Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas pelbagai jenis spesies ikan dengan berat 30 kilogram (kg) yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan di berhampiran Teluk Karambunai, di sini, semalam.
Ia susulan penahanan empat bot pam oleh sepasukan anggota Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan di perairan terbabit berikutan maklumat daripada orang awam pada kira-kira jam 2.05 petang semalam.
Pengarah Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, berkata tiada tangkapan dibuat kerana semua awak-awak terjun ke laut dan berlari ke arah hutan sebelum meloloskan diri.
Ads
“Ketika bot Maritim Malaysia cuba menghampiri dan memintas bot pam terbabit, mereka memecut laju dan melarikan diri ke kawasan pesisir pantai berbatu di Teluk Karambunai.
“Semua awak-awak terjun ke laut dan berlari ke arah hutan sebelum meloloskan diri. Sebuah lagi sampan yang menggunakan enjin sangkut pula melarikan diri ke arah berlainan,” katanya menerusi kenyataannya di sini, hari ini.
Ads
Adam berkata, hasil pemeriksaan ke atas empat bot pam itu menemui pelbagai jenis ikan dianggarkan seberat 30kg.
“Semua bot terbabit dirampas dan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana dipercayai menangkap ikan menggunakan kaedah bom.
Ads
“Kami memandang serius terhadap aktiviti pengeboman ikan kerana ia salah di sisi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana mana individu yang didapati terbabit dalam kegiatan ini.
“Sehubungan itu, saya meminta komuniti maritim terus memberi maklumat berkenaan aktiviti pengeboman ikan. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada bilik operasi 24 jam di talian 088-387845 atau MERS 999.” katanya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Pelbagai acara telah disusun oleh Prepat Resort Agro Farm (M) Sdn Bhd dalam penganjuran International Agro Farm 2018, bermula pada 29 Oktober hingga 4 November nanti.
Di antaranya adalah khemah-khemah jualan sebanyak 60 khemah dan 30 food truck, acara sukan lasak ATV, bot berhias, aktiviti menunggang kuda, zumba dan senamrobik serta petunjukan bunga api di setiap malam selama 7 hari berturut-turut.
Beberapa acara pertandingan juga telah disusun seperti pertandingan memancing yang dijangka akan disertai lebih 700 orang pemancing.
Juara bagi pertandingan memancing ini akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 18,000.00.
Selain daripada itu pertandingan karaoke, pertandingan memasak dan gubahan, serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak juga akan dijalankan.
Sebagai simbolik pertandingan memancing yang akan dijalankan pada 3 November nanti, majlis pelepasan ikan air tawar di tasik Taman Rekreasi Sementa, Perpat Resort Agro Farm
(M) Sdn Bhd telah disempurnakan oleh YB Puan Dr. Daroyah Alwi, Ahli Dewan Negeri Adun Sementa diiringi oleh Pengarah Urusan Perpat Resort Agro Farm (M) Sdn Bhd, Dato’ Murad Khalib.
Bagi penggemar aktiviti memancing yang berminat untuk menyertai pertandingan ini nanti bolehlah menyediakan umpan ikan rohu berikutan kesemua spesies yang dilepaskan adalah spesies ikan rohu dalam anggaran berat 1-3 kilogram.
Namun itu tidaklah memberi makna ikan rohu terberat akan muncul sebagai juara berikutan sudah sekian lama spesies ikan lain yang lebih besar seperti ikan patin mendiami tasik tersebut.
Ekoran kegagalan trip ke Burma Banks, gara-gara dipukul ribut dua malam berturut-turut di Laut Andaman, saya cuba meracun emosi pemilik bot Sea Splash, Dato Shukri untuk mengadakan trip memancing santai ke Tukun Perak pula.
Menyedari pemilik bot mewah itu gemar dengan aktiviti sport fishing maka tidak jemu-jemu saya mengemas kini hasil tangkapan di Pulau Kedah atau Tukun Perak itu di dalam grup whatsapp.
Tak cukup dengan itu saya cadangkan lagi beberapa tarikh yang sesuai untuk memancing. Tak disangka pula umpan yang saya taburkan menerima sambaran!
Setelah berehat hampir sebulan setengah di dockyard, selepas kembali dari Laut Andaman, Sea Splash kembali bergerak keluar dari muara Kuala Kedah.
Namun kali ini Sea Splash kembali ke laut lepas dengan pelbagai pembaharuan. Segala kekurangan dan kelemahan pada Sea Splash telah diperbaiki dan dinaik taraf.
Lubuk Tukun Perak
Bagi kejayaan dan kelancaran trip singkat ini, Dato Shukri telah mengundang beberapa orang tekong tersohor dari Kuala Kedah yang berpengalaman luas dengan lubuk-lubuk di sekitar Tukun Perak dan beberapa orang juruteknik yang mahir membaik pulih enjin dan pendawaian.
Walaupun kesemua ahli trip percubaan pertama ke Tukun Perak melebihi 20 orang, namun ruang di Sea Splash masih selesa bagi menampungnya.
Sekitar jam 5 pagi barulah Sea Splash dapat berlepas ke Tukun Perak. Dengan jarak melebihi 80 batu nautika dari Kuala Kedah, dan dengan kelajuan 7-8 knot ia memakan masa lebih dari 10 jam untuk sampai.
Hampir separuh perjalanan bot terpaksa berlabuh di satu kawasan unjam berikutan mengalami sedikit masalah teknikal.
Nampaknya gangguan teknikal ketika ke Burma Banks dahulu seperti mahu berulang kembali.
Sementara menanti juruteknik membaik pulih masalah yang dihadapi, dapatlah juga kami membuat sedikit warm up dengan berjigging.
Namun lokasi tersebut bukanlah lubuk yang berpotensi. Tiada seekor ikan pun yang berjaya dinaikkan.
Jam 6 petang barulah kami tiba ke Tukun Perak. Sebaik saja sauh bot dilabuhkan dengan jarak lebih 200 meter dari sisi pulau, kelihatan gerombolan gerepoh atau GT boiling di bahagian hadapan pulau. Apa boleh buat… boleh tengok sajalah.
Memandangkan bot sudah dilabuhkan, maka aktiviti memancing segera dilakukan.
Ada yang melabuhkan umpan dengan teknik dasar, ada yang berjigging dan saya pula bersama dua orang pemancing yang lain mengambil tempat di platform bahagian atas bot untuk popping.
Dengan harapan gerombolan GT dengan saiz kasar itu bergerak ke arah kami.
Tidak menunggu lama rakan yang memancing dengan cara jigging dan bottom menerima habuan masing-masing apabila umpan dan jig disambar tongkol dengan saiz anggaran 5-8 kilogram.
Melihat pada hasil tersebut timbul pula rasa kesal kerana memilih untuk popping.
Ketika hampir berputus asa dengan usaha popping itu dua orang rakan yang turut popping di bahagian bawah bot menerima habuan berpenat lelah.
Namun kedua-duanya berpihak kepada GT apabila rabut ketika sedang bertarung. Sementara saya pula hanya sempat merasa sambaran namun tidak lekat.
Setelah itu kelibat GT hilang begitu saja.
Tukun Perak Waktu Malam
Bila malam menjelma saya lebih banyak jadi pemerhati kerana kesempitan ruang.
Pemancing-pemancing bottom mengambil tempat masing-masing.
Sesekali saja menyelit dengan mengaplikasikan teknik slow pitch jigging. ‘
Itu pun tak lama kerana arus agak laju yang menyebabkan jig digunakan mengganggu tali pancing pemancing lain.
Tambah pula struktur dasar berbatu dan berkarang membuatkan saya mengambil keputusan untuk gantung joran selepas seketul jig berkubur begitu saja.
Setelah mengisi perut saya terus masuk tidur sehinggalah terjaga sekitar jam 3 pagi apabila terdengar keriuhan pemancing mendaratkan ikan.
Geram pula bila melihat ada pemancing yang berjaya mendaratkan ikan idaman jigging perlahan saya iaitu siakap merah.
Melihat pada lubuk yang agak berpotensi saya turut sama memancing dasar menggunakan set pancing jigging perlahan terbit matahari.
Namun langsung tidak menerima sebarang getuan.
GT Hilang Entah Ke Mana
Apabila matahari mula menampakkan dirinya, salah seorang tekong mengambil keputusan untuk berhanyut mengelilingi pulau.
Ia cukup menggembirakan kami para pengamal sport fishing. Keputusan yang bagus untuk mencari GT dengan aksi popping.
Tekong yang berpengalaman itu merapati tebing pulang pada jarak yang selamat. Selepas dua kali mengelilingi pulau tanpa sebarang hasil, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menamatkan sesi memancing di Tukun Perak ini dan bergerak ke Pulau Payar dan memancing di tuas-tuas kepunyaan mereka.
Memancing dengan teknik mengilat adalah salah satu seni dalam teknik memancing masa kini. Kelebihan teknik ini tentunya pemancing tidak perlu bersusah payah mencari atau membeli umpan hidup, cukup sekadar memiliki gewang atau sesudu untuk tujuan ini. Selebihnya perlu rajin mencari dan mengkaji lokasi sasaran, keadaan air, waktu yang tepat dan keseimbangan peralatan dengan ikan buruan.
Selepas beberapa siri perbincangan, saya, adik saya Mat Salleh, Asri dan adiknya Ayim, bercadang ke lokasi kegemaran kami yang digelar ‘Lubuk Bawah Kolong’ untuk menduga penghuninya.
Awal pagi tatkala matahari baru menjengah memancarkan sinarnya, kami berempat menyusuri laluan estet getah dan kelapa sawit ke lokasi yang terletak kira-kira 8 km dari rumah saya dengan motosikal masing-masing.
Sampai sahaja di lubuk yang dikenal pasti, peralatan segera dipersiapkan sambil mata meliar mengesan sebarang atau cakupan daripada sebarau yang menyambar anak-anak ikan. Lantas bersimpang siurlah gewang dan besi sesudu menerjah spot yang difikirkan berpotensi menghasilkan sesuatu.
Selepas beberapa percubaan, rezeki pertama berpihak kepada Ayim apabila lontaran sesudu Seahawk nya disambut sebaik sahaja mencecah air. Gandingan set mengilat kelas sederhana ringannya tiada masalah untuk mengekang larian mangsa dan beberapa minit kemudian seekor sebarau berskala 1.2 kilogram berjaya didaratkan.
Dalam pada itu lontaran gewang saya dan juga sesudu Salleh disergap sesuatu hampir serentak. Walau bagaimanapun mangsa di hujung tali saya berjaya melepaskan diri dan meninggalkan mata tiga yang terkangkang dikerjakannya.
Manakala Salleh terus melayan tarikan seekor lagi sebarau yang akhirnya berjaya dihela naik. Agak kecil sedikit kira-kira 600 gram yang kemudiannya dilepaskan kembali.
Tiba-tiba kedengaran drag kekili Asri berbunyi akibat sambaran sesuatu di bawah air. Asakan yang diterima agak hebat juga menyebabkan hujung jorannya melengkung menyentuh permukaan sungai.
Dengan berhati-hati Asri mengawal larian mangsa agar tidak terus membawa tali ke struktur berkayu di dasar sungai.
Salleh segera menghulurkan bantuan mendapatkan sebarau berskala 1.8 kilogram yang akhirnya terdampar kepenatan di gigi air. Terpancar senyuman kepuasan pemancingnya dengan hasil yang agak kasar ini.
Walaupun jam baru pukul 9.30 pagi, kami membuat keputusan menghentikan pemburuan kerana keadaan air sungai yang mulai bertukar kepada warna teh susu akibat kerja-kerja mengorek pasir haram di bahagian hulu sungai.
Kami pulang selepas tiada lagi minat sebarau mengejar sesudu atau gelekan gewang yang dipersembahkan. Walau bagaimanapun, kami bersyukur dengan rezeki yang diperolehi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...