Di dalam industri memancing amnya dan kolam pancing komersial khususnya, sumber kewangan atau dana besar sahaja tidak menjamin keupayaan sesebuah kolam pancing komersial untuk kekal beroperasi.
Begitulah yang dibuktikan oleh seorang pemancing dan pengurus kolam memancing, Kolam Memancing Bezz Aquaculture, yang terletak di Guar Jentik, Perlis. Berbekalkan sedikit ilmu akuakultur sepanjang bekerja dengan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian atau MARDI dan menjadi seorang pemancing kolam selama beberapa tahun Rohairy Rohim, 32 berupaya ‘menghidupkan’ kembali kolam pancing air tawar komersial yang pernah ditinggalkan oleh beberapa orang pengusaha sebelumnya.
“Saya masih seorang pemancing kolam, jadi saya tahu apa yang diinginkan oleh pemancing kolam kerana pemancing kolam ini ada pelbagai ragam dan kemahuan,” ujar Rohairy yang turut dikenali sebagai Bezz semenjak dari zaman persekolahan.
IKLAN
Berikutan daripada itulah Rohairy bukan sekadar menghidupkan kembali kolam pancing tersebut sebaliknya berjaya memeriahkannya berbanding pengurusan-pengurusan terdahulu.
Semenjak mengambil alih pengurusan kolam pada Mac 2015 yang lalu, Kolam Memancing Bezz Aquaculture kini menempatkan lebih 18 tan ikan pelbagai spesies dan didominasi oleh spesies tempatan. Selain dihuni oleh spesies patin tempatan paling berat sehingga 17 kilogram, ia turut dikongsi oleh spesies patin Mekong melebihi berat 20 kg sebanyak 13 ekor.
IKLAN
Spesies lain seperti tongsan, pacu dan khusus peminat pancingan rohu turut tidak diketepikan. Kolam pancing berkeluasan sekitar 100 meter x 40 meter ini di dalam kawasan kebun getah ini memiliki kedalaman tidak sekata antara 6 hingga 10 kaki.
Konsep pancingan di Kolam Memancing Bezz Aquaculture amat ringkas dan mesra pemancing. Dengan yuran bayaran memancing RM 25 untuk tempoh 3 jam pertama dan RM 7 untuk tambahan setiap jam berikutnya.
IKLAN
Para boleh pemancing boleh berkunjung ke sini setiap hari bermula jam 9 pagi hingga kecuali pada hari Jumaat, kolam mula beroperasi pada jam 3 petang hingga 3 pagi. Selain menyediakan ranking ikan terberat dua minggu sekali, pihak kolam turut menyediakan hadiah khas bagi spesies tertentu yang berjaya didaratkan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Satu komplot casting yang dianggap paling ramai disertai oleh ahli MAG dan rakan lain telah berlangsung di sebuah tasik buatan manusia milik Mukah Power Generation (MPG).
Tiba hari yang dinantikan, seawal jam 6 pagi, saya telah terpacak di depan gate waterpump MPG seperti mana yang telah dijanjikan. Memandangkan masih awal dan belum ada ahli komplot yang sampai, saya telah mencapai set ringan untuk mengilat bulan di sebuah tali air bersebelahan dengan tempat kereta saya parking. Beberapa sambaran diterima dari bulan, tetapi rabut.
Setelah menukar gewang ke Rapala Ultra Light Minnow 4cm FireTiger, seekor ikan bulan dapat didaratkan. Selepas mengambil gambar, ikan tersebut berjaya dilepaskan semula dengan selamat ke habitat asalnya.
Rombongan ini tiba disertai oleh beberapa orang rakan caster dari Bintulu. Setelah bersalaman dan berkenalan, kami pun terus mencapai joran yang telah tersedia untuk mengilat sang bulan yang makin galak bermain air sementara menunggu rakan caster dari Kuching dan Sibu datang.
Setelah sebilangan besar para ahli komplot pada hari tersebut hadir, maka sedikit penerangan telah saya buat berkenaan komplot pada hari tersebut. Ahli komplot seramai lebih 20 orang telah bergerak dalam 3 kumpulan kecil ke spot mengilat yang telah dikenal pasti.
Kumpulan pertama yang terdiri daripada River Barra, AdieZul, Sanip Noh, Uncle ‘Burn’, Frank Joseph dan beberapa orang lagi memilih spot Culvert. Acara mengilat dilakukan secara ‘landbase’ sahaja. Manakala Pak Anjang menghantar kumpulan saya ke spot Tanjung.
Tidak menunggu lama, Adie Zul yang beberapa kali sudah membuat kunjungan ke sini, mendapat lesen pertama MJ beliau. Begitu juga dengan saudara Sanip Noh dan River Barra yang mana masing-masing berjaya mendaratkan beberapa ekor ikan seperti tetanda, MJ, GT juvenil dan kitang.
Kumpulan yang memilih spot Tanjung juga mendapat banyak strike pada pagi tersebut. Paling menarik, beberapa GT juvenil menggunakan set ringan yang digunakan kebanyakannya oleh kami. Memang syok melihat rod melentur dengan lentik.
Penggunaan micro jig betul-betul berkesan tatkala gewang replika ikan konvensional kurang mendapat sambutan. Jig saya lontar seperti biasa dan karauan dibuat baik secara laju, henjutan dan stop & go memang menjadi pada hari tersebut.
Terubuk Sarawak yang datang nun jauh dari Kuching pun tidak kurang hebatnya pada hari tersebut. Berkat kerajinan dan ketekunan beliau mengilat dan sedikit trekking di tebing berbatu, beliau juga berjaya mendaratkan beberapa ekor MJ dan tetanda.
Manakala kumpulan Pak Anjang telah memilih spot Batu Hampar yang berada betul-betul sebelah seberang spot Tanjung tempat kumpulan saya. Suara yang sayup-sayup kedengaran dengan sorak gembira memberikan tanda yang kumpulan mereka juga berjaya mendaratkan ikan buruan.
Oleh kerana keasyikan mengilat, tak terasa pula jam sudah menunjukkan ke angka 2 petang. Semua ahli komplot ternyata berpuas hati dengan sesi pagi tersebut. Tidak kurang juga rungutan daripada ahli komplot yang gagal mendaratkan apa-apa tangkapan, meskipun mendapat beberapa sambaran.
Ahli komplot yang sudah letih memerlukan rehat untuk sesi seterusnya petang tersebut. Ahli komplot segera bergerak ke bandar Mukah untuk makan tengah hari dan membuat kunjungan ke kedai pancing.
Namun begitu, kumpulan Pak Anjang yang terpaksa balik awal pada petang tersebut, masih meneruskan acara mengilat hingga ke jam 4 petang sebelum berangkat ke Sibu.
Komplot pada hari tersebut terpaksa ditamatkan awal kerana keadaan air yang sudah mula surut besar. Ahli komplot mencuba pula di sebuah muara sungai yang bersambung dengan Tasik MPG, namun gagal mendatangkan sebarang hasil.
Setelah hampir sejam mencuba, ahli komplot kembali semula ke Tasik MPG untuk merancang aktiviti yang seterusnya. Lewat petang, keputusan telah dibuat oleh pengilat-pengilat dari Bintulu untuk kembali lagi pada keesokan harinya yang rupa-rupanya telah pun menempah hotel di bandar Mukah untuk bermalam.
Hari kedua
Awal-awal lagi saya telah menempah sebuah bot yang mampu memuatkan lima orang pengilat untuk satu-satu masa. Untuk sesi pagi ini saya tidak dapat menyertainya kerana komitmen kerja. Namun begitu saya mengikuti perkembangan sesi pagi tersebut dengan SMS dan panggilan beracun daripada AdieZul.
Selesai urusan kerja, petang berkenaan saya kembali ke MPG untuk menemui geng Bintulu. Komplot pada hari kedua ini berakhir juga setelah semua pengilat berpuas hati dengan hasil tangkapan masing-masing. Sebelum berangkat pulang, kami sempat juga menjamu selera sekali lagi di bandar Mukah.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Dalam arena pancingan rekreasi, ikan loma bukanlah satu spesies ikan yang popular malah berkemungkinan besar ramai pemancing yang tidak mengenalinya.
Namun, ikan yang tidak boleh ditangkap dengan kaedah memancing ini cukup popular setelah ia bergelar ikan pekasam.
Ikan loma atau di sesetengah tempat digelar ikan tongsan loma dan lomah, adalah sejenis ikan air tawar yang hidup antara perimeter pertengahan dan permukaan air.
Jika diperhatikan sekali pandang, ikan dengan nama saintifik Thynnichthys thynnoides ini tidak kelihatan seperti air tawar, tetapi lebih kepada ikan air masin dengan mulutnya yang kecil, sisik sangat halus keperakan dan ekor berbentuk V.
Ikan loma merupakan ikan yang hidup secara berkumpulan dalam kumpulan yang besar. Jika bernasib baik, kadangkala ia boleh dilihat seperti hujan lebat di permukaan air ketika kumpulannya lalu di sungai, lombong mahupun tasik.
Diet utama ikan yang hampir juga menyamai ikan tongsan sisik halus ialah alga, tumbuhan air dan plankton. Ikan ini boleh ditemui di Sungai Perak dan tasik-tasik serta lombong-lombong yang bersambung dengan sistem sungainya.
Sebagaimana yang telah dinyatakan, ikan ini tidak memakan umpan pancingan. Ia hanya boleh ditangkap dengan kaedah lain selain memancing seperti jaring, jala ataupun ditangguk.
Ikan ini bolehlah dianggap bernilai rendah. Harganya murah kerana isinya tawar, kurang enak serta bertulang banyak dan halus.
Namun harganya boleh menjadi berlipat kali ganda apabila ia bertukar menjadi pekasam.
Taksonomi:
Kingdom:
Animalia
Phylum:
Chordata
Class:
Actinopterygii
Order:
Cypriniformes
Family:
Cyprinidae
Genus:
Thynnichthys
Species:
T. thynnoides
Binomial name
Thynnichthys thynnoides
(Bleeker, 1852)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Bot pancing persendirian berukuran 30 kaki dan enjin 175 kuasa kuda berkembar yang dipandu mencecah 40 km/j membolehkan kami tiba di lokasi bekas unjam lama sekitar 45 minit sahaja dalam keadaan laut agak berkucah.
Lubuk yang berstruktur tapak unjam sekitar 3 kilometer melepasi sempadan taman laut itu pernah dikunjungi oleh tekong dan hasil yang diperoleh sangat menakjubkan. Menurut tekong, berpuluh ketul jig berkubur di situ dan berbelas ekor tenggiri berjaya dibawa pulang.
Setelah agak lama berhanyut sambil mengunjun kepingan jig seberat 40 gram hingga 80 gram di lubuk pertama tanpa sebarang petanda positif, kami bergerak ke tapak unjam lama yang kedua pula. Setelah beberapa kali drift di lubuk tersebut, hasilnya tetap sama. Tiada sebarang sambaran yang berlaku.
Keputusan awal yang agak mengecewakan itu mendorong tekong ke lokasi seterusnya yang semakin menjauhi Pulau Tenggol.
Ternyata di lubuk ketiga ini berpenghuni. Aksi pembuka tirai Faizal menyuntik semangat untuk berjigging dengan lebih gigih. Namun ikan yang didaratkan hanyalah tenggigi (alu-alu) bukannya spesies yang kami sasarkan. Selepas itu seorang demi seorang merasai strike namun kesemuanya adalah tenggigi bukannya tenggiri. Malah ikan tongkol yang berjaya didaratkan pula tidak cukup sifat setelah sebahagiannya dicukai oleh alu-alu.
“Kalau kacang (alu-alu) dah banyak macam ni memang payahlah nak tenggiri nak masuk,” ulas tekong berdasarkan pengalamannya memancing di perairan tersebut.
Menjelang petang angin kian bertiup kencang menambahkan lagi laut berkucah. Kesukaran untuk berhanyut di kawasan lubuk mendorong tekong beralih ke lokasi sedikit terlindung di bahagian belakang pulau.
Air berkedalaman 20 hingga 50 kaki menjadi padang permainan kami sementara menanti angin teduh. Lubuk yang tidak menjanjikan apa-apa tanpa disangka-sangka bertukar menjadi lubuk penawar duka. Khususnya lubuk berkedalaman 20 kaki dengan dasar berbatu banyak dihuni beberapa spesies kerapu bara.
Setelah berseronok melayan pelbagai jenis kerapu dan sebelum senja menjelang, kami kembali lagi ke lokasi pemburuan tenggiri. Namun tiada sebarang hasil yang berjaya didaratkan. Tenggiri yang dikatakan banyak didaratkan seminggu sebelumnya langsung tidak kelihatan.
Dengan beberapa ekor kerapu bara kami bergerak pulang sekaligus menjadi trip penamat di perairan Laut China Selatan berikutan monsun timur laut mula memperlihatkan tanda-tanda kehadirannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...