Percaya atau tidak, banyak mata memandang kerjaya sebagai tekong atau pengusaha bot memancing dalam industri memancing masa kini sebagai profesion yang menguntungkan.
Ramai yang beranggapan ia umpama lubuk emas dan tidak kurang yang memasang impian untuk bergelar seorang tekong.
Hanya dengan menghitung kos sewaan perkhidmatan harian dengan jumlah trip per bulan, mereka akan terpesona dengan deretan angka yang masuk saku para tekong.
Umpama melihat itik yang terapung tenang di permukaan air, mereka sama sekali tidak nampak usaha keras sepasang kakinya di dalam air untuk kelihatan tenang di permukaan.
Atas dasar itu, Wacana Umpan kali ini cuba membongkar dan mendedahkan keluhan dan harapan para tekong dan pengusaha bot memancing.
Berikut merupakan keluhan dan harapan yang diluahkan oleh tekong yang dihubungi oleh Team Umpan.
IKLAN
Keluhan dan harapan
Aktiviti memancing ini boleh menjana pendapatan kepada negara menerusi kemasukan pelancong asing.
Secara tidak langsung ia menyokong industri pelancongan dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Maka, sokongan dari pihak berwajib amat penting di dalam membantu:
IKLAN
Kenaikan harga bahan api (petrol) menyukarkan operasi. Bantuan hanya diberikan kepada nelayan tetapi pengusaha bot memancing tidak mendapat mendapat bantuan.
Harga enjin dan kos pembuatan bot meningkat tinggi dan ia diburukkan lagi dengan kejatuhan mata wang ia memberi kesan terus kepada pengusaha bot memancing.
Pihak berwajib perlu membuat semakan dengan memberi pengecualian atau mengurangkan cukai import bagi mengurangkan bebanan ini.
Harga alat-alat ganti enjin bot sangat tinggi dan kos upah baik pulih juga tinggi dan ia memerlukan perhatian wajar dari pihak berwajib.
2. Tiada sokongan dari bank-bank untuk membantu pengusaha di dalam menyediakan pinjaman untuk melebarkan lagi perniagaan. Semua urusan adalah tunai dari pengusaha merencatkan aktiviti pengembangan.
3. Tiada zon khas yang diwartakan untuk lokasi memancing sebagaimana Taman Laut yang dikhususkan untuk aktiviti skuba. Usaha dari pengusaha bot memancing membuat tuas dan unjam tidak bertahan lama.
Ribuan wang dilaburkan untuk menyediakan lokasi memancing tetapi dengan kehadiran bot pukat tunda dan lain-lain aktiviti penangkapan ikan komersial yang tidak terkawal merosakan prasarana yang disediakan.
IKLAN
4. Banyak terumbu karang dirosakkan dengan penangkapan ikan secara komersial menggunakan teknologi yang telah diharamkan oleh negara maju masih dipraktikan di negara kita.
Populasi ikan semakin berkurangan disebabkan tiada kawalan dan penguatkuasaan dibuat. Karang-karang musnah, benih-benih ikan kecil dikaut dengan rakus. Pembiakan terganggu dan makin pupus.
5. Kewujudan pihak yang ingin mengaut keuntungan di mana khazanah negara seperti kapal-kapal yang karam sekian lama besi, tembaga dan lain-lain yang bernilai dinaikan dan dijual menyebabkan lokasi memancing dan pembiakan ikan berkurangan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tekong merupakan individu paling penting dalam menjayakan sesuatu trip spot fishing seperti casting dan jigging. Pengalaman dan kemahiran mereka mengesan lubuk ikan ditagih. Namun, adakah tugas seorang tekong atau boatman ini sekadar hanya membawa pemancing ke lubuk dan biarkan pemancing bertungkus-lumus melunaskan hobi sahaja?
“Pada pengalaman saya la…tekong ni kena rajin. Kalau kumpau, tekong kena pindah-pindah mencari port yang boleh strike. Tekong jugak perlu bersama-sama pemancing mendaratkan dan memancing ikan. Hasil tekong tu beleh bagi pada pemancing atau bahagikan sebab kesian pemancing membangau… hahaha!”
– Nik Khairil
“Teringat waktu perkenalan pertama dengan tekong Asrul Iman dan trip fully light jigging/casting pertama bersama beliau. Sebelum tu beliau hanya mempraktikkan teknik bottom dan micro jigging.
Cuaca yang kurang mengizinkan di spot utama memaksa kami berlabuh di spot apollo kembung. Sesekali ikan parang sudi menyambar pensel yang dipersembahkan.
Berbaki 3 jam sebelum pulang, tekong nekad menuju ke spot utama walaupun kelihatan mendung dan beralun dengan alasan tidak mahu kami pulang tanpa hasil. Tiba di spot utama kelihatan cuaca mula reda dan laut mula tenang.
Berbaki 2 jam lagi sebelum pulang namun rezeki menyebelahi dengan hanya 1 jam 30 minit kami berjaya menaikkan 5 ekor tenggiri, 7 ekor talang dan seekor jenahak. Semua bersaiz kasar.
Salute dengan tekong turut sama mencuba berjigging bagi menambah hasil kami. Trip kedua dengan beliau, beliau pula yg bertungkus lumus mendaratkan hasil apabila melihat kami kecundang mabuk dibuai alun. Tabik tekong!”
– Weslley Melina
“Zulnizam Muhamad merupakan tekong rajin cari port untuk pastikan customer ada strike supaya customer x membangau. Hasil strike beliau sendiri pun dia bagi dengan customer. Tabik ini olang.”
– Jeffreyson Esley
“Semoga Pak Sudir mengambil iktibar dari setiap coretan dan kenangan para pemancing dalam ruangan ini untuk menjadi skipper atau tekong terbaik buat para pemancing yang menggunakan khidmat Pak Sudir. Rezeki itu milik Allah, aku hanya mampu memberikan perkhidmatan terbaik. Kumpau itu indah… strike itu satu anugerah.”
– Pak Sudir
“Tekong bot Kuala Dungun lagi best. Masa pergi mencandat sotong dulu. Sampai port dia turunkan pukat dia dulu. Dah kaut satu tong besar baru bagi mencandat. Dah kaut dengan pukat mana nak ada lagi sotong… hampeh! Nasib baik abang saya pau dia sotong satu coleman penuh. Kalau tak rugi bayar sewa.”
– Mohd Amin Ali
“Tekong Leman, Tekong Pakya, Tekong Pakdin, Tekong Paed… ni antara tekong terbaik tuas Tanjung Dawai dan Sungai Petani. Tekong Rofi zal Abd Rahman, Tekong Bidi Angler’s, Tekong Mat Senyum, Tekong Mad Krie… antara tekong terbaik di tuas Payar. Apa pun tekong dah try yang terbaik. Cuma rezeki dari Allah yang menentukan.”
– Shawal Hasim
“Aku sewa bot RM1,200 untuk 3 orang konon-konon nak selesa. Lepas tu dia (tekong) bawak awak-awak seorang dan kawan dia seorang. Aku memancing kat belakang, dia memancing kat depan, tali dia berkali-kali berbelit dengan tali aku tapi dia buat bodoh.
Bot aku dan kawan-kawan sewa RM 1,200, dia dan awak-awak sama-sama memancing hasil yang dia dapat semua dia ambik. Dia jual hasil dapat dekat RM 1,000. Aku bayar sewa RM1200, makhluk yang menumpang foc dapat hasil hampir RM1000. Tekong asalnya ok tapi bila dah banyak kali sewa macam hampeh. Harap-harap ada tekong yang baca.”
– Mohd Kamal Ali
“Kalau pergi mengail harap tekong saja dok mengail casting sampai petang, esok tekong nak turun pulak. Kalau hari-hari turun mau tercabut tangan. Kita sebagai pemancing kena la usaha. Jangan dok main bottom tapi nak tarik tenggiri. Balik darat kata tekong tak bagus la… tak cari ikan la.”
– Tekong Leman
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Dalam tempoh masa 55 tahun, 90 % pemangsa utama lautan hilang akibat kerakusan aktiviti manusia. Populasi ini termasuk jerung, marlin, tuna sirip biru, swordfish dan king mackerel.
Kehilangan populasi spesies pemangsa ini boleh mengubah keseluruhan ekosistem laut di mana secara komersialnya ikan bernilai tinggi berganti dengan ikan pemakan plankton. Tidak mustahil obor-obor akan menggantikan ikan seperti yang kita makan hari ini.
Piramid makanan terganggu
Jika pengurangan ikan besar bernilai tinggi yang juga pemangsa utama seperti tuna atau marlin, tumpuan akan teralih kepada tingkat bawah pemangsa utama dalam sistem piramid makanan.
Ini bermaksud, penangkapan ikan akan terarah kepada spesies yang semakin kecil dan kurang bernilai di serata ceruk lautan.
Sudah lama berlarutan
Penangkapan berlebihan atau overfishing telah didokumentasikan sejak awal 1800-an ketika manusia menangkap populasi paus untuk mendapatkan lapisan lemaknya (whale blubber) untuk dijadikan bahan api lampu.
Pertengahan 1900-an, spesies Atlantic cod, herring dan sardine California ditangkap sehingga ke tahap hampir pupus.
Risiko kepupusan spesies lautan dianggap malapetaka ketika lewat abad ke-20.
Memukat berlebihan
Spesies yang ditangkap namun bukan spesies buruan dipanggil tangkapan sampingan (bycatch).
Banyak spesies laut yang menjadi mangsa tangkapan sampingan seperti penyu, ikan lumba-lumba, jerung dan sebagainya tertangkap oleh pukat atau alat tangkapan lain.
Spesies ini kebanyakannya akan mati walaupun dilepaskan semula.
Punggah sumber laut berlebihan
Tahun 1989, waktu itu jumlah tangkapan tahunan daripada hasil laut sahaja mencecah angka 90 juta tan metrik.
Waktu itu juga industri perikanan dikatakan telah mencapai tahap paling tinggi dari segi hasil tangkapan dan sejak itu graf hasil tangkapan industri terus menjunam.
Ancaman pukat tunda
Pukat tunda di lautan boleh diibaratkan sebagai menarah hutan untuk pembalakan. Kapal akan menarik pukat yang besar, berat sehingga beberapa tan sehingga ke dasar laut untuk menangkap apa yang ada di sepanjang laluannya.
Dalam proses tersebut, pukat tunda ini akan memusnahkan segala yang ada dalam laluannya termasuk organisma, struktur dasar laut dan pelbagai hidupan dasar laut yang sensitif.
Sektor akuakultur lembam
Dalam akuakultur, sesetengah makanan untuk ikan ternakan menggunakan ikan yang ditangkap.
Untuk membesarkan 1lb ikan salmon ternakan, sekitar 4-11lb ikan baja perlu diberi. Ini menjurus kepada tangkapan berlebihan untuk mendapatkan ikan baja bagi kegunaan akuakultur.
Jika pola ini berterusan tanpa kawalan, pengkaji meramalkan sektor akuakultur akan berkembang melebihi penawaran ikan baja pada tahun 2020.
Ancaman industri perikanan
Satu jurnal kajian ke atas data tangkapan yang diterbitkan pada tahun 2006 meramalkan bahawa, jika kadar tangkapan terus pesat seperti hari ini, industri perikanan akan lumpuh sepenuhnya pada tahun 2048. (Ref: National Geographic)
Jika ini berlaku, bermakna sumber lautan telah diterokai dan dieksploitasi sepenuhnya sehingga ke tahap laut akan mati.
Sebagai komuniti pemancing, kehabisan sumber bermakna aktiviti memancing juga akan mati.
Jadi, bersediakah kita ucapkan selamat tinggal kepada aktiviti memancing jika keadaan ini berlaku? Renung-renungkan dan katakan ‘TIDAK’ pada overfishing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ramai bersetuju bahawa aktiviti memancing merupakan aktiviti membuang masa, tenaga dan wang ringgit.
Mana tidaknya, kebanyakan pemancing akan pergi memancing dari awal pagi hingga lewat petang.
Ada pula yang pergi memancing beberapa hari, dari awal minggu hingga hujung minggu. Mereka juga terpaksa meninggalkan anak dan isteri di rumah.
Semasa keluar mereka bertenaga, apabila pulang badan dah penat. Habis tenaga berjemur di tengah panas dan kadang-kadang dilanda hujan, ribut dan petir.
Bukan itu sahaja, duit juga banyak dilabur untuk membeli barang-barang dan alatan memancing.
Beli umpan, duit minyak, tambang bot, chalet, makan, minum, rokok, dan bermacam lagi barangan yang difikirkan perlu oleh pemancing.
Ada juga yang habis ribuan ringgit semata-mata hanya untuk keluar memancing!
Jadi, memang benarlah aktiviti memancing ini membuang masa, tenaga, dan wang ringgit, terutama pada mereka yang tidak melakukannya.
Tetapi, apa kesan aktiviti memancing ini kepada pemancing itu sendiri? Apa kesannya kepada pembangunan ekonomi dan negara?
Apa akan terjadi sekiranya pemancing ini dihalang dari keluar memancing?
Kajian mendapati bahawa pemancing keluar memancing atas sebab tertentu. Menurut bapa ‘motivasi pemancing’ Dr. Fedler dan Dr. Ditton (1994), tujuan pemancing keluar
memancing bukanlah semata-mata untuk mendapatkan ikan, tetapi untuk mendapatkan ‘rekreasi’.
Betul ikan adalah benda yang mereka buru, tetapi tujuan utama mereka adalah untuk mendapatkan rekreasi. Kebanyakan pemancing sendiri tidak sedar tentang hal ini!
Rekreasi yang dimaksudkan termasuklah ‘ketenangan’, ‘menikmati alam sekitar’, ‘untuk bersama rakan’ selain ‘keseronokan mendaratkan ikan’.
Oleh itu ‘ikan’ hanyalah tarikan untuk pemancing mendapatkan ‘rekreasi’.
Kesan aktiviti memancing kepada masyarakat telah banyak dibincangkan di negara maju.
Pemancing akan cuba mendapatkan ‘ketenangan’ semasa memancing dengan merehatkan badan dan minda, iaitu fizikal dan mental.
Mereka juga dapat lari dari rutin kehidupan harian. Di negara maju seperti di Amerika Syarikat dan Australia, telah menjadi kebiasaan bagi rakyatnya untuk keluar memancing pada hujung minggu bersama rakan atau ahli keluarga.
Cari sahaja di capaian internet, anda akan dapati setiap lapisan masyarakat, pelbagai peringkat umur dan jantina, keluar memancing bersama rakan atau keluarga.
Bagaimana pula kesan dari sudut ekonomi? Sudah tentu ianya berkaitan dengan wang yang dibelanjakan oleh pemancing.
Secara tidak sedar, kawasan yang dikunjungi oleh pemancing akan pesat membangun.
Di situ ada orang membuka kedai alatan memancing, kedai umpan, kedai runcit, menjual makanan, kuih-muih, ada juga yang mengusahakan chalet atau homestay untuk pemancing, dan bermacam-macam lagi aktiviti ekonomi terjana.
Bayangkan seperti di Tasik Kenyir, pemancing sanggup berbelanja ribuan ringgit hanya untuk menginap di ‘houseboat’.
Malah, sejak keluar dari rumah untuk sampai ke Tasik Kenyir, mereka telah pun berbelanja ratusan ringgit untuk minyak kereta, makan dan minum.
Keadaan ini menggalakkan perkembangan ekonomi setempat dan negara.
Ada juga pendapat menyatakan bahawa aktiviti memancing dapat mengurangkan kos perbelanjaan negara, iaitu kos rawatan pesakit di klinik dan hospital awam.
Mana tidaknya, mereka yang terlibat dengan aktiviti memancing adalah orang yang sihat dari segi mental dan fizikal.
Mereka kebiasaannya adalah orang yang lasak dan tinggi daya tahan penyakit. Sekaligus mereka kurang ke klinik dan hospital awam untuk mendapatkan rawatan.
Perkara ini ada dinyatakan dalam kajian rekreasi oleh California State Park pada tahun 2005, semasa pelakon Hollywood Arnold Schwarzenegger menjadi gabenor di negeri tersebut.
Kajian mendapati aktiviti rekreasi dapat mengurangkan stres atau depresi, mengurangkan obesiti dan penyakit kritikal lain seperti; serangan jantung, tekanan darah tinggi, diabetis, dan osteoporosis.
Negara juga akan mengalami pertambahan ‘keluaran dalam negara kasar’ secara tidak langsung, apabila negara mempunyai masyarakat yang sihat dari segi mental dan fizikal.
Selepas keluar memancing, pada keesokannya, produktiviti kerja pemancing di pejabat akan meningkat.
Mereka dapat melakukan kerja dengan lebih produktif dan efektif dari sebelumnya.
Oleh itu, apa yang boleh dilakukan dalam menjawab soalan ‘kenapa membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk memancing?’
Di sini ada dua idea, untuk pemancing dan masyarakat umum.
Bagi pemancing, mereka seharusnya bijak dalam menentukan keutamaan aktiviti harian.
Boleh pergi memancing, tetapi pastikan kebajikan dan kepentingan ahli keluarga diutamakan terlebih dahulu.
Pemancing harus meletakkan tanggungjawab yang tinggi pada keperluan anak dan isteri, serta ahli keluarga yang lain.
Jika semuanya telah selesai, maka bolehlah pergi memancing – selama mana tempoh yang dirasakan berpatutan, tidak terlalu singkat dan tidak terlalu lama.
Pemancing juga harus bijak dalam membelanjakan wang. Bahagikan wang untuk keluarga dan keperluan utama terlebih dahulu.
Selebihnya berbelanjalah untuk aktiviti memancing anda, dengan berhemah. Dari segi produktiviti kerja pula, buktikan pada majikan dan masyarakat sekeliling bahawa
pemancing adalah seorang yang produktif dan efektif dalam melakukan tugasan, terutamanya selepas keluar memancing.
Manakala bagi masyarakat umum, termasuklah ahli keluarga, rakan dan masyarakat di luar sana, ‘menghormati’ dan ‘memahami’ adalah dua perkara yang perlu dititik-beratkan.
Menghormati hak pemancing adalah sangat penting. Kita tahu, masa, tenaga dan wang yang dibelanjakan oleh pemancing adalah untuk mendapatkan ‘rekreasi’, bagi kelangsungan hidup pemancing sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
Fahamilah pemancing, kerana mereka memang terlalu cintakan aktiviti ini. Berilah galakan dan sokongan kepada mereka untuk memancing secara positif.
Ingatlah bahawa aktiviti memancing adalah jauh lebih baik dari aktiviti lain yang tidak bermoral di luar sana.
Dengan harapan, selepas ini, aktiviti memancing tidak lagi dianggap sebagai membuang masa, tenaga dan wang ringgit, malah dianggap sebagai penyumbang kepada kesan positif bagi individu pemancing, pembangunan ekonomi dan negara.
Penulis:
Dr. Izharuddin Shah Kamaruddin, UPM
Pensyarah Kanan (Bidang Perikanan Rekreasi),
Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian,
Universiti Putra Malaysia
Rujukan:
Dr. Fedler dan Dr. Ditton (1994) Understanding Angler Motivations in Fisheries Management
California State Park (2005) The Health and Social Benefits of Recreation: An Element of The California Outdoor Recreation Planning Program
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...