Petang Jumaat itu, saya dan Rosli sama-sama mengacau rendang daging minang di bawah pondok kecil di belakang rumah ibu.
Ketika inilah Rosli rancak bercerita tentang pengalamannya memancing ikan di Sungai Bertam yang terletak hanya 2 kilometer dari rumah ibu saya.
Kata Rosli, selain keli, haruan, puyu, sepat dan belida juga menghuni di situ. Kadang kala kalau bernasib baik, lampam dan jelawat juga boleh menjadi mangsa umpan.
Mendengar cerita Rosli itulah yang membuatkan hati saya begitu membara untuk pergi memancing.
Tidak sampai sepuluh minit berbincang, kami sudah mengambil keputusan untuk pergi memancing pada malam itu juga, sebaik rendang daging ini masak.
Usai solat Isyak, saya, Rosli dan dua lagi rakan pemuda kampung, Azmi dan Palawi menunggang dua buah motosikal menuju ke Sungai Bertam.
Pemergian kami tidak sesiapa pun tahu. Kalau diberitahu kepada isteri tentu dia akan berleter panjang. Maklumlah banyak lagi kerja di dapur yang menunggu.
Palawi sudah menyediakan batang bertam sebagai joran. Bertam merupakan sejenis tumbuhan daripada keluarga palma yang tumbuh serumpun.
Lazimnya daun pokok bertam digunakan sebagai atap pondok. Batangnya pula sesuai dijadikan batang joran kerana tumbuhan ini tidak mempunyai batang berkayu, justeru, ia sangatlah ringan.
Dengan menggunakan cacing dan cengkerik sebagai umpan, kami mengambil port di sepanjang tebing sungai untuk mencari mangsa.
Sedetik demi sedetik masa berlalu. Malam itu memang malam yang gemilang. Semua umpan yang dilabuhkan dimakan mangsa dengan rakus.
Saya sendiri sudah memperoleh tiga ekor ikan keli dan seekor belida bersaiz dua tapak tangan. Kami memancing tanpa bersuara.
Hanya bertemankan asap rokok yang dijadikan penghalau nyamuk yang menyanyi riang di gegendang telinga.
Sepanjang berada di situ, hati saya langsung tidak teringat kenduri di rumah. Saya asyik melayan tarikan ikan yang menjadi mangsa umpan yang saya taburkan.
Saya tidak kisah sama sekali sama ada saya mendapat ikan kecil atau besar. Yang penting keseronokan menarik ikan di hujung tali kail yang mendatangkan feel luar biasa kepada saya.
Dalam asyik melayan tarikan ikan itulah saya tidak sedar sepasang mata besar berwarna merah tajam memerhati pergerakan saya dari rumpun buluh yang terletak di belakang saya.
Ketika angin sejuk berhembus diikuti dengan pergerakan awan tebal gelap menutup cahaya bulan penuh malam itu, pergerakan mata merah itu semakin hampir dengan tempat saya duduk di tebing sungai.
Saya hanya berasa bulu roma saya meremang tiba-tiba dan mendengar jeritan kawan-kawan yang menyuruh saya lari.
Itulah ayat terakhir yang singgah di gegendang telinga sebelum saya merasakan pandangan saya kelam dan saya tidak sedarkan diri.
Saya hanya tersedar apabila mendengar bunyi azan yang mendayu-dayu di telinga. Sebaik sahaja saya membuka mata, saya melihat wajah isteri yang sembab dan wajah ayah yang sugul duduk di bahagian kepala saya.
Melihat saya membuka mata, barulah mereka tersenyum dan isteri memeluk saya dengan erat.
Saya jadi terpinga-pinga dengan kejadian sebenar yang berlaku. Perasaan hairan itu menjadi bertambah apabila melihat ruang tamu itu dipenuhi dengan jiran tetangga yang datang.
Tok Sidang Majid dan Imam Syukri juga tersenyum memandang saya. Saya disuruh minum segelas air yang sudah dibacakan Surah Yassin.
Laju saya minum kerana terlalu haus. Akhirnya, saya tahu juga kisah sebenar apa yang berlaku. Menurut Azmi dan Palawi, mereka menjerit menyuruh saya lari kerana ketika itu
mereka ternampak kelibat seekor harimau sebesar kerbau jantan keluar meluru daripada rumpun buluh menuju ke arah saya.
Apabila bayangan itu hilang, saya seolah-olah dirasuk apabila mula merangkak dan mengaum dari tebing.
Saya juga mula meratah ikan mentah saya yang dapat tadi seekor demi seekor. Mereka cuba menghampiri saya untuk membawa saya balik namun kekuatan yang ada pada saya sangat luar biasa.
Namun apabila Rosli melaungkan azan dan membawa ayat Nabi Sulaiman barulah saya menjadi lemah dan mudah dipapah ke atas motor.
Di rumah ibu juga, saya bagaikan dirasuk apabila mula menjerit, mengaum dan bercakap benda-benda yang merepek.
Hanya setelah Imam Syukri dan Tok Sidang datang, barulah saya beransur pulih dan mula sedar diri.
Saya bersyukur kerana tiada apa-apa yang lebih buruk berlaku kepada saya selepas itu. Sesungguhnya, saya percaya itu adalah ujian yang Allah SWT berikan supaya saya sentiasa beringat dan lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Jika anda ingin memancing di perairan air masin dari muara hingga ke laut dalam dan ingin menjadikan ikan sebagai umpan utama, pilihlah ikan yang disenaraikan ini.
Ikan Belanak
Boleh dianggap sebagai umpan terbaik bagi pancingan pantai atau pesisir. Sekiranya ingin memancing siakap, pari, kerapu atau jenahak maka jangan lupakan ikan belanak ini. Selain digunakan sebagai umpan hidup, belanak juga boleh digunakan secara hirisan isi ikan. Isinya yang agak pejal dan kulit yang liat membolehkan ia bertahan dengan baik pada mata kail sehingga dimakan ikan.
Ikan Bilis
Sama ada dalam keadaan hidup atau sudah mati tetapi dalam keadaan segar, ikan bilis merupakan ikan yang sangat berkesan untuk dijadikan umpan. Berikutan sukar untuk memperolehinya, ikan bilis hidup lebih banyak digunakan bagi pancingan di kelong. Sekiranya anda berjaya apollo ikan bilis ini, maka cerahlah peluang anda untuk strike ikan gred A.
Ikan Tamban
Umpan yang sangat berharga jika digunakan ketika ia masih hidup. Apa saja ikan pelagik atau pemangsa seperti tenggiri, talang, senangin atau jenahak jarang melihat saja umpan tamban melintas di depan matanya. Malah ikan pemangsa bersaiz besar seperti ikan layaran turut menggemari aksi tamban hidup ini. Hirisan isinya juga sesuai digunakan sebagai umpan.
Ikan Pelaling
Ramai yang berasa sayang untuk menggunakan umpan ini ketika ia masih hidup. Tetapi jika inginkan strike dari layaran, tenggiri atau barracuda maka cangkuklah ikan kembung ini pada mata kail. Selain digunakan sebagai umpan hidup, kembung juga boleh digunakan dalam keadaan segar dalam bentuk seekor mahupun secara hirisan. Keluarga ikan kembung yang lain seperti pelaling juga sangat efektif.
Ikan Selayang
Ikan selayang atau sardin merupakan antara umpan hidup yang popular di perairan Laut China Selatan. Ramai pemancing yang percaya jika memperolehnya hidup-hidup maka berpeluang cerah untuk mendapatkan ikan pemangsa. Malah jika digunakan ketika ia masih segar ia turut berpeluang untuk memikat kerapu, merah, aruan tasik dan lain-lain lagi.
Ikan Selar
Ikan selar (terutamanya selar kuning) merupakan ikan pelagik yang wajib dipancing di kawasan unjam sebagai persediaan umpan hidup untuk memancing. Berbanding ikan tamban atau kembung, ikan selar lebih berdaya tahan apabila dijadikan umpan. Namun apabila sudah mati di mata kail, ia kurang berkesan untuk dijadikan umpan.
Ikan Tongkol
Umpan yang sinonim untuk pancingan laut dalam bagi memburu ikan-ikan monster seperti ruby snapper, kertang, yu kemejan dan lain-lain lagi. Ikan tongkol sememangnya umpan yang sangat berkesan berikutan memiliki darah yang banyak, struktur daging yang pejal dan kulit yang sangat liat. Selain digunakan dalam bentuk hirisan, ia juga sesuai digunakan seekor untuk memburu ikan monster.
Ikan Cabuk
Ikan parang atau lebih popular dengan nama cabuk agak kurang digunakan sebagai umpan oleh pemancing masa kini. Ikan parang yang manis isinya ini cukup digemari oleh kebanyakan ikan seperti tenggiri, ebek, malong, pari dan lain-lain lagi. Selain digunakan secara potongan atau hirisan,ia juga digunakan dalam bentuk seekor khususnya untuk menjerat tenggiri.
Ikan Jenjulung
Jika di estuari atau pancingan muara, ikan jenjulung ini sememangnya umpan killer bagi memancing siakap merah. Namun ikan lain seperti todak dan barracuda turut membaham umpan ini. Namun bagi pemburu MJ atau siakap merah di beberapa lokasi seperti Kuala Trong atau Kuala Selinsing, ikan jenjulung dijadikan umpan alternatif sekiranya gewang tidak memperoleh respon.
Memancing ikan aya dengan penggunaan perambut sabiki atau apollo dan di aplikasi secara tundaan vesel laut, atau lebih dikenali sebagai mengolok ikan aya di Pantai Timur, merupakan satu kaedah yang diguna pakai bagi memancing ikan aya dalam kuantiti yang banyak.
Keadah ini turut menjadi kelaziman apabila memancing di sekitar pelantar minyak di perairan pantai timur, antara acara awal yang dilakukan adalah mencari umpan dengan kaedah menunda atau trolling sabiki (apollo) yang biasanya dibuat sendiri oleh tekong atau awak-awak.
Apollo umpan yang berwarna-warni diikat ke mata kail biasanya 40-50 bentuk mata kail digunakan. Jarak di antara satu perambut ke satu perambut yang lain sepanjang 30-50cm. Bulu apollo tersebut diperbuat daripada tali rafia biasanya berwarna hijau yang diracik halus.
Awak-awak akan menurunkan set mengolok ikan aya sepanjang 15-20meter ini tatkala bot akan menghampiri kawasan unjam. Setelah mendapat isyarat daripada tekong, perambut mengolok ini dilepaskan di belakang bot sama ada di sebelah kanan atau kiri bot dan kadangkala mereka mengolok di kedua-dua sisi bot.
Ikan aya akan menyambar bulu sabiki yang kelihatan umpama ikan bilis yang diseret di permukaan laut. Apabila terasa berat, awak-awak akan meminta tekong memperlahankan bot. 2 hingga 3 orang diperlukan untuk menarik 30-40 ekor ikan aya yang tersangkut pada mata kail.
Ikan-ikan aya yang menggelepar di lantai bot dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam bakul. Apabila bakul penuh, ikan dicurahkan ke dalam tong ais sebagai bekalan umpan sepanjang sesi memancing. Isi ikan aya yang mengandungi banyak darah dan kuat baunya antara penyebab kenapa ia begitu cepat ‘memanggil’ penghuni dasaran.
Jika tidak untuk mencari umpan bagi sesi memancing, teknik mengolok ini turut dilakukan oleh nelayan bagi menangkap ikan aya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...