Pagi hari, kami masih lagi berlabuh di lokasi yang sama. Ketika kaki jigging masih lagi mendapatkan rehat yang secukupnya di kabin, geng pancing dasar mengambil alih kedudukan termasuk tekong kami.

 

Menyedari banyak perambut tersangkut apabila teknik perambut 3 depa bersama tanduk tidak begitu sesuai dengan kedudukan karang tinggi terlalu hampir dengan bot kami, menyebabkan ramai kehilangan perambut termasuk tanduk sekali.

 

Bangkai bot yang berkarang tinggi yang tidak menentu dibantu kedudukan bot sering berubah menyukarkan sukatan untuk melabuhkan umpan. Atas dasar ini umpan terpaksa digantung lebih tinggi supaya ia tidak sama paras dengan rimbunan karang di bahagian dasar.

 

Masa untuk beraksi bermula setelah beberapa ekor selayang disambar ikan cermin purata saiz purata sekilo. Boleh tahan juga ikan cermin yang rakus dengan umpan selayang hidup pada awal pagi. Kebetulan tempat yang sama terdapat anak ikan yang dipancing menggunakan set apollo. Bekalan umpan hidup sentiasa cukup untuk sesi pancing pagi tersebut.

 

Ads

Ikan cermin hanya datang meronda sesekali di kawasan tempat kami berlabuh umpan sebab itu serangan kumpulan cermin tidak berterusan. Sekejap makan kemudian hilang dan datang semula. Mata kail saiz 3/0 sebentuk diikat pada perambut 50 lb sudah mampu bertahan dari asakan cermin. Dalam masa yang sama, perambut yang putus juga agak banyak kerana alu-alu banyak mengikuti pergerakan umpan kami.

 

Ketika yang lain fokus melayan ikan cermin, set pancing Suhaidi pula mengena seekor ikan jenahak yang menelan sotong kurita yang dibeli dari Tanjung Karang. Sotong yang sama juga berjaya mengena beberapa ekor ebek. Melihat kehadiran ebek, geng jigging tidak senang duduk.

 

Ketulan jig kecil dilontar ke air bertujuan untuk memikat ebek. Dalam usaha yang berterusan hanya seekor sahaja ebek diperdaya dengan teknik jigging. Pada masa yang sama jig yang dilayan perlahan di kawasan dasar menemui sentuhan kecundang apabila sebaik sahaja jig diligan, ikan terus membuat larian tanpa menoleh ke belakang lagi.

Ads

 

Pemancing di atas terpinga-pinga menanti bila ikan nak buat pusingan ‘U’. Belum sempat ‘U’, tali dalam gelendong kekili sudah habis.

 

Petang hari selepas melakukan aktiviti apollo untuk stok umpan segar, tekong mengesyorkan kami untuk berpindah ke cabang saluran gas (pipeline) di sebelah selatan Tenggol. Saranan dituruti sahaja kerana misi kini beralih kepada ikan merah.

 

Ads

Apabila bot berlabuh, arus adalah dua kali ganda laju berbanding malam semalam. Ada sedikit harapan. Yang jigging pula mengeluh kerana terpaksa menukar kepada jig yang lebih berat. Jig bersaiz kecil dan ringan semuanya hanyut jauh ke belakang. Itu pun ada juga yang sanggup layan jig. Bila lagi kata mereka nak guna jig yang dibeli sebelum trip!

 

Secara keseluruhan malam kedua akhirnya memihak kepada geng dasar dengan beberapa ekor ibu kerisi bersaiz sedang, tambak dan jahan yang akhirnya mendominasi tangkapan terberat dalam misi kali ini. Merah yang dicari hanya seekor sahaja berjaya ditundukkan, sekadar cukup satu hidangan saiznya.

 

Malah angin sepoi bahasa di samping laut yang beralun tenang menjadikan malam cukup lena dibuai mimpi. Hajat memancing tertunai sudah walaupun tiada yang bersaiz mega. Laut, cuaca, suasana lapang di dalam bot sudah menceriakan misi tanpa mengira hasil yang bakal dibawa pulang.

 

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI