Tentu sekali korang akan berasa pelik melihat foto ikan tapah yang wujud di Sungai Labuk dalam daerah Beluran, Sabah ini. Corak badannya ternyata amat berbeza dengan tapah yang terdapat di Semenanjung atau Sarawak yang ada jalur kekuningan, tetapi corak badan ikan tawi ini bertompok-tompok (blotches) macam peta dunia. Ada juga sifat-sifat lain yang membezakannya seperti pada bahagian mulutnya.
Apabila dirujuk dalam buku The Freshwater Fishes Of North Borneo (antara satu-satunya buku lengkap tentang ikan air tawar di utara Borneo yang diterbitkan pada tahun 1962 oleh Robert F. Inger dan Chin Pui Kong) spesies ini bernama saintifik Wallago maculatus nyata amat berlainan dengan tapah biasa atau Wallago attu.
Ads
Tambah menarik lagi apabila spesies ini disahkan oleh laman sesawang FishBase, hanya wujud di Sabah (Borneo utara). Bermakna ia tidak dijumpai di mana-mana tempat di Asia. Tidak seperti tapah biasa yang populasinya bertaburan di merata sungai di India, Pakistan, Afghanistan, sehingga ke Vietnam dan Indonesia.
Khabarnya ikan tawi atau Wallago maculatus yang hidup di Lembangan Sungai Kinabatangan di Sandakan adalah lebih tinggi populasinya dan padu saiznya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan haruan (Channa striatus) atau lebih dikenali sebagai ‘snakehead fish’ merupakan sejenis ikan karnivora yang hidup didalam air tawar. Satu lagi jenis ikan haruan besar atau giant snakehead (Channa micropeltes) yang juga dipanggil sebagai giant mudfish adalah dari kumpulan yang sama. Spesies ikan haruan ini memang banyak corak dan warnanya, lain kawasan mungkin ia berbeza-beza morfologinya.
Mengail ikan haruan memang sangat menyeronokkan kerana daya tarikan atau sentapan yang kuat pada ikan haruan sungguh hebat! Jarang-jarang kita semasa memancing ikan haruan yang terlepas semula, ini kerana ikan haruan akan makan habis umpan yang digunakan.
Ikan haruan mempunyai banyak jenis dan gelaran yang mungkin sebahagian daripada kita tidak kenal. Jenis-jenis haruan adalah seperti haruan todak, haruan palas, toman bunga dan bujuk. Saya mengenali beberapa jenis ikan tersebut kerana memang ada terdapat pada sawah dan anak sungai di kampung dahulu.
Kumpulan ikan ini adalah jenis ikan yang suka menyambar makanannya seperti anak ikan, katak, cicak dan umpan pada mata kain dan menarik dengan kuat ketika memancing.
Mulutnya yang besar dan pergerakannya yang sukar dikesan oleh mangsa menyebabkan ikan haruan merupakan ikan yang hebat dalam air. Saya memang suka memancing ikan haruan di kampung zaman remaja dulu dan jarang-jarang kecewa walaupun menggunakan mata kail buatan sendiri.
Ikan haruan todak atau juga dikenali sebagai ikan kedak merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa gachua. Ikan haruan todak boleh didapati di kawasan air sungai berjeram dan berair jernih.
Diet utamanya adalah anak-anak udang, dan serangga kecil. Saya pernah mengail ikan ini dahulu di kawasan sungai di kaki Gunung Ledang dekat Sagil, Tangkak. Memang tidak mudah untuk mendapatkan ikan ini kerana pada air jernih ia amat sukar untuk ditangkap.
Ikan haruan palas pula merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa melasoma. Ikan Haruan palas mempunyai warna kebiru-biruan di sebelah bawah badannya sementara bahagian lain berwarna agak gelap atau sedikit coklat bergantung kepada kualiti air.
Ikan haruan palas mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan pH airnya rendah atau senang dikatakan agak berasid. Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, cengkerik dan cacing. Ikan jenis ini pernah saya dapat dikawasan Paya Serompong iaitu kawasan paya yang agak luas dan mempunyai habitat sesuai untuk ikan jenis ini.
Ikan toman bunga atau juga dikenali sebagai ikan jelai, jaloi, kuang, kerandang, merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa marulioides. Ikan toman bunga merupakan ikan pemangsa jenis ikan seperti kepala ular.
Ikan toman bunga mendiami sungai, tasik dan kawasan berpaya berair gambut mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan pH airnya rendah, sama seperti ikan haruan palas dan juga ikan bujuk.
Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, serangga kecil seperti cengkerik, dan cacing. Saya juga pernah menangkap ikan jenis ini yang tersangkut pada jaring yang dipasang di kawasan paya di Kg Batu 27, Lenga, Muar dan sangat puas hati apabila digoreng dan makan dengan nasi panas.
Ikan bujuk adalah tergolong dalam ikan air tawar yang terdapat di negara-negara ASEAN, termasuk di Malaysia. Nama saintifiknya Channa Lucius. Ikan ini suka mendiami anak sungai yang mengalir dan kawasan paya. Ikan bujuk mempunyai warna gelap di bagian bawah (coklat kehitaman) dan agak terang sedikit di bahagian atasnya.
Ikan ini suka makan anak-anak ikan, serangga kecil, katak dan juga cengkerik serta bersifat seperti haruan lain yang cekap memburu mangsanya. Saya banyak kali memancing ikan bujuk di kawasan anak sungai Parit Pelampong depan rumah dan rasa ikan haruan jenis ini memang enak sekali.
Ikan patin bukanlah ikan yang asing di Malaysia. Beberapa spesies ikan patin merupakan spesies natif kepada perairan di Malaysia. Sesetengah ikan daripada genus Pangasius ini mampu mencapai saiz mega dan menjadi antara salah satu ikan pancingan sukan yang terbaik bagi kategori air tawar.
Bagi perairan di Malaysia, spesies natif iaitu spesies asal perairan adalah Pangasius hypophthalmuss, P. Nasutus (patin buah), P. micronemus (patin juara) dan Helicophagus waandersii (patin muncung). Begitu pun, spesies patin yang mampu membesar sehingga ke saiz mega ialah Pangasionodon gigas (Mekong giant catfish atau patin Mekong).
Patin mekong terkenal sehingga ke pelosok dunia dan menjadi antara salah satu spesies ikan mega air tawar yang perlu ada dalam senarai ikan yang perlu dipancing oleh kaki pancing. Hari ini spesies patin mekong ini sudah banyak terdapat di kolam-kolam pancing komersial di negara kita.
Ikan patin bukan sahaja terkenal dengan keseronokan untuk dipancing, malah ramai di kalangan masyarakat Malaysia yang bukan kaki pancing turut mengakui bahawa hidangan ikan patin cukup menyelerakan. Hidangan yang paling popular pastilah gulai tempoyak ikan patin lebih-lebih lagi di Temerloh, Pahang. Spesies patin juga turut diangkat menjadi simbolik kepada daerah Temerloh sehingga digelar Bandar Ikan Patin.
TABURAN SPESIES
Taburan ikan patin banyak berada di kawasan Asia Tenggara. Antara kawasan utama ialah Sungai Chao Phraya dan Lembah Sungai Mekong di mana cukup dikenali di serata dunia. Selain itu, perairan di sungai-sungai di Thailand, Myanmar, Borneo, Malaysia, Kemboja dan Vietnam turut dihuni oleh spesies ikan patin.
Bagi perairan dan sungai di Malaysia, ikan patin mudah dijumpai di Sungai Pahang, Sungai Perak dan beberapa lembah sungai lain. Lokasi yang sinonim dengan ikan patin di Malaysia tentulah di Sungai Pahang lebih-lebih lagi sekitar Temerloh.
MORFOLOGI
Bagi morfologi ikan patin, spesies ini tidak sukar untuk dikenali. Indikator utama bagi ikan patin ialah ikan ini tidak bersisik dan mempunyai bentuk badan yang agak panjang. Bahagian kepalanya pula mempunyai saiz yang agak kecil.
Walaupun mempunyai kepala yang kecil, bahagian mulutnya boleh membuka dengan agak luas dengan padanan gigi tajam yang halus pada rahangnya. Mata ikan patin pula agak besar dan mempunyai dua pasang barbel (sesungut atau misai) di mana barbel atas biasanya lebih pendek berbanding barbel bahagian bawah. Kebanyakan sirip asas pada ikan turut hadir bagi spesies ikan patin.
Juvenil ikan patin selalunya mempunyai warna kelabu yang agak gelap selari dengan garisan lateralnya. Apabila membesar sering kali warna ikan patin akan menjadi semakin cerah namun masih dapat dilihat perbezaan tona warna badannya antara bahagian atas dan bawah ikan patin.
HABITAT DAN BIOLOGI
Ikan patin merupakan satu spesies ikan air tawar. Kebanyakan spesies dari famili Pangasiidae merupakan spesies migrasi sungai (potamodromous) yang berenang jauh lebih beratus kilometer antara kawasan hulu sungai dan habitat mengawan serta kawasan untuk tumbesaran iaitu habitat nurseri.
Kebanyakan spesies ikan patin bersifat omnivor iaitu memakan apa sahaja sebagai diet pemakanannya. Ini termasuklah alga dan tumbuhan, zooplankton, serangga bagi juvenil dan buah-buahan sungai, krustasia dan ikan kecil bagi patin dewasa.
Kadar membesar ikan patin berbeza bergantung kepada spesiesnya. Bagi patin muncung, spesies ini boleh membesar sehingga 20kg bergantung pada habitatnya. Namun dalam famili Pangasiidae, spesies yang paling besar ialah patin Mekong yang mampu mencapai panjang tiga meter dan berat 300kg.
Musim mengawan bagi ikan patin selalunya bergantung kepada kitaran monsun, selalunya pada fasa awal monsun. Telur yang dilepaskan oleh ikan patin selalunya melekit dan melekat secara terbuka pada akar pokok atau tumbuhan sungai.
Sebagaimana penjelasan dalam pengkelasan spesies, ikan kap atau spesies ikan kap dilabel memiliki persamaan yang hampir ketara.
Begitu jugalah dengan spesies ikan kap Siam (Siamese carp) dan ikan kap India (Indian major carp).
Ikan kap India atau catla, yang turut dikenali dengan nama umum major carp atau major Indian carp (nama saintifiknya Catla catla) adalah ikan air tawar Asia Selatan yang penting dari segi ekonomi.
Spesies tunggal dalam keluarga besar Cyprinidae ini biasanya ditemui di sungai-sungai dan tasik di utara India, Nepal, Myanmar, Bangladesh, dan Pakistan.
Kap India adalah ikan dengan kepala yang besar, rahang bawah yang menonjol besar, dan mulut terbalik.
Ia mempunyai skala yang besar, berwarna kekelabuan di bahagian belakang badan dan keputihan pada perutnya.
Catla mencari makanan di permukaan dan pertengahan air. Catla dewasa memakan zooplankton, manakala catla muda atau juvenil memakan zooplankton dan fitoplankton.
Ia mencapai kematangan seksual pada usia purata dua tahun dan purata berat dua kilogram dan mampu membesar sehingga 38 kilogram.
Di Malaysia, ikan kap India ini turut dikenali dengan nama karak oleh warga tempatan. Namun, identiti ikan karak ini sering mengelirukan khususnya kepada pemancing dengan ikan kap Siam.
Sekali pandang, ciri-ciri ikan Indian carp dan Siamese carp sememangnya boleh mengelirukan kerana memiliki skala dan bentuk badan yang hampir sama.
Namun ikan kap India ini boleh dibezakan dengan ikan kap Siam melalui ciri-ciri sirip pektoral (sirip atas badan) yang panjang sehingga ke sirik pelvik (sirip ekor).
Sementara sirip pektoral ikan kap Siam lebih pendek. Seperkara lainnya, mulut ikan kap India jauh lebih kecil berbanding mulut ikan kap Siam.
Melalui perkenalan ini dapat dijelaskan bahawa kebanyakan ikan karak yang terdapat di beberapa buah kolam pancing komersial air tawar di Malaysia ini sebenarnya adalah merujuk kepada ikan kap India dan bukannya ikan kap Siam.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...