapati kaki udang hidup anda kudung semua, jangan tak percaya ia adalah kerja perumpun sarang.
Belukang
Merupakan ikan yang banyak berkeliaran di kawasan muara yang berselut dan berlumpur. Secara fizikalnya mempunyai mulut yang besar dan badan yang berbelang. Tabiat makan yang tidak memilih, semua umpan ikan ni sebat. Kadang-kadang telan umpan sehingga ke insang. Jika bersaiz kasar mungkin ada yang ingin membawa pulang dan memberikan sedikit hiburan ketika tercangkok umpan. Tetapi jika asyik yang bersaiz dua jari yang membaham umpan, memang menjengkelkan!
Gedema
Seperti belukang, species ini tidak mempedulikan umpan apa yang digunakan. Semua yang melekat kat mata kail akan disapu. Kalau dah ambil umpan ia biasanya akan menelan mata kail hingga ke dalam perut. Kalau dah telan, amat susah untuk mengeluarkan mata dan kadang kala pemancing terpaksa mengeluarkan perambut dan digantikan dengan mata dan perambut yang baru. Jangan tertipu dengan rupa parasnya yang seakan kerapu itu.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...