Memang sakit kalau tengok orang sebelah je yang pacak… Orang sebelah je yang gasak, tapi kita membangau macam bangau panjang leher.
Kalau dapat ikan pun ada je masalah yang menyebabkan ikan gagal didaratkan. Bagi mengatasi masalah ini, ada baiknya kita buat homework sikit sebelum membuat lontaran pertama.
Tali reput
Buat pemeriksaan pada tali utama sama ada ia masih utuh atau sudah reput. Jika perlu buang beberapa kaki tali hadapan sebagai langkah keselamatan. Jangan sayang nak buang tali yang macam dah nak reput atau yang sudah luntur warnanya.
Ikatan
Jika menggunakan tali sulam dan perlu disambung dengan shock leader, pastikan ikatan sambungan itu kukuh dan kuat. Jika was-was, sebaiknya buat ikatan baru. Biar lambat asalkan tak lucut atau putus.
Jika menggunakan mata kail yang pernah digunakan, uji tahap ketajamannya dulu. Kalau dah kurang tajam, elok tukar yang baru. Kalau dah tumpul wajib buang terus jangan disimpan lagi.
Saiz tak ngam
Saiz dan jenis mata kail jugak perlu diperhatikan. Sebaiknya guna saiz mata kail yang sepadan dan elakkan guna mata kail kurang berkualiti. Mata kail yang kecil tak semestinya ikan kecil saja yang makan.
Ads
Set tak sepadan
Set pancing yang digunakan juga perlu sepadan dengan ikan target. Banyak kejadian ikan gagal didaratkan kerana joran atau kekili gagal menakluk ikan. Malah banyak kes kumpau disebabkan masalah asas ini.
Umpan salah
Umpan yang akan digunakan perlu dipastikan keberkesanannya. Sama sebagaimana pemancing lain gunakan. Kalau pemancing lain guna udang, kita pakailah udang. Kalau pemancing lain guna perisa pandan, kita gunalah pandan jugak.
Teknik silap
Ads
Jika umpan sudah bagus, pastikan teknik yang digunakan juga adalah sesuai. Sama ada teknik apung, gantung atau dasar. Yang penting kena pantau teknik apa yang cepat ikan ambil umpan.
Cara strike
Teknik strike atau menyentap ikan juga penting begitu juga dengan cara melayan ikan harus betul agar ikan berjaya didaratkan. Kalau strike siakap, jangan macam sentap udang galah. Kalau layan tenggiri jangan main macam layan gelama.
Spesies Megalops atlanticus atau nama umumnya Atlantic tarpon boleh ditemui di pantai barat Atlantik dari Virginia ke Brazil, di seluruh pantai Teluk Mexico, dan di seluruh Caribbean. Ia juga dijumpai di sepanjang pantai timur Atlantik dari Senegal ke Angola Selatan.
Sementara spesies Megalops cyprinoides atau nama umumnya Indo-Pacific tarpon pula boleh didapati di sepanjang pantai timur Afrika, di seluruh Asia Tenggara, Jepun, Tahiti, dan Australia. Kedua-dua spesies ini terdapat di kedua-dua habitat air masin dan air tawar namun apa yang membezakan hanyalah saiz.
Atlantic tarpon merupakan spesies ikan besar manakala Indo-Pacific tarpon pula adalah spesies sederhana besar. Spesies dengan nama binomial Megalops cyprinoides atau nama umumnya Indo-Pacific tarpon yang turut digelar herring atau oxeye yang terdapat di Malaysia lebih dikenali sebagai ikan bulan.
Daripada aspek morfologi, ikan bulan memiliki warna hijau zaitun di bahagian atas dan perak di sisi badan. Memiliki mulut yang besar dan bukaan luas, rahang bawah mengandungi plat nipis dan keras yang memanjang. Filamen terakhir sirip dorsalnya lebih panjang daripada sirip-sirip lain yang mencapai hampir ke ekor.
Ikan bulan mampu mengisi pundi renang atau swim bladder dengan udara dan menyerap oksigen daripadanya. Spesimen yang tinggal di air tawar cenderung lebih kecil daripada spesimen yang tinggal di air masin atau laut.
Lazimnya spesimen di air tawar mampu membesar panjang sekitar 50 cm manakala contoh yang direkodkan di air masin mampu membesar melebihi satu meter. Namun mereka mampu hidup sehingga 44 tahun dan akan mencapai tempoh matang dalam masa dua tahun.
Dari sudut diet pemakanan, ikan bulan merupakan spesies yang oportunis. Sama ada spesimen di air tawar atau air masin tiada perbezaan yang signifikan dalam tabiat pemakanan mereka. Mereka memakan ikan-ikan kecil, krustasea, dan juga tumbuhan akuatik yang unik.
Tarpon Indo-Pasifik bermigrasi di antara laut terbuka dan sungai pedalaman. Seperti semua spesies dalam Order Elopiformes, ia membiak terutamanya di luar pesisir. Spesies juvenil akan tinggal di estuari dan berhijrah ke kawasan pesisir sementara matang untuk bertelur. Biasanya, mereka bertelur dua kali setahun.
Berbeza dengan ikan siakap atau barramundi, ikan bulan mampu membiak sama ada di air masin mahupun air tawar. Spesies Megalops cyprinoides boleh ditemui di perairan sehingga kedalaman 50 meter tetapi biasanya lebih mudah ditemui di permukaan perairan cetek. Mereka mendiami terumbu karang, bakau, rawa, sungai, tasik, takungan, dataran banjir, dan terusan.
Dalam aspek perdagangan dan penggunaan ikan bulan bukanlah spesies yang bernilai tinggi di pasaran malah hampir tidak dikomersialkan. Justeru ia tidak tergolong dalam ancaman kepupusan.
Kisah ini sudah lama berlaku. Kami, pasangan suami isteri memang minat memancing. Saya ikut saja suami ke mana saja dia pergi memancing. Pada waktu itu saya, suami dan seorang adik angkat saya telah pergi memancing di tepi pantai Kelanang. Kami tiba di sana pada waktu petang. Biasalah bila dah sampai sana apa lagi, kami pasang khemah dan menyiapkan barang-barang pancing kami.
Benarlah kata pepatah, kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kira-kira 3 jam kami berada di sana, hujan turun dengan lebat dan tak henti-henti. Hujan berlarutan hinggalah ke lewat malam. Kami memang berniat memancing selama 2 hari, tapi keadaan begini mengundang kami untuk pulang pada keesokan harinya.
Bila malam tiba, biasalah kalau dah kaki pancing, masih memancing walaupun hujan turun lebat tanpa henti. Kami bertiga berteduh di dalam khemah dan kami biarkan kesemua 7 joran kami tersusun tegak di tepi pantai.
Kami tidak tutup pintu khemah, jadi kami boleh melihat hujan yang turun dengan lebat sekali. Walaupun hujan tapi suasana tak gelap sangat kerana pancaran dari lampu di jalanraya. Dari khemah, kami masih boleh melihat joran kami di luar dari jauh. Bercahayakan lampu yang khas untuk khemah, kami semua duduk di dalam menghadap laut, sambil berbual dan berborak-borak, saya beralih pandangan ke joran kami.
Di dalam hujan, saya ternampak bahawa salah satu dari joran suami telah diangkat dan seperti seseorang sedang bertarung dengan ikan. Namun kelihat orang tersebut tidak jelas kelihatan. Saya segera meminta suami dan adik angkat saya melihat peristiwa tersebut.
“Korang tengok kat joran tu. Korang nampak apa yang aku nampak?” tanya saya kepada mereka berdua. Mereka terus diam. Suami pula lagi boleh buat lawak. Dia berkata…
“Sudah biarkan. Tempat dah gelap. Harapkan lampu jalan. ‘Dia’ nak join pancing biarkanlah. Mana tahu dapat ikan. Mana tahu dia tak pernah try pancing pakai joran.
Hehehe… Jangan tegurlah. Sekali dia jelma depan mata lagi satu kerja. Dah buat bodoh. Awak tu lemah semangat…”
Selepas suami kata begitu sambil kami memerhatikan joran itu, tiba-tiba seperti benda itu tahu yang kami melihat apa yang dia buat dan terus joran itu dia letak kembali semula ke tempat asal. Ingatkan dah berhenti. Rupanya selang setengah jam dari kejadian itu satu dari joran saya pula dibuat main. Tapi joran saya semua ada saya letak loceng.
Jadi bila benda itu seperti bermain dengan joran saya, locengnya berbunyi. Selepas itu ia berhenti. Ia seakan-akan ingin mencuba semua joran itu. Kelakar tapi menyeramkan kerana tidak dapat melihat. Inilah satu kejadian yang saya alami ketika memancing.
Ramai bersetuju bahawa aktiviti memancing merupakan aktiviti membuang masa, tenaga dan wang ringgit.
Mana tidaknya, kebanyakan pemancing akan pergi memancing dari awal pagi hingga lewat petang.
Ada pula yang pergi memancing beberapa hari, dari awal minggu hingga hujung minggu. Mereka juga terpaksa meninggalkan anak dan isteri di rumah.
Semasa keluar mereka bertenaga, apabila pulang badan dah penat. Habis tenaga berjemur di tengah panas dan kadang-kadang dilanda hujan, ribut dan petir.
Bukan itu sahaja, duit juga banyak dilabur untuk membeli barang-barang dan alatan memancing.
Beli umpan, duit minyak, tambang bot, chalet, makan, minum, rokok, dan bermacam lagi barangan yang difikirkan perlu oleh pemancing.
Ada juga yang habis ribuan ringgit semata-mata hanya untuk keluar memancing!
Jadi, memang benarlah aktiviti memancing ini membuang masa, tenaga, dan wang ringgit, terutama pada mereka yang tidak melakukannya.
Tetapi, apa kesan aktiviti memancing ini kepada pemancing itu sendiri? Apa kesannya kepada pembangunan ekonomi dan negara?
Apa akan terjadi sekiranya pemancing ini dihalang dari keluar memancing?
Kajian mendapati bahawa pemancing keluar memancing atas sebab tertentu. Menurut bapa ‘motivasi pemancing’ Dr. Fedler dan Dr. Ditton (1994), tujuan pemancing keluar
memancing bukanlah semata-mata untuk mendapatkan ikan, tetapi untuk mendapatkan ‘rekreasi’.
Betul ikan adalah benda yang mereka buru, tetapi tujuan utama mereka adalah untuk mendapatkan rekreasi. Kebanyakan pemancing sendiri tidak sedar tentang hal ini!
Rekreasi yang dimaksudkan termasuklah ‘ketenangan’, ‘menikmati alam sekitar’, ‘untuk bersama rakan’ selain ‘keseronokan mendaratkan ikan’.
Oleh itu ‘ikan’ hanyalah tarikan untuk pemancing mendapatkan ‘rekreasi’.
Kesan aktiviti memancing kepada masyarakat telah banyak dibincangkan di negara maju.
Pemancing akan cuba mendapatkan ‘ketenangan’ semasa memancing dengan merehatkan badan dan minda, iaitu fizikal dan mental.
Mereka juga dapat lari dari rutin kehidupan harian. Di negara maju seperti di Amerika Syarikat dan Australia, telah menjadi kebiasaan bagi rakyatnya untuk keluar memancing pada hujung minggu bersama rakan atau ahli keluarga.
Cari sahaja di capaian internet, anda akan dapati setiap lapisan masyarakat, pelbagai peringkat umur dan jantina, keluar memancing bersama rakan atau keluarga.
Bagaimana pula kesan dari sudut ekonomi? Sudah tentu ianya berkaitan dengan wang yang dibelanjakan oleh pemancing.
Secara tidak sedar, kawasan yang dikunjungi oleh pemancing akan pesat membangun.
Di situ ada orang membuka kedai alatan memancing, kedai umpan, kedai runcit, menjual makanan, kuih-muih, ada juga yang mengusahakan chalet atau homestay untuk pemancing, dan bermacam-macam lagi aktiviti ekonomi terjana.
Bayangkan seperti di Tasik Kenyir, pemancing sanggup berbelanja ribuan ringgit hanya untuk menginap di ‘houseboat’.
Malah, sejak keluar dari rumah untuk sampai ke Tasik Kenyir, mereka telah pun berbelanja ratusan ringgit untuk minyak kereta, makan dan minum.
Keadaan ini menggalakkan perkembangan ekonomi setempat dan negara.
Ada juga pendapat menyatakan bahawa aktiviti memancing dapat mengurangkan kos perbelanjaan negara, iaitu kos rawatan pesakit di klinik dan hospital awam.
Mana tidaknya, mereka yang terlibat dengan aktiviti memancing adalah orang yang sihat dari segi mental dan fizikal.
Mereka kebiasaannya adalah orang yang lasak dan tinggi daya tahan penyakit. Sekaligus mereka kurang ke klinik dan hospital awam untuk mendapatkan rawatan.
Perkara ini ada dinyatakan dalam kajian rekreasi oleh California State Park pada tahun 2005, semasa pelakon Hollywood Arnold Schwarzenegger menjadi gabenor di negeri tersebut.
Kajian mendapati aktiviti rekreasi dapat mengurangkan stres atau depresi, mengurangkan obesiti dan penyakit kritikal lain seperti; serangan jantung, tekanan darah tinggi, diabetis, dan osteoporosis.
Negara juga akan mengalami pertambahan ‘keluaran dalam negara kasar’ secara tidak langsung, apabila negara mempunyai masyarakat yang sihat dari segi mental dan fizikal.
Selepas keluar memancing, pada keesokannya, produktiviti kerja pemancing di pejabat akan meningkat.
Mereka dapat melakukan kerja dengan lebih produktif dan efektif dari sebelumnya.
Oleh itu, apa yang boleh dilakukan dalam menjawab soalan ‘kenapa membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk memancing?’
Di sini ada dua idea, untuk pemancing dan masyarakat umum.
Bagi pemancing, mereka seharusnya bijak dalam menentukan keutamaan aktiviti harian.
Boleh pergi memancing, tetapi pastikan kebajikan dan kepentingan ahli keluarga diutamakan terlebih dahulu.
Pemancing harus meletakkan tanggungjawab yang tinggi pada keperluan anak dan isteri, serta ahli keluarga yang lain.
Jika semuanya telah selesai, maka bolehlah pergi memancing – selama mana tempoh yang dirasakan berpatutan, tidak terlalu singkat dan tidak terlalu lama.
Pemancing juga harus bijak dalam membelanjakan wang. Bahagikan wang untuk keluarga dan keperluan utama terlebih dahulu.
Selebihnya berbelanjalah untuk aktiviti memancing anda, dengan berhemah. Dari segi produktiviti kerja pula, buktikan pada majikan dan masyarakat sekeliling bahawa
pemancing adalah seorang yang produktif dan efektif dalam melakukan tugasan, terutamanya selepas keluar memancing.
Manakala bagi masyarakat umum, termasuklah ahli keluarga, rakan dan masyarakat di luar sana, ‘menghormati’ dan ‘memahami’ adalah dua perkara yang perlu dititik-beratkan.
Menghormati hak pemancing adalah sangat penting. Kita tahu, masa, tenaga dan wang yang dibelanjakan oleh pemancing adalah untuk mendapatkan ‘rekreasi’, bagi kelangsungan hidup pemancing sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
Fahamilah pemancing, kerana mereka memang terlalu cintakan aktiviti ini. Berilah galakan dan sokongan kepada mereka untuk memancing secara positif.
Ingatlah bahawa aktiviti memancing adalah jauh lebih baik dari aktiviti lain yang tidak bermoral di luar sana.
Dengan harapan, selepas ini, aktiviti memancing tidak lagi dianggap sebagai membuang masa, tenaga dan wang ringgit, malah dianggap sebagai penyumbang kepada kesan positif bagi individu pemancing, pembangunan ekonomi dan negara.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...