Dalam dunia memancing, umpan bolehlah dikatakan antara perkara paling penting selain tali dan mata kail yang harus dititikberatkan oleh si pemancing.

Sama ada umpan ‘tipu’ atau umpan ‘betul’, ia adalah elemen penting untuk mendapatkan ikan. Kalau takde umpan macam mana pulak hendak dipikat ikan idaman masing-masing?

Jadi, untuk isu wacana ini, penulis berasa terpanggil untuk bercerita perihal ‘umpan power’.

Isu ini juga sering menjadi buah mulut dan menimbulkan banyak persoalan di kalangan kaki pancing. Iyelah, wujud ke istilah umpan power ni? Sejauh mana keberkesanannya?

 

Terlebih dahulu penulis hendak rungkaikan dahulu maksud istilah umpan power ini.

Umpan power bukanlah bermaksud umpan yang anda gunakan boleh mengeluarkan sejenis ‘super power’ atau magis untuk mendapatkan ikan.

 

Istilah ini lebih merujuk kepada umpan yang digunakan menepati citarasa dan sering menarik perhatian ikan idaman anda.

Kalau dapat kita lihat, bagi peminat pancingan kolam air tawar istilah umpan power ini memang benar-benar wujud.

 

“Kejap-kejap, dia je yang pacakkk!! Umpan powerlah tu!”.

Situasi dan dialog ini memang dah diskripkan oleh kaki pancing kolam sebab ini memang perkara biasa.

Dari awal memancing asyik member sebelah je strike ikan. Mau tak berbulu dibuatnya?

 

Biasanya bagi kes pemancing tegar kolam air tawar, mereka gemar melakukan kajian demi kajian untuk membaca diet ikan sasaran mereka.

Pelbagai resipi dicuba dan dicampur. Kadangkala umpan alternatif seperti siput atau ketam pun boleh jadi umpan power untuk kaki pancing.

 

Bila sudah menjumpai resipi yang benar-benar mampu menambat selera ikan memang tak menang tanganlah memungut hasilnya.

Tapi tak semua tempat akan berpandukan pada satu resipi sahaja. Harus diingat, ‘lain padang, lain belalangnya.

IKLAN

Kajian tentang ‘setting’ umpan dan rencah-rencah yang diperlukan ini haruslah berterusan demi mendapatkan hasil yang memuaskan.

 

Itu bagi pancingan kolam air tawar. Bagaimana pula dengan lapangan pancing yang lain? Ada juga ke istilah umpan power?

Bagi penulis sendiri, istilah umpan power ini lebih sesuai dan menjurus kepada pancingan kolam air tawar sahaja.

Iyelah, untuk lapangan yang lain, biasanya umpan yang lebih kurang sama sahaja digunakan.

 

Sebagai contoh, penggunaan umpan hidup seperti udang, sotong dan ikan ketika memancing di laut.

Boleh dikatakan umpan ini antara umpan biasa yang sering digunakan kaki pancing. Kalau nak kata member sebelah asyik ‘strike’ ikan dan anda asyik membangau, janganlah disalahkan umpan yang anda gunakan.

 

Jika umpan dah sama, mungkin ada perkara lain yang tak sama. Misalnya panjang, diameter, warna perambut tak sama.

Mata kail berbeza saiz dan beberapa perkara lain lagi. Jika semuanya sama ‘sebijik’ dengan rakan sebelah, mungkin ‘luck’ anda tiada pada waktu dan di tempat itu. Mungkin rezeki anda ditempat atau hari lain. Siapa yang tahu kan?

 

Berbeza pula dengan teknik casting dan jigging yang menggunakan umpan tiruan. Biasanya penggunaan umpan tiruan ini juga memerlukan ‘trial and error’.

IKLAN

Anda harus ada banyak koleksi gewang yang mempunyai warna dan bentuk yang berlainan untuk memujuk spesis pemangsa menyambar umpan anda.

 

Biasanya bila umpan dah ok, kena lihat pula teknik dan gaya yang anda persembahkan. Insyaallah, jika kena umpan dan gayanya pasti ada ikan yang tertarik untuk menyambar.

Bagi penulis, kerajinan anda casting dan meneliti tabiat dan tahu spot spesies yang diburu juga akan memberi nilai tambah sekaligus membutirkan hasil yang baik.

Jadi, kesimpulan yang dapat penulis simpulkan, istilah umpan power ni tidaklah secara menyeluruh boleh diguna pakai oleh kaki pancing.

 

Bagi pemancing tegar kolam air tawar memang penulis akui umpan yang power memainkan peranan yang amat besar untuk mendapatkan hasil.

Tapi bagi lapangan yang lain, semuanya  bergantung kepada teknik yang dipersembahkan dan mungkin sedikit tuah untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.

 

Apa kata netizen:

 

“Di United Kingdom, umpan paling power adalah ‘white rag’, sejenis pumpun besar dan panjang. White rag susah didapati dan menjadi rebutan pemancing pancingan pantai di sini.

Keistimewaan umpan ini adalah ia mampu menarik perhatian ikan walaupun kawasan itu kekurangan ikan yang giat memakan umpan.

IKLAN

Memadai dengan secebis bahagian digunakan secara ‘tipping bait’ dapat menentukan hari ‘ kumpau’ atau hari menghidang ‘ fresh fish and chips’ ala Barat.

Oleh sebab itu kebanyakan pertandingan memancing di sini menghalang penggunaan White Rag.”

– Pendapat 1

 

“Umpan power hanya wujud 10% dalam diari hidup saya. Teknik 30% dan selebihnya rezeki yang tertulis. Baik di kolam memancing, sungai mahupun lautan.

Umpan power teknik tak betul belum tentu boleh mendaratkan hasil. Teknik cantik, umpan tak power boleh menjaminkan hasil.

Teknik seperti saiz/ panjang perambut, saiz batu, saiz mata kail memainkan peranan yang penting dalam dunia hanyir kita ni.”

– Pendapat 2

 

“Umpan power pada saya hanya kebetulan saja. Jika di laut terbuka, sungai dan tempat-tempat semula jadi, faktor rajin menukar umpan dan teknik pancingan itu yang utama. 

Manakala di kolam atau lombong, umpan power ni boleh diguna pakai kerana diet ikan itu yang terbiasa dengan umpan power tersebut.”

– Pendapat 3

 

“Bagi saya umpan power bergantung pada spesis yang ingin dicari. Kalau baung biasanya tapa atau ulat sagu. Jika air masin umpan power semestinya umpan yang fresh.

Bergantung pada keadaan dan ikan yang dicari. Namun secara peribadi,istilah umpan power memang wujud khususnya di kolam memancing komersial air tawar.”

  • Pendapat 4

 

“Bagi saya umpan juga memainkan peranan penting. Baru-baru ni saya memancing di Perak. Kami memancing bertiga dan menggunakan umpan yang berlainan perisa.

Dua umpan langsung tidak disambar ikan walaupun kami baling ditempat yang sama hanya satu umpan saja yang disambar ikan. 

Jadi istilah umpan power ni boleh dikatakan wujud dalam diari pemancing. Apa yang saya nyatakan ini bukan untuk umpan dedak sahaja, malah termasuklah gewang yang boleh diklasifikasikan sebagai gewang ‘killer’.”

  • Pendapat 5

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI