
(Oleh: KD Negri)
Roti sandwic yang berasaskan tepung gandum sememangnya diet yang sesuai untuk makanan ikan.
Namun, tanpa sebarang perisa atau bau-bauan, ia umpama sesuatu yang halimunan pada deria ikan.
Bagi menarik perhatian ikan pada kepalan roti yang bersifat kosong, ia memerlukan bahan perisa bukan saja yang memiliki sifat rasa, bau-bauan dan juga warna yang menyerlah.
Bahan-bahan umpan:
Roti sandwic (potong dadu)
Musang Strawberry A1
Sos Raya A1
Esen Badam
Esen Nenas
Esen Pisang
Cara-Cara Penyediaan Umpan
➡ Langkah 1
Satu bungkus roti sanwic dipotong dan dimasukkan ke dalam bekas bancuhan. Kemudian masukkan Sos Raya A1 (kuning) sebanyak 6 penutup.
➡ Langkah 2
Kemudian masukkan Musang Strawberry A1 sebanyak 6 penutup atau lebih. Goncang bekas bancuhan agar sos mengenai roti lebih sekata.
➡ Langkah 3
Masukkan 1 penutup botol esen pisang (goncang lagi).
➡ Langkah 4
Masukkan pula 2 penutup botol esen nenas (goncang lagi)
➡ Langkah 5
Seterusnya masukkan 1 penutup botol esen badam.
Cara penggunaan umpan
➡ Langkah 1
Setelah dibiarkan seketika agar setiap perisa sekata dengan roti, barulah cucuk roti dadu pada mata kail perambut V.
➡ Langkah 2
Kemudian kepal roti dadu yang lain pada perambut mata kail tersebut dan ia siap sedia untuk dilontar ke spot patin bermain.
Tak Sangka Telur Ikan Ini Umpan Terbaik Pancing Baung

Menggunakan telur ikan tapah untuk memancing ikan baung, mungkin sesuatu yang amat janggal bagi pemancing di Semenanjung Malaysia. Mana nak dapat telur ikan tapah? Jangan kata telur ikan tapah, ikan tapah itu sendiri pun masih ramai pemancing yang belum pernah menyentuhnya, apatah lagi berjaya mendaratkannya.
Namun, penggunaan telur ikan tapah sebagai umpan bagi memancing ikan baung bukanlah sesuatu yang asing di Sarawak, terutamanya di Tasik Bakun. Tentu saja ia bukan sesuatu yang pelik kerana bukan saja populasi ikan baung yang banyak, bahkan ikan tapah juga berkembang biak dengan baik di sana.
Penulis berpeluang menguji sendiri keberkesanan telur ikan tapah sebagai umpan apabila berkunjung ke Tasik Bakun tidak lama dahulu. Ia berlaku secara spontan apabila pekerja di sebuah rumah terapung atau jelatong yang menjadi kediaman penulis, menyiang ikan tapah untuk dijadikan hidangan kami pada malam tersebut.
Tindakan pekerja tersebut mengasingkan telur tapah di dalam bekas itu mendorong penulis untuk bertanya. Apabila dinyatakan telur tersebut bagus untuk dijadikan umpan memancing baung, penulis segera meminta izin untuk mengujinya.
Memandangkan kedatangan kami ke Tasik Bakun lebih kepada trip casting, maka kami tidak membawa peralatan untuk pancingan dasar. Jangankan batu ladung, mata kail pun tiada seorang pun yang membawanya. Sebagai alternatif, penulis cangkukkan sedikit telur tapah itu pada mata kail gewang sesudu. Sesudu seberat 7 gm yang bersifat tenggelam itu pastinya tiada masalah untuk menghantar umpan telur tapah ke dasar tasik.
Memandangkan tidak pasti bagaimana rupa permukaan dasar tasik, penulis tidak membiarkan sahaja sesudu berumpan telur tapah itu terendam di dasar. Sesekali penulis mengangkatnya beberapa inci dari dasar dengan cara mengujun.
Tidak sampai lima minit mengunjun, penulis dapat rasakan ada sesuatu yang menyambar sesudu berumpankan telur ikan tapah berkenaan. Tidak sampai seminit kemudian, seekor baung anggaran berat hampir satu kilogram berjaya didaratkan!
Mengenal Suku Sakat Ikan Bayan

Taksonomi
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Superclass: Osteichthyes
Class: Actinopterygii
Order: Perciformes
Suborder: Labroidei
Family: Labridae (Rafinesque, 1810)
Genus
Bolbometopon
Calotomus
Cetoscarus
Chlorurus
Cryptotomus
Hipposcarus
Leptoscarus
Nicholsina
Scarus
Sparisoma
Walaupun ia berasal dari dua keluarga yang berbeza iaitu dari jenis wrasse dan parrotfish, ikan ini lebih dikenali sebagai ikan bayan oleh kebanyakan pemancing dan nelayan untuk kedua-dua keluarga spesies yang mempunyai pelbagai bentuk, warna, saiz dan sekurang-kurangnya 90 spesies.
Taburannya amat ketara dan boleh dijumpai hampir kesemua kawasan perairan negara terutama persisiran pantai yang berpulau. Ikan ini lebih popular dipanggil ketarap di Johor. Kedua-dua spesies ini adalah dari jenis hidupan marin laut yang gemar tertumpu pada kawasan terumbu karang sama ada perairan cetek hinggalah yang lebih dalam.
Bayan jarang ditemui berlegar di kawasan terbuka yang berpasir jauh dari kawasan batu karang. Bayan adalah spesies yang tidak ganas dan tidak merbahaya kepada manusia.
Spesies bayan ini menjadikan seorang rakyat Malaysia telah berjaya mencipta rekod International Game Fishing Associasion (IGFA) pada April 1997. Vincent Yeo berjaya memancing spesies maori wrasse atau lebih dikenali dengan panggilan napoleon berbadan hijau seberat 19.8 kg di kepulauan Seychelles.
Bayan wrasse ini mempunyai warna badan yang cantik dengan pelbagai bentuk dan saiz. Badan lebih memanjang dan tidak begitu gempal berbanding bayan parrotfish.
Mulut adalah sederhana besar dengan bibir yang tebal dan agak keras. Bergigi kapak dan besar di barisan hadapan serta gigi-gigi kecil di bahagian dalam yang berlapis. Gigi kapak kebanyakannya menonjol keluar sedikit.
Sirip dorsal ikan bayan jenis ini agak memanjang manakala sirip ekor pelbagai bentuk dan corak warna. Sejumlah 20 jenis spesies bayan ini ditemui.
Warna juga berubah mengikut pembesaran dan perubahan pada jantina. Ikan bayan yang paling popular di kalangannya ialah bumphead atau napoleon yang mempunyai bonggol di atas bahagian kepala yang boleh membesar sehingga hampir 100kg.
Ia dipercayai adalah yang terbesar di kalangan keluarga bayan. Jenis kepala benjol ini mempunyai gigi kapak yang tajam dan mampu memutuskan tali pemancing dengan mudah.
Ia mengunakan kelebihan benjol di kepala untuk memecahkan cengkerang dan karang sebelum mengunakan gigi yang kuat untuk proses seterusnya.
Dikatakan banyak terdapat di Pulau Terumbu Layang-layang dan Sipadan di Sabah dan tidak merbahaya kepada penyelam. Malah penyelam biasanya senang dikelilingi oleh spesies ini.
Profil ringkas
Nama umum: Wrasse dan parrotfish
Nama Lain: Bechok, nuri-nuri, batu, ilahan, ketarap, kakak tua, tabok, tagih untung, nila-nila, perencong, kalat
Ciri Fizikal: Kedua-dua jenis keluarga bayan mempunyai kombinasi warna yang cantik dan gigi hadapan yang lebih besar dan menonjol keluar. Badan, corak warna saiz adalah pelbagai.
Diet: Hidupan sekitar batu karang seperti ketam,cengkerang, karang, sotong,udang dan anak ikan.
Habitat: Kawasan batu karang dan berpasir persisir pantai yang berbatu.
Taburan: Hampir seluruh Asia Pasifik, Laut Merah, Utara Afrika dan Australia hingga French Polynesia
Kepentingan Ikan Siakap Dalam Industri Komersial & Memancing!!

Ikan siakap merupakan antara spesies yang sangat penting dalam industri akuakultur.
Dalam akuakultur, spesies ini dibela secara komersial dalam skala yang besar untuk tujuan pemakanan.
Secara global, ikan siakap dibela secara komersial di Australia, Arab Saudi, Malaysia, India, Indonesia dan beberapa buah negara lain.
Di Asia Tenggara sahaja, penghasilan ikan siakap mencecah sehingga 30 000 tan setahun untuk tujuan komersial.
Ikan siakap mendapat permintaan yang sangat tinggi di restoran dan hotel-hotel untuk tujuan hidangan makanan terutama peminat makanan berteraskan laut.
Dalam pancingan sukan, ikan siakap sangat popular dengan kekuatan dan aksi lompatannya.
Di Malaysia sahaja, terdapat banyak kolam pancing air masin yang menjadikan siakap sebagai spesies tarikan kepada pemancing.
Ikan siakap boleh dikategorikan sebagai ikan sukan yang hebat.
Aksi lompatan dan cubaan melepaskan diri daripada mata kail pasti mengujakan mana-mana kaki pancing, lebih-lebih lagi jika menggunakan peralatan yang sepadan.
PANCINGAN SIAKAP
Dalam konteks pancingan menggunakan rod dan tali, ikan siakap merupakan spesies yang begitu popular di kalangan kaki pancing di Malaysia.
Lompatan akrobatik ikan siakap ketika dalam pertarungan merupakan aksi yang hampir pasti akan kelihatan.
Malah aksi akrobatik itulah yang ditagih oleh kaki pancing walaupun aksi tersebut memungkinkan ikan tersebut berjaya meloloskan diri.
Selain lompatannya, larian dan sifat tidak mudah menyerah kalah menjadikan siakap antara spesies popular di kalangan pancingan ikan sukan.
Dan ia menjadi pakej ikan sukan yang lengkap setelah dijadikan juadah yang enak.
alam pancingan siakap, menjerat menggunakan umpan atau pancingan dasar merupakan cara yang terkenal sejak dari dahulu lagi.
Umpan yang popular pastilah menggunakan umpan hidup. Bagi kaki kolam pula, penggunaan umpan udang mati juga merupakan alternatif yang sangat berkesan.
Udang mati biasanya dikopek kulitnya (disebut udang kopek) sebelum dicangkuk pada mata kail.
Selain dibiarkan, anda juga boleh cuba menarik perlahan-lahan umpan mati ini bagi menarik minat siakap membaham umpan.
Selain daripada umpan udang, beberapa alternatif umpan lain juga boleh dicuba. Antaranya menggunakan ikan selayang yang dipotong.
Ikan hidup seperti anak tilapia, lampam, belanak dan puyu juga agak popular sejak kebelakangan ini untuk mendaratkan spesies siakap.
Selain pancingan dasar, teknik lain yang popular tentulah menggunakan teknik mengilat menggunakan gewang tiruan.
Bagi penggunaan gewang, gewang pilihan yang sesuai bagi menggoda siakap ialah gewang yang seakan ikan dengan kemampuan selaman dalam dan sederhana.
Penggunaan gewang juga sangat popular menjerat siakap apatah lagi saat siakap membaham gewang. Boleh pecah dibuatnya.
Persembahan gewang pula perlu pelbagai dengan sedikit henjutan atau jerk ketika karauan.
Lebih elok, cari struktur berbatu dan berkayu sebagai lokasi untuk membaling gewang. Ikan siakap akan menggunakan sisi pipinya yang tajam selain permukaan mulutnya yang kasar untuk memutuskan tali perambut.
baca juga Korang Tanya Umpan Jawab – Waktu Bila Siakap Bertukar Jantina?
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan