Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas pelbagai jenis spesies ikan dengan berat 30 kilogram (kg) yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan di berhampiran Teluk Karambunai, di sini, semalam.
Ia susulan penahanan empat bot pam oleh sepasukan anggota Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan di perairan terbabit berikutan maklumat daripada orang awam pada kira-kira jam 2.05 petang semalam.
Pengarah Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, berkata tiada tangkapan dibuat kerana semua awak-awak terjun ke laut dan berlari ke arah hutan sebelum meloloskan diri.
Ads
“Ketika bot Maritim Malaysia cuba menghampiri dan memintas bot pam terbabit, mereka memecut laju dan melarikan diri ke kawasan pesisir pantai berbatu di Teluk Karambunai.
“Semua awak-awak terjun ke laut dan berlari ke arah hutan sebelum meloloskan diri. Sebuah lagi sampan yang menggunakan enjin sangkut pula melarikan diri ke arah berlainan,” katanya menerusi kenyataannya di sini, hari ini.
Ads
Adam berkata, hasil pemeriksaan ke atas empat bot pam itu menemui pelbagai jenis ikan dianggarkan seberat 30kg.
“Semua bot terbabit dirampas dan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana dipercayai menangkap ikan menggunakan kaedah bom.
Ads
“Kami memandang serius terhadap aktiviti pengeboman ikan kerana ia salah di sisi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana mana individu yang didapati terbabit dalam kegiatan ini.
“Sehubungan itu, saya meminta komuniti maritim terus memberi maklumat berkenaan aktiviti pengeboman ikan. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada bilik operasi 24 jam di talian 088-387845 atau MERS 999.” katanya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Diiringi doa dan tawakal kami memancing secara santai selama 3 hari 2 malam di sekitar laut Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, Selangor.
Kami menaiki bot milik salah seorang tekong tersohor di Bagan Tengkorak iaitu Wak Jeman Sparrow. Bot beliau mempunyai keluasan 18 x 70 kaki sememangnya memberi banyak ruang untuk pemancing.
Di sebalik musim tengkujuh, tersirat rahsia di sebalik fenomena alam ini. Memandangkan sering berlakunya angin kencang dan hujan lebat di daratan.
Ia telah menyebabkan banyak pokok-pokok yang terdapat di kawasan muara sungai tumbang dan dihanyutkan ke tengah-tengah laut.
Pokok atau sampah hanyut yang digelar ‘apungan’ oleh pemancing di sekitar Tanjung Karang sebenarnya merupakan tempat yang paling sesuai untuk memancing ikan pecah periuk atau dikenali dengan nama lain iaitu ikan siakap batu. Apungan yang banyak ketika inilah yang menjadi sasaran trip kami kali ini.
Selepas bergerak keluar dari jeti Bagan Tengkorak, kami terus bergerak ke salah satu lubuk terdekat untuk sesi pemanas badan.
Kami dimaklumkan lubuk tersebut didiami oleh ikan merah bersaiz kasar. Apa yang dinyatakan oleh tekong Wak Jeman Sparrow memang benar, hanya beberapa minit melabuhkan umpan.
Set pancingan milik Firdaus Arif menerima sambaran kuat. Ikan merah bersekala 1.5kg telah berjaya dinaikan beliau.
Kemudian diikuti oleh Saiful yang menerima sambaran ikan yang sama. Kurang dari setengah jam kami berjaya menaikan beberapa ekor ikan merah dengan disusuli dengan ikan gelama.
Kemudian Tekong Wak Seman Sparrow mencadangkan supaya bergerak untuk mencari apungan yang hanyut. Dengan mudah beliau mengesan beberapa apungan berhampiran dengan lubuk pertama.
PESTA PECAH PERIUK
Semua ahli trip amat teruja apabila bot mula mendekati apungan. Beberapa saat sahaja apabila umpan mencecah air, ikan pecah periuk mula menjamah umpan. Suasana ketika itu amat syok sekali kerana ikan tersebut tidak henti-henti menjamah umpan.
Selepas puas memancing ikan pecah periuk, kami berhenti sebentar di sebuah unjam untuk mencari ikan appollo sebagai bekalan umpan pada waktu malam. Selama 2 jam kami bersantai sambil melakukan appollo, pelbagai jenis ikan berjaya diperoleh.
Selain kembung dan selar, kami juga mendapat banyak ikan cencaru dan talang pandan. Sekurang-kurangnya hasil ikan cencaru dan talang pandan yang diperolehi boleh dibuat lauk di atas bot dan selebihnya dibawa pulang.
Destinasi kami seterusnya ialah ke ‘Lubuk Kapal Kain’. Lubuk dinamakan sempena sebuah kapal yang mengangkut kain dan baju bundle yang karam di situ.
Ujar tekong lagi, lokasi ini terkenal dengan ikan jenahak dan ikan gerut-gerut. Perjalanan ke sana mengambil masa sejam setengah. Cuaca juga menunjukkan tanda-tanda yang baik.
PANCINGAN MALAM
Selesai makan malam yang disediakan oleh Chef PT, kami akhirnya tiba di lubuk yang di maksudkan. Air kelihatan amat laju di dasar dan memberi kesukaran kepada ahli yang menggunakan set manual.
Manakan tidak, batu saiz 24 pun masih hanyut jauh dibawa arus. Beberapa kali juga saya lihat tekong Wak Jeman cuba untuk membetulkan posisi bot yang terpesong ditolak arus.
Walupun begitu, hentian kami di sini tidak sia-sia. Beberapa ekor ikan gerut-gerut bersaiz kasar banyak dinaikkan.
Faizal juga amat bertuah kerana berjaya memperolehi satu-satunya ikan jenahak dalam trip kali ini. Namun menjelang subuh suasana menjadi sepi. Hanya ikan gelama sahaja sudi melayan kami.
Hari kedua kami ditemani hujan lebat dan angin yang kuat. Hujan mula turun selepas menjelangnya waktu subuh.
Aktiviti untuk menjejak apungan telah menjadi sukar memandangkan jarak penglihatan tidak begitu jelas. Kami hanya mampu bertahan dan berharap semuanya selamat.
Hujan masih tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan berhenti, Tekong cuba untuk bergerak lebih jauh untuk mengelak fenomena alam ini. Memang azab kami menahan gelora ombak dan angin di atas bot.
Kawasan perairan ini pula tiada pula kawasan atau pulau kecil untuk di jadikan perlindungan. Aktiviti tidur lebih afdal ketika ini.
Kebanyakan ahli-ahli trip mengambil kesempatan untuk tidur dan berehat. Mana yang tahan, mereka sekali sekala mencuba juga untuk memancing.
KURAU SELEPAS RIBUT
Dari awal pagi sampai petang kami dilambung ombak. Tetapi semua ini tidak mematahkan semangat kami. Apa yang dibanggakan tiada seorang pun yang mabuk ketika bot dilambung ombak sepanjang hujan ribut.
Selepas hujan reda pada waktu petang, tekong membawa kami menjengah Lubuk Alor Parit. Ikan sasaran di lubuk ini ialah ikan kurau.
Lubuk ini juga saya dapati lebih dalam dari lubuk sebelum ini. Kedalaman lebih 80 meter serta penggunaan batu ladung saiz 32 amat menyukarkan kaki manual.
Berkat kesabaran kami, beberapa ekor gerut-gerut dapat kami perolehi. Selain itu ikan gelama masih mendominasi tangkapan kami ketika berada di Lubuk Alor Parit ini.
Secara tiba-tiba rod pancing milik Halim Hussin ditarik kasar oleh ikan. Set milik beliau iaitu rod JM Power Spell Pe1.5- 4 dan kekili Daiwa Saltiga 3500 series berserta tali utama Daiwa Dendoh Braided 35lb menjerit nyaring ketika ditarik ikan.
Perlawanan tampak sukar memandangkan penggunaan batu ladung yang berat serta keadaan dasar laut yang berarus laju.
Hampir 30 minit Halim melayan ikan, akhirnya seekor ikan kurau timbul di permukaan air menandakan ikan tersebut telah menyerah kalah.
Halim bersorak gembira kerana ini merupakan lesen kurau pertama dalam hidupnya. Ikan tersebut ditimbang dan angka 5.8kg menunjukkan berat ikan tersebut.
Kemudian kami menyambung semula aktiviti memancing dengan harapan dapat menaikkan ikan kurau sebesar ikan kurau milik Halim.
Tetapi harapan kami punah kerana selepas 1 jam Halim memperoleh ikan Kurau, hujan lebat turun kembali disertai angin kuat sehingga tengah malam.
KEMBALI PULANG
Selepas sarapan pagi, tekong mencadangkan supaya pulang ke jeti memandangkan keadaan cuaca yang belum menunjukkan tanda akan pulih. Cadangan tekong disambut baik oleh kami.
Sepanjang perjalanan pulang, kami membahagikan hasil tangkapan sama rata kepada semua ahli. Saya tidak menyangka, rupa-rupanya banyak juga hasil yang kami peroleh kerana jika dikira balik, kami hanya dapat memancing selama sehari semalam sahaja dan selebih harinya kami telah dilambung hujan dan ombak.
Kakap merah merupakan ikan yang bersifat pemalu tetapi sangat agresif meragut umpan dan daya lawannya yang hebat sering menjadi buruan dan trofi kaki pancing yang berlabuh di pelantar minyak atau gas pada waktu malam. Ikan ini sangat sukar dijerat dan jarang dapat dipancing kerana tabiatnya yang suka menghuni kawasan tiang yang dipenuhi teritip dasar pelantar.
Kejadian ini berlaku sekitar jam 1.00 pagi setelah penat berjigging. Empat orang daripada kami berehat di luar kabin sambil baring-baring. Salah seorang awak-awak bot memasang set pancingan dasar (set kekili elektrik) dengan menggunakan perambut tanduk berumpankan ikan seekor, dilabuhkan ke dasar kemudian diangkat dua hingga tiga depa dari dasar agar umpan tergantung.
Beliau kemudian meninggalkan rod berikat dan menyambung semula kerja menguruskan ikan hasil jigging untuk disimpan dan membasuh lantai bot penuh lendir ikan.
Sejurus kemudian secara tiba-tiba joran pancingan dasar tersebut melentur. Loceng yang dipasang pada hujung berkerincing seperti direntap ikan bersaiz kasar. Terkejut kami satu bot dibuatnya. Pertarungan agak sengit dan akhirnya mangsa pun timbul di permukaan air.
“Mak janda dah ada kat bawah ni!” Awak-awak bot menjerit.
Mak janda?! Kakap merah la maknanya tu. Kami yang tengah tidur-tidur ayam terus bangkit dan tanpa membuang masa terus melompat ke spot masing-masing dan setting peralatan pancingan dasar. Dua belah kiri dan dua belah kanan bot.
Tidak sampai satu jam satu persatu joran kami direntap penghuni dasar dan bermulalah kisah menggasak kakap merah. 12 ekor kakap merah berjaya didaratkan. Jangka masa situasi ini berlaku lebih kurang dua hingga tiga jam sahaja. Kemudian suasana kembali menjadi sunyi sepi sehinggalah terbit fajar.
Menurut tekong bot, Azlan Salleh atau lebih dikenali sebagai Pok Lan, kebiasaannya pada satu-satu trip pemancing hanya mampu mendaratkan ikan kakap merah ini dalam satu hingga ekor sahaja.
Tetapi kali ini group kami bertuah kerana berjaya mendaratkan berbelas ekor kakap merah bersaiz kasar. Andai kata tiada kejadian rabut, putus atau terlucut mungkin lebih lagi dapat diangkut keluar dari lubuk kakap merah tersebut.
Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, setiap kali berlangsungnya acara cabaran memancing spesies ikan berparuh atau Royal Pahang Bilfish International Challenge
(RPBIC) anjuran Kerajaan Negeri Pahang melalui Kementerian Pelancongan Malaysia (Motac) Pahang, saya akan hadir selaku wakil rakan media memenuhi undangan pihak penganjur.
Seperti mana tahun-tahun sebelumnya juga saya bukan sekadar hadir untuk membuat liputan acara, bahkan juga merangkap juru pancing kepada dif-dif jemputan serta rakan media lain yang turut sama turun ke laut mencari pengalaman memancing ikan layaran.
Bagi RPBIC 2017 lalu, pada hari pertama bagi acara yang berlangsung selama dua hari, saya perlu terjemahkan pengalaman memancing ikan layaran kepada Pengarah Motac Pahang, Datuk Edros Yahaya bersama agensi kerajaan lain dan juga rakan media.
Setelah mendapatkan sedikit umpan ikan hidup, bot Lady Herliena yang dikendalikan oleh tekong yang membahasakan dirinya Angah segera ke kawasan yang tidak jauh dengan bot
kumpulan peserta yang dipercayai adanya kelibat ikan layaran berlegar-legar. Sambil berhanyut menanti layaran menyambar umpan, kami memancing ikan dasar seperti kerisi
dan juga mencandat sotong. Apabila ada sotong torak kasar yang berjaya dipancing, saya segera menjadikannya sebagai umpan.
Ternyata pilihan saya tepat pada masanya berikutan tanpa menunggu lama, kekili menegak yang saya gunakan menjerit nyaring apabila umpan dilarikan layaran.
Setelah melakukan hook up, saya segera menyerahkan set pancing kepada Edros namun pertarungan pertama menyebelahi layaran apabila berjaya memutuskan perambut.
Agak mengejutkan juga bagaimana leader 60lb boleh diputuskan oleh layaran dengan begitu mudah.
Sebelum ini saya hanya memakai leader 50lb sahaja tetapi tidak pernah pula putus umpama dipotong tenggiri.
Lewat petang, umpan ikan kerisi yang saya gunakan mengena. Kali ini Edros berpeluang bertarung lebih lama. Namun keputusannya tetap juga berpihak kepada layaran.
Hanya pada kali ini barulah saya sedar di mana kesilapan yang berlaku. Rupanya masalah teknikal pada kekili multiplier yang digunakan.
Tali tidak dapat keluar dengan lancar dan tersekat pada bahagian tertentu yang menyebabkan perambut putus.
Hari Kedua:
Hari kedua, saya keluar ke laut Rompin dengan bot, wakil agensi kerajaan dan wakil media lain pula. Bot Kuda Laut 1 yang dinakhodai oleh Along dan tetamu VIP pula amat sinonim
dengan acara RPBIC dan sudah banyak memancing serta mendaratkan ikan layaran iaitu Datuk Seri Maznah Mazlan.
Pada hari kedua ini saya tidak guna lagi kekili multiplier yang menyebabkan dua kegagalan mendaratkan layaran. Saya beralih menggunakan kekili mendatar atau spinning reel saja.
Umpan hidup agak mudah dicari pada hari kedua ini namun layaran pula seperti sukar untuk dikesan. Bila umpan mudah dicari, layaran pula yang susah dikesan.
Mungkin disebabkan stok makanan yang banyak, umpan pada mata kail seperti tidak diendahkannya.
Setelah beberapa menukar umpan hidup yang lebih segar, akhirnya mengena juga. Mungkin disebabkan faktor air mati tanpa arus, ikan layaran tidak memecut jauh sebaliknya bertindak berputar mengelilingi bot seumpama tabiat aruan tasik.
Situasi sebegini sebenarnya lebih sukar untuk dikawal. Ia seperti kehilangan keseronokan sebenar bertarung dengan layaran.
Setelah berhempas pulas mengawal tindakan luar biasa layaran itu barulah saya serahkan joran kepada Datuk Seri Maznah. Namun beliau menolak. Mungkin melihat kesulitan yang saya alami, beliau meminta saya menyelesaikan tugas tersebut.
Beliau sebaliknya mengambil keputusan untuk terus merakam pertarungan tersebut dan meminta saya berusaha sebaik mungkin bagi menyempurnakan rakamannya itu.
Usai melepaskan kembali layaran ke laut dengan sempurna, kami tidak lagi meneruskan pemburuan layaran. Layaran tunggal itu dianggap mencapai.
Seterusnya kami bertukar arah ke sesi pancingan santai. Mencari ikan-ikan lauk sambil memasang umpan untuk memerangkap tenggiri sebagai tangkapan bonus.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...