Tentu sekali korang akan berasa pelik melihat foto ikan tapah yang wujud di Sungai Labuk dalam daerah Beluran, Sabah ini. Corak badannya ternyata amat berbeza dengan tapah yang terdapat di Semenanjung atau Sarawak yang ada jalur kekuningan, tetapi corak badan ikan tawi ini bertompok-tompok (blotches) macam peta dunia. Ada juga sifat-sifat lain yang membezakannya seperti pada bahagian mulutnya.
Apabila dirujuk dalam buku The Freshwater Fishes Of North Borneo (antara satu-satunya buku lengkap tentang ikan air tawar di utara Borneo yang diterbitkan pada tahun 1962 oleh Robert F. Inger dan Chin Pui Kong) spesies ini bernama saintifik Wallago maculatus nyata amat berlainan dengan tapah biasa atau Wallago attu.
Ads
Tambah menarik lagi apabila spesies ini disahkan oleh laman sesawang FishBase, hanya wujud di Sabah (Borneo utara). Bermakna ia tidak dijumpai di mana-mana tempat di Asia. Tidak seperti tapah biasa yang populasinya bertaburan di merata sungai di India, Pakistan, Afghanistan, sehingga ke Vietnam dan Indonesia.
Khabarnya ikan tawi atau Wallago maculatus yang hidup di Lembangan Sungai Kinabatangan di Sandakan adalah lebih tinggi populasinya dan padu saiznya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan haruan (Channa striatus) atau lebih dikenali sebagai ‘snakehead fish’ merupakan sejenis ikan karnivora yang hidup didalam air tawar. Satu lagi jenis ikan haruan besar atau giant snakehead (Channa micropeltes) yang juga dipanggil sebagai giant mudfish adalah dari kumpulan yang sama. Spesies ikan haruan ini memang banyak corak dan warnanya, lain kawasan mungkin ia berbeza-beza morfologinya.
Mengail ikan haruan memang sangat menyeronokkan kerana daya tarikan atau sentapan yang kuat pada ikan haruan sungguh hebat! Jarang-jarang kita semasa memancing ikan haruan yang terlepas semula, ini kerana ikan haruan akan makan habis umpan yang digunakan.
Ikan haruan mempunyai banyak jenis dan gelaran yang mungkin sebahagian daripada kita tidak kenal. Jenis-jenis haruan adalah seperti haruan todak, haruan palas, toman bunga dan bujuk. Saya mengenali beberapa jenis ikan tersebut kerana memang ada terdapat pada sawah dan anak sungai di kampung dahulu.
Kumpulan ikan ini adalah jenis ikan yang suka menyambar makanannya seperti anak ikan, katak, cicak dan umpan pada mata kain dan menarik dengan kuat ketika memancing.
Mulutnya yang besar dan pergerakannya yang sukar dikesan oleh mangsa menyebabkan ikan haruan merupakan ikan yang hebat dalam air. Saya memang suka memancing ikan haruan di kampung zaman remaja dulu dan jarang-jarang kecewa walaupun menggunakan mata kail buatan sendiri.
Ikan haruan todak atau juga dikenali sebagai ikan kedak merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa gachua. Ikan haruan todak boleh didapati di kawasan air sungai berjeram dan berair jernih.
Diet utamanya adalah anak-anak udang, dan serangga kecil. Saya pernah mengail ikan ini dahulu di kawasan sungai di kaki Gunung Ledang dekat Sagil, Tangkak. Memang tidak mudah untuk mendapatkan ikan ini kerana pada air jernih ia amat sukar untuk ditangkap.
Ikan haruan palas pula merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa melasoma. Ikan Haruan palas mempunyai warna kebiru-biruan di sebelah bawah badannya sementara bahagian lain berwarna agak gelap atau sedikit coklat bergantung kepada kualiti air.
Ikan haruan palas mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan pH airnya rendah atau senang dikatakan agak berasid. Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, cengkerik dan cacing. Ikan jenis ini pernah saya dapat dikawasan Paya Serompong iaitu kawasan paya yang agak luas dan mempunyai habitat sesuai untuk ikan jenis ini.
Ikan toman bunga atau juga dikenali sebagai ikan jelai, jaloi, kuang, kerandang, merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa marulioides. Ikan toman bunga merupakan ikan pemangsa jenis ikan seperti kepala ular.
Ikan toman bunga mendiami sungai, tasik dan kawasan berpaya berair gambut mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan pH airnya rendah, sama seperti ikan haruan palas dan juga ikan bujuk.
Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, serangga kecil seperti cengkerik, dan cacing. Saya juga pernah menangkap ikan jenis ini yang tersangkut pada jaring yang dipasang di kawasan paya di Kg Batu 27, Lenga, Muar dan sangat puas hati apabila digoreng dan makan dengan nasi panas.
Ikan bujuk adalah tergolong dalam ikan air tawar yang terdapat di negara-negara ASEAN, termasuk di Malaysia. Nama saintifiknya Channa Lucius. Ikan ini suka mendiami anak sungai yang mengalir dan kawasan paya. Ikan bujuk mempunyai warna gelap di bagian bawah (coklat kehitaman) dan agak terang sedikit di bahagian atasnya.
Ikan ini suka makan anak-anak ikan, serangga kecil, katak dan juga cengkerik serta bersifat seperti haruan lain yang cekap memburu mangsanya. Saya banyak kali memancing ikan bujuk di kawasan anak sungai Parit Pelampong depan rumah dan rasa ikan haruan jenis ini memang enak sekali.
Ikan bujuk, dengan nama umum forest snakehead merupakan spesies yang tergolong keluarga besar Channidae, dalam genus Channa dan membawa nama binomial Channa lucius. Famili Channidae adalah kelompok ikan yang biasanya dirujuk sebagai snakeheads (ikan berkepala ular).
Jolokan snakehead ini merujuk kepada morfologi ikan yang memiliki skala besar pada bahagian kepala yang mengingatkan pada skala epidermis (plat cephalic) pada kepala ular. Pada masa ini terdapat lebih daripada 30 spesies snakeheads yang sah direkodkan dan bujuk merupakan salah satu daripadanya.
Sekali imbas, Channa licius ini hampir menyamai atau sinonim dengan spesies Channa siamensis. Ia merupakan spesies Asia Tenggara, yang direkodkan dari beberapa negara, termasuk China selatan. Taburan spesies Asia tenggara ini melibatkan Indonesia (tenggara Sumatera Barat, Jawa, Mahakam dan Kayan lembah Kalimantan Timur, dan lembangan Kapuas Kalimantan Barat), Malaysia (Sarawak, Sabah, serta Semenanjung Malaysia), Laos, Thailand, dan dari selatan China. Dan ia merupakan spesies ikan natif negara Kemboja, Indonesia,Laos, Malaysia, Thailand dan Vietnam.
Melihat pada aspek morfologi, ikan bujuk merupakan spesies yang menarik. Ia mudah dikenal pasti oleh deretan tompok gelap sepanjang sisi badan. Ikan bujuk memiliki 37 hingga 41 filamen lembut pada sirip dorsal dan 25 hingga 30 filamen lembut pada sirip anal.
Ketika juvenil, bujuk memiliki dua unit jalur hitam tebal daripada bahagian kepala ke tengah bahagian sirip kaudal. Satu di bahagian atas dan satu di bahagian bawah. Namun jalur hitam ini akan beransur-ansur memecah menjadi beberapa (5 hingga 9) bintik atau tompok hitam mengikut peningkatan usia.
Ikan bujuk boleh ditemui atau berhabitat di sistem sungai berarus perlahan atau hampir tiada arus, tasik, kolam dan paya. Lazimnya ia lebih mudah ditemui di sistem perairan berdekatan hutan atau ladang-ladang (suhu air 20 hingga 30 darjah celcius, PH air 5.0 hingga 7.5).
Justeru itu ia dinamakan sebagai forest snakehead. Lazimnya bujuk akan menjadikan kawasan yang mempunyai banyak tumbuhan akuatik, serta tumbuh-tumbuhan berkayu yang terendam sebagai habitatnya.
Sebagaimana keluarga Channa lainnya, bujuk mempunyai alat pernafasan tambahan dalam bentuk ruang suprabranchial berpasangan yang terletak di belakang dan di atas insang, walaupun ini bukan labyrinthic tetapi dilapisi epitel pernafasan.
Bilik-bilik atau organ-organ ini membolehkan bujuk menghirup udara atmosfera dan bertahan dalam keadaan hipoksik atau keluar dari air untuk tempoh masa yang agak lama, dan di dalam akuarium mereka sering dilihat naik ke permukaan untuk mengambil udara.
Sebagai ikan pemangsa, bujuk menjadikan ikan yang lebih kecil, udang, dan ketam sebagai diet utamanya. Selain itu, ikan yang mampu membesar sehingga 40 cm juga merupakan haiwan bermigrasi penuh. Ia membina sarang untuk pasangannya bertelur dan kekal bersama pasangannya menjaga telur dan larva.
Dalam sektor penggunaan dan perdagangan, spesies ini dianggap sebagai ikan makanan ketiga paling berharga di Asia tenggara, dan dikatakan harganya mencapai 10 hingga 20 USD per kilogram bagi spesies hidup atau segar.
Begitu juga dengan saudaranya C. micropeltes dan C. striata (ikan toman dan haruan) yang lebih popular di pasaran. Selain itu ia juga dijual dalam perdagangan ikan akuarium terutamanya di Singapura dan Kemboja.
Begitu pun ikan bujuk tidak terlepas daripada ancaman kepupusan berikutan banyak sungai dan sistem perairan yang terjejas oleh pencemaran (pertanian, bandar dan industri), serta degradasi habitat yang timbul daripada pembangunan bandar dan pemendapan. Namun impak spesifik kepada spesies ini masih tidak diketahui.
Haruan kedak merupakan anggota keluarga snakehead (haruan & toman) dari Genus yang sama dengan haruan atau toman dengan membawa nama saintifik Channa Gachua. Di peringkat global ia dinamakan sebagai dwarf snakehead dan merupakan spesies paling kecil dalam keluarga snakehead.
Spesies kerdil ini bertaburan amat luas. Ia boleh dijumpai di China, Indochina, Myanmar, kepulauan Andaman, India, Sri Lanka, Afghanistan ke Iran. Ke selatan pula ia bertaburan dari Thailand, Semenanjung Malaysia, Singapura, Sumatera, Borneo, Jawa dan Madura.
Spesies yang ditemui oleh saintis Hamilton-Buchanan di Sungai Gangga, India pada tahun 1822 tidak mampu membesar melebihi 25cm. Spesimen yang biasa ditemui sekitar 10-20 cm sahaja.
Haruan kedak menjadikan sungai hutan dan paya cetek sebagai habitatnya. Walau bagaimana pun ia turut pernah dijumpai di dalam perigi, longkang, tasik, sungai dan kolam-kolam kecil. Ia turut mampu hidup di kawasan tanah tinggi sehingga 3,500 meter.
Haruan kedak merupakan ikan cinonet yang cantik. Badannya kelabu keperangan dan terang di bahagian bawah. Bergantung kepada mood ikan ini, ia boleh berwarna terang atau berjalur hitam melintang pada bahagian belakang dan tepi.
Siripnya apabila menegak kelihatan hitam keperangan, kadangkala berjalur. Sirip ekor dan dorsal berbingkai merah oren. Warna ini lebih menyerlah pada ikan jantan dan individu yang tinggal di habitat yang lebih berasid.
Sirip analnya berbingkai putih atau kuning. Sirip pektoralnya kuning oren dengan empat hingga enam belang gelap melinting dan biru atau hijau gelap pada latar belakang. Bahagian bawah kepala berbintik seperti marmar dan ketika aktif, ia membentuk kilauan biru terang.
Warnanya yang hidup dan saiznya yang kecil menyebabkan ruan todak menjadi spesies popular ikan akuarium. Ia adalah spesies yang tahan lasak, mudah dipelihara dan cantik berada di dalam akuarium.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...