Bagi memancing temelian, selain kesabaran yang tinggi, kekuatan fizikal juga diperlukan. Lebih-lebih lagi jika terkena temelian bersaiz 10 kg ke atas. Larian dan pecutan agresifnya pasti menyebabkan pemancing berpeluh.
Umpan popular bagi memancing temelian ialah kelapa sawit ‘sate’ yang dipotong atau dihiris. Kelapa sawit yang dipotong akan dicucuk ke mata kail satu persatu sehingga ke tali perambut lebih kurang satu jengkal. Terdapat juga pemancing yang menghiris sawit nipis-nipis, dan dicucuk pada 4 atau 5 bilah mata kail sehingga penuh.
Selain kelapa sawit, umpan pisang juga agak popular di sesetengah tempat. Terdapat 3 bilah mata kail di mana satu mata diikat pada hujung perambut dan satu mata lagi diikat dengan jarak lebih kurang 40 cm. Sebilah mata kail lagi dibiarkan bebas antara kedua-dua mata kail tadi. Umpan pisang dipasang pada mata kail pertama sahaja iaitu paling bawah dan pisang dicangkukkan sehingga lebih kurang 15 cm pada perambut tadi.
Selain itu, ada juga kaki pancing yang menggunakan umpan sawit peram sebiji yang dicangkuk terus pada mata kail. Namun ia memerlukan teknik ‘rasuah sawit’ terlebih dahulu untuk memujuk ikan ini memakan umpan.
Ada juga kaki pancing yang menggunakan teknik umpan dedak untuk memancing ikan ini, tetapi ia memerlukan kesabaran yang tinggi kerana ia juga perlu dipujuk dengan teknik rasuah terlebih dahulu.
Semua pemancing sedia maklum bahawa ikan layaran adalah spesies gamefish yang dilindungi. Oleh yang demikian adalah menjadi tanggungjawab pemancing untuk memastikan kelestarian ikan ini dapat diterus setelah berjaya memancingnya.
Tempoh Pertarungan
Apabila dikenali ikan yang dipancing itu ialah layaran, cubalah untuk tidak memanjangkan tempoh pertarungan. Pertarungan yang panjang sehingga melebihi 30 minit akan meningkatkan tekanan atau stress pada ikan.
Ia turut menjejaskan mekanisma dan sistem biologi ikan yang tidak dapat dilihat pada fizikal ikan. Justeru itulah kita disarankan menggunakan peralatan berkuasa bagi menyingkatkan tempoh masa pertarungan.
Cara Pengendalian
Setelah ditewaskan dan dihela sehingga merapati bot, sebaiknya ikan dipegang pada kedua-dua paruhnya atau paling hampir dengan pangkal paruh. Elakkan dari memegang pada hujung paruh kerana ia akan menyebabkan patah. Harus diingat paruh ini merupakan senjata utama layaran memburu makanan. Walaupun ia akan tumbuh kembali namun akan mengambil masa yang agak lama untuk kembali berfungsi. Sekiranya ikan meronta apabila dipegang paruhnya, ia merupakan petanda positif yang menunjukkan ia masih bertenaga.
Tanggal Mata Kail
Sebaiknya cubalah tanggal mata kail yang tertancap pada mulut ikan ketika ia masih berada di dalam air. Sekiranya mata kail tersebut berada jauh di dalam mulut ikan, usah dipaksa untuk mengeluarkannya.
Potong saja tali perambut sependek mungkin dari paruhnya. Peluang survival ikan lebih tinggi dengan berbuat demikian. Mata kail tersebut akan tertanggal dengan sendirinya atau mereput dalam tempoh tertentu.
Mendaratkan Ikan
Adalah lebih baik jika ikan dilepaskan kembali tanpa didaratkan ke atas bot. Sekiranya ingin mendaratkannya bagi sesi fotografi, elakkan dari melakukannya seorang diri. Ikan perlu ditampung pada bahagian kepala dan badannya. Kemudian barulah langsungkan sesi fotografi sepantas yang mungkin. Elakkan dari membiarkan ikan berada di luar air melebihi jangka masa 5 minit.
Jangan Lap Lendir
Perkara ini sangat penting dan sering terlepas pandang. Ikan layaran tidak memiliki sisik tebal sebagaimana ikan jenahak atau merah. Justeru itu badannya dilitupi dengan lendir yang banyak dari kepala hingga ke ekor. Dan lendir ini amat besar fungsi peranannya pada ikan.
Oleh yang demikian jangan sesekali menghapuskan lendir ikan dengan apa cara sekalipun. Kurangkan sentuhan pada badan ikan apatah lagi mendakapnya.
Bantuan pernafasan
Sebelum dilepaskan kembali sepenuhnya ke laut, perhatikan reaksi ikan apabila dimasukkan ke dalam air. Sekiranya tiada sebarang pergerakan pada penutup insang atau berkeadaan statik, berilah bantuan pernafasan dengan melalukan air memasuki mulutnya.
Bot digerakkan agar oksigen di dalam air dapat disalurkan ke sistem pernafasannya. Lakukan sehingga ikan memberi respon untuk berenang secara semulajadi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...