Hai admin. Saya nak minta pandangan admin tentang saiz kekuatan tali pancingan pantai. Saya ada spinning reel siri 8000 dan joran surfcasting sepanjang 15kaki. Persoalannya, sesuai atau tidak jika saya masukkan tali braided 80lb?
JAWAPAN:
Pancingan pantai atau surfcasting merupakan salah satu teknik pancingan di kawasan pantai. Secara amnya, teknik ini amat mementingkan jarak lontaran umpan jauh ke tengah laut di mana terdapatnya lubuk-lubuk yang berpotensi.
Terutamanya di kawasan pantai yang landai dan cetek. Justeru jarak lontaran umpan jauh ke tengah amat penting bagi membolehkan umpan sampai tepat ke lubuk atau kawasan ikan.
Ads
Untuk membolehkan lontaran umpan sampai ke kawasan sasaran, faktor panjang joran amat memainkan peranan untuk tujahan balingan serta meminimumkan tolakan ombak ke arah daratan pada tali utama.
Oleh yang demikian penggunaan joran panjang melebihi 12 hingga 17kaki amat membantu. Ini kerana secara teorinya semakin panjang joran maka semakin jauh jarak lontaran umpan dapat dilakukan.
Selain faktor panjang joran, diameter tali pancing juga turut memainkan peranan. Selalunya penggunaan tali sulam atau benang (braided) sering digunakan membolehkan lontaran umpan yang sempurna.
Ads
Namun tali benang kekuatan 80lb jenis empat sulaman sebenarnya agak besar/kasar dari segi diameter.
Kekuatan tali tiada masalah pada asasnya namun saya mengesyorkan anda menggunakan tali berdiameter lebih kecil untuk memaksimumkan jarak lontaran anda. Lazimnya tali sulam 20-40lb adalah lebih sesuai.
Korang Tanya Umpan Jawab – Kenapa Ikan Black Bass Hanya Ada Sabah?
SOALAN:
Boleh tak admin jelaskan kenapa ikan black bass hanya terdapat di Sabah sahaja. Tidak terdapat di Sarawak apatah lagi di Semenanjung Malaysia. Letih la nak kena pergi ke Sabah semata-mata nak dapat lesen ikan black bass ni.
JAWAPAN:
Di Malaysia, ikan black bass atau Papuan black snapper (dipanggil tembaring, kanai di Sabah) memang terkenal di Sabah. Status spesies Lutjanus goldiei ini sebenarnya tergolong dalam kumpulan ikan snapper dan merupakan spesies endemik di Papua New Guinea serta spesies natif di Pulau Ryukyu, Jepun.
Spesies endemik (endemic) agak unik kerana hanya boleh ditemui di lokasi tertentu sahaja walaupun dalam perairan yang sama manakala spesies natif (native) bermaksud spesies asal sesebuah negara atau tempat tetapi masih boleh ditemui dalam banyak perairan.
Selain Papua New Guinea dan Jepun, hanya terdapat dua lagi negara yang direkodkan kehadiran spesies ini iaitu Indonesia (kebanyakannya di Borneo) dan Malaysia. Status kehadiran L. goldiei ini di Indonesia masih lagi status persoalan (questionable) manakala di Malaysia pula dengan status berkeliaran (stray).
Pengkaji cenderung mengatakan kanai di Indonesia kemungkinan merupakan spesies yang dibawa masuk (introduced) dan kehadiran spesies ini di Sabah kerana berkongsi jajaran perairan yang sama.
Jadi persoalan status pembiakan spesies kanai di Semenanjung Malaysia pada dasarnya memang tiada kecuali jika spesies ini dibawa masuk dan dilepaskan di perairan Semenanjung sebagai ‘introduced species’.
Mungkin juga, ribuan atau ratusan tahun dahulu, ikan ini berada di perairan Semenanjung, namun akhirnya tidak lagi ditemui, tanpa sebarang bukti atau kajian spesifik dapat dilakukan.
Apa yang menyebabkan kaki casting sering membuat trip casting memburu sebarau sewaktu musim tengkujuh di Tasik Kenyir? Apa yang special sangat?
JAWAPAN:
Bagi beberapa spesies ikan sungai pergunungan seperti sebarau, waktu musim tengkujuh ialah waktu spesies ini mengawan dan akan naik ke kawasan hulu sungai untuk melepaskan telurnya.
Apabila selesai fasa ini, ikan ini akan lebih aktif mungkin kerana kelaparan dan perlu mencari makanan bagi menggantikan tenaga yang banyak dihabiskan untuk membawa telurnya.
Sewaktu musim tengkujuh, kebanyakan kawasan rendah akan mulai tenggelam dan serangga yang melata di permukaan tanah, berhabitat di kawasan rumput akan panik dan banyak yang jatuh dan dihanyutkan ke dalam air.
Ketika inilah sebarau akan berpesta makanan. Banyak aktiviti kawanan sebarau meligan mangsa yang dinamakan frenzy atau boiling akan kelihatan.
Aktiviti boiling inilah yang dicari oleh para pemancing untuk mengesan sekaligus memancing sebarau.
Ketika boiling inilah apa saja gewang yang jatuh di dalam kawasan boiling akan dibaham oleh sebarau. Sedangkan, pada waktu lain selain tengkujuh, aktiviti ini amat sukar ditemui.
Jadi inilah faktor mengapa musim tengkujuh, ramai kaki casting akan berkunjung ke tasik-tasik di negara kita.
Selain dari Tasik Kenyir, Tasik Temenggor turut sama menjadi tumpuan para caster apabila hujan turun dengan amat lebat untuk tempoh beberapa haris sehingga menaikkan para air di tasik.
Sudah sekian lama memancing saya guna tali tangsi (mono) warna clear. Saya jarang guna warna lain tapi tetapi adakah warna tali mempunyai fungsi berbeza? Dan apakah warna sesuai untuk memancing di muara?
JAWAPAN:
Menurut pengamatan saya, ramai pemancing inginkan warna tali pancing yang terang dan mudah dilihat lebih-lebih lagi di malam hari. Sesetengah pemancing suka warna yang cantik dipadankan dengan kekili dan joran. Ada juga yang suka warna gelap atau jenis halimunan kerana dikatakan tidak mudah dilihat ikan.
Bagi saya warna tali utama tidak begitu mendatangkan kesan pada tangkapan. Apa yang lebih penting untuk ikan adalah persembahan umpan (umpan biasa atau tiruan) yang boleh menarik minatnya untuk diterkam.
Namun yang perlu dititik beratkan ialah warna perambut biarlah sesuai dengan warna air atau persekitaran dan mudah memperdayakan ikan. Jangan terlalu terang atau jelas di dalam air kerana sesetengah ikan begitu peka pada persekitaran dan ada juga yang fobia dengan tangsi (mungkin profilnya seperti tangsi pukat).
Memancing di muara yang airnya tidak dalam saya syorkan menggunakan tangsi berbanding tali sulam. Ini akan menambah keseronokan dan kepuasan ketika membalas sentapan. Tangsi akan menghasilkan sedikit anjakan dan suntikan balas yang menyeronokkan.
Jika air keruh lebih elok guna tali warna gelap kerana tali warna cerah akan pudar disebabkan pengaruh air. Tali sulam jika kehabisan salutan lilin akan menyebabkan air dapat meresap dan air yang keruh boleh menukar warna tali menjadi kotor.
Untuk tali utama apa-apa warna tidak begitu mendatangkan masalah asalkan sesuai dengan warna persekitaran. Jika masih berminat menggunakan tali sulam untuk memancing muara, gunakan perambut tangsi yang panjang.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...