Sebelum bertolak, pastikan semua peralatan memancing anda di kemas sebaik mungkin di dalam kotak khas.
Pastikan setiap mata kail, perambut, gewang, jig, kabel kekili elektrik dan alatan memancing lain dimasukkan dengan kemas ke dalam beg untuk dibawa masuk ke dalam muatan kargo.
Sebarang kekili dan kekili elektrik disarankan supaya letakkan di dalam beg galas dan dibawa masuk bersama di dalam kapal terbang supaya mengelakkan daripada hilang dan rosak jika di letakkan ke dalam muatan kargo.
Sila periksa sekali lagi peralatan anda, terutama barang yang dianggap berbahaya tidak dimasukkan sekali di dalam beg pakaian anda, walaupun satu pek mata kail. Ini kerana bila diimbas atau scan, alarm akan berbunyi dan barang anda pasti tidak dibenarkan masuk.
Ads
Setiap rod hendaklah dimasukkan dengan kemas ke dalam bazooka untuk mengelakkan daripada rod patah. Pastikan bazooka di kunci kemas sebelum dihantar ke muatan kargo.
Penting bagi setiap kotak, bazooka diletakkan sticker mudah pecah, bagi mengelakkan pekerja kargo mengenal pasti barang biasa atau mudah pecah.
Ads
Pastikan setiap pemancing mengambil muatan kargo sekurang-kurangnya 20kg seorang semasa membeli tiket kapal terbang.
Bermakna jika ahli keseluruhan seramai 10 orang, trip tersebut mempunyai 200kg muatan barang-barang yang boleh dimuatkan ke dalam kargo pergi dan balik Caj kargo akan
dikenakan caj yang tinggi (anggaran RM30 per kg) di lapangan terbang jika terdapat lebihan kargo (bergantung pada caj semasa)
Sila patuh kepada prosedur yang telah ditetapkan ketika check-in dan semasa melalui pemeriksaan imigresen di lapangan terbang.
Ads
Bila tamat sesi memancing, lakukan perkara yang sama dan untuk hasil tangkapan, jika di Kuching, biasanya, tekong akan menyiapkan segala-galanya, iaitu ikan akan di packing terus ke dalam kotak polisterin dan dihantar terus ke lapangan terbang.
Cara terbaik adalah, rujuk kepada rakan yang pernah pergi trip memancing menaiki kapal terbang untuk mengetahui lebih lanjut.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan patin merupakan ikan pancingan air yang tawar paling popular di Malaysia.
Kebanyakan pemancing sukan tertumpu kepada kolam pancing komersial untuk merasai tentangan kekuatan ikan ini.
Selain kolam pancing komersial, sungai-sungai, lombong dan tasik juga menjadi antara lokasi tumpuan bagi pemancing di Malaysia, namun biasanya tangkapan di lokasi sebegini untuk dibawa pulang.
Bagi pemancing, ikan patin dengan saiz sekitar 6 kg merupakan saiz yang mampu memberikan tentangan kepada kaki pancing.
Sementara ikan patin yang melebihi saiz belasan kilogram sudah tidak memberi tentang yang betul-betul sengit.
Sementara spesies yang paling menjadi impian kaki pancing pastilah spesies Pangasionodon gigas atau Mekong giant catfish yang kita gelarkan patin Mekong kerana kekuatan dan saiz mega sebagai ikan trofi.
Pancingan patin Mekong sangat popular di kolam pancing komersial di Thailand.
Hari ini, ramai pengusaha kolam pancing di Malaysia sanggup melabur duit membeli dan membawa masuk spesies mega ini ke dalam kolam pancing mereka sebagai tarikan kepada kaki pancing.
Jadi, pemancing di Malaysia tidak perlu berhabis wang ke Thailand untuk mendapatkan lesen patin mekong kerana banyak kolam pancing di negara kita turut menawarkan spesies tersebut.
TEKNIK UMPAN
Terdapat banyak teknik pancingan dan umpan bagi memancing ikan patin. Teknik pancingan dan umpan ini berbeza bergantung kepada lokasi anda memancing spesies ini.
Patin liar (sungai/Lombong)
Bagi patin liar seperti sungai, umpan semula jadi lebih efektif kerana tabiat pemakanan patin liar berbeza dengan patin ternak.
Antara umpan popular patin liar termasuklah ubi kayu, buah sawit dan buah ara. Namun begitu, umpan seperti roti dan adunan atau campuran palet dan dedak masih boleh digunakan di sungai berarus perlahan, lombong atau tasik.
Patin ternak (kolam pancing komersial)
Bagi pancingan kolam pancing komersial, ikan patin di dalam kolam telah diajar memakan diet seperti dedak atau palet.
Jadi umpan seperti palet, dedak atau adunan kedua-duanya amat berkesan ditambah pula dengan pelbagai perisa pilihan seperti pandan, pisang, strawberi dan lain-lain.
Selain palet dan dedak, roti juga merupakan umpan ampuh untuk menjerat ikan patin di kolam pancing komersial.
Apa pun, rahsia untuk pancingan di kolam pancing komersial ialah anda perlu ringan mulut untuk bertanyakan tip dan panduan umpan dan teknik kepada pengusaha kolam atau pun pemancing yang lebih arif dan sering memancing di kolam tersebut.
Selain itu anda juga perlu rajin dalam mencuba pelbagai resipi adunan umpan ketika memancing, mana tahu umpan yang anda adunkan itu meletop dan asyik pacakkk!
TRIVIA
Bagi anda yang mahukan tip bagaimana membancuh umpan untuk pancingan patin kolam, apa kata anda layari portal memancing nombor satu iaitu www.umpan.com.my dan di
dalam slot UMPANPEDIA banyak dipertontonkan cara-cara untuk menghasilkan umpan memancing patin.
Dalam hobi memancing, terdapat banyak petua dan kepercayaan yang diamalkan oleh ramai kaki pancing. Begitu juga dengan petua pantang larang yang sukar untuk diterima oleh lojik akal. Ada juga yang tidak ambil kisah dengan perkara tersebut dan ada yang percaya. Berikut antara pantang larang yang korang boleh nilaikan sendiri.
Tong sampah
Dilarang meletakkan barang pancing terutama batang joran berhampiran atau bersebelahan tong sampah dan penyapu. Ia dikatakan mendatangkan `sial`dan dipercayai jika menggunakan batang joran berkenaan tidak akan dapat ikan.
Kunyit & tepung
Jika memancing di sungai yang dipercayai ada buaya, jangan gunakan umpan tepung yang digaul dengan kunyit. Buaya tidak suka bau kunyit dan ia boleh ‘mengamuk’ dan ini boleh mendatangkan bahaya kepada pemancing.
Sesat di hutan
Jika tersesat di dalam hutan semasa memancing dan tidak menjumpai jalan pulang, ada petua yang agak ngeri iaitu telanjang dan buang air kecil. Selepas itu, ambil tanah di antara tapak kaki anda dengan tempat membuang air kecil tadi dan bawalah sepanjang jalan. Khabarnya jalan pulang akan ditemui.
Pemakaian kasut
Apabila memancing di dalam sampan atau bot jangan pakai selipar atau kasut. Ia seperti hendak masuk rumah sendiri dan juga rumah orang lain. Ia seperti tanda hormat dan adab. Ada juga beranggapan benda-benda di bawah (dalam air) tidak suka kepala mereka dipijak dengan selipar atau kasut yang kotor.
Langkah joran
Petua ini menjadi ikutan ramai pemancing hingga ke hari ini. Pantang larang agar batang pancing tidak dilangkah ada kalanya menjadi satu medan pertengkaran sesama rakan pancing. Apa yang sering dikatakan adalah batang pancing akan ‘suwei’ apabila kena langkah dan hasil tangkapan akan meleset.
Meludah umpan
Petua ini turut menjadi amalan hingga kini. Ada yang melakukan pada umpan yang pertama di dalam aktiviti memancing dan ada yang sentiasa meludah setiap kali menukar umpan baru. Ada yang beranggapan untuk isyarat membuang ‘suwei’ dan ada yang kata sebagai ‘daya penarik’ ikan atau udang.
Patah balik
Dilarang patah balik ke rumah sekiranya ada tertinggal barang. Ada yang beranggapan akan berlaku perkara tidak baik dan juga tidak akan dapat hasil tangkapan.
Sebut sahaja Taman Negeri Perak atau Royal Belum, tergambar satu panorama indah mengenai sebuah landskap hutan semula jadi yang indah. Ia diberi pengiktirafan sebagai ‘Diraja’ oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2003. Seterusnya ia diwartakan di bawah Enakmen perbadanan Taman negeri Perak 2001 oleh kerajaan Perak pada 17 April 2007.
Kawasan yang diwartakan seluas 117,500 hektar. Dianggarkan, Royal Belum memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan termasuk sungai serta tasik sebagai habitat. Ia juga dikenal pasti sebagai Kawasan Alam Sekitar Sensitif di bawah Pelan Fizikal Malaysia 2005 kerana menjadi tempat perlindungan gajah, harimau belang, badak sumbu dan tapir.
Sebagai lembah Hutan Tropika dara terbesar dan tertua di Semenanjung dan berusia lebih 130 juta tahun , ia lokasi penting kawasan perlindungan burung, terutama burung enggang. Namun, tidak mudah atau sewenang-wenangnya untuk memasuki Royal Belum melainkan perlu memohon permit dahulu dari Perbadanan Taman Negeri Perak sebelum memasukinya.
Caranya, jika untuk tujuan memancing, minta sahaja guide atau tekong menguruskan permitnya. Manakala untuk tujuan santai boleh minta pengurusan hotel yang terdapat sini membuatnya untuk anda dan selepas mendaftar masuk, pihak berkuasa akan merekodkan bila anda masuk dan keluar.
Lubuk memancing Bagi kaki pancing tegar, Royal Belum memang dianggap lubuk terbaik. Bahkan daripada susunan ranking lokasi pancingan tasik di negara ini, ada yang berani mengatakan, Royal Belum atau disebut juga Temenggor Utara lebih baik dari Tasik Kenyir kerana populasi ikannya seperti sebarau, toman, kelah, kejor, tengas, temoleh, kalui, baung masih banyak.
Untuk kaki casting tegar yang ingin mencari sebarau, toman, pilihan terbaik ke Sungai Tiang, Papan, Kenarong dan Sungai Kejar. Servis yang terbaik ialah menggunakan khidmat speedboat dan tidur di wakaf yang telah disediakan. Manakala untuk pancingan santai bersama kaum keluarga atau rakan-rakan, pilihan terbaik adalah menyewa boathouse sambil menyusuri tasik ini sehinggalah ke Sungai Kejar.
Bagi kaki pancing berhasrat mencari kelah, trekking ke hulu sungai adalah terbaik. Lokasinya ialah berjalan kaki dari tapak perkhemahan Sungai Kejar, melalui Sungai Ketir, Berting, Sanghur hingga ke Sungai Laho. Purata perjalanan 4-8 jam. Semakin menghala ke hulu, semakin bertemulah anda dengan lubuk-lubuk kelah, tengas, kejor yang bisa menggetarkan tangan apabila umpan yang dilontar dilarikan ganas oleh penghuni lubuknya.
Waktu sesuai Sebenarnya Royal Belum boleh dikunjungi bila-bila masa sahaja sepanjang tahun. Apa yang penting, adalah apa target spesies yang anda sasarkan. Secara umumnya, bulan April hingga Julai dianggap waktu terbaik memancing kelah kerana ketika ini musim panas. Untuk merasai bagaimana kuatnya penangan toman Royal Belum, waktu ini juga dianggap sesuai.
Manakala musim tengkujuh, Oktober hingga Januari merupakan saat yang paling sesuai atau pesta untuk kaki casting mencari sebarau atau ikan trofi, iaitu badong kerana kumpulan ini biasanya kan lebih kerap ‘boiling’ untuk mencari makanan. Pokok pangkalnya, perlulah sentiasa berhubung dengan rakan atau tekong yang biasa di kawasan ini, terutama bila waktu ‘paling sesuai’ (kerap hujan, panas terik, air naik tinggi) atau ‘tidak sesuai’ (air tasik surut teruk, rumput telah masam, harimau bawa anak).
Teknik Memancing Di Royal Belum
Casting
Kesemua jenis aksi gewang (floating, sinking, suspending) disyorkan wajib ada dalam kotak gewang. Tapi bergantung juga dengan lokasi dan spesies yang disasarkan. Untuk yang baru berjinak dengan kaedah ini, bolehlah minta pendapat rakan kaki casting. Tidak perlu membeli gewang secara banyak dalam satu-satu masa. Sebaiknya beli sedikit demi sedikit dan beli mengikut warna dan jenis gewang ‘killer’ sahaja.
Spoon- Satu lagi item wajib ada, kerana ada masanya, sebarau memandang sepi gewang anda dan sedang boiling jauh dari speedboat. Pastikan warna-warna ‘killer’ (gold, silver) berat 7-18 gram mesti bawa.
Mengenai teknik persembahan, cubalah tanyakan otai-otai, sama ada perlu karau laju, perlahan, jerk, light jigging.
Bottom
Untuk kaki bottom, bawalah apa sahaja yang anda perlukan di sini, terutama tapa (baung), anak ikan kap, emas (baung besar, belida), cengkerik (baung, kalui), cacing tanah (baung, ikan terbul) dan anak keli (toman).
Tahukah anda?
Di sebalik nama Royal belum itu sendiri, nama Belum itu diambil daripada nama asal perkampungan Melayu, iaitu Kampung Belum Lama yang meliputi enam perkampungan kecil yang wujud sejak tahun 1952 lagi. Bahkan, belum itu sendiri sebenarnya diambil daripada bunyi yang dihasilkan oleh sejenis belalang besar berwarna hijau yang menghuni hutan ini yang mengeluarkan bunyi belum, belum, beluuummm!.
Sejarah juga pernah mencatatkan kawasan ini diwartakan sebagai kawasan hitam pada tahun 1984 kerana berlakunya ancaman pengganas komunis. Aktiviti ketenteraan dan kem tentera yang terdapat di sini berfungsi sebagai menjaga kawasan sempadan bagi menghalang sebarang aktiviti pencerobohan dan penyeludupan membawa keluar hasil hutan terutama kayu gaharu yang banyak terdapat di sini.
Sesiapa yang berhajat berkunjung ke sini untuk tujuan rekreasi, anda perlu mendapatkan permit terlebih dahulu dari Perbadanan Taman negeri Royal Belum dan perlu patuh terhadap peraturan sepanjang berada di sini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...